Politik adalah seni kemungkinan, hari ini jadi rakan tetapi esok mungkin bertukar menjadi lawan, namun segala peluang yang terhidang sewajarnya direbut tanpa dilepaskan.
Baru-baru ini, Muhyiddin Yassin memperkatakan mengenai peluang sedemikian dan tegas pengerusi Perikatan Nasional (PN) merangkap presiden Bersatu itu, tidak ada salahnya meneroka peluang yang ada.
Telahan penulis kepada kata-kata bekas perdana menteri itu adalah, selagi wujud ruang dan peluang untuk mencipta kemenangan dalam pilihan raya umum (PRU) atau menumbangkan musuh politik yang memporak-perandakan negara, rebut dan gunakanlah meskipun ia bermaksud perlu menerima lawan menjadi rakan.
Muhyiddin juga tidak mahu parti yang didakwanya diterajui golongan kleptokrat kembali berkuasa mutlak yang memungkinkan episod memalukan negara kerana kaitannya dengan skandal kewangan paling memalukan, berulang semula.
Atas dasar itu agaknya Muhyiddin sebelum ini mencadangkan agar parti-parti yang menentang Barisan Nasional (BN) menjalin pakatan untuk menghadapi PRU ke-15 dalam usaha mengelakkan undi mereka berpecah.
Langkah itu bagi memastikan tiada pertembungan di kerusi pilihan raya dan hakikatnya ia bukannya sesuatu yang luar biasa kerana PAS contohnya pernah menjalin persefahaman politik dengan DAP melawan Umno dan BN sebelum ini.
Namun, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang mungkin tidak sempat memikirkan strategi itu semasak-masaknya pantas menolak cadangan berkenaan, kononnya serik dengan tindakan pemimpin Bersatu mengkhianati Pakatan Harapan (PH) yang menyaksikan mereka hanya bertahan sebagai kerajaan selama 22 bulan.
Tiada peluang kedua, kata Lim sambil menegaskan partinya tidak boleh mempercayai Muhyiddin lagi.
Ironinya, DAP dilihat seakan lebih rela menjalin kerjasama politik dengan Umno, musuh tradisinya sejak bertahun lama.
Rujuk kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke bahawa parti itu masih terbuka untuk bekerjasama dengan pihak lain selepas pilihan raya.
Politik penuh dengan dinamik, katanya lagi, dan kemungkinan itu tidak boleh ditolak jika tiada pemenang jelas dalam keputusan pilihan raya akan datang, sekali gus memerlukan jalan dicari untuk mewujudkan kerajaan yang stabil.
Apabila ditanya apakah PH akan menubuhkan kerajaan dengan Umno, ahli Parlimen Seremban itu menjawab, ia bergantung kepada keputusan pilihan raya.
Bermakna, kemungkinan itu ada kerana agak sukar untuk PH menyertai kerajaan di Putrajaya jika PAS tiada dalam pakatannya, namun Umno boleh memberi jawapan.
Presiden Umno dan Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi juga dilihat seakan senada apabila memaklumkan, BN sedia untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja, sama ada secara persefahaman ataupun pasca pilihan raya, iaitu selepas PRU15.
Apa yang boleh ditafsirkan daripada sikap DAP yang sanggup bekerjasama dengan Umno itu, sedangkan BN dan Umno yang menguasai negara selama enam dekad itulah punca Malaysia menjadi bahan ketawa dunia.
Adakah DAP sudah ubah perjuangannya, berubah menjadi parti yang hipokrit dan pentingkan diri sendiri?
Sudah hilangkah asas perjuangan sosial demokrasi yang menjadi teras penubuhannya.
Bolehkah DAP membawa rakyat bersama negara ke arah keamanan, kesejahteraan dan kemakmuran andai sekutunya nanti adalah parti yang dipimpin kleptokrat?
Mungkin DAP tidak peduli, tetapi rakyat yang teraniaya selepas PRU15 nanti tidak akan percayakan parti itu lagi.
Muhammmad Saufi Sulaiman adalah pembaca MalaysiaNow.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow