- Iklan -
Kolum

Orang tua dan gasing

Rumah kecilnya ada dapur berlantaikan bumi.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Untuk aku dalam hidup ini tiadalah zaman yang paling gemilang seperti zaman kanak-kanak.

Zaman membesar, zaman baru masuk sekolah, zaman belum mengenal betul dan salah.

Semua yang berlaku menarik perhatian. Semua yang dilihat adalah perkara baru.

Semua yang ternampak penuh dengan ketakjuban. Usik apa sahaja semuanya menjadi pengalaman.

Main, bermain dan bermain dengan kawan-kawan. Zaman bermain adalah zaman mula mengenal dunia.

Aduh! Indahnya zaman kanak-kanak. Tanpa tanggungjawab. Tanpa soal jawab. Hanya gelak, hilai, ketawa, tangis, sedih dan kemudian ketawa kembali.

Zaman ini juga penuh kreatif. Aku rasa di zaman ini benih kesenian mula ditabur. Nampak kerbau kita berlakon seperti kerbau.

Kalau lembu berlaga kita juga ikut sesama kawan-kawan berlaga menanduk macam lembu.

Menyanyi, berlagu, berzanji dan berzikir entah apa-apa. Mengikut sesuka hati.

Susah nak dipisahkan antara menyanyi, menjerit atau melaung.

Semua dalam satu irama. Irama budak-budak mahu membesar.

Mengenal warna hijau maknanya buah rambutan itu kelat dan pahit jika digigit.

Menguning mengenal buah baru nak masak. Merah ranum ertinya manis enak.

Bila hitam atau pudar sampai ertinya rosak, busuk dan mungkin berulat.

Jika dimakan mungkin sakit perut. Semua ilmu pengetahuan ini aku pelajari semasa aku kanak-kanak.

Ketika bermain pun kita bertukar dan beralih. Permainan bertukar-tukar.

Silih berganti-ganti dan bermusim-musim.

Awas! Sekali lihat ada jadual permainan yang tepat. Memang wujud tukang atur. Kami bermain mengikut musim yang diatur oleh alam.

Alam Jelebu wilayah paling kering di Malaysia yang menyusun permainan. Tiada kalendar atau hari bulan untuk bermain.

Kawasan Kampung Batu Serambai yang luas itu adalah dunia aku dan juga menjadi guru dan juru kemudi.

Bila hujan sampai kami main air hujan. Mandi di padang bola. Menggelecek atas rumput yang berlumpur licin.

Dari mandi air hujan di padang kami beralih ke sungai. Hujan lebat bukan hanya membawa rahmat untuk penanam padi, ianya juga membuka pesta mandi manda untuk budak-budak.

Zaman mandi telanjang dalam sungai tanpa malu dan segan. Tiada rahsia yang ingin disorokkan. Bermain, bermain dan bermain.

Mandi sungai paling seronok dan amat melalaikan.

Ini bertambah meriah dengan terjun dari tebing ke dalam sungai.

Ada juga kawan-kawan yang berani akan memanjat pokok tepi tebing dan terjun dari pokok ke dalam sungai.

Bila bosan “terjun tambam” kami jadikan diri kami dua pasukan yang berseteru.

Kami berperang dalam sungai menggunakan “peluru” tanah liat.

Bercempera di sungai kadang kala kami lupa hari sudah jauh petang.

Bila petani turun ke sawah aku juga turun ke sawah memancing ikan.

Atau aku ke lubuk mengotek haruan. Menggecar lubuk dan menimba anak sungai mencari ikan sambil bermain.

Masa berjalan dengan penuh kegembiraan.

Tiada ruang kosong yang tidak diisi dengan permainan.

Selesai musim menuai padi kami main layang-layang.

Siapa yang memulakan? Hah! Tiba-tiba di satu petang ada yang ternampak Abang Pawang di tengah sawah menaikkan layang-layang.

Esoknya semua budak kampung mula mencari buluh dan benang membuat layang-layang.

Kami yang tidak memiliki modal hanya mendengar cerita tentang wujudnya kertas layang-layang yang boleh dibeli di kedai Cina dalam pekan Kuala Klawang.

Aku juga ada mendengar khabar ada layang-layang yang siap dijual di kedai.

Berapa harganya tidak penah aku ketahui kerana aku tidak pernah membeli layang-layang.

Aku membuat layang-layang dengan menggunakan kertas surat khabar lama atau kertas buku yang aku koyakkan.

Hasilnya layang-layang aku tidak pernah naik tinggi. Tidak setinggi layang-layang Abang Pawang yang pembuatannya lebih profesional.

Untuk kami budak-budak akan bermain apa sahaja.

Yang penting ialah bersuka-suka mengambil bahagian dalam permainan. Tidak pernah kami mempersoalkan kualiti dan rupa bentuk bahan permainan kami.

Apa yang ada itulah kami rayakan. Layang-layang yang berjaya naik tinggi akan dirayakan.

Aku yang tidak pandai membuat layang-layang akan mencuba sedaya upaya menaikkan layang-layang aku ke udara.

Cita-cita yang tidak pernah padam dalam ingatan aku.

Aku sentiasa gagal. Layang-layang aku yang gagal naik.

Ianya hanya mengikut betapa pantas aku berlari.

Maka layang-layang aku jadi bahan ketawa. Untuk menambah keseronokan sendiri, bukan marah tetapi aku bersama ketawa merayakan kegagalan layang-layang buatan sendiri.

Setiap musim layang-layang aku akan gagal tapi tak pernah merasa sedih atau kecewa atau putus asa.

Ini kerana aku sendiri sama-sama ketawa melihat layang-layang surat khabar aku terbarai koyak.

Ini pembelajaran zaman kanak-kanak.

Bosan main layang-layang kami main bola.

Jangan terperanjat kami tidak memiliki bola yang khusus.

Bola ini kami pinjam dari bilik sukan sekolah. Biasanya aku dipertanggungjawabkan mengambil bola kerana Cikgu Zaleha memiliki kunci sekolah.

Penat main bola kami main guli. Main guli kami tiada pilihan, kami wajib membeli guli dari kedai di Kuala Klawang.

Ada juga percubaan membuat guli dari tanah liat. Tapi projek ini gagal.

Bila bosan main guli kami mula main gasing.

Main gasing ini bermula apabila ada kedai di Kuala Klawang menjual gasing lima sen sebiji. Ini gasing Cina yang pakunya agak panjang dan badan kecil. Paku gasing Cina boleh diasah untuk menduku gasing lawan.

Main gasing memerlukan laman tanah yang agak keras.

Main boleh berkumpulan dan boleh bersendirian.

Idea dan niat main gasing ini ialah untuk menduku dan memaku hingga pecah gasing lawan. Seronok memang seronok.

Tiba-tiba satu petang ketika main gasing di tepi padang sekolah Suman Dusa datang dengan Gasing Melayu.

Dia seorang sahaja yang ada gasing jenis ini.

Gasing Melayu macam bentuk tempayan dan pakunya tidak panjang.

“Mana dapat? Sapa buat?” Suara bertanya.

“Chu Solat yang buat.” Suman menerangkan.

Aku tahu sosok yang bernama Chu Solat ini. Orangnya agak berumur dan selalu memakai songkok.

Esok petang pulang dari sekolah aku mengajak kawan aku Musa dan Derih pergi ke rumah Chu Solat. Tujuan kami ialah nak menengok kalau-kalau dia ada lagi gasing.

Kami menapak agak jauh melintas sawah melintas kebun getah baru sampai ke tempat yang kami tuju.

Chu Solat duduk bersendirian di hujung kampung. Sebuah pondok kecil dinding buluh atap rumbia di tepi kebun getah.

Ketika itu aku tak dapat mengagak umurnya.

Aku yang baru masuk darjah enam menganggap Chu Solat ini orang tua. Aku pula menganggap diri aku lebih tua dari Deris dan Musa.

Dari jauh aku nampak Chu Solat sedang mengasah parang di tepi rumah.

“Ooi budak, nak kemano ni? Cari apo?” Chu Solat bersuara bila dia melihat kami dari jauh..

“Jalan-jalan.” Aku menyembunyikan niat asal kami.

“Chu, gasing ada lagi tak?” Musa membocorkan niat kami.

“Gasing apo?” Chu Solat bertanya.

“Gasing Melayu macam Chu bagi pado Suman.” Aku memberi penjelasan.

“Datang ni, nak main gasing ko nak cari gasing?”

“Kalau ado kami nak satu.” Aku mula berkata benar.

“Sekarang ni Chu tak do yang siap, baru jumpo batang beweh, koreh. Elok buek gasing.”

Chu Solat berundur masuk ke dalam rumah dan keluar membawa dua biji rangka bentuk gasing yang belum siap.

“Kau bertigo, Chu kona buek satu lagi. Dah siap nanti datang sini, parang kono tajam kalau nak buek gasing.”

Chu Solat membuat janji sambil dia mengasah parang.

Bayangkan betapa gembiranya hati aku. Tidak lama lagi aku akan memiliki gasing Melayu.

Gasing Melayu ni berpusing agak lama. Untuk memutar gasing Melayu dengan baik memerlukan tali dari kulit pokok terap.

Empat hari kemudian kami bertiga sekali lagi datang ke rumah Chu Solat.

Bila kami sampai dia tak ada. Kami rasa kecewa. Lalu kami mengundur pulang.

Belum jauh kami menapak dalam kebun getah kami terserampak dengan Chu Solat. Parang terselit dipanggang dan selaras senapang tersangkut di bahu.

“Cari babi… banyak babi dalam kobun pisang kek rumah Lobai Juri.” Chu Solat memberi penjelasan.

“Nak ambik gasing, moh ke rumah Chu dah buek tigo biji.” Kata-kata yang memang kami tunggu untuk dituturkan.

Petang itu aku menjadi pemilik gasing Melayu.

Bukan semua budak di Kampung Batu Serambai memiliki gasing Melayu. Aku merasa bangga.

Gasing Melayu dari kayu beweh sebesar tin susu cap Junjung.

Gasing ini aku jaga baik-baik.

Aku ubah warnanya yang agak putih menjadi coklat dengan kiwi kasut.

Sayangnya aku ini menggunakan tali gasing biasa bukan tali terap.

Aku tidak tahu di mana hendak di cari kulit pokok terap.

Semenjak mendapat hadiah gasing daripada Chu Solat,  hubungan dengan dia makin rapat. Aku selalu datang bertandang ke rumahnya di hulu kampung.

Kadang kala mendengar cerita dia memburu babi. Cerita dia menembak kancil dan napuh. Kisah dia mengetuk untuk memerangkap kancil.

“Bilo kito kotok tanah, kancil dongar dio datang. Menari-nari maso tu kito tembak.” Chu Solat menerangkan pada aku konsep mengetuk.

Aku perhatikan Chu Solat ini duduk bersendirian. Menghisap rokok daun nipah. Tembakau dan daun nipah tersimpan dalam tin tembakau cap nenes.

Aku tak tahu apakah Chu Solat ini pernah ada isteri dan anak. Aku juga tidak tahu siapa saudara maranya di Kampung Batu Serambai.

Rumah kecilnya ada dapur berlantaikan bumi.

Periuk kecil, belanga tanah liat yang kecil, tiga buah cawan dan beberapa pinggan dan mangkuk.

Di tengah rumah Chu Solat tidur di atas tilam dan aku lihat ada kelambu.

Tidak berkatil. Lantai rumah dari setengah papan setengah buluh.

Dinding rumah ini dari buluh yang dipecah-pecahkan. Atas kepala tidurnya tergantung senapang.

Di sebelah senapang tali pinggang besar dengan tempat khusus untuk menyimpan peluru senapang. Lima butir peluru terselit di tali panggang.

Chu Solat hidup solo. Hari berganti hari. Musim berubah.

Pokok ara tepi jalan besar depan kedai runcit Makcik Jarah mula berbuah.

Pokok ara ini cukup rendang. Ara ini rajin berbuah, setiap tahun sekali.

Ada kalanya dua tiga kali setahun. Bila ara berbuah maka burung akan berpesta.

Sampai dua minggu pokok ara ini akan bising dengan suara dan kicauan pelbagai jenis burung.

Ada balam, merbah, tiong, kelicap dan serindit, semuanya berpesta.

Burung punai dari luar Kampung Batu Serambai pun akan datang berpesta makan buah.

Dari pagi hingga ke petang pokok ara ini heboh.

Aku tak tahu macam mana burung-burung dari luar kampung tahu pokok ara depan kedai Makcik Jarah sedang berbuah. Ini menakjubkan aku.

Ketika ini Tuan DO untuk daerah Jelebu ialah Raja Nong Chik.

Tuan pegawai daerah ini suka memburu.

Entah siapa dari kampung aku yang memberitahu Raja Nong Chik tentang buah ara sudah masak.

Maka pada sebelah petang setelah pejabat di tutup Raja Nong Chik akan datang dengan pembantu dan dua anaknya. Dia datang dengan senapang untuk menembak punai.

Maka kami budak-budak kampung akan turut sama berpesta melihat Raja Nong Chik menembak punai dengan peluru penabur.

Ketika ini juga Chu Solat akan keluar dengan senapangnya.

Dua senapang patah berdentam-dentum menembak punai.

Tapi bukan mudah peluru menuju sasaran. Burung-burung akan bertempiaran terbang bila bedil berdentum.

Pemburu wajib menunggu di bawah pokok agar kumpulan burung yang lari tadi hinggap kembali.

Kami budak-budak kampung hanya memerhati. Raja Nong Chik memberi peluru kepada Chu Solat.

Tiga petang Raja Nong Chik datang menembak punai. Ada petang yang tujuh lapan ekor burung punai sempat disembelih.

Ada petang balik kosong. Semuanya punai dibawa pulang oleh Raja Nong Chik.

“Kenapa tak mintak sekor punai boleh goreng?” Aku bertanya pada Chu Solat.

“DO tu datang jauh, kita bila-bila boleh menembak.” Chu Solat menerangkan kenapa dia tak mahu mengambil punai untuk dimasak.

“Kau dah pernah merasa daging punai?” Chu Solat bertanya.

“Tak pernah.” Aku menggelengkan kepala.

“Nanti la, nanti la, ado rezeki nanti.” Chu Solat membuat janji ketika kami meninggalkan pokok ara depan kedai Makcik Jarah.

Di Kampung Batu Serambai semua orang kampung tahu kedai Makcik Jarah. Kedai ini bukan saja kedai runcit. Ini kedai kopi, teh dan kuih untuk minum pagi dan petang.

Paling istimewa di waktu pagi ialah nasi pulut dengan sambal tumis Makcik Jarah.

Keluarga Cikgu Zaleha adalah pelanggan tetap dengan buku tiga lima dari kedai ini. Aku selalu membeli nasi pulut Makcik Jarah untuk sarapan kami sekeluarga.

Di kedai kopi ini tempat orang kampung berkumpul dan membaca akhbar Utusan Melayu dan Utusan Zaman. Kedai Makcik Jarah ini juga menjadi tempat posmen meninggalkan surat dan tempat bas berhenti.

Satu petang beberapa bulan setelah pesta menembak punai tamat, aku terjumpa Chu Solat.

Chu Solat sudah berpindah rumah dari hujung kampung kini duduk tak jauh dari kedai Makcik Jarah.

Ini bangunan rumah papan. Pada satu ketika dulu bangunan ini menjadi balai penerangan untuk Kampung Batu Serambai. Kini Chu Solat menjadi penjaganya. Mungkin kerana dia ada senapang.

“Datang rumah Chu, ada burung punai kau nak merasa?” Chu Solat mempelawa aku.

Jemputan ini tidak aku tolak. Di dapur aku ternampak tiga ekor burung punai yang bulunya sudah dicabut. Telanjang bulat sedia untuk dimasak.

“Petang semalam Chu tembak, bukan kek aro, kek rumah Lebai Juri. Punai makan buah senduduk.” Chu Solat memberi penjelasan.

Chu Solat memasak nasi. Kemudian dia mengambil lada, kunyit, bawang, serai dan garam. Aku hairan Chu Solat tiada lesung batu.

Kehairanan aku terjawab bila Chu Solat mula melenyek semua bahan ini dengan menggunakan tempurung kelapa.

Tidak pernah aku melihat memasak cara ini. Ini cara tradisi lama Melayu sebelum lesung batu dicipta.

Malam itu aku makan gulai burung punai masak lemak santan berlada. Memang aku rasa pedas tapi enak daging punai ini.

“Jaga-jaga kalau tergigit peluru penabur. Kadang-kadang ado tersorok dalam daging punai ini.”

Chu Solat memberi aku ingatan kerana kemungkinan serpihan peluru masih terlekat dalam daging.

Lepas makan Chu Solat menghisap rokok. Aku duduk terlunjur kenyang lepas makan.

“Nanti kito cari kancil, kito pogi mengotok.”

Chu Solat melepaskan satu ledakan jemputan yang memang aku tunggu.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.