Sekitar 15 orang individu memenuhi bilik mesyuarat pada petang Ramadan lalu. Mereka adalah individu yang mewakili diri dalam bidang, disiplin serta profesion masing-masing.
Ada daripada mereka itu pakar dan ahli akademik, pemain industri, NGO dan saya, satu-satunya ahli Pejuang dalam kumpulan itu.
Dr Mahathir Mohamad merumuskan pelbagai sudut pandang, komen dan saranan kumpulan hari itu dengan memberi gambaran sejelas mungkin mengenai cabaran dan masa depan Malaysia berdasarkan perkembangan hari ini.
Sinopsis beliau mengenai isu ini jelas; masalah orang Melayu adalah masalah negara, bukan masalah perkauman.
Kerana Melayu bukan sahaja penduduk peribumi, tetapi Melayu adalah kaum majoriti bagi populasi rakyat Malaysia.
Memilih kekal berprinsip
Sejarah dan demografi ini menjadikan orang Melayu sebagai teras kekuatan dan kestabilan negara. Survival Melayu akan menentukan kestabilan politik dan ekonomi negara.
Hanya negara yang stabil sahaja rukun-rukun sosial dapat dijalankan meliputi prinsip-prinsip keadilan, integriti dan lain-lain.
Untuk hujah ini Dr Mahathir menjelaskan mengapa beliau bertegas mahu terus memegang prinsip (tagline Pejuang : Kekal berprinsip – bukan hidup Melayu) untuk memerangi rasuah dari atas hingga ke akar umbinya.
Beliau berusaha menjelaskan persoalan-persoalan tersembunyi disebalik permasalahan permukaan.
Umum bercakap tentang rasuah, bercakap tentang pematuhan undang-undang, kecekapan sistem hinggalah persoalan pemantauan dan perlaksanaan undang-undang.
Melayu dan tanah
Namun, persoalan ini hanya berpusing-pusing dipermukaan sahaja, ia tidak mampu menyentuh dan mengubah sikap dan mentaliti orang Melayu tentang “nilai” yang tidak ketara, yang menjadi teras untuk apa jua perubahan.
Beliau memberikan satu senario bagaimana sikap orang Melayu pada pemilikan tanah.
Orang Melayu terkenal suka menjual tanah daripada membangun atau memajukankannya, sama ada secara sendirian atau kerjasama.
Semakin banyak berlaku, orang Melayu yang mewarisi tanah yang kurang dari lima ekar, menjual tanahnya kepada bangsa lain kerana tidak sanggup berusaha membangunkan tanahnya sendiri.
Selain dari faktor itu, wujud lagi faktor lain iaitu tarikan untuk mendapatkan wang dengan cara yang mudah dan pantas iaitu dengan menjualnya.
Wang yang diperolehi ini, tidak kekal lama kerana ia bukan diperolehi dari penghasilan produktiviti dari tanah tersebut.
Orang-orang Melayu yang memiliki tanah bersaiz kecil ini ramai.
Jika seorang menjual tiga ekar tanah, bayangkan jika ada 20 atau 100 lagi orang Melayu yang memiliki saiz tanah yang hampir sama, turut menjualnya atas sebab yang serupa.
Sikap ini dimanfaatkan oleh pengumpul kekayaan dari kaum lain. Hari ini kita lihat pembangunan perumahan yang asalnya tanah kampung kini menjadi sebuah bandar.
Sungguhpun kita melihat ini sebagai suatu kemajuan, namun jika diteliti kembali, benarkah kemajuan ini menguntungkan kaum majoriti negara ini.
Kampung yang kini menjadi bandar baru, terbina banyak rumah. Tetapi rumah-rumah baru ini tidak mampu dimiliki oleh kebanyakan orang Melayu.
Ini mendorong orang Melayu keluar dan kembali hidup di luar bandar.
Suara politik Melayu
Natijahnya, Melayu menjadi kumpulan minoriti di bandar, yang tersisa hanya Melayu miskin bandar yang tidak ada pilihan lain.
Dan kawasan-kawasan bandar baru ini berpotensi untuk diracik-racik menjadi DUN atau Parlimen baharu (tambahan) yang mana DUN atau Parlimen baru ini, akan mengecilkan peluang calon Melayu untuk menang jika bertanding di kawasan bandar.
Perkembangan ini akan menjadikan nisbah kerusi Melayu tidak seimbang berdasarkan jumlah populasi kaum dalam negara secara keseluruhan.
Ketidakseimbangan nisbah kerusi ini akan menyebabkan terhakisnya apa yang disebut sebagai “suara dan kuasa politik Melayu” di Parlimen atau Dewan Negeri.
Keadaan ini juga boleh menyebabkan kembali berlakunya ketidakseimbangan ekonomi antara kaum majoriti dengan golongan minoriti di Malaysia sepertimana era 50-60an dahulu, kita tidak mahu sejarah kelam itu berulang kembali.
Semua masalah ini bermula kerana sikap dan mentaliti yang telah korup.
Budaya korup ini bermula diperingkat elit kuasa, telah turun ke akar umbi di peringkat daerah, institusi kampung dan keluarga.
Semua mahu wang dengan cara mudah dan akhirnya mencari jalan pintas dengan menjual segala yang mereka miliki termasuk harga diri.
Kumpulan kleptokrasi mengambil kesempatan menggunakan kelemahan orang Melayu ini dengan menyalahkan kaum lain, agar orang Melayu terus menyokong mereka untuk kekal berkuasa dan menjarah harta negara.
Orang Melayu akan terus dipergunakan hingga mereka tidak ada kesanggupan lagi untuk melawan korupsi. Apabila Melayu gagal, agama dan budaya akan ditindas.
Bagi saya Dr Mahathir hanya mahu Melayu menjadi kuat, kerana dengan Melayu yang kuat sahajalah, maka korupsi dapat dibenteras dan kestabilan serta keadilan ekonomi dan politik dapat ditegakkan.
Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow