Semasa berucap di Konvensyen Barisan Nasional ke-48 semalam, bekas perdana menteri yang sekarang ini menjadi individu yang menunggu talian hayat politiknya terakhir di Mahkamah Persekutuan, Najib Razak telah menyatakan bahawa Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak lagi relevan.
Yang anehnya, Najib menyandarkan kenyataan itu pada keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini.
Mungkin Najib memilih pentas konvensyen itu untuk memperlekeh Pejuang dan Mahathir.
Namun, kita lihat ini satu lagi usaha terdesak Najib untuk kekal menagih publisiti murahan.
Lewat ini, kita juga mendengar pelbagai tohmahan dilemparkan terhadap Mahathir oleh Najib.
Skandal Forex-BNM kononnya kata Najib mesti dikaji semula.
Tetapi yang terbukti setakat ini, Mahathir tidak langsung dihadapkan ke mahkamah bagi apa-apa pertuduhan.
Jauh sekali dijatuhkan hukuman. Yang ada hanyalah siasatan demi siasatan, keterangan demi keterangan, panggilan ke badan bebas siasatan demi panggilan ke badan bebas siasatan. Akhirnya tiada apa-apa.
Lain pula halnya dengan Najib yang berdepan pelbagai pertuduhan. Bukan sahaja kes-kes jenayah SRC, 1MDB, salah guna kuasa dan sebagainya, tetapi juga tuntutan elak membayar cukai LHDN sebanyak RM1.69 bilion.
Malah siapa yang boleh terlepas pandang kes SRC?
Pertuduhan mengenai pecah amanah jenayah dan wang RM42 juta yang masuk ke akaun peribadinya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta, yang disahkan kemudiannya oleh panel hakim-hakim Mahkamah Rayuan.
Persoalannya, bukankah ini semua kelihatan sebagai gimik politik oleh Najib?
Segala serangan ke atas Mahathir adalah berdasarkan “assumption”, dakwaan, sangkaan dan kata-kata tanpa asas.
Tetapi lain pula kes Najib. Mahkamah memutuskan berdasarkan keterangan dan bukti jelas melalui dokumen-dokumen.
Sebagai rakyat, kita mesti menilai sesuatu itu dengan menimbang fakta, keterangan, bukti dan membandingkan dengan fakta-fakta lain. Contohnya, dikatakan orang, Mahathir ada berbilion wang ringgit. Tetapi dimana? Dalam akaun apa?
Lain pula kes SRC Najib. Mahkamah dipertonton dengan dokumen- dokumen pindahan wang secara telegrafik dan dokumen-dokumen arahan pembayaran ke akaun-akaun peribadi Najib.
Maka, terpulanglah pada rakyat menilai siapa yang relevan dan siapa yang tidak relevan.
Sama ada yang berprinsip atau yang menanti hukuman.
Muhammad Rafique Rashid Ali adalah timbalan ketua Majlis Pimpinan Pejuang Wilayah Persekutuan
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow