- Iklan -
Kolum

Apabila penduduk barat merasai sendiri perubahan iklim

Perubahan iklim adalah benar dan nyata, bukan hanya spekulasi para pakar dan aktivis alam sekitar.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Kebakaran hutan berlaku di Sepanyol dan Perancis minggu lalu. 

Di Greece, kebakaran berlaku hampir dengan ibu kotanya, Athens. 

Dengan pasukan bomba sibuk berusaha memadam api yang marak, kelihatan bangunan purba, Parthenon tidak jauh dari situ.

Madrid, ibu kota Sepanyol mencatat suhu 40 darjah, tertinggi dalam sejarahnya. 

Begitu juga London, kepanasannya mencapai tahap melebihi Kuala Lumpur. 

Penduduknya kepanasan dengan kebanyakan rumah di sana tidak mempunyai penghawa dingin.

California di Amerika Syarikat (AS) turut mengalami kebakaran hutan minggu lalu. 

Suhu di Washington sudah sama dengan Kuala Lumpur. 

Umumnya orang di dunia barat sepakat bahawa keadaan ini adalah sebahagian daripada perubahan iklim kerana ia jelas berlaku di depan mata mereka.

Perubahan iklim yang melanda seluruh planet Bumi tentunya turut dialami di bahagian-bahagian lain di dunia. 

Beijing juga mencatat suhu 40 darjah Celsius. 

Sementara suhu di Tokyo juga sudah seperti di Kuala Lumpur.

Perubahan iklim bukan saja berbentuk kepanasan tetapi juga kesejukan. 

Pada musim sejuk lalu terdapat bahagian-bahagian di Jepun yang mengalami suhu lebih rendah daripada biasa dengan penurunan salji berlebihan.

Banjir turut dialami oleh Malaysia, ribut taufan yang luar biasa, gelombang dan air pasang besar turut berkait dengan perubahan iklim.

Apa yang berlaku tahun ini menjadi bermakna kerana ia dapat dilihat dan dirasakan sendiri oleh sebahagian besar oleh penduduk barat. 

Perubahan iklim adalah benar dan nyata, bukan hanya spekulasi para pakar dan aktivis alam sekitar.

Ini kerana apabila ia berlaku di dunia ketiga, ia tidak begitu dirasakan oleh penduduk barat. 

Dunia ketiga dirasakan begitu jauh dan tidak berkaitan dengan mereka walaupun media barat sekian lama menyiarkan maklumat sama ada berbentuk berita dan dokumentari. 

Sememangnya kesedaran mengenai alam sekitar berasal dari barat dan ia lebih meluas serta kukuh berbanding di dunia ketiga. 

Tetapi terdapat sebahagian besar penduduk mereka menafikan realiti perubahan iklim. 

Lebih-lebih lagi dalam kalangan korporat yang mempunyai kepentingan dengan bahan api fosil. 

Mereka menganggap isu perubahan iklim ini merupakan konspirasi golongan kiri mahu menafikan pihak korporat daripada meraih keuntungan dengan mengemukakan pelbagai undang-undang.

Pihak korporat ini membiaya saintis untuk melakukan penyelidikan bagi membuktikan bahawa perubahan iklim ini tidaklah seburuk yang digambarkan oleh para pendukung alam sekitar.

Mereka juga melancarkan kempen media untuk menimbulkan keraguan dalam kalangan orang ramai terhadap perkara ini.

Akibatnya sebagai contoh, mereka berkempen supaya Donald Trump menang pilihan raya presiden pada tahun 2016. 

Beliau dan Parti Republikan tidak mendokong usaha menangani perubahan iklim. 

Di peringkat dunia, pada masa pentadbiran beliau, AS menarik diri daripada perjanjian antarabangsa untuk menangani pemanasan global. 

Walaupun Presiden Joe Biden dan Parti Demokratik berpendirian untuk memulihkan kedudukan AS dalam usaha menangani perubahan iklim, tetapi beliau menang tipis dalam pilihan raya lalu. 

Maknanya terdapat sebilangan besar rakyat AS tidak mengambil berat mengenai perubahan iklim ini.

Peranan AS dalam menangani perubahan iklim ini adalah penting kepada dunia. 

Bukan sahaja ia merupakan negara paling berkuasa tetapi daripada mereka banyak kesan yang menyumbang kepada perubahan iklim.

Di Eropah, perdebatan mengenai perubahan iklim ini terus berlaku walaupun banyak negara di sana lebih maju daripada AS dalam usaha-usaha berhubung alam sekitar, terutamanya negara-negara Scandinavia. 

Belanda pula sudah menggunakan sepenuhnya tenaga bukan minyak. 

Tetapi Poland masih menggunakan bahan api batu arang. 

Namun di peringkat politik Eropah, parti-parti beraliran kanan yang kurang berminat terhadap isu alam sekitar adalah popular.

Malah di dunia barat berlaku pertembungan antara golongan pro-sains dengan mereka yang menolak sains (deniers). 

Ia merupakan suatu yang ironi kerana tamadun barat berdiri di atas tradisi revolusi sains.

Sememangnya cabaran perubahan iklim bukan saja berpusat di barat kerana apa yang berlaku di bahagian lain planet ini adalah lebih mencabar kerana keluasannya. 

Kalau hanya Amerika Utara, Eropah dan Australia yang bertindak untuk menangani perubahan iklim, mereka tetap tidak dapat melakukannya. 

Ini kerana bahagian lain dunia iaitu Amerika Tengah, Amerika Selatan dan Asia adalah lebih luas. 

Tetapi kepimpinan, sumber ilmu, teknologi, dana dan lebih penting lagi azam politik tetap perlu datang dari barat. 

Negara-negara lain akan mengikutinya. 

Kejadian-kejadian berkaitan perubahan iklim bukan saja berlaku pada tahun ini. 

Pada tahun lalu berlaku kebakaran hutan di Australia, Itali dan Turki. 

Malah ia berlaku juga pada tahun-tahun sebelumnya. 

Cumanya ada pihak beranggapan bahawa ia merupakan kebakaran hutan biasa, dan bukannya berkaitan dengan perubahan iklim.

Tetapi pada tahun ini, kebakaran hutan berlaku seiring dengan ketinggian suhu di banyak tempat di dunia. 

Apabila ia pula berlaku di barat, maka ia sukar dinafikan.

Kejadian-kejadian lain yang berlaku dalam masa 10 tahun lalu termasuklah pencairan ais di kawasan Artik dan Antartika, pengurangan glasier di gunung-gunung Alps dan kenaikan paras laut. 

Mereka pula memberi kesan kepada bilangan haiwan.

Namun begitu, soal perubahan iklim ini hanyalah kemuncak pada isu-isu alam sekitar yang lain seperti pemanasan global, kepupusan hutan (deforestation), ancaman sampah sarap dan pencemaran udara. 

Isu ini pula berkaitan dengan kelakuan manusia, daripada kehidupan materialistik, budaya konsumsi dan kerakusan serta ketamakan dalam kerangka kapitalisme.

Kebakaran-kebakaran hutan di AS, Sepanyol, Perancis, Itali, Greece, Turki dan Australia mengurangkan lagi pokok-pokok di planet Bumi. 

Kekurangan pokok pula menambahkan lagi pemanasan global. 

Seterusnya ia membunuh haiwan-haiwan termasuk serangga seperti lebah yang akhirnya akan menjejaskan pengeluaran makanan manusia.

Tetapi lebih serius lagi ialah pelupusan hutan di kawasan tropika yang terdiri daripada negara-negara membangun. 

Mereka perlu membersihkan hutan untuk mendapatkan hasil balak dan membuka ladang bagi pertumbuhan ekonomi.

Sedangkan hutan-hutan tropika seperti kawasan Amazon di Amerika Selatan, Congo di Afrika dan pulau Borneo di Asia merupakan jantung Bumi. 

Walaupun hutan di Malaysia adalah jauh lebih kecil daripada mereka tetapi sumbangannya kepada Bumi tetap penting. 

Pada waktu ini, adalah wajar hutan yang masih ada di negara ini dipertahankan dan dipelihara. 

Pelupusan hutan mesti dihentikan.

Perubahan iklim semula jadi tidak boleh dihalang. 

Tetapi apa yang berlaku sekarang adalah sebahagian besarnya berpunca daripada manusia. 

Kini ia juga tidak dapat dihalang. 

Manusia sudah terlambat untuk menghalangnya. 

Apa yang boleh dilakukan sekarang ialah terus berusaha untuk mengurangkannya daripada keadaan menjadi lebih teruk.

Langkah paling perlu disegerakan ialah usaha untuk beralih daripada bahan api fosil kepada sumber tenaga alternatif. 

China, Indonesia dan Poland masih menggunakan arang batu. 

Tetapi cabaran besar ialah hendak mengurangkan penggunaan minyak, dengan beralih kepada kenderaan yang menggunakan elektik.

Belanda kini menggunakan tenaga suria dan angin secara menyeluruh. 

Rakyatnya digalakkan menggunakan basikal dengan kerajaan menyediakan infrastruktur untuk  itu. 

Tenaga angin pula menjadi sumber tenaga bagi tren di negara itu.

Usaha ini memakan masa dan barat perlu melakukannya supaya negara membangun akan mencontohinya. 

Pada waktu yang sama, penyesuaian diri terhadap perubahan iklim pasti berlaku. 

Ia merupakan suatu yang tidak menyenangkan.

Generasi yang ada sekarang sudah tidak akan ada lagi apabila kesan perubahan iklim yang besar melanda Bumi nanti. 

Ini termasuklah golongan korporat yang menolak realiti perubahan iklim. 

Generasi akan datang terpaksa menghadapinya dengan ciptaan teknologi pada zaman mereka.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.