- Iklan -
Rencana

Pendidikan seksual penting untuk diajar di sekolah

Pelajar perlu mendapatkan maklumat yang tepat dari institusi pendidikan bagi mengelakkan kesalahfahaman dan kekelituan berhubung tubuh badan dan interaksi sosial sesama mereka.

Husna Abdul Razak
2 minit bacaan
Kongsi

Pada hari ini, ramai yang menganggap bahawa pendidikan seks sebagai satu perkara yang taboo dan merupakan suatu aktiviti yang ingin mempromosikan hubungan seksual.

Namun, ini adalah pandangan yang sama sekali salah.

Malah, terdapat beberapa guru yang tidak menganggap ia adalah tugas mereka untuk mengajarnya seperti juga ibu bapa yang tidak mahu anak-anak mereka diajar tentang pendidikan seks di sekolah.

Menurut sebuah laporan di statistik polis pada tahun 2019, statistik menunjukkan remaja berusia antara 13 dan 15 tahun adalah golongan paling ramai menjadi mangsa rogol iaitu sebanyak 264 kes atau 57% sepanjang tempoh itu.

Jumlah ini bukanlah angka yang kecil namun sangat membimbangkan kerana dapat dilihat remaja berusia 13-15 tahun ini sangat mudah terdedah kepada bahaya gangguan seksual dan mungkin kerana mereka tidak mendapat panduan dan penerangan mengenai seksual yang sebenarnya.

Pendidikan seks sangat diperlukan di sekolah untuk membendung isu sosial seperti antun seksual, kehamilan remaja, perkahwinan kanak-kanak dan keganasan seksual sama ada di alam maya atau di dunia realiti.

Penulis juga berpendapat bahawa pendidikan seks penting untuk membina sikap hormat antara jantina yang berlainan.

Selain itu juga, pendidikan seksual sangat perlu diajar dan dibincang dengan lebih serius di sekolah kerana dapat dilihat di negara kita, seks bebas semakin berleluasa dan tidak dapat dikawal.

Dalam membicarakan isu ini, banyak sukatan pelajaran yang boleh diajar dalam pendidikan seksual seperti memahami dan mengenal diri mereka secara biologi.

Dalam pada itu, signifikan untuk memasukkan pembelajaran seksual di sekolah adalah untuk mencegah jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

Kanak-kanak sering menjadi mangsa kerana mereka sangat kurang pendedahan dan keliru dengan sebarang tindakan seksual yang dilakukan terhadap mereka.

Sesetengah orang dewasa juga masih bersikeras dengan bersikap tertutup dan mengatakan kanak-kanak dan golongan muda boleh belajar tentang perkara ini di rumah.

Namun begitu, pada zaman sekarang maklumat boleh didapati di hujung jari sahaja.

Kesudahannya, maklumat yang mereka perolehi tidak ditapis dan berlainan dengan apa yang diajar di sekolah.

Dengan mengajarkan pendidikan seksual di sekolah, bukan bermakna untuk mengenalkan kepada murid-murid tentang seks semata-mata tetapi ianya bertujuan melengkapkan mereka dengan pengetahuan yang luas, kemahiran, sikap dan nilai yang akan memperkasakan mereka.

Mengapa masih banyak yang hamil di luar nikah dengan umur yang masih belum sesuai untuk menjadi ibu?

Sudah pasti hal ini berlaku kerana kurangnya pemahaman remaja mengenai perhubungan seks yang dibenarkan dalam agama, selamat dan tidak mendatangkan bahaya kepada kepada nyawa dan masa hadapan mereka.

Oleh itu, penulis menyarankan guru-guru sentiasa menerangkan dengan jelas dan mengambil serius mengenai pendidikan seksual di sekolah.

Jika guru terus berdalih dan berlapik dalam menerangkan fakta yang benar, ia akan mengelirukan lagi anak itu untuk memahami realiti yang sebenar.

Berpura-pura buta dengan realiti yang berada di depan mata bukanlah pendidikan.

Apabila sekolah mengambil tanggungjawab dalam mendidik kanak-kanak, mereka sebenarnya
mengajar kanak-kanak dalam melindungi diri mereka sendiri.

Sebagai masyarakat, kita mestilah bergerak menghapuskan pantang larang yang tidak berasas tentang pendidikan seks manakala guru-guru pula mestilah memberikan pendidikan yang lebih daripada hanya sekadar menyelesaikan silibus akademik.

Husna Abdul Razak adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow