- Iklan -
Kolum

Apabila teknologi menggantikan ilmu mistik

Mengapakah generasi baru Melayu merasakan perlu atau cenderung untuk menekankan identiti bangsa mereka?

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Filem Mat Kilau, Kebangkitan Pahlawan mengujakan ramai dalam kalangan Melayu hinggakan ia menjadi fenomena anak-anak muda mengenakan busana tradisional lengkap bertengkolok.

Apa yang menarik tentang fenomena ini ialah penyertaan anak-anak muda yang merupakan generasi baru 2000-an.

Mereka bukan generasi 70-an atau 80-an yang sedang menyediakan diri untuk hari tua dan meninggalkan pentas hidup.

Memakai busana tradisional itu pula merupakan suatu perkara baru sejak negara mencapai kemerdekaan.

Para ahli sosiologi dan psikologi mungkin akan dapat memberi jawapan terhadap fenomena ini.

Mengapakah generasi baru Melayu merasakan perlu atau cenderung untuk menekankan identiti bangsa mereka?

Adakah kerana keadaan politik negara mendorong mereka berkelakuan sedemikian?

Atau keterujaan terhadap filem Mat Kilau hanyalah semata-mata soal hiburan setelah dua tahun membeku akibat Covid-19.

Saya pun teruja ketika mula terdedah terhadap budaya kepahlawanan Melayu.

Tetapi bukan melalui Mat Kilau, sebaliknya daripada pembacaan mengenai Bahaman, ketua kepada Mat Kilau ketika mereka menentang British.

Pada tahun 1967, ketika itu saya berada dalam darjah dua, masa itu belum lagi berlaku Peristiwa 13 Mei dan Dasar Ekonomi Baru tidak dikenali lagi, bapa saya membelikan saya dua buah buku kanak-kanak yang bertajuk Bahaman Orang Kaya Semantan dan Tun Fatimah Srikandi Melaka dalam siri kisah sejarah untuk kanak-kanak.

Kulitnya berwarna kelabu dan berilustrasi. Ia menceritakan kisah pemberontakan sebahagian orang besar Pahang menolak kemasukan British ke negeri itu.

Nama Mat Kilau yang dikhabarkan ghaib dan Tok Gajah yang dikatakan berpindah ke Kelantan disebut sambil lalu saja tetapi itu sudah cukup untuk saya teruja dan berimaginasi sebagai pahlawan silat.

Ketika itu saya tidak mahu lagi bermain sebagai koboi yang bersenjatakan pistol, sebaliknya memakai lilitan kain di kepala dan mengacukan keris kayu.

Namun saya juga sedar, keris dan ilmu persilatan tidak boleh mempertahan keselamatan orang Melayu.

Di akhir buku itu, ia menceritakan bagaiman British mematahkan pemberontakan itu dengan membawa pasukan tentera British India yang terdiri daripada orang Punjabi Sikh yang menggunakan senapang.

Pada tahun 1969 ketika saya mula diajar sejarah di darjah empat, buku teks tidak menyebut Bahaman apatah lagi Mat Kilau.

Sebaliknya ada bab-bab yang disediakan untuk Stamford Raffles dan Hugh Clifford sebagai pemuka-pemuka yang membentuk sejarah negara.

Clifford adalah residen British di Pahang yang menumpaskan Bahaman.

Ketika saya masuk ke sekolah menengah pada tahun 1972, terdapat lima rumah sukan.

Ia diberi nama Abu Bakar (hijau), Ibrahim (biru), Raffles (merah) Clifford (kuning) dan Guillemard (coklat).

Abu Bakar dan Ibrahim mengambil sempena nama sultan-sultan Johor.

Rumah saya ialah coklat tetapi saya tifak tahu siapakah Guillemard.

Pada tahun 1976, ketika saya mengunjungi Singapura, saya terserempak dengan Guillemard Road, rupa-rupanya beliau adalah seorang pegawai tinggi British.

Sejak tahun 1967 rasa tidak puas hati orang Melayu terhadap Tunku Abdul Rahman, Perikatan dan Umno bermula.

Negara sudah mencapai kemerdekaan selama 10 tahun dan dirayakan secara besar-besaran.

Bahasa kebangsaan masih belum digunakan di pejabat kerajaan dan swasta, mahkamah serta universiti.

Sekolah menengah kebangsaan masih kurang dan anak-anak muda Melayu sukar untuk mendapat pendidikan tinggi dan kerja yang baik.

Rasa tidak puas hati ini menyebabkan Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Umum pada tahun 1969.

Ekoran itu Tunku meletak jawatan dan menteri yang merupakan sekutu-sekutunya seperti Khir Johari dan Sardon Jubir tidak dikekalkan.

Ramai pihak melihat Abdul Razak Hussein lebih nasionalistik dari segi Melayunya.

Tetapi beliau menghadapi cabaran dari Harun Idris yang dipandang lebih nasionalistik Melayu berbanding Razak.

Tentulah ketika itu, sebagai kanak-kanak, saya tidak memahami semua perkara itu.

Saya bukan generasi 1960-an, saya adalah generasi 1970-an falam erti kata membesar dan memahami keadaan sekeliling pada tahun-tahun itu.

Namun ketika Mat Kilau keluar dari tempat persembunyian pada Disember 1969, ia mengujakan.

Saya mula membaca mengenainya di muka depan akhbar Utusan Melayu (jawi) yang masa itu mempunyai masthead bertulis “The most influential Malay paper.”

Orang Melayu sememangnya teruja dengan berita ini. Setiap hari dikeluarkan berita susulan.

Antara cerita yang ditampilkan ialah bagaimana Mat Kilau mandi menggunakan embun.

Apa yang menarik bagi orang Melayu ialah perkara-perkara mistik yang dikaitkan dengan ilmu persilatan.

Orang Melayu tradisional yang berperang menggunakan silat turut mempunyai amalan-amalan mistik.

Sejak dari zaman purba lagi, ilmu persilatan mempunyai ilmu mistik dan ini merupakan “teknologi” zaman silam.

Tanpa ilmu mistik, persilatan hanya menjadi suatu seni dan sukan seperti yang ada hari ini.

Ramai orang Melayu suka ambil perhatian terhadap perkara-perkara mistik ini.

Saya sering mendengar kisah-kisah mistik persilatan ini semasa di kampung memandangkaan ada seorang tua pelik tinggal bersendirian di sebuah pondok terpencil yang dikatakan seperguruan dengan Mat Indera, seorang penentang British di Johor pada tahun 1940-an.

Mat Indera menyertai pasukan komunis dan terlibat dengan Peristiwa Bukit Kepong.

Antara kisahnya ialah kemampuan beliau menjadi ghaib dengan hanya berlindung di sebalik helaian daun.

Setelah ditangkap, Mat Indera dihalang menjejak tanah kerana dengannya beliau dipercayai dapat melepaskan diri.

British ketika itu sukar menangkap pesilat-pesilat ini kerana mereka menggunakan ilmu mistik.

Seringkali, hanya melalui pengkhianatan, barulah British dapat menumpaskan mereka.

Tetapi amalan mistik dalam ilmu perang yang bukan hanya berlaku di Tanah Melayu tetapi juga dalam masyarakat tradisi lain di seluruh dunia, baik di Indonesia, Thailand mahupun Afrika.

British juga cabatan seumpama itu di Afrika. Tetapi akhirnya ilmu perang tradisional itu kalah pada teknologi moden.

Mat Kilau meninggal dunia pada tahun 1970.

Majalah Mastika dan Dewan Masyarakat menyiarkan rencana mengenai beliau.

Masa itu saya lebih memahami apa yang dibincangkan.

Pada tahun itu Razak membentangkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diharapkan dapat mengubah negara dengan orang Melayu menguasai perniagaan, pendidikan dan profesional.

Saya seharusnya menjadi sebahagian generasi yang merupakan hasil DEB.

Semangat Melayu adalah tinggi ketika itu menyebabkan Razak dan Barisan Nasional (BN) menang besar pada PRU tahun 1974.

Umno pada tahun 1971 juga menerbitkan buku tebal Revolusi Mental yang dihasilkan oleh satu panel bijak pandai orang Melayu.

Ia memaparkan sebab-sebab orang Melayu mundur dan bagaimana mengatasinya.

Walaupun buku ini bertujuan untuk mengubah mental orang Melayu tetapi ia tidak mengujakan mereka.

Akhirnya ia ditelan zaman dengan begitu saja.

Kisah Mat Kilau tidak kedengaran sehinggalah pada tahun ini apabila filem mengenainya ditayangkan.

Sememangnya golongan yang teruja ini adalah generasi baru, tahun 2000-an, anak kepada generasi tahun 1970-an.

Filem sejarah wajar terus dibikin untuk memperkayakan seni dan budaya negara.
Tetapi cabaran yang dihadapi oleh Malaysia dan orang Melayu sudah berbeza.

Begitu juga, kemampuan dan keupayaan generasi baru tentulah berlainan daripada dulu.

Aktiviti persilatan sudah menjadi seni dan sukan, sementara teknologi menggantikan ilmu mistik.