- Iklan -
Kolum

Putin bukan komunis, Soviet Union tak akan diwujudkan

Sedangkan pakar-pakar bidang itu tentu dapat mengutarakan bahawa mewujudkan semula Soviet Union adalah suatu yang mustahil.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Apabila bercakap mengenai apakah tujuan Vladimir Putin melancarkan perang ke atas Ukraine, salah satu naratif pihak Barat ialah presiden Rusia itu mahu mengembalikan Soviet Union.

Naratif ini sering dikemukakan di media massa global dalam perbincangan, wacana dan wawancara di kalangan ahli panel dari pelbagai latar belakang, sama ada ahli akademik, wartawan atau pemerhati geopolitik.

Walaupun terdapat naratif lain yang turut dikemukakan tetapi mewujudkan semula Soviet Union tetap disebut.

Sedangkan pakar-pakar bidang itu tentu dapat mengutarakan bahawa mewujudkan semula Soviet Union adalah suatu yang mustahil.

Soviet Union adalah suatu eksperimen yang sudah menjadi sejarah.

Putin bukan seorang komunis.

Tetapi naratif menghidupkan semula Soviet Union mempunyai nilai propaganda.

Ia boleh menakutkan dunia terhadap ancaman komunis.

Dunia mesti memihak kepada Barat kerana Rusia mahu kembali menjadi komunis, dan ia akan mengancam. Tentulah satu dunia akan takut.

Maka tidak hairanlah Ukraine dianggap sebagai benteng bagi Eropah untuk mempertahankan demokrasi dan nilai-nilai Barat.

Finland yang mempunyai sempadan dengan Rusia dan baru menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menjadi batas garis depan menghadapi Rusia.

Pada masa ini sedang berlaku perang propaganda antara blok Barat dan Rusia.

Sejak perang Ukraine itu berlangsung, televisyen Barat dan pro-Barat setiap hari menyerang Rusia.

Tontonlah NHK, DW, ABC, Euronews dan BBC yang dibawa oleh perkhidmatan Unify, kesemuanya setiap hari menyerang Rusia dengan memahami bahawa Jepun, Jerman, EU, dan Britain berada di pihak Barat.

Sedangkan suara di pihak Rusia disekat dalam media.

Saluran berita Rusia, RT diharamkan di Barat. Apabila menjejaskan kepentingan mereka, nilai demokrasi seperti kebebasan suara ditolak tepi.

Bukanlah ini pula bermakna apa yang dilakukan oleh Putin dan Rusia itu betul.

Melanggar negara orang dengan melakukan kerosakan yang mengakibatkan kematian serta kemusnahan harta benda adalah suatu yang tidak dapat diterima.

Namun, keluhan-keluhan Putin terhadap Ukraine, Nato dan Barat wajar diambil kira.

Membawa naratif bahawa Putin mahu mengembalikan Soviet Union hanya menenggelamkan keluhan presiden Rusia itu terhadap ancaman geopolitik Ukraine bersama Kesatuan Eropah (EU) dan Nato terhadap negaranya.

Sebelum perang itu, Putin ada menyatakan bahawa Ukraine adalah sebahagian daripada Empayar Rusia dan menyalahkan Soviet Union kerana mewujudkan republik itu dengan memisahknnya daripada Persekutuan Rusia.

Dengan kenyataan inipun sudah dapat dilihat beliau tidak suka pada Soviet Union yang baginya tidak bersifat nasionalistik terhadap Rusia.

Kalau Soviet Union itu mendokong nasionlisme Rusia, maka pstinya ia memasukkan Ukraine ke dalam persekutuan Rusia.

Ideologi komunis Soviet Union bersifat multinasional dan bukan nasionalisme Rusia, walaupun dari segi amalan, ia juga cenderung pada dominasi Moscow terhadap republik lain dalam kesatuan itu.

Nama penuh Soviet Union yang ditubuhkan pada tahun 1922 itu ialah Kesatuan Republik-republik Sosialis Soviet (USSR).

Di dalamnya terdapat banyak republik termasuk Rusia dan Ukraine.

Nama penuh Rusia ketika itu ialah Persekutuan Soviet Republik-republik Sosialis Rusia (RSFSR) yang di dalamnya terdapat juga banyak republik, antaranya Chechnya.

Nama rasmi Ukraine ketika itu ialah Republik Sosialis Soviet Ukraine.

Sebelum tertubuhnya Soviet Union, kesemua wilayah itu berada dalam Empayar Rusia.

Pentadbiran mereka berbentuk wilayah yang diperintah secara langsung dari St Petersburg.

Pemimpin Soviet Union yang menjadikan wilayah-wilayah itu sebgai republik dengan menggariskan semula sempadan.

Mengapa mereka meletakkan Crimea yang strategik di bawah Ukraine dan bukan Rusia menjadi tanda tanya.

Putin mempersoalkannya dan ia mendorong kepada tindakannya menakluk Crimea.

Mungkin pemimpin-pemimpin Soviet Union dulu mahu memastikan Rusia dan Ukraine tidak berpecah.

Mereka mahu kedua-duanya terus menjadi tonggak Soviet Union.

Meletakkan Crimea di bawah Ukraine mengelakkan Rusia daripada menjadi terlalu dominan hingga membolehkan Empayar Rusia dipulihkan.

Pada awal berakhirnya Perang Dunia Kedua, Stalin meletakkan Ukraine dan Belarus, dulu dipanggil sebagai Byelorusia sebagai negara berasingan daripada Soviet Union dalam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Soviet Union tumbang pada tahun 1991 dengan Ukraine menjadi republik pertama menandatangani dokumen pemisahan daripada Soviet Union.

Ketika itu, Putin berada di Berlin, Jerman Timur.

Sebagai agen KGB tentulah beliau seorang Komunis seperti mana ramai warga Soviet Union.

Putin kecewa dengan keruntuhan Soviet Union yang menyebabkan beliau hilang pekerjaan dan dunia yang dikenalinya runtuh.

Beliau berkata, keruntuhan Soviet Union adalah satu mala petaka besar dunia.

Sebagai penganggur beliau kembali ke St Petersburg dan bersikap memandang ke masa depan (move on).

Beliau dapat pekerjaan dengan ahli politik dan bernasib baik kerana mendapat kepercayaan presiden pertama Persekutuan Rusia, Boris Yeltsin.

Akhirnya Putin dilantik sebagai perdana menteri dan pengganti beliau.

Yeltsin meninggalkan komunisme dan menyifatkan dirianya demokrat sosial.

Baginya, mereka yang masih mahukan komunisme hidup dalam fantasi.

Parti Komunis Soviet Union (CPSU) diharamkan dan dibubarkan.

Para komunis di Rusia menubuhkan Parti Komunis Persekutuan Rusia (CPRF) yang masih berpegang pada Marxis-Leninis tetapi dengan perspektif abad ke-21.

Parti ini sentiasa mendapat tempat kedua dalam Parlimen.

Walaupun besar, ia tidak akan dapat mengalahkan parti utama iaitu United Russia yang mendokong Putin.

Menurut komen orang Rusia, parti komunis ini adalah boneka Putin.

Selagi ia tidak menentang Putin, parti ini dibenarkan.

CPRF menyokong penaklukan Ukraine dan ini menyebabkan sebahagian besar ahli parlimennya dikenakan sekatan oleh Amerika Syarikat.

Nampaknya Putin menggunakan ramai pihak, dari gereja Kristian Ortodoks hinggalah kepada parti komunis untuk menyokong perang ke atas Ukraine itu.

Putin tidak memiliki ideologi khusus.

Beliau adalah pragmatik dan Machiavellian.

Kalau adapun beliau merupakan seorang nasionalis Rusia.

Maka Putin tidak akan kembalikan Soviet Union dengan segala fahamannya walaupun beliau dididik dan dibesarkan sebagai komunis.

Lebih tepat lagi kalau dikatakan bahawa beliau mahu mengembalikan kegemilangan Empayar Rusia sebelum revolusi.

Tetapi bukan dengan menjadi maharaja.

Persekutuan Rusia adalah sebuah republik yang mewarisi negara sebelum Soviet Union.

Tetapi legasi Soviet Union yang bermanfaat tetap diwarisinya seperti angkatan tenteranya dan perkhidmatan kesihatan rakyat.

Juga apa yang hendak Moscow pulihkan adalah sebagai kuasa dominan di benua Eropah-Asia seperti mana apa yang dipegang oleh Empayar Rusia.

Mungkin Putin tidaklah sampai mahu kedudukan seperti mana apa yang dimiliki Soviet Union, yang bukan saja mahu menjadi kuasa dunia tetapi juga menerapkan fahaman komunisme di seluruh dunia.

Bermula dengan tindakan tenteranya di Chechnya, diikuti pula di Georgia dan sekarang di Ukraine, apa yang Putin kehendaki adalah pengaruh geopolitik terhadap bekas wilayah Empayar Rusia dan bekas Soviet Union.

Amerika Syarikat (AS) pula mempunyai pengaruh lebih besar.

Walaupun tidak dicanangkan, ia sebenarnya mewarisi legasi geopolitik Empayar British dan Empayar Sepanyol-Portugis.

Dari AS, Afrika hinggalah Pasifik, AS mahu pengaruh dan kuasa.

Iaitu di samping memainkan peranan penting di benua Eropah.

Dalam memenuhi matlamat kepentingan geopolitik, AS membawa panji-panji kebebasan, demokrasi dan hak manusia.

Tetapi dari segi amalan, ia dicacatkaan dwngan hipokrisi dan peluasan kepentingan ekonomi.

Maka pertembungan antara AS dan Rusia tidak dapat dielakkan dengan rakyat Ukraine menerima bahananya.

Ia merupakan kegagalan Presiden Joe Biden dan Putin, serta juga Presiden Vlodymyr Zelensky untuk memelihara keamanan.