- Iklan -
Rencana

Pendirian Annuar Musa betul, Parti Kuasa Rakyat akan perkasakan Muafakat Nasional

Annuar bangkit melawan, cuba menyedarkan ahli-ahli Umno bahawa institusi presiden itu bukanlah seorang presiden.

Kamarazaman Yaacob
3 minit bacaan
Kongsi
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Saya tahu polemik timbul. Berpunca pemikiran Annuar Musa dan luahannya terhadap PASleak. Beliau betul dalam menilai isu tersebut.

Tenyata perkara itu dilontar ke lantai politik nasional untuk menimbulkan syak wasangka, pergeseran, pertelagahan dan pertempuran antara Umno, PAS dan Bersatu. Sasaran utamanya adalah Umno dan PAS supaya kerangka Muafakat Nasional yang masih bersisa itu musnah lagi hancur hingga tidak mampu dicantum lagi.

Sangat tidak lojik Muhyiddin Yassin mahu berperanan untuk mempercepatkan Ahmad Zahid Hamidi dan Najib Razak dicampak ke penjara. Muhyiddin siapa?

Sekarang beliau tiada kemampuan untuk berbuat begitu. Beliau sedar beliau hanya mantan perdana menteri.

Begitu juga tidak masuk akal untuk PAS mahu meruntuhkan Umno dan kerajaan. Sekarang PAS mendapat laba melalui ahli-ahli Parlimennya yang turut membentuk kerajaan.

Lagipun PAS sedar akan kekuatan Muafakat Nasional dalam menghadapi PRU15. Ramai dalam kalangan kepimpinannya kini bercakap ke arah kembali memperkasakan Muafakat Nasional, termasuk Mursyidul Amnya, Hashim Jasin.

Adalah tepat sekali Annuar menyanggah kenyataan presiden Umno, yang menyindir beliau di mana presiden Umno itu menggunakan perkataan derhaka kepada sesiapa yang menyanggah pemikiran dan seleranya. Pendirian Annuar adalah betul lagi jitu.

Beliau membezakan antara seorang presiden dengan institusi presiden.

Institusi presiden mesti dipertahan malah didukung, namun seorang presiden juga boleh disanggah malah diturunkan. Itulah falsafah yang didukung oleh Annuar. Itulah falsafah yang sepatutnya menjadi pegangan seluruh ahli Umno di semua peringkat.

Inilah yang tidak difahami oleh Isham Jalil atau sengaja beliau buat-buat tidak faham.

Inilah sifat feudal yang masih membelit parti konservatif seperti Umno. Dan sememangnya fikiran feudal ini merantai daya fikir dan jalar fikir Isham dan orang-orang yang sewaktu dengannya di dalam Umno.

Semoga semakin ramai kepimpinan Umno bangkit bersama Annuar untuk menyedarkan seluruh ahli Umno supaya bangkit dari kubur kefeudalan mereka supaya mereka sedar bahawa seorang presiden Umno bukanlah institusi presiden.

Tentulah ahli-ahli Umno masih ingat Annuar bangkit mencabar presiden Umno ketika beliau bersama Najib menulis surat kepada Istana Negara menyatakan sokongan presiden Umno, Najib dan kononnya ahli-ahli Parlimen Umno kepada Anwar sebagai perdana menteri.

Annuar bangkit melawan lantas cuba menyedarkan ahli-ahli Umno bahawa institusi presiden itu bukanlah seorang presiden.

Tetapi Annuar terus diserang berterusan.

Begitulah, ketika ahli-ahli Umno terus terkepung dengan sifat kefeudalannya sekali lagi Annuar bangkit untuk membawa “Revolusi Mental” kepada ahli-ahli Umno supaya mereka dapat membezakan antara institusi presiden dengan seorang presiden.

Nampaknya sekali lagi Annuar terus diserang oleh Isham. Si keliru berkaca mata hijau di tempat dan waktu yang salah.

Tabik kepada Annuar yang meletupkan bom “revolusi mental” kepada ahli-ahli Umno dan spesies Isham.

Ada pula yang berkata pemimpin yang menjadi liabiliti seperti Annuar patut dibersihkan daripada parti.

Benar pemimpin yang menjadi liabiliti itu patut dibersihkan daripada parti. Tetapi perjuangan ke arah penyatuan umat dan ke arah memperkasakan Muafakat Nasional itu adalah perjuangan yang bukan membawa kerugian tetapi membawa kemenangan kepada Umno dan PAS.

Adakah pejuang yang membawa laba kepada parti itu mahu dibersihkan? Sepatutnya penentang kepada usaha membawa laba kepada parti itulah yang perlu dibersihkan.

Apa jaminan perjuangan memperkasakan Muafakat Nasional membawa laba?

Jawapannya mudah. Bila Muafakat Nasional menghadapi PRU15, maka Umno dan PAS akan memenangi 123 kerusi Parlimen yang majoriti Melayu. Itu pasti berlaku mengikut perkiraan politik. Bukan mendahului kehendak Allah, tetapi itulah sifir politik.

Kerana itulah pemikiran Annuar adalah tepat lagi jitu. Usaha beliau akan membawa laba kepada Umno dan PAS. Apakah si pemikir yang jujur kepada parti seperti beliau perlu dibersihkan dari parti.

Itu perhitungan apa?

Seorang pemimpin yang menolak pemikiran dan perjuangan Annuar yang seolah-olah berjuang untuk kepentingan parti lain.

Inilah yang tidak dilihat oleh Isham. Beliau bukan saja membaca sifir terbalik malah memakai kaca mata hijau dan menuju ke arah rumput-rumput kering yang dilihatnya menghijau subur.

Begitulah, bila beliau meraba-raba di rimba kesesatan fikiran akhirnya menyanggah perjuangan Annuar yang mahu memperkasakan Muafakat Nasional.

Saya doakan Muafakat Nasional kembali kukuh. Muafakat Nasional akan menjadi kukuh lagi padu semasa PRU15. Semoga majoriti kepimpinan, pendukung, penyokong dan simpatisan Umno turut bersama Annuar di dalam memperkasakan Muafakat Nasional.

Insya Allah, Parti Kuasa Rakyat akan turut menyeru ke arah memperkukuh dan memperkasakan Muafakat Nasional. Parti Kuasa Rakyat akan turut bersama mereka yang mahukan Muafakat Nasional menjadi tenaga utuh serta ampuh dalam PRU15 nanti. Sekiranya Annuar adalah antara pejuangnya, maka Annuar adalah sahabat kepada Parti Kuasa Rakyat.

Kamarazaman Yaacob adalah presiden Parti Kuasa Rakyat.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow