- Iklan -
Kolum

Anak Marcos menang ketika Sri Lanka merusuh

Pada tahun 1960, kedudukan Ceylon, nama lama Sri Lanka dan Filipina adalah lebih baik daripada Malaya.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dunia agak terkejut apabila Ferdinand Marcos Jr atau Bongbong menang dalam pilihan raya presiden Filipina minggu lalu.

Pada waktu sama, berita antarabangsa di televisyen turut memaparkan rusuhan besar-besaran di Colombo, Sri Lanka apabila rakyat marah terhadap para pemimpin mereka.

Apa yang berlaku di Filipina dan Sri Lanka itu tidaklah berkait.

Tetapi saya pernah menonton satu filem mengenai revolusi “kuasa rakyat” yang memaparkan detik-detik kejatuhan Ferdinand Marcos dengan penggambarannya dilakukan di Colombo, Sri Lanka.

Filem yang turut ditayangkan di televisyen Malaysia pada tahun 2000-an itu menceritakan semula peristiwa kebangkitan rakyat terhadap Marcos dan pemerintahannya.

Tetapi dalam filem itu, terlihat orang ramai yang berhimpun dan berdemonstrasi itu merupakan rakyat Sri Lanka.

Mereka berlakon untuk filem itu.

Adalah suatu yang ironi bahawa kini Sri Lanka sedang melalui satu gelombang kebangkitan rakyat yang berupa demonstrasi dan rusuhan menuntut kerajaan sekarang meletak jawatan kerana membawa Sri Lanka kepada krisis ekonomi, daripada inflasi tinggi hingga kepada kebankrapan negara.

Ironi itu menjadi berganda pabila anak Marcos berjaya menjadi presiden.

Walaupun beliau tidaklah bertanggungjawab terhadap apa yang dilakukan oleh bapanya tetapi Bongbong tetap merupakan anggota keluarga, parti dan elit yang pernah merosakkan Filipina, walaupun mereka berlainan generasi.

Semasa Marcos berkuasa, Bongbong sempat menjadi naib gabenor wilayah pada usia 23 tahun dan terlibat juga dengan mempertahankan dasar-dasar kediktatoran melalui undang-undang tentera rejim bapanya.

Kemenangan beliau sebenarnya tidak mengejutkan sangat kerana Bongbong sentiasa peroleh tapak politik di Filipina sejak beliau kembali aktif dan terus menambah pengaruh hinggakan mampu menyandang kerusi senator di kongres.

Tetapi kemenangan itu juga menunjukkan rakyat Filipina khususnya generasi baru bersedia untuk melupakan legasi kekejaman Marcos dan usaha rakyat yang sanggup berkorban nyawa untuk menjatuhkan rejim diktator beliau itu.

Sementara di Sri Lanka pula, rakyat tidak dapat menerima kerajaan yang gagal terutama dalam hal ekonomi kerana kesannya ditanggung secara langsung oleh orang ramai.

Walaupun kerajaan Colombo dipilih secara demokratik tetapi pemerintahan dikuasai oleh satu keluarga dengan anggota-anggotanya secara terang-terang dilantik ke jawatan tinggi.

Apa yang berlaku di Filipina dan Sri Lanka menimbulkan persoalan mengenai amalan sistem demokrasi di negara-negara Asia.

Adakah ia berkesan untuk memberi kemakmuran kepada rakyat?

Atau akhirnya negara berkenan akan terjebak dengan korupsi, nepotisme dan penyalahgunaan kuasa?

Filipina dan Sri Lanka patut mampu menjadi lebih maju daripada keadaan sekarang ini.

Pada tahun 1960, kedudukan Ceylon, nama lama Sri Lanka dan Filipina adalah lebih baik daripada Malaya.

Sri Lanka seperti Malaya adalah bekas tanah jajahan Britain dan anggota Komanwel yang mewarisi sistem pentadbiran British.

Kedudukan geostrategik menjadikan Colombo semakmur Singapura.

Rancangan Colombo yang turut memberi manfaat kepada Malaya digubal di situ.

Pada satu masa dulu, orang dari Asia Timur yang pergi ke Eropah mesti singgah Colombo.

Tetapi kini tempat persinggahan sudah beralih ke Dubai.

Filipina pula adalah bekas tanah jajahan Amerika Syarikat (AS) yang mewarisi sistem dari sana, khususnya idea-idea mengenai demokrasi dan hak asasi.

Negaranya besar dan mempunyai penduduk yang ramai.

Ada satu masa, Manila lebih maju daripada Singapura dan Kuala Lumpur.

Pusat penyelidikan padi turut terletak di situ.

Pada tahun 1970-an, orang Malaysia yang memerlukan pembedahan jantung perlu diterbangkan ke Manila.

Tetapi kedua-dua negara tidak dapat mengurus minoriti mereka dengan sempurna.

Dari awal kemerdekannya, Sri Lanka yang majoriti penduduknya beragama Buddha menghadapi gerakan pemisah minoriti besar Tamil yang beragama Hindu.

Sementara Filipina yang majoriti penduduknya beragama Kristian menghadapi gerakan pemisah minoriti Moro yang beragama Islam.

Ferdinand Marcos Sr, menjadi presiden melalui pilihan raya presiden dengan undi yang besar pada tahun 1965.

Marcos, seorang peguam muda dengan isteri yang menawan, Imelda memberi harapan besar kepada rakyat bahawa beliau akan menjadikan Filipina lebih baik.

Pada tahun 1965, Indonesia juga sedang berganti era.

Kemunculan Suharto menggantikan Sukarno memberi harapan pada rakyat bahawa Indonesia akan menjadi lebih baik.

Sementara itu, Singapura pula muncul sebagai sebuah negara berjaya di bawah Lee Kuan Yew.

Pada masa itu Malaysia masih di bawah Tunku Abdul Rahman.

Sementara Sri Lanka ditadbir oleh Srimavo Bandaranaike.

Menjelang tahun 1970, kedua-duanya sedang kehilangan sokongan rakyat.

Tetapi pada sidang kemuncak Asean pertama di Bali pada Februari 1976, harapan kemakmuran untuk Asia Tenggara amat tinggi dengan pemimpin-pemimpin yang dilihat mampu mengubah negara masing-masing.

Ketika itu saya berusia 17 tahun dan melihat gambar barisan pemimpin utama Asean, Abdul Razak Hussein, Suharto, Marcos dan Lee Kuan Yew di muka depan akhbar-akhbar dengan perasaan penuh harapan terhadap masa depan rantau ini.

Dari sudut pandangan AS, setiap pemimpin lima negara Asean itu adalah mesra Barat.

Asean menjadi benteng kepada kemaraan komunis di Indochina.

Pertama kali saya melihat Marcos adalah semasa upacara pengebumian Allahyarham Razak di makam Masjid Negara pada tahun 1976.

Saya berada di tengah-tengah orang ramai berdiri berhampiran laluan orang kenamaan luar negara yang hadir untuk memberi penghormatan akhir.

Marcos berjalan bersebelahan Perdana Menteri Australia Gough William.

Ketiadaan Razak merupakan kehilangan besar bagi Malaysia dan Asean.

Malaysia tidak dapat merasakan apa yang sebenarnya hendak dibawa oleh beliau secara sepenuhnya.

Harapan rakyat Filipina terhadap Marcos akhirnya berkecai apabila pemimpin mereka bertukar menjadi diktator melalui peristiharan undang-undang tentera.

Keluarga Marcos bermewah ketika mana rakyat mennggung masalah ekonomi.

Akhirnya, kerajaan Marcos pun tumbang dan beliau lari ke Hawaii pada tahun 1986.

Demonstrasi dan rusuhan yang digelar “Revolusi Kuasa Rakyat” di bawah pimpinan Corazon Aquino.

Pada masa itu dunia Barat mengalu-alukan kebangkitan rakyat sebagai gelombang demokrasi global.

Menjelang tahun 1980-an sememangnya dunia menyaksikan gelombang demokrasi di Asia Timur iaitu Korea Selatan dan Taiwan.

Namun begitu, Sri Lanka yang konsisten mengamalkan demokrasi sentiasa dirundung krisis politik dan juga bertahun-tahun melawan pemberontakan.

Demokrasi tidak menjamin kemakmuran.

Walaupun kediktatoran berakhir, era pasca Marcos yang mewujudkan kestabilan tidak membawa kesenangan ekonomi kepada rakyatnya.

Akhirnya rakyat Filipina memilih kembali anggota keluarga Marcos.

Harapan adalah tinggi kepada Bongbong supaya menjadi presiden yang bukan saja lebih baik daripada Marcos tetapi juga presiden-presiden selepas beliau.

Keadaan Sri Lanka adalah lebih rumit lagi.

Ia sedang bergolak dengan penghujungnya tidak dapat dijangkakan.

Sekurang-kurangnya Filipina berada dalam keadaan stabil apabila Marcos Jr mengangkat sumpah nanti.

Apa yang jelas, rakyat tidak boleh meletak harapan terlalu tinggi kepada pemimpin.

Kemeriahan kempen pilihan raya perlu dilihat dengan kepala dingin dan tidak terlalu mengharapkan.

Ahli politik yang walaupun mempunyai banyak kuasa tetapi terhad dalam memberikan kesenangan kepada rakyat.

Apa yang boleh dilakukan ialah bersikap realistik dan menolak ahli politik yang jelas tidak jujur.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.