- Iklan -
Rencana

Membina kembali naratif politik Melayu dengan melawan rasuah

Orang Melayu marah dengan skandal rasuah, tetapi marah-marah sayang.

Mahdzir Ibrahim
3 minit bacaan
Kongsi
Pihak pendakwaan membawa fail dokumen kes rasuah 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: AFP
Pihak pendakwaan membawa fail dokumen kes rasuah 1MDB melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Gambar: AFP

Masalah rasuah di Malaysia bukan lagi soal persepsi, pesuruhjaya SPRM seharusnya lebih tahu.

Selepas skandal terbesar negara 1MDB yang melibatkan puluhan billion wang rakyat, kita dikejutkan sekali lagi dengan skandal kapal LCS untuk tentera laut (TLDM) yang melibatkan sejumlah RM6 billion wang rakyat.

Jika not RM100 sebanyak RM6 billion ini disusun, mungkin boleh merentangi laut dari Kuala Lumpur sampai ke Wellington, New Zealand.

Jika RM6 billion ini diperuntukkan untuk membina rumah rakyat, sekitar 75 ribu buah rumah yang berharga RM80 ribu sebuah boleh siap dibina dalam tempoh kurang dari tiga tahun.

Bagi mereka yang prihatin, hari ini jika minum teh tarik ketika sarapan pagi, akan rasa seperti minum air akar kayu. Begitu pahit rasanya untuk ditelan semua ini.

Kita boleh lihat masalah ini dari pelbagai perspektif. Kita boleh berdebat dan berhujah tentang masalah sistem yang tak telus, atau kerana pentadbiran yang lemah, masalah perasuah yang licik, masalah kecuaian individu hingga hal-hal melibatkan soal perjanjian dan sebagainya.

Namun semua perspektif terhadap masalah ini tidak akan membawa kita ke mana-mana kerana pokok persoalan yang paling besar ialah faktor kegagalan kepimpinan oleh pemimpin Melayu yang dipertanggungjawabkan.

Kenapa saya kaitkan masalah ini dengan Melayu? Adakah saya rasis? Tidak.

Sebabnya sangat jelas iaitu menteri pertahanan orang Melayu, pegawai-pegawai kanan kerajaan juga Melayu, ketua-ketua dan pegawai kanan GLIC yang mengurus juga orang Melayu, mereka semua ini adalah pemimpin dan ketua yang menggerakkan projek besar ini.

Tetapi apabila ini terjadi, seolah-olah ia memberi gambaran bahawa semua ketua dan pemimpin melayu ini jahil dan tidak tahu mengurus sumber negara dengan betul dan amanah apatah lagi nak menjaga soal keselamatan negara. 

Saya ingin beri sedikit gambaran betapa sakitnya bangsa Melayu ini. Ini berlaku lama dahulu, antara tahun 2004/05 (zaman Pak Lah).

Saya ke pejabat menteri untuk menghantar satu kertas kerja bagi satu program kami, kami budak-budak NGO nak mohon dana untuk program kami sekitar RM8 ribu. 

Pegawai menteri mengambil kertas kerja saya dan bertanya berapa saya nak bagi dia.

Saya tercengang kerana dia terus bertanya tanpa melihat kertas kerja saya. Dalam kekecewaan saya bertanya padanya terus terang, kenapa perlu saya bayar hanya untuk hantar kertas kerja kepada menteri?

Mereka menjawab, juga dengan berterus terang. Bagi mereka, inilah sistemnya dan sistem ini untuk nak pastikan sesuatu projek itu dapat dengan lebih mudah dan cepat lebih-lebih lagi pada orang seperti saya, Melayu Islam.

Dengan adanya "pengeras" mereka akan pastikan projek itu saya dapat dengan segera. Saya terdiam mendengar hujah pelaku rasuah ini. Ceritanya habis di situ dan saya keluar tidak kembali lagi.

Ini projek "ciput" yang bawah RM10 ribu. Saya tak dapat bayangkan jika projek itu lebih dari RM1 juta hatta RM6 billion.

Rasuah dalam negara dan kerajaan ketika ini didominasi oleh orang Melayu. Ini hakikatnya walaupun rasanya amat pahit. 

Hanya mereka yang ada akses dengan sumber iaitu pegawai kanan dan pemimpin politik sahaja mampu membuat jaringan (sistem) sebegini.

Dan sistem ini takkan mampu dilawan dengan meletakkan pegawai integriti di setiap jabatan kerajaan. Ia tak boleh ditangani dengan pelbagai surat aku janji, surat deklarasi, surat rasmi atau pekeliling.

Ini semua tak boleh selagi ada pemimpin dan kepala yang akan "bypass" semua halangan-halangan ini.

Rasuah di Malaysia adalah jenayah profesional. Mereka ini kartel, mereka ini scammer terbesar, lebih besar dari kartel dadah. 

Kartel dan scammer ini bergerak bebas dalam pejabat kerajaan atau menteri.

Bagaimana mereka boleh bebas bergerak?

Kerana mereka bergerak dengan meyakinkan kakitangan rendah yang lain menggunakan hujah; mereka buat kerja untuk "Melayu dan Islam".

Seperti saya tulis di sini, kegiatan rasuah ini paling besar dalam negara kita.

Daripada sekecil-kecil benda yang boleh "disembelih" untuk dapat duit pengeras sampailah kepada sebesar-besar alam punya kerja, juga akan digelek dengan kegiatan rasuah.

Dan orang Melayu adalah bangsa yang amat terdedah dan tercekik dengan masalah ini kerana hujah "untuk Melayu dan Islam".

Tidak ada jalan keluar yang lain selain menolak parti dan pemimpin yang jahat dan mengambil keputusan untuk memilih wadah baru dengan barisan pemimpin yang jujur dan amanah.

Walaupun formula ini nampak mudah, tetapi ia suatu jalan yang sangat sukar kerana orang melayu mudah keliru untuk membezakan antara Melayu yang baik dengan Melayu yang jahat kerana faktor "Melayu Islam" itu.

Seperti biasa, apabila pecah skandal besar seperti kapal LCS ini, orang Melayu marah. Tapi marah-marah sayang.

Kenapa? Kerana benda yang sama, yang terima duit rasuah itu Melayu, Islam. 

Bangsa Melayu akan kalah, bukan kerana dijajah oleh orang lain, atau kerana tiada nabi berbangsa Melayu, bukan.

Tetapi kerana orang Melayu lemah dan terus memilih pemimpin yang jahat. Kerana itu Tun M mengambil keputusan menubuhkan Pejuang dan Gerakan Tanah Air kerana kita mahu meletakkan pemimpin yang amanah di tempat yang betul.

Mahdzir Ibrahim adalah ahli Pejuang.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow