- Iklan -
Rencana

Pemilihan parti: Ke mana hala tuju Umno sebenarnya?

Ahli Umno di peringkat akar umbi keliru dengan perkara-perkara yang berlaku dalam Umno dan beberapa keputusan melibatkan perlembagaan parti.

Saiful Bahar
2 minit bacaan
Kongsi
Suasana Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Suasana Perhimpunan Agung Umno 2021 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.

Pemilihan Umno perlu diadakan sebelum 30 Disember 2022.

Ia merupakan tarikh terakhir pemilihan setelah Umno mendapat penangguhan dari RoS selama 18 bulan, selaras dengan peruntukan yang terkandung dalam perlembagaan parti itu.

Sebelum ini, penangguhan dibuat kerana negara berdepan dengan pandemik Covid-19.

Pemilihan DAP sudah pun selesai sementara PKR juga bakal mengadakan persidangan dan pemilihan parti mereka dalam waktu terdekat ini.

Sekiranya Umno mengikut arahan RoS, ia perlu memulakan mesyuarat di peringkat cawangan selewat-lewatnya pada September hingga Oktober ini.

Ia kemudiannya, perlu disusuli dengan pemilihan di peringkat bahagian dan pemilihan pucuk pimpinan parti pada November atau Disember 2022.

Namun, kini timbul pula cerita Umno mahu menangguhkan sekali lagi pemilihan dengan menggubal peruntukan-peruntukan yang terkandung di dalam perlembagaan parti agar pemilihan dapat dilaksanakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Perkara ini cuba dilakukan dengan mengadakan Perhimpunan Agung Khas (EGM) Umno.

Di sinilah timbul beberapa persoalan yang perlu dijawab.

Pertama, sudahkah setiausaha agung Umno memaklumkan kepada RoS tarikh baru pemilihan parti bagi menggantikan tarikh-tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan pada Jun 2021?

Kedua, sudahkah setiausaha agung Umno memohon kebenaran RoS untuk mengadakan EGM bagi meminda perlembagaan parti sekali gus menangguhkan pemilihan di peringkat cawangan, bahagian dan menangguhkan pemilihan di peringkat tertinggi pucuk pimpinannya?

Ketiga, sudahkah setiausaha agung memaklumkan kepada ahli-ahli MKT mengenai perkara-perkara berkaitan dengan pemilihan, penangguhan serta perkara-perkara yang diminta oleh RoS ?

Dimaklumkan, RoS sudah berkali-kali meminta setiausaha agung mengemukakan tarikh-tarikh baru pemilihan Umno setelah pemilihan yang sepatutnya diadakan pada Jun 2021 ditangguhkan.

Keempat, adakah dengan mengadakan EGM bagi menangguhkan pemilihan parti boleh dan akan ditafsirkan sebagai melanggar arahan RoS yang mahukan pemilihan Umno diadakan sebelum 30 Disember 2022, mengikut arahan serta persetujuan terdahulu berikutan penangguhan pemilihan selama 18 bulan.

Peruntukan Undang-Undang di dalam RoS adalah amat jelas mengenai pemilihan pimpinan tertinggi Umno.

Sekiranya Umno meneruskan EGM untuk meminda perlembagaan parti, berkemungkinan besar Umno akan berdepan dengan isu undang-undang, di mana ia melanggar arahan RoS.

Adalah amat tidak wajar sekiranya perdana menteri yang diwakili Umno diminta untuk melonggarkan peruntukan undang-undang ini untuk Umno.

Manakala, parti-parti politik yang lain sudah pun mengadakan persidangan dan pemilihan parti masing-masing ketika negara beralih ke fasa endemik Covid-19.

Perlu diingat penangguhan pemilihan Umno dilakukan pada kali pertama adalah kerana pandemik.

Penangguhkan kedua pemilihan kali ini mahu dilakukan kerana Umno akan berdepan PRU15 di mana ia perlu diadakan sebelum Julai tahun depan.

Dengan tidak mengetahui tarikh sebenar PRU15, setiausaha agung Umno mahu meminda perlembagaan Umno agar pemilihan parti ditangguhkan sehingga Julai 2023?

Ahli-ahli Umno di peringkat akar umbi semakin keliru dengan perkara-perkara yang berlaku dalam Umno dan EGM yang bakal diadakan dalam waktu terdekat ini.

Ahli-ahli Umno menunggu penjelasan daripada setiausaha agung Umno dan ahli-ahli MKT Umno mengenai empat persoalan yang disebutkan di atas.

Ke mana hala tuju Umno mengenai soal pemilihan parti dan PRU15 akan datang?

Saiful Bahar adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.