- Iklan -
Rencana

Mengapa saya tinggalkan DAP?

Pada satu tahap, perjuangan DAP tidak lagi dapat dipertahankan.

Mahdzir Ibrahim
4 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki berdiri di belakang kibaran bendera DAP. Gambar: AFP
Seorang lelaki berdiri di belakang kibaran bendera DAP. Gambar: AFP

Seperti sebuah perkahwinan, ketika melafaz ikrar dan ijab kabul, kita dan pasangan tak pernah terlintas di hati untuk berpisah ketika di pertengahan jalan.

Ketika mahu berpisah, kita juga tak menyangka bahawa pada satu tahap, kita akan membuat keputusan untuk berpisah.

Dan setelah berpisah, kita tak menyangka rupanya kita sanggup untuk berpisah.

Akhirnya, hidup ini tentang membuat keputusan dan memilih. Sama ada kita memilih kerana berharap akan ada masa depan yang lebih baik, atau kita memilih semata-mata kerana mahu keluar dari kelelahan hidup dari pasangan kita.

Untuk memahami dan memulakan suatu naratif, pasti ada latarnya. Dan latar ini duduk pada garis masa yang tidak boleh terpisah. Saya tidak dapat mengelak jika tulisan ini dilihat oleh pembaca sebagai mengungkit kisah buruk "pasangan" lama saya – parti DAP. 
 
Saya hanya cuba menjelaskan mengapa saya memilih untuk keluar dari DAP. Babak-babak huduh yang saya lalui tak penting untuk dibangkitkan sebagai status Facebook atau Twitter'.

Di awal penyertaan saya dalam DAP adalah sebagai seorang pekerja, bukan ahli apatah lagi sebagai ahli politik.

Namun setelah setahun bekerja, saya kemudiannya menyertai parti secara rasmi.

Dari sini, bermulalah cabaran baru yang lebih besar apabila berhadapan dengan hagemoni Melayu Umno.

Malah, pengalaman menghadapi politik kebencian dan pembulian ke atas saya dan keluarga juga bermula. 

Kemuncak pembulian ini pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13), setelah saya dicalonkan dan berkempen untuk kerusi Parlimen dibawah bendera roket.

Namun, saya "survive" daripada tekanan psikologi ini dan perlahan-lahan saya dapat mengenali perspektif politik yang lebih luas. Syukur.

Memadai saya katakan, tugas saya ketika itu adalah untuk menggerakkan suatu kerja yang menyeluruh dengan objektif untuk memulihkan imej parti dan meningkatkan sokongan kepada DAP dalam kalangan kaum Melayu. 

Saya bersama pasukan, bekerja sepenuh hati untuk satu matlamat yang jelas. Projek kami digerakkan menerusi kempen secara ketara dan juga tidak ketara (halus).

Kita dapat lihat pencapaian DAP dalam PRU dan penyertaan Melayu dalam DAP pasca 2008.

Pada 2008 kerusi parlimen yang dimenangi DAP sebanyak 28 kerusi. Dan meningkat kepada 37 kerusi pada PRU13 dan naik lagi 42 kerusi pada PRU14 yang lalu.

Malah calon dan wakil rakyat Melayu juga bertambah. Secara purata sokongan dan undi popular DAP naik berganda setiap kali PRU.

DAP memang sangat konsisten dan gerak kerja sangat tersusun. Bagi saya, ini kejayaan kerja berpasukan.

Namun, setelah menang dan menjadi kerajaan pada 2018. Saya melihat warna perjuangan politiknya sudah mula berubah dengan agak mendadak.

Ketika semua sibuk mengurus kuasa politik, parti tidak lagi serius untuk menyantuni orang Melayu seperti mana agenda asal, ketika saya mengambil tanggungjawab ini. 

Saya mahu memberitahu bahawa "bebalisme" ini wujud dalam banyak parti politik termasuk DAP yang dianggap mempunyai gerak kerja yang mantap dan digambarkan sebagai parti masa depan yang progresif dimata rakyat atau pengundi.

Bebalisme ini dizahirkan dalam hipokrasi politik yang sistematik.

Saya akhirnya dapat membaca hipokrasi ini apabila ideologi "Jalan Tengah" dan usaha mengintegrasikan hubungan antara kaum tidak terzahir, malah idea ini tidak dapat menjawab apatah lagi menyelesaikan isu sekolah vernakular. 

Sekolah vernakular bukan isu pendidikan, sebaliknya isu politik".

Keterikatan DAP bersama sokongan pengundi Cina dan pertubuhan pendidikan Cina sebagai pemegang taruhnya, adalah seperti aur dengan tebing. Tak mungkin berpisah.

Contoh lainnya, DAP mahu Malaysia melahirkan satu budaya baru, yang lebih meraikan kepelbagaian kaum.

Rupa-rupanya ada di kalangan pemimpin kanan parti bersungguh-sungguh mempromosikan tradisi dan sejarah negara China atas hujah ekonomi dan perdagangan.

Mereka juga mahu menolak politik perkauman, tetapi mereka juga yang terus memberi muka kepada pemimpin yang anti tulisan Jawi, anti songkok, anti anugerah Dato, dan anti perjuangan atas nama Melayu.

Bagi DAP, semua orang Umno itu rosak, kecuali mereka yang boleh bersama-sama minum air anggur.

Bagi saya, ini bukan parti yang progresif, ini parti hipokrasi. Parti yang juling memahami naratif politik Malaysia yang latarnya adalah politik Melayu kerana negara ini latar sejarahnya ialah Persekutuan Tanah Melayu.

Secara malu-malu, Singapura dijadikan model sebuah pembangunan negara yang "international" dan maju.

Dan kita dapat lihat di Pulau Pinang bagaimana peta penempatan dan pemilikan hartanah orang Melayu pada masa ini. 

Saya tidak ada masalah jika diuji hatta dibuli oleh orang Melayu saya sendiri jika parti ini jujur, tetapi apabila sampai pada satu tahap, saya tidak sanggup lagi mempertahankan sesuatu yang tidak lagi boleh dipertahankan – bebalisme dan hipokrasi politik. Tak boleh.

Malah, modus operandi melatih dan merekrut pelajar dan graduan Melayu sebagai "intern" yang membantu parti dengan kerja-kerja memajukan polisi negara, akhirnya itu hanya drama "fancy" kalau bukan suatu pembohongan. 

Kemuncak bebalisme inilah menyebabkan saya terpisah daripada naratif DAP yang semakin mabuk dengan pelebaran kuasa politik.

Dan untuk saya, keluar parti adalah jalan terbaik. Keluar bererti saya perlu berdikari dan mencari wadah untuk membina naratif baru dalam hidup saya.

Namun demikian, pengalaman ini akhirnya telah mengajar saya mengenali jalur-jalur politik yang berlapis-lapis ini.

Jika saya tidak menyertai DAP dahulu, mungkin saya menolak DAP kerana ikut-ikutan seperti orang buta yang jahil, bukan atas hujah dan pengalaman.

Budaya baik dalam DAP telah mengajar saya bagaimana kita harus bekerja dengan berkesan. Malah saya memahami bahawa dalam politik tiada musuh yang kekal.

Setelah berpisah, saya menyangka bahawa perkahwinan hampir 11 tahun yang runtuh ini akan membuatkan saya terus membujang hingga ke tua. Tetapi di pertengahan jalan, saya bertemu dengan jodoh baru. 

Mengapa saya memilih parti Melayu? Saya akan sambung dalam tulisan yang akan datang, Insya Allah.

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi