- Iklan -
Kolum

Kesesakan lalu lintas, masalah sepanjang zaman

Malaysia memberikan lebih perhatian kepada membina lebuh raya sejak mencapai kemerdekaan lagi berbanding memberbanyakkan laluan keretapi.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Ramai orang mengeluh terhadap kesesakan lalu lintas yang buruk di Lembah Klang sejak selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini.

Pastinya banyak urusan orang ramai terganggu kerananya. Produktiviti rakyat dan negara juga terjejas.

Kesesakan luar biasa ini tentunya datang dari pemulihan sepenuhnya operasi pejabat dan kedai mulai 1 Mei apabila negara beralih daripada fasa pandemik kepada endemik.

Para pekerja tidak lagi perlu bekerja dari rumah.

Selepas tarikh itu, negara ini menyambut Hari Raya Aidilfitri hampir sebulan dan ramai orang bercuti di mana kesesakan lalu lintas tertumpu di lebuh raya pada hujung minggu.

Selepas mereka kembali bertugas, maka berlakulah kesesakan lalu lintas yang amat teruk di Lembah Klang lebih-lebih lagi pada laluan yang menghala masuk ke Kuala Lumpur.

Pengangkutan awam terutamanya LRT, MRT, Monorel dan Komuter penuh sesak pada waktu puncak.

“Hampir seperti di Tokyo,” komen seorang pengguna kepada saya ketika kami berdiri dan bergayut pada pemegang dalam Komuter.

Tetapi mengapakah kini kesesakan lalu lintas di Lembah Klang begitu teruk luar biasa?

Mungkin sebabnya orang tidak dapat keluar secara normal selama dua tahun, 2020 dan 2021.

Kalau secara biasa, penambahan pekerja-pekerja baru berlaku secara bertahap tetapi bagi 2022, ia terjadi secara mendadak.

Ini kerana ramai anak-anak muda terhalang daripada mendapat pekerjaan di Kuala Lumpur sepanjang pandemik.

Minggu lalu ketika perjalanan untuk ke hospital bagi memenuhi janji temu, saya turut terperangkap dalam lalu lintas dan sampai lewat.

Banyaknya bilangan kereta dirasakan berganda lebih besar berbanding keadaan pada tahun 2019.

Saya juga menggunakan Komuter di luar waktu puncak untuk ke Bangi, dan mendapati ia penuh dengan penumpang.

Berbanding dengan kota-kota lain di Asia, Kuala Lumpur adalah bandar kecil.

Tokyo, Seoul, Beijing, Manila, Bangkok, Jakarta dan Singapura adalah jauh lebih besar dan sesak daripada Kuala Lumpur.

Malah pusat pentadbiran negara juga dikeluarkan dari ibu negara untuk menjadi Putrajaya.

Ia dibina kerana untuk mengurangkan kesesakan Kuala Lumpur.

Malaysia yang mmpunyai lebih kemampuan kewangan berbanding negara-negara Asia lain sepatutnya berupaya untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintasnya.

Lebih-lebih lagi penduduknya tidaklah seramai sebahagian besar negara-negara Asia lain.

Umumnya berpendapat bahawa kunci bagi mengatasi kesesakan lalu lintas adalah dengan mengadakan sistem pengangkutan awam yang cekap.

Ketika saya mula bekerja pada tahun 1982, Kuala Lumpur adalah kota yang jauh lebih kecil tetapi lalu lintasnya tetap amat sesak.

Selama 10 tahun, saya menggunakan pengangkutan awam untuk pergi ke tempat-tempat tugasan.

Seperti ramai orang masa itu, saya turut tidak berkemampuan untuk memiliki kereta.

Sebagai pemberita, hampir setiap hari saya perlu keluar dari pejabat,

Namun saya tidak pernah lewat daripada memenuhi janji temu di tempat-tempat tugasan walaupun saya menggunakan pengangkutan awam.

Apa yang dimaksudkan dengan pengangkutan awam pada masa itu ialah bas, bas mini dan teksi.

Saya lebih banyak menggunakan bas mini kerana ia cepat, lancar dan sampai ke banyak destinasi walaupun di dalamnya sesak.

Apabila disebut pengangkutan awam yang cekp bagi sesebuah kota metropolitan moden di negara yang berkemampuan, tentulah ia merujuk kepada keretapi.

Pengalaman dunia sudah menunjukkan bahawa hanya rangkaian keretapi yang boleh meringankan beban kesesakan lalu lintas kota.

Dengan keretapi, barulah New York, London, Paris dan Tokyo dapat berfungsi dan produktif.

Tetapi Malaysia pada tahun 1980-an kurang berminat terhadap keretapi.

Tumpuan negara adalah kepada kereta.

Projek Kereta Nasional bukan hanya untuk keluarkan kereta tetapi merupakan sebahagian daripada program pembangunan industri berat negara.

Pada waktu sama pembangunan keretapi negara khususnya terhadap KTM kelihatan terabai.

Lebih-lebih lagi pembangunan semula keretapi memerlukan belanja tinggi.

Hanya kemudian apabila masuk tahun 1990-an, barulah perhatian diberikan kepada keretapi, bermula dengan perkhidmatan Komuter KTM.

Ia dikira terlambat tetapi lebih baik lewat daripada tiada langsung.

Akibat kelewatan ini, menjelang 2020, perkhidmatan keretapi Lembah Klang jauh daripada mencukupi.

Menyemai minat rakyat terhadap kereta tidak sukar.

Ada sesuatu yang istimewa terhdap kereta. Ia bukan saja memudahkan seseorang tetapi juga merupakan simbol kebebasan, kejayaan, kemampuan dan kemewahan.

Malaysia memberikan lebih perhatian kepada membina lebuh raya sejak mencapai kemerdekaan lagi berbanding memberbanyakkan laluan keretapi.

Lebuh Raya Persekutuan menghubungi Kuala Lumpur dan Klang dibina pada zaman Tunku Abdul Rahman.

Kerajaan juga merancang pembinaan Lebuhraya Timur Barat bukan saja untuk menghubungi Pantai Timur dan Barat tetapi demi keselamatan negara.

Abdul Razak Hussein menyempurnakannya di samping membina Lebuhraya Karak.

Lebuhraya Utara Selatan turut dirancang tetapi pembinaannya bermula pada zaman Hussein Onn dan disempurnakan pada zaman Dr Mahathir Mohamad.

Lebuh raya-lebuh raya ini dan juga apa yang dibina di Lembah Klang untuk menyambung bandar- bandar baru menuntut keperluan adanya kereta.

Ini kerana pembinaan bandar baru ini tidak disertakan dengn perkhidmatan pengangkutan awam khususnya bas dan bas mini.

Adanya kereta nasional seperti Proton Saga dan Kancil memudahkan orang ramai dari semua golongan untuk memiliki kereta.

Ditambah pula dengan polisi baru bank untuk memudahkan pinjaman untuk itu.

Sesuatu yang tidak berlaku sebelumnya. Tentulah bilangan kereta negara bertambah banyak.

Maka dikatakan bahawa kos membangun sistem pengangkutan awam adalah tinggi dan tidak menguntungkan hingga sukar bagi syarikat swasta yang sudah tentu mahukan keuntungan untuk mengendalikannya.

Tetapi tidakkah projek kereta nasional itu menggunakan biaya awam yang banyak?

Begitu juga dengan lebuh raya.

Kereta nasional itu tidak menguntungkan. Ada bahagian-bahagian lebuh raya negara juga tidak menguntungkan.

Di negara-negara maju pun, pengangkutan awam dibiaya oleh kerajaan dan bukannya syarikat swasta.

Ia tidak menguntungkan tetapi keuntungan dikira daripada perkhidmatan yang diberikan pada orang ramai supaya mereka dapat produktif dan menggerakkan jentera ekonomi negara.

Satu jenis pengangkutan awam yang diberi lebih perhatian daripada yang lain ialah perkhidmatan udara.

Lihatlah betapa lapangan terbang yang cantik berbanding stesen bas.

Ketika mana KLIA dibina indah stesen bas Pudu Raya menjadi tempat sesak dengan penumpangnya menghirup asap disel ketika menunggu bas.

Hanya sekarang baru ada Terminal Bersepadu Selatan.

Satu lagi contoh ialah ketika mana lapangan terbang Kota Bharu merupakan bangunan indah, stesen bas bandar itu masih berupa tanah lapang dengan deretan bangunan sementara untuk menempatkan gerai dan tempat menunggu.

Perkara ini dapat difahami dengan melihat kedudukan masyarakat.

Mereka yang senang menggunakan perkhidmatan udara tentunya menggunakan kereta persendirian apabila di darat.

Hanya orang susah yang menggunakan pengangkutan awam darat.

Pihk-pihak yang membuat dasar baik di peringkat politik mahupun dalam jentera kerajaan tidak menggunakan pengangkutan awam.

Tentu adalah sukar bagi mereka untuk merasakan kesusahan orang yang menggunakan pengangkutan awam.

Tetapi apabila kesesakan lalu lints berlaku, semua orang akan terlibat tidak kira miskin atau kaya, susah atau senang.

Iaitu kecuali mereka yang menggunakan kereta kerajaan dengan diiringi polis.

Atau mereka yang berada dalam ambulans. Itupun mereka turut terkesan dengn kesesakan lalu lintas.

Untuk sifar kesesakan lalu lintas adalah hanya suatu impian yang tidak akan tercapai.

Tetapi sasarannya adalah suatu keadaan di mana tahap kesesakan yang boleh diterima, maknanya tidaklah teruk sangat sampai orang lewat untuk bekerja atau memenuhi sesuatu janji temu.

Kunci untuk itu terletak pada memperbaiki pengangkutan awam khususnya keretapi.

Antaranya meningkatkan kekerapan lalun Komuter dan mengadakan bas “feeder” yang menyeluruh dan cekap. Sememangnya banyak cabaran tetapi ia tidak wajar dijadikan alasan.

Rakyat juga perlu aktif bagi menuntut perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap di tempat masing-masing.

Tanpa tekanan dari rakyat, tiada sebab pihak berkuasa hendak bertindak bagi melakukan perubahan.

Bukan saja soal kesesakan lalu lintas, tetapi dalam semua perkara.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.