- Iklan -
Rencana

Menang puji, kalah caci: Realiti penyokong atlet sukan Malaysia

Penyokong atlet negara sepatutnya menghormati keputusan yang dipilih dalam karier sukan mereka.

Raja Nurdiyana Syairah
2 minit bacaan
Kongsi
Atlet badminton negara Lee Zii Jia menjadi sasaran kecaman peminat sukan itu di media sosial. Gambar: AFP
Atlet badminton negara Lee Zii Jia menjadi sasaran kecaman peminat sukan itu di media sosial. Gambar: AFP

Kehangatan perlawanan sukan badminton dirasai oleh peminat sukan tanah air lebih-lebih bagi pertandingan Malaysia Open dan Malaysia Masters yang diadakan di Malaysia baru-baru ini.

Penulis memilih topik ini untuk dibahaskan kerana penulis sendiri adalah di antara peminat sukan badminton Malaysia.

Sememangnya penulis dibesarkan dengan suasana keluarga yang sangat tegar dalam memberi sokongan buat atlet-atlet Malaysia.

Namun bukan itu yang ingin penulis kongsikan, sebaliknya penulis ingin sekali lagi menekankan kata “menang dipuji, kalah dicaci” di mana inilah hakikat menyedihkan yang penulis sendiri perhatikan sejak kebelakangan ini di mana kebanyakan atlet di Malaysia dipuji, disanjung dan dijunjung jika mereka berjaya memberikan kemenangan namun mereka juga bakal segera dicaci, dikecam dan dikutuk sekiranya mereka kalah atau gagal
menyumbang apa-apa buat rakyat Malaysia.

Penulis ingin khusus kan buat apa yang dilalui oleh atlet sukan badminton negara di mana sejak kebelakangan ini mereka selalu sahaja dikecam oleh netizen di media-media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Begitu juga dengan rakyat Malaysia lain, yang lantang dalam menyuarakan kebencian dan kecaman buat mereka.

Apa yang penulis nyatakan di sini bukanlah rekaan semata kerana penulis sendiri berada di dalam situasi ketika mana ada sebahagian daripada peminat dan penyokong di sekeliling penulis memberikan komen-komen
dan kata-kata yang tidak enak kepada atlet sukan badminton Malaysia.

Bukan itu sahaja, ketika penulis membuat tinjauan di laman sosial Twitter, nama atlet perseorangan badminton lelaki negara, Lee Zii Jia menjadi topik yang hangat dibincangkan.

Berdasarkan ciapan salah seorang pengguna Twitter BadmintonFans8 , yang berkongsi dengan menceritakan suasana di tempat perlawanan badminton diadakan, di mana terdapat penyokong yang hadir ke sana bukan sekadar untuk memberi sokongan namun untuk menyampaikan rasa tidak puas hati dan kebencian buat Lee Zii Jia atas keputusan beliau yang ingin menarik diri dalam pertandingan yang lain.

Hal ini sekaligus dikatakan antara penyebab Lee Zii Jia hilang fokus dan juga semangat.

Perkara ini sangat tidak masuk akal dan penulis sendiri merasakan ini adalah di antara perbuatan yang tidak matang.

Sejauh mana betulnya cerita yang dikongsikan penulis juga tidak pasti. Namun, perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku.

Kita sebagaipenyokong harus ingat bahawa kita adalah penyokong dan di antara tugas penyokong itu
adalah memberi semangat.

Kita perlu ingat bahwa setiap keputusan yang dibuat oleh mana-mana atlet atau badan-badan yang terlibat bukanlah sesuatu yang sepatutnya penyokong masuk campur.

Penulis faham, mungkin terdapat peminat dan penyokong yang terlalu obses ataupun emosional jika atlet kegemaran tidak dapat menghadiahkan kemenangan dan kegembiraan namun haruslah kita yang bergelar penyokong ini ingat bahawa mereka juga tidak mahu kalah dan sentiasa ingin memberikan yang terbaik. Jika kita sedih, apatah lagi mereka.

Sebagai kata akhir, jika penyokong sendiri sesuka hati memberikan kata-kata yang tidak enak kepada mereka, penulis nasihatkan tidak perlulah label diri itu sebagai penyokong.

Penulis sekali lagi ingin mengingatkan kita adalah penyokong maka, kita seharusnnya memberi sokongan buat atlet-atlet negara kita tidak kira apa yang terjadi kerana dengan sokongan itulah yang akan membuatkan mereka terus bersemangat.

Raja Nurdiyana Syairah adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.