Segalanya bermula selepas 2013 apabila Pakatan Rakyat (PR) mula berantakan setelah gagal menjadi kerajaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU).
Saya masih ingat, Anwar Ibrahim mengajak kita semua berhimpun yang kita kenali selepas itu sebagai himpunan Blackout/Black505 di Kelana Jaya untuk menyatakan bantahan terhadap dakwaan berlakunya penyelewengan hingga PR gagal menjadi kerajaan walaupun undi popular dimenangi oleh PR.
Sebelum PRU13 Anwar telah berjanji jika beliau gagal membawa kemenangan kepada PR dalam PRU13, beliau akan bersara.
Jadi, himpunan Black Out 2013 ini hanya wayang untuk mengalih perhatian daripada janji beliau kepada kekalahan atas kelemahan sistem. Kambing hitamnya – sistem.
Kekalahan PRU13 juga menjadi titik tolak berlakunya perebutan kuasa di Selangor.
Ini tiada kena mengena dengan BN, Umno hatta Tun Mahathir Mohamad.
Ketika itu Khalid Ibrahim hendak ditukar atas pelbagai alasan.
Keputusan untuk menyingkirkan Khalid ini datang dari Anwar juga, bukan DAP, sama seperti Anwar sendiri yang memilih Khalid sebagai menteri besar pada 2008 dulu.
Maka berlaku Langkah Kajang, jauh sebelum berlakunya Langkah Sheraton.
Langkah Kajang ini adalah atas restu Anwar juga. Dan Anwar gagal lagi buat kali kedua selepas PRU13.
Selepas Langkah Kajang bertukar menjadi tragedi, keadaan politik PR semakin tidak stabil. Ia berterusan dengan masalah dalaman PR yang semakin membengkak.
Anwar yang ketika itu telah terpenjara, tidak dapat mengurus perkelahian antara DAP dan PAS yang berbalah dalam banyak isu antaranya isu hudud.
Pada Jun 2015, DAP isytihar PR telah terbubar.
Untuk menyambung harapan rakyat, Pakatan Harapan (PH) ditubuhkan pada 2015 menggantikan PR. Bersatu pula ditubuhkan pada September 2016 begitu juga dengan parti Amanah yang dijenamakan semula daripada Parti Pekerja Malaysia.
Khemah besar pertama
Dua parti baru ini kemudian menyertai PR dan memasuki PRU14 bersama-sama dengan Tun M.
Ini “khemah besar” yang pertama dan kali ini PH bersama Tun M berjaya merampas kuasa BN dengan cemerlang.
Untuk rekod, PRU14 menggunakan sistem yang sama ketika PRU13. Tiada perubahan, dan sistem ini tak dipersalahkan oleh Anwar.
Selepas PH menjadi kerajaan, Anwar mendapat pengampunan diraja.
Ingatkan politik semakin reda dan PH semakin stabil, tetapi sebaliknya politik Malaysia kembali turun naik sedangkan perjanjian untuk mengangkat Anwar sebagai PM menggantikan Tun M sedang berjalan.
Keadaan ini terus mengganggu urusan kerajaan dan peralihan kuasa. Banyak siri sabotaj berlaku dalam pentadbiran kerajaan PH.
Namun rakyat tidak tahu, hingga kerajaan PH dilihat lebih lemah daripada kerajaan BN.
Ya, beberapa penambahbaikan berlaku semasa kerajaan PH memerintah, namun belum cukup dan tidak memadai.
Umno dan BN yang ketika itu menjadi pembangkang menjadi sangat lemah kerana semua aset-aset mereka dibekukan.
Umno hanya menunggu masa untuk diharamkan. Namun, PH tetap tidak tenang dan tidak lancar.
Dalam keadaan BN yang lemah ini pun, beberapa siri pilihan raya kecil (PRK), PH kalah di beberapa kerusi. Kalau ini bukan sabotaj dari dalam, maka apa namanya?
Kelemahan ini akhirnya terbarai apabila berlaku pembelotan dalam kalangan pimpinan Bersatu yang enggan mematuhi perjanjian untuk memberi laluan kepada Anwar menjadi PM menggantikan Tun M.
Pembelotan ini menjadikan Tun M sebagai kambing hitam.
Pada masa yang sama, Anwar gagal membawa sokongan ahli Parlimen yang cukup untuk memastikan peralihan kuasa itu lancar.
Ini kegagalan Anwar yang ketiga selepas PRU13 dan Langkah Kajang.
Akhirnya, pada Februari 2020 kerajaan PH tumbang dan kisahnya akan dicetak dalam buku-buku sejarah pelajar di sekolah pada masa akan datang untuk anak-anak kita baca.
Daki dan pekung
Dari rentetan ketidakstabilan dan kerosakan ini, adakah kalian terus nak menyalahkan BN Umno atau PN?
Tamak kuasa, suka bergaduh, sabotaj (sailang), tidak toleran dan menipu adalah budaya pembangkang, inilah daki dan pekung kalian yang sehingga kini tidak pernah diakui secara terbuka.
Beza kalian dengan Najib hanya, kalian tak mencuri sebanyak Najib, tak menipu sebanyak Najib dan tak ditangkap seperti Najib.
Tapi semua masih terus menipu. Menipu dalam apa jua keadaan tetap digelar penipu. Mana ada istilah, tipu sunat atau tipu sikit.
Hari ini kita mendengar istilah “khemah besar”. Ini retorik terbaru untuk dijual kepada warga yang dah semakin letih dan jemu.
Yang sedang menjualnya pun kumpulan yang sama juga.
Khemah besar ini apa formulanya? Nak satukan pembangkang untuk lawan BN dan nak elak bertembung?
Bagus, tapi bukankah nanti semua ini akan bergaduh lagi tentang pembahagian kerusi dan calon PM? Pi mai pi mai tang tu juga.
Realitinya, dua gabungan politik besar yang ada hari ini iaitu Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) telah semakin lemah.
Kelemahan ini disebabkan perebutan kuasa, bukan sebab tak ada khemah besar. Bukan.
Perebutan kuasa inilah yang menyingkap daki dan pekung kalian. Jadi, khemah besar ni, apa benda?
Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow