- Iklan -
Rencana

Kenaikan harga barang: Apa guna #KeluargaMalaysia jika rakyat merana

Kerajaan perlu sensitif dalam setiap tindakan ketika ini bagi menangani isu kenaikan harga barang dalam negara.

Mikail Firdaus
3 minit bacaan
Kongsi
Kenaikan harga barang keperluan telah menjadi rungutan warga Malaysia terutama daripada golongan berpendapatan rendah dan peniaga.
Kenaikan harga barang keperluan telah menjadi rungutan warga Malaysia terutama daripada golongan berpendapatan rendah dan peniaga.

Sana-sini rakyat dalam keadaan resah dan gelisah. Poket rakyat ketika ini gawat dek kerana kenaikan harga barang yang melonjak secara mendadak.

Paling terkesan tentulah rakyat dari golongan B40 yang sekadar kais pagi makan pagi, kais petang makan petang – namun, ekoran kenaikan harga barang, ramai sudah rakyat B40 yang tak dapat makan petang.

Barangan keperluan harian seperti telur, sardin, ikan, ayam, daging, sayur-sayuran, minyak masak, gandum dan bermacam lagi melambung bagaikan tiada pihak yang mampu mengawalnya menyebabkan bukan hanya rakyat B40 yang merana – tetapi mereka dari golongan M40 juga sedang merasai keperitan hidup.

Hari ini, kalau pergi ke pasar, dengan wang RM50 – tidak sampai separuh plastik barang keperluan harian yang mampu dibeli.

Dengan kata lain, RM50 cukup untuk dua kali masak sahaja dan itu pun jika keluarga tersebut tidak besar. Bayangkan kalau keluarga B40 itu mempunyai lima anak – tentu saja perbelanjaan dapur RM50 itu tidak cukup.

Itu baru kos untuk isi perut anak-anak di rumah. Belum masuk lagi soal perbelanjaan harian untuk persekolahan anak-anak, belum lagi dikira kos petrol, tol, bil elektrik, bil air, bayaran bulan kenderaan mahupun kos sewa rumah, perubatan dan sebagainya.

Mulai 1 Jun ini harga runcit untuk barangan kering pula naik harga. Pemain industri sudah bercakap hal ini dan naiknya bukan sikit – tapi dijangkakan antara 40% hingga 60% dengan alasan kos logistik dan bahan mentah meningkat serta disebabkan pelaksanaan gaji minimum RM1,500.

Malah, rangkaian kedai Eco Shop yang popular dengan harga RM2.10 pun sudah mengumumkan terpaksa menaikkan harga kepada RM2.40 untuk semua barangan jualannya mulai 1 Jun.

Bagi rakyat dari B40 mereka bertanya “kami nak makan apa”?

M40 pula bersoal “sakit pening kami macam mana”?

Sementara peniaga pula persoalan yang dilontarkan ialah “macam mana kami nak berniaga jika harga barang terus melambung?

Berapa kami nak jual kalau saban minggu harga mencanak”?

Masalah sama juga berlaku dalam sektor pertanian, pembuatan dan perkilangan. Harga racun dan baja untuk pertanian sekarang ini melonjak hampir 100 peratus. Harga besi untuk sektor pembuatan lagi teruk iaitu naik melebihi 200 peratus.

Jadi siapa mahu bertanggungjawab dalam semua masalah ini?

Sebab itulah banyak sungguh cerita orang terjun Jambatan Pulau Pinang dan kisah-kisah lain yang menyayat hati berlaku sejak kebelakangan ini – kerana hakikatnya rakyat sedang merana.

Persoalannya, apa yang kerajaan buat? Mana dia pelan penyelesaian jangka pendek dan sederhana kerajaan untuk menangani isu harga barang ini?

Cukupkah sekadar mengumumkan tiada lagi permit import (AP) barangan makanan dan larangan eksport ayam – sedangkan Indeks Harga Pengeluar (IHPR) melonjak mengatasi Indeks Harga Pengguna (IHP) untuk bulan ke-17 berturut-turut pasti menyebabkan negara akan terperangkap dalam suasana super inflasi yang lama.

Lebih memburukkan lagi keadaan nilai mata wang ringgit yang merudum teruk dan sekarang apabila terjadi krisis bekalan gandum akibat tindakan India menghentikan eksport gandum dan Malaysia selaku salah sebuah negara pengimport tentu sekali terjejas.

Namun, nampaknya kerajaan dan menteri yang bertanggungjawab sekadar bekerja seperti “business as usual”.

Lebih tidak sensitif ketika rakyat sedang gelisah dengan isu harga barang melambung dan nilai mata wang ringgit merudum, perdana menteri sendiri begitu rancak menyusun jadual ke luar negara dan terbaru sehingga enam hari lamanya di Jepun.

Memanglah tidak salah lawatan ke luar negara tetapi sebagai perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob serta seluruh anggota Kabinet perlu sedar apa isu yang perlu diberi keutamaan terlebih dahulu.

Apa sudah jadi dengan idea serta pelaksanaan Bakul Makanan Keluarga Malaysia untuk menjual barangan keperluan dengan harga yang murah? Mana dia laporan keberkesanan program tersebut?

Jika ini keadaanya apa guna slogan #KeluargaMalaysia andai kesusahan dan kesengsaraan rakyat dek kerana kenaikan harga barang ini diambil mudah oleh kerajaan.

Cumanya Malaysia ini bertuah kerana rakyatnya bukan seperti Sri Lanka tetapi ingat – kuasa rakyat melalui peti undi akan diterjemahkan sebaik mungkin tidak berapa lama lagi.

Mikail Firdaus adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow