- Iklan -
Rencana

Negara perlu penyelesaian tetap bagi isu 'mat rempit'

Masalah lumba haram telah berlarutan selama beberapa dekad tanpa sebarang penyelesaian kukuh bagi membanteras masalah sosial itu.

Mohideen Abdul Kader
2 minit bacaan
Kongsi
Anggota polis trafik dalam operasi Ops Bersepadu memeriksa penunggang motorsikal di ibu negara.
Anggota polis trafik dalam operasi Ops Bersepadu memeriksa penunggang motorsikal di ibu negara.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menuntut pihak berkuasa supaya menghentikan segera ancaman "mat rempit" untuk selama-lamanya.

Masalah lumba haram di jalanan telah berlarutan selama beberapa dekad tanpa sebarang penyelesaian kukuh bagi membanteras masalah sosial itu.

Dengan kejadian di Lebuh Raya Lim Chong Eu baru-baru ini, kini sudah tiba masanya untuk kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan masing-masing perlu untuk bersama-sama mencari penyelesaian yang kekal bagi masalah ini.

Kebanyakan pelumba haram jalanan ini adalah golongan belia dan melakukan semua aksi di atas motosikal mereka tanpa mengambil kira keselamatan mereka dan juga pengguna jalan raya yang lain.

Selain itu, pelumba jalanan ini juga cenderung untuk mengubah suai motosikal mereka menjadi mesin lumba dan pengubahsuaian itu dilakukan oleh pengusaha kedai motosikal.

Oleh sebab itu, kerajaan mesti melarang kedai-kedai ini daripada melakukan sebarang pengubahsuaian.

Pasukan petugas pelbagai agensi perlu ditubuhkan untuk mempertimbangkan bagi menjenayahkan pengubahsuaian motosikal oleh pengusaha kedai, sementara motosikal yang dirampas kerana terlibat dalam perlumbaan haram perlu dimusnahkan, dan pelumba haram ini mestilah diarahkan untuk melakukan tugas sosial seperti mana yang diamalkan oleh negara jiran kita Singapura di bawah Perintah Kerja Pemulihan (CWO).

Kebanyakan orang menyalahkan mat rempit kerana disiplin yang lemah di sekolah mahupun di rumah. Semua ini boleh dikesan kembali kepada jenis sistem pendidikan yang kita ada pada hari ini.

Disiplin perlu dipupuk sejak kecil sehinggalah anak-anak menjadi dewasa. Mereka membawa semua yang mereka perolehi di sekolah dan di rumah ke alam dewasa mereka dan ke dunia luar.

Hari ini pihak polis menghadapi kesukaran untuk menguatkuasakan undang-undang kerana penguatkuasaan yang lemah selama ini dan juga kerana sikap berpuas hati dalam mendisiplinkan anak-anak oleh ibu bapa mereka.

Ibu bapa perlu bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka dan mengambil tahu apa yang anak-anak mereka lakukan sepanjang masa. Mereka tidak boleh mengaku bahawa mereka tidak tahu jika anak-anak mereka tidak tidur lagi pada lewat malam sehingga awal pagi.

Pihak berkuasa perlu mendidik ibu bapa muda mengenai perancangan keluarga dan keibubapaan yang baik. Mereka mungkin bergelut untuk mencari nafkah demi untuk memastikan kebajikan keluarga atau jika tidak anak-anak ini adalah daripada keluarga yang bermasalah.

Pihak berkuasa juga perlu tegas dengan para ibu bapa dan menguatkuasakan undang-undang dengan sewajarnya.

Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP).

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow