Prestasi pembangkang di tiga pilihan raya negeri (PRN) lalu tidak boleh dijadikan kayu pengukur, kata ramai penganalisis politik.
Kata mereka ada banyak faktor kenapa jadi begitu. Antaranya peratus keluar mengundi yang rendah.
Apakah kenyataan ini sekadar mahu menyedapkan hati dan mahu menyembunyikan fakta sebenar mengenai kegagalan pembangkang memikat hati pengundi.
Menuding jari adalah jalan keluar paling mudah dan nampak cerdik tapi ia hanya penyelesaian jangka pendek. Akhirnya realiti muncul juga.
Selepas Saifuddin Nasution Ismail kalah untuk jawatan timbalan presiden PKR, idea untuk kolaborasi terbantut.
Rafizi Ramli lebih cenderung untuk memperkuatkan PKR dan Pakatan Harapan (PH) untuk ke medan perang dan bukan melayan puak yang pernah mengkhianati mereka.
Sekali lagi pembangkang berhadapan dengan Barisan Nasional (BN). Panglima perang Umno sudah melangkah ke medan dengan tekad untuk menang.
Sementara pembangkang masih “undecided” dan tak boleh “move on”.
Sudah ada suara-suara dalam kalangan pimpinan Amanah mahukan PH segera menyusun strategi dengan mencari rakan bagi menentukan supaya calon pembangkang tidak bertembung dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Anthony Loke dari DAP juga terbuka kepada idea untuk sekali lagi bergabung di sebalik luka lama dipermainkan.
Tetapi itulah realiti berpolitik. Yang licik dengan strategi akan mengalahkan lawan.
Jika ketua pembangkang Anwar Ibrahim mahu terus dengan agendanya bahawa PKR masih boleh memimpin dalam berdepan PRU, malang sekali negara dan rakyat akan melihat sejarah berulang.
Kalau ada dalam kalangan mereka yang masihi tebal dengan prinsip dan maruah, baiklah bungkus saja dan tinggalkan politik.
Ada laporan menyebut bahawa undi PKR di PRN Melaka dan Johor sudah berpindah kepada Perikatan Nasional (PN).
Prestasi PKR di kawasan Melayu semakin menurun. Apakah PKR akan menerima nasib macam MCA yang menang di kawasan Melayu dan PKR cuma menang di kawasan Cina?
Anwar tentunya tidak mahu meninggalkan legasi ini.
Sedang matlamatnya untuk menjadi perdana menteri adalah dengan membawa PKR sebagai parti kebangsaan, bukan hanya popular untuk satu kaum sahaja.
Anwar sepatutnya mengubah segera haluan pelayaran, meningkatkan knot bahteranya supaya tidak ketinggalan .
Sejak akhir-akhir ini Anwar kelihatan lebih jelas dalam kenyataannya.
Tidak begitu menyerang pemimpin parti lain.
Beliau juga kelihatan tidak begitu gopoh lagi bercerita mengenai jawatan perdana menteri.
Mungkin ini kesan daripada gesaan pimpinan DAP yang mahu beliau diganti sebagai ketua pembangkang.
Atau barangkali Anwar masih mengintai tawaran jawatan idamannya melalui jajaran lain?
Jika ini berlaku rakyat akan segera beralih selera. Ini akan mempercepatkan langkah BN untuk berkuasa semula kerana rakyat dah muak dengan percaturan politik kuasa.
Masa untuk duduk dan selesaikan perbezaan semakin suntuk.
Berbincang mengenai habuan yang akan diterima akan hanya menyemarakkan dendam lama.
Isunya adalah mengenai gagasan untuk menyelamatkan negara bukan mengenai janji berapa banyak jumlah e-wallet yang boleh diberi kepada rakyat.
Lupakan perangai lama meletakkan 1001 syarat. Ini hanya menyukarkan kata sepakat.
Akhirnya hanya jadi aksi separuh masak dan mampu membawa ke garis penamat.
Di zaman Rasulullah, sahabat menolak jawatan. Di akhir zaman kita berebut kuasa.
Ini kerana sahabat tahu apa yang menunggu mereka di hari pembalasan.
Bila tarikh PRU15? Kata setengah pihak ia perlu dilakukan bila ada suasana “feel good”.
Menang bola ke atas Bangladesh tak cukup untuk menggambarkan suasana ini.
Ia tidak perlu pun jika BN memang benar-benar yakin akan menang besar seperti PRN Melaka dan Johor.
Masa semakin suntuk. Berlayarlah. Jangan kalut mempersoal siapa nakhodanya.
Fahd Amer adalah pembaca MalaysiaNow.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow