- Iklan -
Kolum

Sasaran akhir: Kangar

Aku tak faham apa itu pili. Yang aku cari paip air.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pagi itu aku dan Lee Keong bangun awal. Semua barang siap dimasukkan ke dalam beg sandang. Aku mengisi penuh botol air.

Pengalaman berkhemah di zaman pengakap membantu kami agar tidak ada tercicir barang. Sebelum keluar dari bilik aku mengambil pen.

Aku pergi bawah meja lalu aku tulis: “Isham, Lee Keong was here”.

Aku lakukan ini kerana aku pernah terbaca bagaimana Sir Francis Light mencakar namanya di tingkap gelas di rumahnya: “Francis Light was here”.

Lee Keong memandang apa yang aku buat dengan hairan.

“Tulis apa?” Lee Keong bertanya.

“Untuk selamat tinggal pada gereja.” Aku menerangkan dan menutup pintu bilik, menapak menuju ke rumah paderi.

“Thank you Sir.” Kami berdua mengucapkan terima kasih kepada Father George yang berdiri di muka pintu. Kami tidak berjabat tangan.

“Most welcome.” Suara Father George.

James muncul dari belakang rumah. “Jangan tertinggal barang.” James beri nasihat.

“Terima kasih.” Kami berjabat tangan dan terus bergerak keluar kawasan gereja.

Aku memandang ke belakang untuk kali terakhir.

Aku merakam dalam ingatan agar satu masa nanti aku akan sampai lagi ke sini.

Kami sampai ke hadapan Panggung Odeon. Jalan semakin sibuk.

Banyak kedai masih belum dibuka. Kami mengambil jalan Chulia Street. Ini jalan masuk yang juga akan membawa kami ke jeti.

Di tengah jalan kami berhenti di kedai kereta sorong India. Secawan teh dan sebuku roti manis untuk sarapan pagi.

Di akhir Chulia Street ialah laut dan pangkalan feri. Terpampang nama Pangkalan Raja Tun Uda.

Siapa Raja Tun Uda (1894-1976) ini aku tidak tahu. Sama juga siapa Chulia aku juga tidak tahu.

Yang aku diajar di sekolah Pulau Pinang ini dibuka oleh Francis Light (1740-1794).

Dalam feri aku menoleh ke belakang.

Aku merasa sedih bercampur gembira meninggalkan Pulau Pinang. Sedih kerana tidak tahu bila lagi aku akan sampai ke pulau ini.

Dari Jelebu ke Pulau Pinang bukan dekat. Aku gembira juga kerana berjaya sampai ke Pulau Pinang yang selama ini aku hanya mendengar namanya saja.

Keluar dari feri kami mencari jalan besar arah ke utara.

Agak susah juga kerana ada banyak simpang. Falsafah aku: “jika sesat jangan malu bertanya.”

“Bang… nak gi Kangar ikut jalan mana bang?” Aku bertanya pada Abang Melayu yang sedang berdiri di tepi deretan kedai.

“Hang naik apa? Naik bas? Stesen kat feri sana…hang kena pusing.” Mata abang ini memandang ke arah Lee Keong.

“Hitch hike, tumpang kereta orang.” Aku memberi penjelasan sambil tangan aku menunjukkan cara aku menahan kereta.

“Ooo, hang kena pi Kepala Batas. Cari kat sana arah Sungai Petani, hang kena lalu Aloq Setaq, baru hang sampai Kangak, Perlis. Hang dari mana?” Abang Melayu bertanya dengan loghat utara yang makin pekat.

“Dari Seremban.” Jawapan yang aku fikir tidak mungkin menimbulkan banyak persoalan.

“Hang ikut jalan ini ke sana, tunggu kat depan sana.” Tangan abang ini memberi arahan.

Jauh juga kami menapak hingga berjaya keluar dari kawasan pangkalan feri.

Akhirnya sampai ke jalan yang jadi sasaran kami.

Aku mencari tempat yang strategik untuk berdiri menunggu kereta.

Sebuah jip berhenti. Pemandunya Abang Melayu. Aku berlari untuk membuka pintu.

“Nak ke mana?” Abang Melayu sekitar 40-an bertanya.

“Kangar, Perlis.” Aku menjawab.

“Sampai Sungai Petani.” Belum sempat Abang menghabiskan ayat, aku masuk ke dalam jip. Lee Keong masuk duduk di belakang.

“Hang scout ka?” Abang bertanya.

“Dulu, sekarang tunggu result exam. Nak gi Kangar.” Aku menerangkan.

“Ada apa kat sana?”

“Cikgu kami, dulu dia ada ajar kami. Nak gi rumah dia.” Aku bercerita.

“Hang kena pi Padang Besak, tengok Siam. Tak jauh dari Kangak.” Abang memberi cadangan.

“Depan ni Kedah, lintas sungai kita masuk ke Kedah, jelapang padi. Pengeluar padi, saya ni ada kilang mesin padi. Tu pasai pakai jip. Angkut padi di bendang.” Abang ini orang meniaga.

Kami melintas sungai yang tidak besar. Ini sungai sempadan Kedah dengan Pulau Pinang.

Aku mula melihat sawah luas terbentang di kiri dan kanan jalan.

Belum pernah aku melihat tanah sawah seluas ini. Maka aku faham mengapa Kedah dikenali sebagai Jelapang Padi Malaysia.

“Kampung hang ada bendang?” Abang bertanya.

“Ada tapi tak luas macam sini.” Aku menjawab sambil menoleh ke belakang melihat Lee Keong sedang memandang ke sawah.

“Tak dak Kedah, tak dak beras. Orang Kedah kuat keja bendang, hang nak masuk Sungai Petani atau terus ke Aloq Setaq?. Abang nak masuk Sungai Petani, nak terus jap lagi berhenti.”

“Nak terus Aloq Setaq.” Aku menjawab menggunakan loghat utara. Aku menolak pelawaan menyimpang masuk ke Sungai Petani.

Abang pemilik kilang mesin padi memberhentikan kami di jalan lurus di tepi sawah.

Cuaca agak panas. Tapi kami tak lama menunggu sebuah kereta Pakcik Melayu berhenti.

“Aloq Setaq, mai masuk. Hang di luaq panas.” Pakcik Melayu membuka pintu.

“Tak jauh ke Aloq Setaq, 30 batu. Sejam kita sampai. Hang nak berhenti tang mana?” Pakcik Melayu bertanya.

“Tak tau.” Aku menjawab.

Mata aku memandang sawah yang luas terbentang.

Padi sudah mula menguning. Aku nampak kepala orang dalam sawah.

Badan dilindungi padi. Kemudian kami lalu perkampungan yang bertukar menjadi kawasan pinggir pekan.

“Hang ke arah kanan, jalan sikit Pekan Rabu. Depan masjid, abang nak menyimpang ke sana.” Pakcik Melayu memberhentikan kami sambil menunjuk arah jalan.

Aku rasa kami diberhentikan di jalan utama. Betul. Kami berjalan ke hadapan terus berjumpa dengan masjid yang cantik.

Belum pernah aku melihat masjid secantik ini. Warna kubah hitam dan dinding putih. Aku rasa ini pastilah Masjid Alor Setar.

Maklumat pakcik tadi dilupakan. Kami sampai ke jambatan dan kedai-kedai kayu.

Lalu kami masuk untuk mencari makan. Warung kedai dinding kayu ini bukan menjual makanan tetapi menjual produk kampung.

Kami menapak lagi hingga berjumpa warung bertulis Nasi Kedah. Aku tak tahu apa itu Nasi Kedah.

Aku dan Lee Keong makan nasi campur ikan kembung dan sayur tauge dengan air sejuk.

Makanan kami berdua serupa. Bila kami nak bayar harga pun sama 85 sen.

Makcik tuan punya warung memandang muka aku kemudian memandang muka Lee Keong.

“Hang adik beradik?” Soalan yang pertama kali aku dengar.

Soalan ini tak masuk akal. Mustahil dia tak kenal aku budak Melayu dan Lee Keong budak Cina. Tetapi mungkin kerana makanan kami sama.

Makcik Warung ini tidak faham. Malah ramai yang belum pernah berhitch hiking tak faham tentangnya.

Bukan saja tumpang kereta orang. Tuan empunya kereta ini juga tidak dikenali.

Beban yang amat berat ketika aku hitch hiking tahun 1968 bukan beg sandang dan khemah, tetapi dompet kosong.

Dompet aku makin sehari makin bertambah ringan. Kerana itu apa yang kami beli dan makan kami jaga betul-betul.

Kami tidak berjalan dengan modal yang besar.

Kami ke jalan besar mengarah ke Kangar. Hari makin panas.

Di kiri kanan jalan sawah padi. Aku ingat lagi ketika menunggu kereta aku lihat di sebelah jalan ada aliran air.

Besar dari longkang dan tidak laju seperti air sungai. Aku rasa ini ialah sebahagian daripada parit air untuk ke sawah.

Bila aku perhatikan aku nampak banyak anak ikan berwarna hitam. Apakah ini anak ikan sembilang atau anak berudu.

Aku khusyuk memerhatikan anak anak ikan dalam parit tepi bendang.

Kereta berhenti. Kereta berwarna hitam yang agak tua. Pemandu Pakcik Melayu lagi. Dari pakaian pakcik ini, dia bukan pegawai kerajaan atau guru.

“Saya nak pergi atas sikit pada Jitra… nak ambil padi.”

Pakcik ini sah seorang petani. Tapi dia memiliki kereta.

Kalau di Jelebu tidak ada petani atau penoreh getah yang memiliki kereta.

Dalam kepala aku pakcik ini pasti seorang petani yang kaya.

“Di sini, kami dah lama tanam dua kali setahun. Masa rehat tak banyak, tapi ada dapat tambahan.” Pakcik ini petani moden.

Di Jelebu kami menanam padi sekali setahun. Sekarang aku faham mengapa Kedah menjadi Jelapang Padi Malaysia.

Kami melintas Jitra. Beberapa batu keluar dari Jitra, pakcik memberhentikan kereta.

“Sampai sini, jalan depan turus Kangak. Tak perlu belok belok, kalau hang nak tengok bendang. Ikut sama masuk dalam sawah.” Ajakan pakcik kami tolak.

Pakcik masuk ke jalan kecil dalam sawah. Kami di tepi jalan raya. Kiri kanan sekeliling kami sawah padi.

Kami menapak. Hari makin panas. Kami cuba mencari pokok untuk berteduh.

Botol air aku sudah kosong.

Ini panas sawah sama macam panas laut. Tidak ada tempat nak berlindung.

Kami perlu air. Sambil berjalan mata aku mencari-cari kalau ternampak rumah orang.

Aku ternampak orang dalam sawah.

“Wait here, aku gi tanya paip air.” Aku minta Lee Keong menunggu.

Aku masuk ke dalam bendang mencari sosok yang aku nampak tadi.

Bila ternampak aku bersuara.

“Bang, pakcik boleh tumpang tanya? Ada paip air di sini.” Aku bersuara dengan kuat kerana pakcik ini sedang membongkok memotong rumput.

“Ha, apa? Apa hang mau?” Jawapan sampai.

Sosok bangun dari membongkok. Aku melihat jelas sosok ini sudah berumur. Memakai kain sarung diikat sampai ke lutut, berbaju singlet dan kain menutup kepala.

“Pakcik, ada paip air dekat sini? Nak cari air.” Aku bersuara kuat kerana mungkin pakcik ini kurang pendengaran.

“Hang cari pili? Tak dak pili kat sini no. Hang dari mana? Cari apa kat bendang?” Pakcik tua bertanya.

“Cari paip air, kami nak ke Kangar.” Aku menjawab sambil menunjukan botol air aku.

“Bendang tak dak pili. Ayak tak da, hang kena jalan ada surau. San ada pili.” Pakcik cuba memberi tahu sesuatu.

Aku tak faham apa itu pili. Yang aku cari paip air.

Loghat pakcik ini lagi tebal lagi susah untuk aku faham.

“Depan ada surau, ada ayak pili.” Sekali lagi dia menyebut pili.

Kemudian pakcik ini meledakkan pertanyaan bagaikan bom untuk aku.

“Hang tak mengaji ka?” Soalan meletup dari pakcik tua.

Aku tergamam. Mana orang tua ini tahu aku tidak mengaji.

Memang betul aku dah lama meninggalkan kelas mengaji di Surau Cikgu Omar.

“Terima kasih pakcik.” Aku mengundur tanpa memberi jawapan kenapa aku tidak lagi mengaji.

“No water here…. tak da paip kat sini.” Aku menerangkan apa yang aku dengar dari pakcik tua.

Kereta berhenti. Kami berkejar ke hadapan. Hal dahaga dilupakan.

Pemandu pemuda Cina yang nak ke Kangar, Perlis.

“How long have you been hitch hiking?” Soalan dari sosok yang tahu apa itu hitch hiking.

“Almost three weeks.” Lee Keong dari belakang menjawab.

“Both, same school.”

“Same class, waiting for form five results.” Aku menerangkan.

“Where are you staying in Kangar?”

“Want to visit our history teacher, she lived at Jalan Pegawai.” Aku memberikan alamat Mrs Ali.

“I know that street. I’ll drop you there.”

Kami masuk ke pekan Kangar. Pekan ini besar sedikit dari pekan Kuala Klawang. Kami nampak Sekolah Menengah Derma. Sekolah baru untuk Mrs Ali.

Pemuda Cina ini membawa kami ke Jalan Pegawai.

Kami berterima kasih. Sebelum bergerak pemuda Cina ini berkata: “Make sure you visit Padang Besar.”

Pintu dibuka bukan oleh Mrs Ali tetapi Azahar yang muncul. Aku kenal baik si Azahar ini.

Kami tinggal seasrama di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ). Dia tingkatan lima aku tingkatan empat. Dia anak buah kepada Mister Ali Abu Bakar.

“Woit Isam, woit Lee Keong. Sampai juga kau ke sini. Mrs Ali belum pulang lagi, dia ada urusan di luar. Masuk mari masuk.” Azahar dengan gembira mengambil beg sandang kami dan membawa masuk.

Malamnya di meja makan kami di raikan oleh Mrs Ali.

Mister Ali yang bertugas separa pegawai belia dan juga tentera wataniah bertugas di luar.

“Hisham and Lee, I’m happy to see you.” Suara gembira Mrs Ali guru sejarah dan sains kesihatan SMUJ kini menjadi guru di Sekolah Menengah Derma Kangar.

Lalu kami bersembang tentang itu dan ini. Tentang Mister Tay di Taiping.

Tentang Jelebu dan murid-murid yang ditinggalkan.

Sambil makan, sambil bersembang sambil bercerita.

“Pili ni apa?” Aku bertanya.

“Mana kau jumpa?” Azahar menanya.

“Tadi dalam sawah, ada orang tua cakap pili pili pili, aku tak faham loghat Kedah.”

“Pili, paip air laaaa.” Azahar ketawa dan Mrs Ali tersenyum.

“Which old man?” Mrs Ali bertanya.

“Tadi. I was scared dia tahu aku tak mengaji. Mana dia tahu aku tak mengaji?” Aku mencari penjelasan.

“We were looking for air paip.” Lee Keong menambah.

“Tak mengaji? Memang hang tak mengaji, di utara, mengaji ertinya sekolah. Kat Jelebu mengaji baca Quran.” Azahar yang sudah fasih dengan loghat utara cuba bercakap seperti orang utara.

“Ayaq hang tau? Nyok hang tau?” Azahar terus ketawa mengejek bahasa utara. Mrs Ali hanya tersenyum.

Lepas makan Azahar datang ke bilik tidur kami. Dia menghisap rokok. Mungkin dia tak mahu Mrs Ali mengetahui yang dia merokok.

“Kangar ni tak da apa-apa. Pergi Padang Besar tengok pekan Siam, aku dah selalu pergi. Naik bas tak sampai sejam dah sampai.” Azahar menjadi pemandu pelancong.

“Ada apa di Padang Besar? What to see?” Lee Keong bertanya.

“Pekan Siam.” Azahar menjelaskan.

“Boleh masuk? Takde pasport tak kena tangkap?” Aku bertanya.

Malam itu di atas bantal sebelum lelap aku terbayang pekan koboi Padang Besar.

Abang di Kedah beri cadangan lawat Padang Besar.

Pemuda Cina beri cadangan yang sama.

Azahar sendiri dah pernah sampai ke Padang Besar.

Alang-alang dah sampai Kangar tak mencuba menyeludup lintas sempadan tak cukup syarat berjalan.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.