- Iklan -
Rencana

Khemah besar PH longlai tanpa Bersatu, PAS

Apa guna khemah besar jika ia hanya melibatkan kerjasama Pakatan Harapan dan parti-parti kecil seperti Pejuang, Muda dan Warisan?

Saladin Hasan Salleh
3 minit bacaan
Kongsi
Seorang penduduk melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di Kampung Portugis pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.
Seorang penduduk melalui deretan bendera Pakatan Harapan yang digantung di Kampung Portugis pada Pilihan Raya Negeri Melaka tahun lalu.

Isnin lalu, Presiden Amanah Mohamad Sabu meminta semua pihak memahami pendekatan khemah besar yang dianjurkan partinya sebelum mengadakan perbincangan untuk bekerjasama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Kata bekas menteri pertahanan itu, idea khemah besar tidak akan melibatkan kerjasama dengan Bersatu dan PAS yang dianggap pengkhianat.

Di sebalik kerasnya nada pendirian itu, ia turut menterjemahkan “kelucuan” strategi politik Mohamad yang tidak berpijak di bumi nyata.

Seandainya pendirian itu sudah terkunci mati, adalah lebih baik Mohamad tidak membuang masa dengan mempromosikan idea khemah besar itu kerana ia adalah perbuatan sia-sia.

Apa guna khemah besar jika hanya melibatkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan parti-parti kecil seperti Pejuang, Muda dan Warisan yang semakin terkapai-kapai dalam arus politik negara.

Parti-parti kecil ini hanyalah penumpang dan tidak memberi apa-apa nilai tambah kepada kekuatan PH. Ia berbeza dengan kekuatan Bersatu dan PAS yang boleh memberikan impak besar.

Tanpa penglibatan Bersatu dan PAS dalam khemah besar PH, keputusan PRU15 juga sudah boleh dijangka iaitu sekadar ulangan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sarawak dan Johor.

Maka, tidak peliklah kenapa pemimpin muda PKR, Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar tanpa berselindung menyatakan PH perlu menunggu 10 tahun atau dua PRU lagi untuk kembali berkuasa.

Mereka berdua menghantar mesej tiada apa yang boleh diharapkan jika PH enggan berubah, baik dalam aspek kepemimpinan dan strategi politik.

Berbalik kepada pendirian keras Mohamad yang menolak kerjasama dengan Bersatu dan PAS, ia ketara senada dengan pendirian Pengerusi DAP, Lim Guan Eng.

Tidak sukar untuk memahami persamaan “sehati sejiwa” itu sewaktu Amanah dilihat terlalu bergantung hayatnya pada DAP manakala Lim sendiri belum dapat melupakan episod kehilangan kerajaan dan jawatan menteri kewangan.

Luka itu tidak akan hilang sampai bila-bila dan kerana itulah Lim dan Mohamad secara konsisten menuduh Bersatu sebagai pengkhianat dan enggan bekerjasama dengannya pada PRU15.

Ironinya, Lim dan Mohamad buat-buat lupa untuk menelek muka sendiri di cermin dan merenung salah silap percaturan politik mereka sepanjang 22 bulan pemerintahan PH.

Dasar pro satu kaum oleh DAP dan tindak-tanduk mereka yang mengancam kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu telah membangkitkan kemarahan orang Melayu.

Bersatu sebagai parti Melayu juga tidak dapat menerima tindakan sedemikian dan itulah yang mendorong ia keluar daripada PH dan mengetuai pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) sewaktu Covid-19 mula menular di negara ini.

Bayangkan jika kerajaan PH masih berkuasa sewaktu pandemik Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP), apa yang bakal berlaku kepada rakyat dan negara ini.

Kemarahan rakyat terhadap PH yang kemudiannya diburukkan dengan tekanan ekonomi dan sosial akibat Covid-19 dan PKP adalah satu resipi yang sangat sempurna untuk mencetuskan pemberontakan dan huru-hara yang merosakkan negara.

Kita tidak boleh memandang rendah kemampuan Umno dan BN untuk menghasut pemikiran rakyat dan mereka terbukti berjaya menanam naratif, segalanya salah Cina DAP sepanjang 22 bulan pemerintahan PH.

Bagaimanapun kita semua bernasib baik kerana sewaktu negara bergelut dengan masalah kesihatan, ekonomi dan sosial akibat Covid-19, Umno dan BN telah dijinakkan oleh Bersatu apabila parti itu menganggotai kerajaan PN.

Ceritanya pasti berbeza jika Umno berada di luar kerajaan sewaktu negara mengharungi tempoh serba mencabar itu.

Jadi, eloklah Mohamad dan Lim renung balik kelemahan PH, bukannya berterusan mengkambing hitamkan Bersatu sebagai satu-satunya punca kejatuhan mereka.

Pandanglah ke hadapan dan ketepikan dendam peribadi demi masa depan negara dan anak cucu. Semua parti penentang Umno, BN tidak mempunyai pilihan selain menjalinkan kerjasama politik pada PRU15.

Tidak kiralah atas nama khemah besar atau memorandum persefahaman (MoU), asalkan tiada pertembungan sesama sendiri di semua kerusi.

Saladin Hasan Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.