- Iklan -
Rencana

Kerajaan perlu perkenalkan sistem kad elektronik untuk subsidi bahan api

Sistem subsidi semasa secara menyeluruh adalah cacat kerana ia memberi manfaat kepada golongan kaya berbanding golongan miskin.

Mohideen Abdul Kader
2 minit bacaan
Kongsi
Akibat perang Ukraine dan Rusia, indeks minyak mentah Brent melebihi AS$130 setong pada awal Mac, tertinggi dalam tempoh 14 tahun.
Akibat perang Ukraine dan Rusia, indeks minyak mentah Brent melebihi AS$130 setong pada awal Mac, tertinggi dalam tempoh 14 tahun.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengalu-alukan pengumuman kerajaan mengenai rancangan untuk melaksanakan subsidi bahan api bersasar bagi mereka dalam kumpulan B40.

Kami menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaannya kerana perang di Ukraine tidak mungkin akan berakhir dalam masa terdekat dan bertentangan dengan apa yang mungkin difikirkan oleh sesetengah pengguna, subsidi datang daripada pembayar cukai. Oleh sebab itu, ia tidak menguntungkan Malaysia atau rakyat.

Malah, perang di Ukraine adalah satu peringatan untuk Malaysia. Ia mengakibatkan indeks minyak mentah Brent melebihi AS$130 setong pada awal Mac, tertinggi dalam tempoh 14 tahun. Sehingga kini harganya masih melebihi AS$100 setong.

Pada masa ini kerajaan memberi subsidi untuk petrol RON 95, diesel, dan gas petroleum cecair (LPG) dan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz telah menganggarkan subsidi sahaja akan menelan kos sebanyak RM28 bilion pada 2022.

Harga petrol bersubsidi Malaysia (RON 95) menjadikannya paling berpatutan dalam kalangan sembilan negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) yang disenaraikan.

Harga petrol di Malaysia adalah 42.77% lebih rendah daripada Indonesia (RM4.77) dan 34.34 peratus lebih rendah daripada Thailand (RM5.94).

Malah, sistem subsidi semasa secara menyeluruh adalah cacat kerana ia memberi manfaat kepada golongan kaya berbanding golongan miskin.

Sebabnya kebanyakan kereta, termasuk banyak kereta yang mahal, juga boleh menggunakan RON95 dan ini bermakna subsidi harga petrol akan diagihkan secara tidak sekata antara pelbagai kumpulan berpendapatan dengan mereka yang berpendapatan rendah mendapat manfaat yang lebih kurang kerana mereka lebih cenderung memiliki kenderaan dengan kapasiti enjin yang rendah.

Selain itu, petrol bersubsidi juga terbuka kepada penyalahgunaan seperti penyeludupan diesel. Kerajaan harus mempertimbangkan untuk mengguna pakai sistem kad subsidi elektronik bagi memberi subsidi bersasar kepada golongan B40 bagi pembelian RON 95, gas memasak (LPG), minyak masak dan juga barangan harga terkawal lain seperti yang ditentukan kerajaan.

Kumpulan M40 juga perlu diberikan bantuan.

Kerajaan boleh mengkreditkan subsidi bulanan minimum tetap ke dalam kad subsidi elektronik seseorang yang boleh digunakan oleh orang itu untuk membeli petrol, minyak masak, gas memasak, dan apa sahaja yang kerajaan putuskan untuk memberi subsidi.

Untuk membuat pembelian, orang itu hanya perlu menunjukkan kad pengenalannya untuk tujuan pengesahan.

Pada paras RM28 bilion, subsidi ini adalah lebih daripada RM25 bilion yang diperuntukkan pada 2022 kepada Yayasan Keluarga Malaysia yang akan digunakan untuk melindungi kebajikan, pendidikan, dan masa depan anak-anak yatim atau RM20 bilion yang diperuntukkan untuk pelaksanaan Inisiatif Pemerkasaan Komuniti Insentif Malaysia.

Dengan penjimatan subsidi, kerajaan harus menambah baik pengangkutan awam yang secara amnya kurang di negara ini, memastikan perkhidmatan yang kerap serta memastikan sistem bas pengantara yang cekap untuk kemudahan yang lebih baik kepada penumpang.

Oleh yang demikian, kami berpendapat bahawa sebarang program subsidi dengan mengeluarkan kad subsidi elektronik kepada golongan miskin dan untuk mengawal harga
makanan dengan lebih berkesan merupakan salah satu keutamaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

Kad subsidi elektronik sebegini agak mudah dilaksanakan memandangkan kerajaan sudah mempunyai pangkalan data penerima B40 untuk pelbagai bentuk bantuan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) juga perlu mempunyai data mereka yang berada dalam kumpulan bawah M40.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.