- Iklan -
Kolum

Crème de la crème

Kami adalah pendatang baru yang wajib mengenal MCKK.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Bila minggu orientasi selesai aku mula menyesuaikan diri dengan gaya hidup baru di Malay College Kuala Kangsar (MCKK). 

Bukan susah untuk menyesuaikan diri dan mengikut rentak baru ini. 

Buka mata, buka telinga dan ikut.  

Aku yang tidak pernah memiliki jam tangan mendengar loceng untuk dijadikan panduan waktu.

Pelajar baru dari tingkatan empat juga sudah selesai diorientasi bersama.

Kelas bermula. Dalam kelas pelajar baru dan lama makin intim berkenalan. 

Bertanya itu dan ini. Kampung di mana dan sekolah di mana.

Dalam kelas aku, tingkatan enam bawah ada yang sudah berada di MCKK sejak tingkatan satu.

Ada yang masuk bermula tingkatan empat dan ada yang bermula tingkatan enam seperti aku. Mereka “natives” kami imigran.  

Kami adalah pendatang baru yang wajib mengenal MCKK.

Warga asal sejak tingkatan satu sudah rapat bersetia kawan. 

Mereka ada dongeng dan labun, ada riwayat dan sejarah yang kami pendatang baru tidak tahu. 

Ada kisah ini dan kisah itu. Kisah gelap dan kisah terang. Babak dan watak-watak hanya mereka sahaja yang tahu.

Lawak dan cerita-ceriti mereka pendatang baru tidak tahu. Kami boleh dengar tetapi tak faham “punch-line” nya.

Kami semua sudah melintasi 18 tahun. Malah tingkatan enam ini juga dikenali sebagai pra-universiti. Ini bermakna kami sedang masuk ke zaman muda remaja. 

Zaman menanggalkan kelongsong zaman kanak-kanak. Zaman aku mandi telanjang atas jambatan di tepi jalan, bila kereta lalu terjun ke dalam sungai. 

Dua tangan menutup kangkang untuk menyorokkan punai.

Aku perlahan-lahan cuba menyesuaikan diri. Tapi bila loceng petang berbunyi aku menjadi tidak selesa. 

Kawan-kawan dari Dorm 20 ajak aku sembahyang berjemaah. Sembahyang Maghrib berjemaah ini satu perkara yang bukan dalam budaya hidup aku.

Sembahyang ini aku lihat sama seperti melihat permainan ragbi atau kriket. Baru untuk aku.

Aku rasa aku wajib menyelesaikan perkara ini.  

Aku tidak mahu diri aku diubah untuk menjadi bukan diri aku. 

Falsafah aku, apa yang aku fikirkan itulah aku.

Akhirnya aku memberanikan hati pergi bertemu dengan Mister Desmond John Tate nama popnya di MCKK hanyalah Mister Tate.

Mister Tate memberi kuliah “general paper” atau kertas am untuk kelas aku. 

Aku memilih untuk bertemu dengan Mister Tate kerana aku rasa seorang  Mat Salleh lebih faham apa yang sedang aku hadapi.

Di petang  minggu ketiga aku bertemu Mister Tate. 

Di hari itu dia menjadi “duty master”. 

Setiap hari di MCKK  ada guru berganti-ganti menjadi duty master. 

Bertugas dari pagi hingga lampu padam. Juga Duty Master akan makan malam di “high table”bersama kami.

“Sir, I think I don’t want to stay here. I’m not so sure, here.” Aku meluahkan perasaan.

Mister Tate memandang muka aku. Dia tidak berkata apa apa untuk beberapa ketika. 

Kemudian bersuara. “Why? Why Hisham? Where do you want to go?”

“Maybe I’ll go back to Seremban. There is KGV.” Aku menjawab cepat.

“Hisham, so many people want to come here. But you wanted to leave, why?” Mister Tate bertanya dengan penuh kehairanan atas keinginan aku.

Aku senyap tidak menjawab. Aku tidak berani berkata jujur kepada Mister Tate kenapa aku mahu meninggalkan MCKK.

“Not every one could come here. You’re specially selected.” Mister Tate masih ingin meyakinkan aku.

Kami berjalan hingga sampai ke gelanggang badminton di hadapan Dorm 20.

“I’m not use to light out at night. And the bell.” Aku berbohong kepada Mister Tate.

“Hisham, stay for one term. You will like it. Try one term, after that we  will discuss it again. Don’t think of KGV, you’re here in MCKK. You are MCKK Boys.”  

Mister Tate menyampaikan  nasihat.

Aku tidak faham apa makna “MCKK Boys” yang dikatakan oleh Mister Tate.

Satu malam pada minggu ketiga ketika prep sedang berjalan tiba-tiba muncul seorang pelajar tingkatan enam atas meminta semua kami pendatang baru pergi ke bilik bawah paling hujung.

Aku merasa risau juga. Apakah orientasi belum selesai? Kenapa waktu malam kami dipanggil?

Sepuluh orang kami berduyun mengekor pelajar tingkatan enam atas itu. 

Kami dibawa masuk ke bilik darjah paling hujung. 

Bila kami masuk aku lihat pendatang baru dari aliran sains sudah masuk lebih awal.

Aku tak tahu apa yang akan berlaku.  Kami semua senyap tak ada siapa berkata apa-apa. Kami merasa kami akan diorientasi oleh senior sekali lagi.

Di meja guru ada nampak ada Kassim Ahmad, kepala minggu orientasi, Nazri, Rahman Adnan dan dua lagi senior yang aku tidak  tahu namanya.

“Selamat datang. Nazri dan Rahman hang dah kenal masa orientasi, yang ni Hamzah Zain dan Affandi. Dia nak beri ucapan kepada kamu semua.” Kassim yang memakai baju Melayu hijau lembut berkain pelikat dan bersongkok hitam menjadi pengerusi majlis malam itu.

Semua pendatang baru senyap. Kami tidak tahu apa yang akan berlaku.

“Why are you here? Why? Why? Kenapa  kamu di sini? Kamu tahu atau tidak?” 

Hamzah Zain mula bersuara. Dia berdiri seperti guru di hadapan bilik darjah. Aku ingat lagi dia memakai seluar baju Melayu kelabu dan bersongkok hitam.

“You are selected. You are special. You are crème de la crème.” Hamzah meneruskan ucapan.

Aku mendengar aku faham tapi aku tak faham apa maknanya crème de la crème. Cream ini aku tahu minyak rambut atau ais krim. Crème de la crème ini satu yang amat baru untuk aku.

“Crème de la crème, kamu semua ini Melayu yang dipilih, dari semua Melayu. 

“Kamu ini  special. The cream of the Malays. You are the best. Do you know what is MCKK? Why MCKK?” Hamzah Zain berucap dengan penuh keyakinan.

Aku budak kampung dari Jelebu mula faham apa yang sedang berlaku. Semangat MCKK dan semangat Melayu sedang ditanamkan.

“You are the best. You are selected because you are the best. MCKK is the best school. You are MCKK boys. Now, keep the tradition!” Hamzah menyambung ucapan.

Sekali lagi aku terdengar ayat “you’re MCKK Boys”.  

Siang melalui Mister Tate malam daripada Hamzah Zain.

“You are now member of form six union. We have  all the faciliites. Ada reading room, ada newspaper. Ada TV. 

“Di Pavilion, you are all welcome to Pavilion.” Rahman Adnan mencelah.

Lima sosok senior ini semua berdiri di hadapan kelas. Kassim yang tadi duduk di meja guru bangun.

“Ingat kenapa kamu di sini? Apa tugas kamu sebagai MCKK Boys? Keep our tradition, jangan lupa kamu semua ini dipilih. Masuk ke MCKK kerana kamu adalah Melayu yang terbaik. Kamu semua ini Melayu terpilih.” Affandi akhirnya bersuara.

Loceng prep berakhir kedengaran. Taklimat atau lebih tepat lagi penamat minggu orientasi selesai. Malam itu banyak bahan masuk dalam kepala.

Kami pendatang baru senyap tidak bersembang atau bertukar pandangan tentang apa yang berlaku. Kami hanya menerima, junior menerima pandangan senior.

Apa yang jelas kami sudah diterima sebagai MCKK Boys

Apa tradisi MCKK – masih kabur dalam fikrah aku. 

Kepala aku masih mengarah ke Seremban. Masih mengarah ke KGV. Sekolah KGV ini tak pernah aku jejaki hanya aku lihat dari atas Bas Lim yang melintas di hadapan KGV ketika perjalanan dari Seremban ke Kuala Klawang.

Dua hari kemudian aku memberanikan hati bila loceng petang berdering aku sudah siap mandi. Kemudian aku bersongkok, berseluar berbaju Melayu biru muda menapak dari Dorm 20 menuju Pavilion. Waktu Maghrib belum bermula.

Sampai ke Pavilion aku menuju ke bilik rehat. Betul seperti yang dijanjikan olen Rahman Adnan, ada akhbar Utusan Malaysia, Straits Times, Berita Harian dan TV.

Ketika aku sampai bilik rehat kosong. Peti TV ada, tapi aku tidak melayan TV. 

Tahun 1969 di Jelebu bukan sahaja tidak ada TV, elektrik pun masih belum masuk. Hanya pekan Kuala Klawang yang ada elektrik.

Aku mencapai Utusan Malaysia. Akhbar langganan keluarga Zaleha Rais. Dari huruf Jawi hingga beralih ke Rumi aku sudah berkenalan dengan Utusan. Aku dibesarkan oleh Utusan.

Petang itu aku leka membaca Utusan di Pavilion.

Loceng kedengaran. Para senior turun dari bilik atas menuju ke dewan makan. Aku pun turut sama berjalan kembali ke arah Dorm 20.

Kawan aku Ghani sudah bersedia hendak ke dewan makan.

“Kat mana tadi?” Ghani bertanya.

“Pavilion.” Aku jawab ringkas.

“Ada apa? Siapa ada di sana?” Ghani bertanya.

“Baca Utusan.”

Semenjak petang itu aku tiada masalah bila Maghrib sampai. Baju Melayu, kain sarung dan songkok yang aku pakai adalah budaya Melayu, bukan budaya Arab.

Bertemu Pavilion menjadikan aku selesa di MCKK. Aku menjadi tenang dan selesa. 

Aku merampas kembali diri aku yang hampir terlucut. Aku menjadi “aku” kembali.

Terima kasih Pavilion kerana menyelamatkan aku. 

Kini aku hanya menumpukan mata dan telinga aku untuk memahami apa itu MCKK Boys dan apa itu crème de la crème.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.