- Iklan -
Kolum

Taiping, kami sampai

Yang kami risau jika Mister Tay berada di luar Taiping walaupun sekolah masih bercuti.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Awal pagi Lee Keong dan aku sudah bersedia untuk meneruskan perjalanan ke Pulau Pinang.

Anak buah aku Norita dan Hazlan duduk bersama kami ketika sarapan.

“Dapek ke kereto nanti? Jauh Penang ni. Ado ko orang nak boronti?”

Kakak aku agak risau apakah kami akan berjaya ke Pulau Pinang.

“Mesti ada…Ipoh kita dah sampai.” Aku menjelaskan.

“Terus ke Penang ko?” Kakak aku bertanya.

“Nak singgah Taiping. Nak lawat cikgu kami. Dia duduk di Taiping. Dia dah beri alamat. Dia suruh cari kedai kasut dalam pekan Taiping.” Aku menjelaskan rancangan kami.

“Dio ni. Cikgu ni Cino ko Melayu?” Kakak aku mahu penjelasan.

“Cina… dia orang Taiping.” Aku menjawab. Lee Keong hanya duduk mendengar sambil minum teh.

“Bungkus roti sikit. Nanti ko lapar.” Kakak aku membekalkan roti keping bermarjerin dengan taburan gula.

“Yong, Lan bila nak balik kampung?” Aku bertanya pada Norita yang kini kami panggil Yong kerana dibesarkan di Perak.

“Bila raya.” Yong menjawab.

Mata Yong dan adiknya Hazlan memandang ke muka kakak aku untuk meminta pengesahan.

Ayah mereka sudah keluar lebih awal.

Pagi itu aku merasa sedih juga meninggalkan anak buah dan kakak aku.

Lalu aku berjanji ketika pulang nanti akan singgah sekali lagi.

“Nanti, balik nanti singgah lagi.” Aku berjanji.

Kami mengambil bas menuju ke bandar Ipoh. Kami berhenti dalam kawasan bandar. Aku tak tahu pun arah dan jalan mana kami berhenti.

“Mari kita tengok Ipoh.” Cadangan aku pada Lee Keong.

Kami menyisir di tepi kedai.

Mata terbuka luas melihat pekan Ipoh.

Dari buku ilmu alam darjah enam ada bab mendulang dan bijih timah.

Dari buku ilmu alam yang aku baca Ipoh merupakan bandar bijih timah. Perak dan Ipoh negeri dan bandar terkaya di Malaysia.

Fakta ini aku lihat sendiri dari rumah-rumah banglo di kiri dan kanan laluan bas sebelum kami sampai ke Tambun.

Kalau rumah besar menggunung pasti duit timbun berkepuk.

Ipoh, dari apa yang aku baca berasal dari pokok Ipoh yang dikatakan beracun.

Orang Asli menggunakan getah Ipoh ini sebagai racun untuk menyumpit binatang buruan.

Aku rasa pelik juga kisah racun Ipoh ini tidak pula aku dengar dari Sakai yang tinggal di Jelebu.

Tahun 1968, aku menapak dalam pekan Ipoh tanpa haluan. Mata budak kampung dari Jelebu terbuka untuk melihat pekan terkaya di Malaysia.

Kedai-kedai semuanya milik Cina. Watak ini sama seperti bandar Kuala Lumpur dan Seremban.

Pekerja dalam kedai, jurujual semuanya orang Cina.

Hakikatnya di Ipoh ini aku tak nampak orang lain melainkan orang Cina.

Kedai Cina, kereta Cina pejalan kaki pun Cina.

Aku merasa begitu asing macam aku dalam negara lain.

Kami tidak berselisih dengan achi atau tambi atau abang atau minah.

Aku sahkan tahun 1968 Ipoh ini pekan Cina.

Agak berbeza dengan Kuala Lumpur yang ada juga orang yang bukan Cina lalu lalang di sana-sini.

Tapi bukan di Ipoh pagi tahun 1968 ketika aku dan Lee Keong mundar-mandir tanpa haluan.

Menapak merayau dan membuka mata tiba-tiba aku terserempak dengan Panggung Wayang Ruby.

Mustahil aku akan melupakan panggung ini.

Ini pasti abang kepada Panggung Ruby di Kuala Kawang.

Panggung Ruby di Ipoh lebih gah, bangunan batu lebih besar terletak di bucu jalan.

Ketika aku di hadapan Panggung Ruby poster gambar wayang Cina terpampang.

Berjalan menapak tanpa tujuan kami ternampak abang polis. Ini abang polis Melayu.

Lalu aku bertanya arak jalan ke Taiping.

“Jauh juga. Kena ambil jalan depan ini ke arah Sungai Siput, ke Kuala Kangsar….baru jumpa Taiping. Nak naik bas ke?” Abang polis memberi penerangan.

“Tak…. kami hitch hiking. Tumpang kereta orang. Terima kasih bang.” Aku menjawab.

Jauh juga kami berjalan untuk keluar dari pekan Ipoh. Aku rasa sama jauhnya macam kami nak keluar dari Kuala Lumpur. Bandar Ipoh ini memang besar.

Matahari makin terik. Akhirnya terjumpa tanda jalan arah ke Sungai Siput.

Kami di tepi jalan berdiri menunggu kereta lalu dengan sabar.

Bila aku letih berdiri Lee Keong akan berdiri menghulur tangan berharap ada pemandu kereta yang faham akan niat kami mahu menumpang.

Kunci hitch hiking ini agak mudah. Wajib keluar dari pusat bandar.

Cari jalan yang lurus dan senang untuk pemandu melihat dari jauh.

Jalan lurus yang agak panjang agar mudah untuk pemandu berhenti jika terlepas pandang.

Elakkan menunggu di simpang jalan.

Terlalu banyak kereta pun musuh. Terlalu kurang kereta pun musuh.

Perhatikan kereta yang hanya ada pemandu.

Si pemandu mungkin mahu teman berborak jika perjalanan jauh.

Kami tidak mencuba lori atau van.

Bila nampak bas kami akan menghala pandangan ke arah lain untuk memberi faham kepada pemandu yang kami bukan bakal penumpang.

Aku ingat lagi pesanan abah aku: “Jangan naik lori balak”.

Banyak kereta lalu akhirnya sebuah kereta berhenti terlajak ke hadapan.

Kami berkejar ke hadapan dan pemandu mengundur ke belakang. Kereta abang Cina.

“Sungai Siput.” Dia bersuara.

“Boleh.” Aku menjawab. Sebenarnya aku tak tahu pun apakah Sungai Siput ini pekan atau kampung.

Kami naik. Kereta berjalan. Abang Cina bercakap Cina dengan Lee Keong yang duduk di hadapan.

Aku di belakang hanya mendengar suara.

Tapi aku tahu pasti pertanyaan yang sama dari setiap pemandu.

Dan kami pun sudah bersedia untuk memberi jawapan yang kami ulangi berkali-kali.

Hampir semua pemandu akan bertanya apakah kami ini pengakap.

Di mana Jelebu? Hendak ke mana tujuan akhir? Bawa banyak duit ke?

Abang Cina memberhentikan kami di tepi pekan Sungai Siput.

Aku ternampak sebuah bangunan seperti panggung wayang yang semuanya tulisan Cina.

Sungai Siput pekan kecil. Kedai sederet bangunan kedai di kiri dan kanan jalan.

Lalu aku tergambar pekan Sungai Siput ini sama seperti pekan Beranang.

Ada kedai papan, ada kedai batu dan ada kedai setengah batu dan setengah papan.

Aku tak tahu sejarah Sungai Siput. Tapi yang pasti wilayah ini pasti bersangkutan dengan bijih.

Mungkin juga Sungai Siput ini seperti pekan Titi di Jelebu yang asalnya Kampung Baru Cina kemudian membesar lalu menjadi pekan.

Kami menapak meninggalkan pekan Sungai Siput. Di bawah pokok kayu besar di tepi jalan kami berhenti.

Aku membuka bekal roti. Kami mengalas perut.

Sebuah kereta berhenti. Kali ini pakcik Melayu yang memandu Morris Minor.

Aku amat kenal dengan kereta jenis ini. Ini bukan kerana aku meminati kereta. Tidak.

Aku kenal kereta jenis ini kerana di Kuala Klawang ada dua buah Morris Minor yang berwarna biru muda.

Satu dimiliki oleh Mister Jai Singh dan satu lagi dimiliki oleh Mister Tay.

Mereka berdua ini guru yang mengajar di SMUJ.

“Nak ke mana?” Pakcik Melayu bertanya sambil membuka pintu kereta.

“Taiping.” Aku menjawab.

“Masuklah. Saya nak ke sana.”

Aku duduk di hadapan. Lee Keong di belakang.

“Ada apa di Taiping?” Pakcik bertanya.

“Rumah Mister Tay, dia guru kami.” Penjelasan dari aku.

Kemudian kami bercerita tentang Jelebu yang kering dan Taiping yang basah.

“Wah Cikgu Tay kau ni nasib baik, dapat rasa tempat basah dan tempat kering. Kau berdua ni murid baik dia. Dah abis belajar pun masih ingat. Bagus, bagus. Ingat pada guru yang mengajar kita, kena rotan pun tak pa… kita ingat semua.” Pakcik ketawa.

“Pakcik kerja apa?” Kali pertama aku bertanya hal pekerjaan.

“Dulu pernah jadi guru sementara, macam kau orang lepas periksa Cambridge jadi guru kemudian kerja pejabat kerajaan. Pakcik orang Selama, nak jumpa anak di Taiping.” Pakcik berumur 50-an bersurah.

Kami hanya mendengar nama Selama. Kami tak tahu pun ini pekan, kampung atau daerah.

“Jap lagi Sungai Perook… ini jambatan raje.” Tiba-tiba pakcik ini bersuara dengan loghat Perak.

Mata aku terbeliak memandang Sungai Perak. Cukup besar. Inilah pertama kalinya aku melihat sungai yang begini besar.

Aku selalu mendengar tentang Sungai Perak dan Sungai Pahang.

Dua sungai yang besar dan panjang di Semenanjung Malaysia.

Aku menjulur kepala keluar tingkap kereta. Sungai ini memang besar lima kali besarnya dari Sungai Klawang yang melintas belakang rumah aku.

Aku tak percaya bila aku ternampak dalam sungai ini ada pula pulau dengan tumbuhan pokok kayu. Sungai yang ada pulau ini sudah menjadi laut.

“Mesti banyak ikan.” Aku memberikan pandangan.

“Ni dari Tasik Temenggor, Lenggong. Ikan banyak, ikan Tapah besar anak lembu, boleh makan anak kambing pun ada.” Pakcik bercerita.

Aku hanya mendengar surah pakcik ini. Dari buku ilmu alam yang aku baca Sungai Perak ini sungai terpanjang di Semenanjung Malaysia.

“Ha, itu simpang ke Kuala Kangsor, Raje Perokk. Istana di sana, sungei lalu depan istana….kite tak masuk… kite terus ke Taipeng.” Loghat Perak makin pekat.

Kami lalu di wilayah kampung Melayu. Kiri dan kanan ada sawah dan kebun getah.

Kemudian sampai ke jalan lurus, jauh di hadapan gunung kapur.

Di bawah gunung kapur ini ialah sawah luas terbentang. Ada laluan kereta api di hadapan gunung kapur ini.

“Ini Padang Rengas, depan tu Bukit Berapit.” Pakcik menjadi pemandu pelancong yang baik.

Bila aku lihat gunung kapur , bila aku ternampak sawah yang mula menguning dan laluan kereta api, aku teringat akan poster Kereta Api Tanah Melayu (KTM) yang aku lihat terpampang di dinding stesen kereta api Seremban.

Aku memandang ke luar tingkap kereta dengan penuh kegembiraan. Akhirnya aku bertemu dan ternampak dari mana gambar poster ini dirakam.

Morris Minor mula mendaki Bukit Berapit.

Aku melihat Bukit Berapit ini agak kecil berbanding dengan Bukit Tangga jalan dari Seremban ke Jelebu.

Bukit Tangga panjangnya empat batu naik dan empat batu turun, dan setengah batu jalan mendatar antara menurun dan mendaki.

Bengkang bengkok Bukit Tangga macam ular dipalu.

Kami melintasi kampung Melayu yang dipagari oleh pokok durian dan pokok buah-buah.

Baru aku sedar di Ipoh dan di Sungai Siput tak ada Melayu.

Orang Melayu berkampung di wilayah pertanian yang juah dari Ipoh.

“Ini Simpang, ke depan Tanjung.. kita belok masuk Taipen.” Loghat Perak datang lagi.

“Berhenti kat stesen bas… nanti kau carilah cikgu kamu.”

Pak Cik membawa kami ke stesen bas Taiping. Kami bersalaman.

“Jangan lupa, nanti tulis pengalaman kau ni.” Kata-kata akhir dari pakcik Morris Minor.

Sekarang tugas kami ialah mencari kedai kasut.

Dengan alamat dalam tangan kami tidak risau.

Yang kami risau jika Mister Tay berada di luar Taiping walaupun sekolah masih bercuti.

Dia tidak mungkin berada di Kuala Klawang atau Seremban.

Akhirnya kami bertemu kedai kasut yang dicari.

Kepada tuan kedai kami terangkan siapa kami.

Tuan kedai pakcik Cina menyantuni kami dengan baik.

Meminta kami duduk. Dia memanggil anak muda lelaki belasan tahun dan bercakap dalam bahasa Cina.

Anak muda ini berbasikal hilang sebentar. Kemudian dia muncul kembali dalam kedai.

“He is at home.. Waiting for you, follow me. My name is Chen.”

Anak muda mengajak kami mengekor basikal dia. Kami berjalan tidak jauh. Ke arah stesen kereta api.

“Hisham, Lee Keong. You arrived. Come in.”

Mister Tay muncul di pintu dan menjemput kami naik tangga batu rumah papan.

“My father-in-law lives here. He works with KTM, Chen is my brother-in law. Kedai kasut, my uncle runs that shop.”

Baru aku tahu anak muda berbasikal itu adik ipar Mister Tay.

Kedai kasut milik bapak saudara Mister Tay.

“There is an empty room.. you can rest. And we had diner later. Chen help you friend.”

Mister Tay berundur dan kami dibantu oleh Chen masuk ke bilik.

Aku ingat lagi malam itu kami makan di meja bulat.

Mister Tay menjadikan kami tamu yang selesa.

Isteri Mister Tay muncul sebentar di meja makan kemudian beredar.

Keluarga ini membiarkan kami bertiga “warga Jelebu” di meja makan.

“Tomorrow what are you going to do? There is the Museum, Lake Garden. What else to see?” Mister Tay memberi cadangan.

Malam itu aku tidur dengan selesa di rumah banglo kayu bertangga batu milik KTM.

Esok aku akan merayau di Taiping.