- Iklan -
Rencana

Selepas langkah penjimatan kerajaan, Umno terus desak bubar Parlimen

Ketika suasana politik semakin bercelaru, pemimpin Umno seakan tidak peduli dengan kesukaran hidup rakyat.

Fahd Amer
2 minit bacaan
Kongsi

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob terus didesak untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) segera sementara keadaan semasa berpihak kepada Umno. 

Kalau tidak Barisan Nasional (BN) seolah-olah memberi peluru kepada musuh politiknya, kata Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan. 

Sekurang-kurangnya selepas pembentangan Belanjawan 2023 pada Oktober ini, kata Mohamad yang sekali lagi mencuba nasib mendesak Ismail yang kelihatan tidak berminat dengan cadangan Majlis Tertinggi (MT) Umno itu.

Pimpinan Umno menuntut janji Ismail yang lantang berkata ketika berucap di Perhimpunan Agung Umno (PAU) bahawa beliau tidak akan menunda walau sesaat pun untuk membubarkan Parlimen untuk mengadakan PRU15, jika masanya dirasakan sesuai. 

MT Umno merasakan inilah masa yang sesuai Parlimen dibubarkan sebelum pemilihan parti dibuat. Tambah lagi apabila wujud pula isu kelulusan kepada pindaan perlembagaan Umno. 

Banyak lagi “panadol” patut disediakan kepada “kluster mahkamah” yang mahu percepatkan PRU15 walaupun Ahmad Maslan berkata Umno mempunyai “pelan B”. 

Pada ketika suasana politik yang semakin bercelaru, pemimpin Umno macam tak kisah dengan kesukaran hidup yang dihadapi oleh rakyat. 

Baru sahaja lega dengan tekanan akibat pandemik Covid-19, belum pun pulih sepenuhnya kerajaan nak dibebankan lagi kos yang tinggi untuk mengadakan PRU15.

Pada 2020 sewaktu Azhar Azizan Harun masih lagi pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) beliau berkata kos untuk mengadakan pilihan raya umum adalah sekitar RM750 juta hingga RM800 juta. 

Cuba cakna sikit dengan apa yang kerajaan sedang buat bukan menonong membuat desakan pada masa yang tidak sesuai, hanya untuk kepentingan Umno dan bukannya rakyat seluruhnya. 

Kerajaan minggu lepas mengeluarkan Garis Panduan Penjimatan Perbelanjaan Awam seiring mengoptimumkan perbelanjaan.

Garis panduan itu menyatakan bahawa kementerian, jabatan, agensi, badan berkanun persekutuan serta syarikat terhad dengan jaminan (CLBG) hendaklah menyusun semula program atau aktiviti dan menguruskan aliran tunai mengikut keutamaan dengan memastikan tidak membuat “trade-off” ke atas program dan aktiviti yang mengfokuskan kepada kesejahteraan rakyat.

"Kerajaan telah mengambil langkah untuk melaksanakan subsidi barangan perlu (essential goods) serta kawalan harga bagi mengurangkan impak inflasi dunia kepada negara dan rakyat.

"Peningkatan subsidi sedia ada terutamanya produk petroleum dan minyak masak serta subsidi baharu seperti elektrik dan ayam telah menyumbang kepada peningkatan perbelanjaan kerajaan.

"Perbelanjaan bagi bantuan dan subsidi diunjurkan mencecah RM77.7 bilion berbanding dengan peruntukan RM31 bilion yang diluluskan dalam Bajet 2022.

"Dengan itu, kerajaan seharusnya melaksanakan langkah-langkah penjimatan perbelanjaan bagi membantu membiayai sebahagian perbelanjaan tambahan berkaitan subsidi demi kesejahteraan rakyat," memetik kandungan dokumen tersebut.

Antara yang dinyatakan dalam dokumen tersebut termasuk sasaran Kementerian Kewangan melaksanakan penjimatan peruntukan mengurus sekurang-kurangnya 5%.

Antara penjimatan yang digariskan termasuk melibatkan perjawatan, kontrak, elaun, aset, penganjuran acara, iklan, pelaburan, rizab dan perbelanjaan pembangunan.

Cuba tengok fakta di atas dan bandingkan nota keperluan untuk disegerakan PRU15 sama ada untuk rakyat atau untuk memenuhi agenda Umno untuk berkuasa semula?

Kalau Umno berjuang untuk kebajikan rakyat, sepatutnya ia cakna dengan masalah dan masa depan rakyat bukan hanya tahu berdebat mengenai strategi politik yang sesuai atau tidak.

Fahd Amer adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow
 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.