- Iklan -
Kolum

Amalkan agama dengan ilmu abad ke-21

Tahun ini kecoh hari raya mengejut kerana pada mulanya dikira 1 Syawal jatuh pada 3 Mei sebab anak bulan dijangka hanya dapat dilihat pada malam sebelumnya.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Sudah seminggu Hari Raya Aidilfitri 1443 berlalu.

Mereka yang berpuasa enam secara berturut-turut sudah pun menyempurnakan ibadah sunat itu.

Maka mereka pun boleh menyambung beraya.

Hari Aidilfitri sebenar adalah 1 Syawal yang jatuh pada hari Isnin setelah anak bulan kelihatan pada malam Ahad itu.

Hanya satu hari dilarang berpuasa.

Tetapi di Malaysia cuti umum untuk itu adalah dua hari yang dipanggil Hari Raya Pertama dan Hari Raya Kedua.

Dari segi amalannya pula, ramai orang bercuti sampai seminggu.

Bagi orang Melayu pula, hari raya disambut sebulan Syawal.

Ia bukan saja perayaan agama tetapi merupakan sambutan utama dalam budaya Melayu.

Tahun ini kecoh hari raya mengejut kerana pada mulanya dikira 1 Syawal jatuh pada 3 Mei sebab anak bulan dijangka hanya dapat dilihat pada malam sebelumnya.

Tetapi apabila Arab Saudi, Indonesia dan Brunei mengumumkan hari raya jatuh pada 2 Mei, maka ia mula menjadi kecoh.

Ternyata anak bulan kelihatan di Selatan Thailand dan Labuan, maka Malaysia tiada pilihan lain selain daripada mengisytiharkan Isnin sebagai 1 Syawal.

Di Nusantara ini, hanya Singapura yang mengekalkan Selasa sebagai hari raya.

Perkara ini tentu menjadi kecoh kerana ia menyusahkan orang ramai ketika mereka sedang bersiap-sedia untuk membuat sambutan hari raya yang terbesar dalam sejarah setelah dua tahun tidak dapat melakukannya.

Melalui media sosial, ramai orang, terutama kalangan generasi muda yang mempersoalkan cara pihak berkuasa menentukan tarikh 1 Syawal.

Kontroversi ini tidak akan terhenti pada tahun ini.

Ia pasti timbul semula pada tahun depan.

Walau apapun hujah ulama dan pihak berkuasa suarakan, tetapi ramai orang terutamanya generasi baru tidak akan dapat menerima keadaan di mana kedudukan anak bulan tidak dapat dijangka menurut kiraan zaman moden.

Mereka tidak mahu disusahkan lagi dalam hal menyambut hari raya.

Saya membesar pada tahun 1960-an dan 1970-an di kampung.

Ketika itu masih tidak ramai yang berhijrah ke bandar, dan perlu pulang ke kampung bila hari raya.

Semua orang bersedia dan menerima tarikh 1 Syawal yang ditentukan oleh pihak berkuasa.

Pada malam sebelum hari raya kami menunggu pengumuman di radio untuk mengetahui sama ada perlu solat terawih atau memasak ketupat.

Tetapi setiap kali hari raya, ada saja berita kampung tertentu menyambut 1 Syawal pada hari berlainan.

Seringkali ia berlaku di Kedah dan Kelantan di mana ada orang kampung berkenaan nampak anak bulan.

Tetapi kecoh paling besar berlaku pada tahun 1983.

Pada masa itu saya baru setahun bekerja sebagai pemberita.

Saya berhari raya di Ipoh.

Perak pula dengan mengejut mengisytiharkan hari raya lebih awal daripada negeri-negeri lain.

Maka para pemberita dan jurugambar yang beraya dikerah menghantar laporan dan gambar di kampung masing-masing.

Muka depan Utusan Melayu menyiarkan berita “Perak Raya Awal” dengan gambar orang ramai keluar dari masjid selepas solat di Bagan Datoh.

Tentulah ramai orang marah dengan keadaan itu tetapi suara mereka tidak begitu kedengaran kerana masa itu tiada media sosial.

Namun media massa bertanggungjawab menyuarakan sentimen orang ramai itu.

Kerajaan pun bertindak dan rundingan dilakukan.

Keputusan dibuat supaya penentuan 1 Ramadan dan 1 Syawal hendaklah menggunakan kedua-dua kaedah iaitu rukyah dan hisab.

Bukan saja rukyah iaitu dengan melihat anak bulan tetapi juga hisab iaitu perkiraan daripada ilmu falak.

Ia juga menetapkan bahawa satu Malaysia hendaklah menyambut 1 Ramadan dan 1 Syawal pada hari yang sama, walaupun urusan agama Islam terletak di bawah kuasa negeri.

Maka keadaan menjadi stabil dan tidak timbul sebarang kekecohan hinggalah pada tahun 2022 ini.

Awal Islam

Islam bermula pada abad ke-7 Masihi di Mekah dan Madinah di Hejaz, Semenanjung Arab.

Di situ adalah kawasan gurun dan padang pasir yang kering kontang.

Hujan jarang-jarang turun dan seringkali langit kosong tanpa awan.

Manusia tinggal di kawasan yang ada sumber air seperti oasis di Madinah dan Mekah pula ada telaga zam zam.

Langit di padang pasir yang tanpa awan itu membolehkan penduduknya melihat bulan dan taburan jutaan bintang setiap malam.

Tiada awan untuk melindunginya. Pada zaman itu tentulah tiada pencemaran cahaya daripada lampu-lampu elektrik.

Penduduk-penduduk di situ tidak tahu lagi bahawa bulan itu adalah sebiji bebola batu yang
hanya memantulkan cahaya dari matahari.

Mereka juga tidak tahu bahawa bulan bergerak mengelilingi bumi.

Dan bumi bergerak mengelilingi matahari.

Mereka tidak tahu bahawa matahari adalah bebola api yang mengeluarkan haba dan cahaya kepada bumi.

Manusia kurun ke-7 tidak tahu bahawa matahari adalah juga bintang, dan planet bukannya bintang.

Sementara bumi adalah sebuah planet.

Namun begitu, mereka mengenali kumpulan-kumpulan bintang iaitu buruj yang menjadi panduan pada kabilah untuk merentas padang pasir.

Penduduk Timur Tengah kurun ke-7 mewarisi amalan mengira waktu dari tamadun Sumeria yang muncul 4,000 tahun sebelum Masihi di Mesopotamia, tempatnya di Iraq hari ini.

Satu hari dibahagi kepada 24 jam, satu jam dibahagi pada 60 minit dan 1 minit dibahagi pada 60 saat.

Sementara tujuh hari dijadikan satu minggu dan 12 bulan dijadikan satu tahun.

Tetapi bulan dikira menurut peredarannya di langit.

Bermula dari anak bulan sampailah ia menjadi bulan tua dan tidak kelihatan pada dua hari di penghujung bulan.

Ada bulan di dalamnya terdiri daripada 29 hari, ada yang 30 hari.

Untuk menentukan permulaan bulan ini adalah mudah.

Tengok saja pada langit dengan mata kasar.

Mereka tidak memerlukan teropong.

Lagipun teleskop belum dicipta.

Orang Islam mengambil amalan ini bagi menentukan permulaan bulan.

Semua tempat tentukan permulaan bulan masing-masing.

Penduduk Mekah dan Madinah kena tengok anak bulan masing-masing untuk menentukan 1 Ramadan dan 1 Syawal mereka.

Tidak ada alat komunikasi untuk memberitahu tempat-tempat yang jauh bahawa mereka nampak anak bulan.

Asia Tenggara kurun ke-7 dipenuhi hutan tropika.

Selain daripada pokok-pokok yang banyak melindungi pemandangan, awan dan hujan sering menutupi pemandangan langit.

Namun banyak masa juga bintang-bintang dapat dilihat dari laut.

Mereka juga mengenali kumpulan-kumpulan bintang yng menjdi panduan kepada kapal berlayar di seluruh gugusan pulau-pulau.

Pada masa itu mereka menyangkakan matahari dan bulan itu adalah dewa yng dinamakan Sang Surya dan Sang Purnama.

Kecuali bulan dan matahari, semua benda di langit dianggap sebagai bintang, termasuk planet.

Begitu juga komet dipanggil bintang berekor dan meteor dan meteorit dipanggil tahi bintang,

Maka bintang Kejora yang sering kelihatan di rantau ini kemudian baru diketahui adalah planet Zuhrah atau Venus.

Antara kerajaan besar Asia Tenggara pada kurun ke-7 ialah Kedah purba dan Srivijaya yang membentuk budaya Melayu.

Mereka beragama Hindu-Buddha dan menggunakan banyak budaya daripada tamadun India.

Antaranya ialah kalendar.

Adalah dipercayai kalendar yang digunakan oleh mereka itu hampir serupa dengan apa yang kini digunakan di Bali.

Kalendar mereka juga membahagikan satu tahun kepada 12 bulan.

Setip bulan juga dikira menurut fasa bulan iaitu dari anak bulan hinggalah ke bulan tua.

Bagi menentukan bulan itu, mereka menggunakan perkiraan yng sistemnya berasaskan pada tradisi sejak 1,000 tahun sebelum Masihi.

Kini dunia berada dalam abad ke-21 yang banyak pencemaran udara dan cahaya.

Ilmu falak atau astronomi sudah berkembang. Dari zaman Abasiah yang membongkar ilmu Yunani purba hinggalah kepada era moden berasaskan matematik, sains dan teknologi.

Dengan kemajuan teknologi dan komunikasi, kiraan astronomi boleh menentukan perjalanan planet, bintang-bintang, galaksi malah alam semesta.

Teleskop yang ada sudah berkembang hingga meneroka alam semesta merentas ruang dan masa.

Penentuan bagi permulaan bulan Hijrah sudah boleh dilakukan melngkaui sempadan negara dan meliputi seluruh bumi.

Amalan beragama sudah tentu berlainan antara kurun ke-7 dengan abad ke-21 Masihi.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.