- Iklan -
Rencana

PBAKL harus pamer imej dinamik rakyat Malaysia

Syarikat penerbitan daripada bahasa-bahasa lain perlu diperbanyakkan bagi mempamerkan imej kepelbagaian budaya di Malaysia.

Siti Nursyafiqah Mohamad Fauzi
1 minit bacaan
Kongsi
Suasana pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL22) di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur baru-baru ini.
Suasana pengunjung di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2022 (PBAKL22) di Pusat Dagangan Dunia Putra Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam artikel laporan MalaysiaNow bertajuk “PBAKL: Pesta buku antarabangsa atau Melayu-Islam?” yang diterbitkan pada 14 Jun 2022 lalu, beberapa isu diketengahkan antaranya kurang variasi bahasa bagi jenis buku dan kelemahan pihak pengurusan dalam memastikan pesta meriah seiring nama antarabangsa bagi melambangkan kepelbagaian imej rakyat.

Banyak faktor boleh menyumbang kepada situasi kurangnya penglibatan penerbitan selain dalam bahasa Melayu yang perlu diambil kira.

Reruai yang menjual buku dalam bahasa Melayu bukanlah bermakna untuk menyasarkan Melayu-Islam semata-mata.

Tidak juga seharusnya kita melulu dalam mempersoalkan kurangnya sambutan dari sesetengah pihak.

Namun, menyuarakan isu sedemikian dapat menunjukkan satu sisi pesta buku yang mungkin ramai terlepas pandang.

Majoriti penjualan buku dalam bahasa Melayu pula tidak sepatutnya menjadi punca tiada sambutan dari kaum lain.

Sebagai rakyat, menunjukkan sokongan amat penting agar dapat menaikkan bahasa ibunda serta nama negara pada perspektif sosial yang cemerlang.

Kepelbagaian jenis bahasa buku sewaktu pameran berlangsung adalah amat digalakkan agar pembaca buku yang terdiri dari kanak-kanak sehingga dewasa didedahkan dengan banyak pengetahuan baru.

Pada PBAKL akan datang, semoga lebih banyak pihak penerbitan buku bahasa Mandarin, Tamil serta terjemahan kepada bahasa lain dapat menyertainya bagi menaikkan imej dinamik rakyat Malaysia.

Kedua-dua pihak penerbitan dan penganjur perlulah bekerjasama dan menjayakan PBAKL seterusnya, sejurus menarik lebih ramai pengunjung berbilang kaum dan bangsa untuk turut sama memeriahkan pesta buku antaranbangsa ini.

Siti Nursyafiqah Mohamad Fauzi adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow