- Iklan -
Kolum

Makna di sebalik penutupan kedai-kedai buku

Malah syarikat rangkaian buku Times itu dilaporkan sudah menutup semua kedai bukunya di Malaysia.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dua minggu lalu kedai buku Times di Plaza Damas, Sri Hartamas, Kuala Lumpur menutup perniagaannya.

Turut menghentikan perniagaannya adalah kedai buku Times di Bangsar Shopping Centre.

Malah syarikat rangkaian buku Times itu dilaporkan sudah menutup semua kedai bukunya di Malaysia.

Kedai bukunya yang terbesar di negara ini terletak di Pavillion, Bukit Bintang.

Dalam minggu itu juga dilaporkan bahawa University Bookstore, Petaling Jaya yang beroperasi sejak tahun 1960-an menutup kedainya.

Di awal pandemik Covid-19 pada tahun 2020, Popular menutup kedai bukunya di Avenue K, bangunan di depan KLCC.

Sementara Borders pula menutup kedainya yang berada di Mesa Mall, Bandar Baru Nilai.

Sememangnya pandemik Covid-19 memberi kesan besar terhadap perniagaan terutamanya yang berbentuk kedai.

Banyak kedai makan dan kedai buku turut terpaksa ditutup.

Di Plaza Damas sendiri, umpamanya bukan saja kedai buku yang ditutup, tetapi juga restoran mamak terpaksa menghentikan perniagaannya.

Ada perubahan besar terhadap tabiat pengguna membeli barang sejak berlaku pandemik ini.

Peningkatan besar orang ramai membeli barang secara dalam talian berlaku.

Ia melibatkan pelbagai jenis barang, termasuk buku.

Perkara ini dapat difahami kerana adanya perintah kawalan pergerakan (PKP) sepanjang masa pandemik.

Kini walaupun ia sudah berakhir, kebiasaan membeli barangan secara dalam talian sudah menjadi budaya baru.

Membeli buku secara dalam talian bukanlah suatu yang baru.

Sejak adanya Amazon, orang Malaysia memesan buku berbahasa Inggeris secara langsung dari Amerika Syarikat.

Rangkaian kedai buku tempatan seperti MPH, Popular dan Borders turut berusaha menggalakkan pelanggannya membeli buku secara dalam talian.

Kelihatannya masa depan kedai buku bagi mereka adalah lebih berbentuk secara dalam talian.

Mungkin mereka hanya memerlukan sebuah kedai buku di Kuala Lumpur, tetapi tanpa sebarang cawangan dengan aktiviti lebih banyak berlaku di dalam talian.

Perkara ini dapat difahami memandangkan sewa premis perniagaan di tempat-tempat strategik melangkau keupayaan kedai buku menjana pendapatan.

Di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur terakhir sebelum berlakunya pandemik, saya melihat syarikat kedai buku dalam talian Britain, Book Depository melalui wakilnya turut mempromosikan perkhidmatannya.

Maka semasa pandemik, Book Depository merupakan pesaing terkuat kepada Amazon bagi pembelian buku bahasa Inggeris di negara ini.

Penjual-penjual buku dan penerbit tempatan yang menjual buku bahasa Melayu turut agresaif menjual buku secara dalam talian khususnya di platform Shoppee.

Perniagaan buku dalam talian juga membuka peluang orang perseorangan menjual buku-buku terpakai dengan lebih mudah dan meluas.

Namun ketika kedai-kedai buku menerima pukulan teruk dari kesan pandemik, ada dua berita menarik.

Pertama, sebuah rangkaian kedai buku Jepun, Tsutaya akan membuka kedai bukunya di Pavillion Bukit Jalil.

Kedua, BookXcess membuka dua kedai buku lagi.

Sebuah di KL East Mall dan di bangunan bekas pawagam Rex Kuala Lumpur.

Perkara ini berlaku sungguhpun BookXcess mengalami kemusnahan stok apabila gudangnya di Shah Alam turut ditenggelami air Disember lalu.

Tetapi BookXcess adalah satu-satunya yang dapat bertahan dengan mengekalkan kedai-kedai bukunya di samping terus mengadakan jualan gudangnya melalui jenama Big Bad Wolf.

Ia juga aktif di dalam talian semasa pandemik.

Namun begitu, BookXcess mempunyai model perniagaan yang berbeza.

Mereka membawa masuk buku-buku Inggeris dari Amerika Syarikat yang merupakan lebihan daripada pasaran.

Maka buku-buku ini dapat dijual dengan harga murah.

Maknanya ia bukan kedai buku sebenar.

Apa yang dimaksudkan dengan kedai buku sebenar adalah mereka yang menjual buku, majalah dan alat tulis.

Buku pula meliputi pelbagai bahasa dan tajuk.

Ciri penting bagi sesebuah kedai buku sebenar ialah ia sentiasa dapat menjual buku terbitan terkini, baik buku bahasa Inggeris yang diimport mahupun buku bahasa Melayu.

Pada tahun-tahun 1980-an, terdapat dua kedai buku Melayu yang besar.

Mereka adalah Pustaka Antara yang mempunyai kedai buku empat tingkat di bangunnnya sendiri di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan kedai buku Utusan di Pertama Complex.

Kegemilangan kedai buku Kuala Lumpur ialah pada tahun 2000-an di mana terdapat lima kedai buku mega iaitu MPH di Mid Valley, Borders di Berjaya Times Square, Popular di Curve dan Kinokuniya di KLCC.

Sekarang kedai buku mega yang tinggal hanyalah Kinokuniya dan Popular.

Kedai buku, penerbitan buku dan penulisan buku adalah sebahagian daripada industri buku yang dianggap tidak berdaya maju.

Ini pula dikaitkan dengan budaya membaca negara yang lemah iaitu apabila berbanding dengan negara maju.

Walaupun rakyat Malysia semakin tinggi pendidikan mereka, tetapi ia tidak meningkatkan budaya membaca negara.

Dengan itu, ia tidak memperbaiki kedudukan industri buku dan kedai buku.

Peminat buku hanya terdiri daripada satu golongan kecil masyarakat yang tidak cukup menampung industri buku.

Tabiat membaca bukan bermaksud rajin menatap akhbar dan majalah saja tetapi ia hendaklah meliputi kegemaran membaca buku sebenar.

Budaya membaca menuntut seseorang mampu memperolehi maklumat dalam bentuk karangan sepanjang buku (book length).

Dengan adanya Internet, maklumat boleh diperolehi dalam bentuk lain daripada buku.

Media sosial boleh menyampaikan maklumat melalui audio dan video.

Ia dilihat mampu menyampaikan maklumat dengan lebih berkesn.

Tetapi bagi peminat buku, maklumat yang berbentuk intelektual hanya lebih berkesan apabila disampaikan melalui tulisan karangan panjang berbentuk buku, iaitu sama ada buku bercetak atau buku elektronik (e-book).

Waktu ini, walaupun hampir semua orang sudah celik huruf tetapi hanya segolongan yang mampu membaca buku dari permulaan hingga ke akhir.

Antara mereka pula, hanya sebahagian yang mampu membaca buku berbahasa Inggeris.

Kehadiran e-book pula mencabar lagi kedudukan kedai buku.

Andai kata lebih banyak orang membaca e-book, maka kedai buku tidak relevan dan akan pupus.

E-book boleh dibeli secara terus dari penerbit.

Keadaan sekarang mungkin hanya era transisi ke arah itu.

Tetapi ada peminat buku bercetak tegar yang masih mahukan buku fizikal.

Bagi mereka, adalah lebih selesa membaca buku bercetak.

Sentuhan pada buku fizikal membawa nikmat tersendiri.

Jika mereka masih ramai, maka buku bercetak akan terus diterbitkan.

Pun begitu, kehadiran berterusan buku fizikal tidak menjamin kelangsungan hidup kedai buku.

Adanya penjualan buku di dalam talian menyebabkan kedai buku tidak relevan.

Namun begitu, kedai buku mempunyai peminatnya sendiri.

Ada peminat buku tidak puas dengan hanya melihat buku dalam komputer atau gajet.

Mereka mahu menyentuh dan membelek buku sebelum membuat keputusan untuk membeli buku.

Perkara ini dapat dilihat di kedai buku Kinokuniya.

Ini kerana walaupun mereka boleh membeli buku dalam talian, tetapi melihatnya di kedai buku adalah suatu pengalaman istimewa.

Lebih-lebih lagi apabila kedai buku menjadi suatu tempat rekreasi yang bukan saja menyediakan kafe tetapi suasana atau ambiens untuk mendatangkan inspirasi dan semangat bagi meneruskan hidup.

Dengan keadaan sedemikian, kedai-kedai buku akan terus ada.

Maka penutupan kedai-kedai buku baru-baru ini hanya merupakan penyusunan semula perniagaan mereka bagi menghadapi keadaan yang sedang berubah.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.