- Iklan -
Kolum

Bahaya jika masyarakat meninggalkan sains

Ditambah pula kini ramai ibu bapa lebih mahukan anak memasuki bidang agama.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Lebih 10,000 orang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak hadir peperiksaan tahun lalu. Sementara lebih 45,000 tidak memperoleh sijil kerana gagal mata pelajaran Bahasa Melayu atau Sejarah. 

Dari situ pula dinyatakan bahawa angka lulusan SPM yang enggan melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah adalah membimbangkan. 

Mereka dikatakan tidak berminat untuk belajar lagi kerana lebih gemar bekerja selepas SPM. 

Ini kerana prospek untuk memperoleh pendapatan baik selepas mendapat ijazah adalah tidak menarik. 

Ini berlaku apabila dilaporkan bahawa kesukaran siswazah mendapat pekerjaan dengan gaji setimpal.

Dalam pada itu, dilaporkan bahawa angka pelajar-pelajar yang mengambil aliran sains merosot dan jika berterusan, ia boleh menjejaskan bilangan tenaga kerja dalam pelbagai bidang penting negara seperti perubatan dan kejuruteraan. 

Keadaan ini berlaku kerana siswazah sains dilaporkan sukar mendapat pekerjaan dalam bidang mereka. 

Antaranya ialah doktor yang tidak dapat diserapkan oleh kerajaan dalam perkhidmatan tetap.

Lagi sukar bagi mereka yang dalam bidang sains tulen seperti matematik, fizik dan biologi. 

Mereka hanya boleh bekerja sebagai guru sains. 

Tetapi itupun sukar untuk mendapatkan kekosongan. 

Jika tidak, mereka terpaksa menerima untuk bekerja dalam bidang lain. 

Kesemuanya ini membuatkan pelajar-pelajar menjauhkan diri daripada aliran sains walaupun mereka mampu menguasainya. 

Mata pelajaran sains adalah suatu yang sukar bagi kebanyakan pelajar. Dalam kalangan mereka yang mampu menguasainya pula, ada sebahagiannya tidak berminat. 

Mereka lebih gemar untuk mempelajari bidang profesional bukan sains seperti undang-undang dan perakaunan yang lebih menjamin pendapatan.

Pada tahun 1970-an, kerajaan melakukan paksaan terhadap para pelajar Bumiputera supaya memasuki aliran sains walaupun mereka tidak berminat, asalkan mampu menguasainya. 

Apabila kemampuan mereka bertahap sederhana, tentulah berlaku keciciran yang mana ia menimbulkan kekecewaan ke atas pelajar-pelajar itu.

Tujuan kerajaan pada masa itu adalah mahu membekalkan tenaga kerja yang mencukupi untuk negara yang sedang membangun dan beralih daripada pertanian kepada perindustrian. 

Ia juga untuk mengelak masalah siswazah menganggur. 

Kerajaan tidak akan mampu memberikan pekerjaan kepada semua siswazah aliran sastera. 

Para siswazah perlu bekerja di sektor swasta.

Dari awal lagi kerajaan sedar mengenai kepentingan sains dan teknologi untuk memajukan negara. 

Malah dalam Rukun Negara pada tahun 1970 menyatakan bahawa Malaysia mahu "Membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden".

Satu program pendidikan sains besar-besaran dilakukan. Kelas-kelas aliran sains ditambah. 

Sekolah-sekolah kebangsaan banyak dibina dengan memastikan bahawa ada kelas sains. Guru sains dari Britain turut dibawa masuk. 

Usaha juga dibuat supaya mata pelajaran sains dalam bahasa Melayu dikembangkan. 

Guru-guru sains dari Indonesia dibawa masuk. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diarahkan supaya membangun bahasa Melayu yang boleh digunakan untuk sains. 

Istilah-istilah sains dicipta dan diselaraskan dengan Bahasa Indonesia melalui inisiatif penyeragaman tulisan dengan mereka. 

Buku-buku sains juga diterjemahkan dan diterbitkan.

Kerajaan menubuhkan Sekolah Menengah Sains dan juga Maktab Rendah Sains Mara (MRSM). 

Pelajar-pelajar aliran sains dihantar ke luar negara. 

Universiti Pulau Pinang dijadikan Universiti Sains Malaysia (USM). Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjadi pusat membangun keilmuan sains dalam bahasa Melayu. 

Guru-guru sains di peringkat diploma dikeluarkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Pertanian Malaysia (UPM). 

Institut Teknologi Mara (ITM) juga memberi penekanan kepada sains dan teknologi 

Kini menjelang Hari Kebangsaan ke-65, banyak pencapaian sudah diperolehi. 

Sudah ada ramai doktor dan jurutera khususnya dalam kalangan Bumiputera sementara peluang pekerjaan teknikal adalah luas apabila pelabur masuk dan mewujudkan pelbagai jenis perindustrian.

Namun perkembangan sektor swasta terutama GLC tidak berkembang seperti mana yang diharapkan. 

Ramai siswazah Bumiputera tetap mengharapkan pekerjaan dengan sektor awam. 

Ini kerana ia adalah stabil dan menjamin pencen. 

Sektor awam pula menjadi begitu besar hingga akhirnya kerajaan terpaksa juga mengehadkannya.

Sementara itu, masalah rasuah dan budaya politik negara tidak menggalakkan suasana kegiatan ekonomi yang jujur bagi memberi keyakinan kepada generasi baru untuk berusaha dengan kesedaran bahawa mereka akan memperolehi layanan adil dalam bidang yang diceburi.

Perkembangan digital dan serangan pandemik Covid-19 juga menyentap generasi baru untuk meneroka cara memperoleh pendapatan berbeza daripada apa yang ada selama ini. 

Media sosial menunjukkan bahawa seseorang boleh meraih pendapatan besar dengan menjadi pempengaruh (influencer). 

Maka apa perlunya ijazah? Kalau pendapatan selaku penghantar makanan boleh menyara hidup, apa perlunya sijil SPM? 

Bayangkan kalau ramai anak-anak muda enggan meneruskan pengajian mereka di peringkat ijazah. 

Apabila kerajaan dan industri memerlukan tenaga kerja siswazah, tidakkah negara akan menghadapi masalah?

Perkara ini sudah mula diambil perhatian oleh mereka dalam bidang ini, iaitu dalam kalangan ahli pendidikan dan ekonomi, baik di peringkat kerajaan mahupun akademik. 

Ia sudah menjadi perkara perbincangan di forum dan seminar. 

Tetapi apakah kementerian yang terlibat serta ahli politik mempunyai azam untuk menghadapi gejala ini secara berdepan dan menyelesaikannya? 

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, sebelum pandemik lagi, sudah ada kebimbangan dalam kalangan ahli pendidikan dan betapa merosotnya bilangan pelajar aliran sains. 

Lebih-lebih lagi apabila pelajar-pelajar yang berpencapaian tinggi enggan memasuki bidang itu.  

Ditambah pula kini ramai ibu bapa lebih mahukan anak memasuki bidang agama. 

Bagaimanakah negara akan menghadapi gejala kekurangan tenaga dalam bidang sains ini?  

Tetapi ada satu lagi cabaran berkaitan sains yang lebih besar. 

Ia adalah mengenai kesedaran dan kepercayaan terhadap sains. 

Maksud kepercayaan di sini bukannya iman atau “belief”, tetapi bersangka baik atau “trust”.

Sains bukanlah agama, seseorang tidak perlulah beriman kepada sains. 

Tetapi untuk hidup dalam zaman moden, seseorang wajar menerima sains dalam erti kata ia merupakan sesuatu kaedah yang masuk akal. 

Ancaman kepada literasi sains bukan saja berlaku di Malaysia tetapi juga di negara maju. 

Antara perkara yang berlawanan dengan sains ialah pemikiran pseudo-sains dalam perubatan alternatif dan teori konspirasi. 

Pseudo-sains adalah suatu fahaman yang menampilkan diri sebagai sains tetapi sebenarnya bukan sains. 

Ia adalah sama ada suatu penipuan atau salah faham. Apa yang lebih mencabar ialah pihak ini menggunakan hujah agama. 

Golongan ini sentiasa ada dalam mana-mana masyarakat. 

Selagi ia berada di pinggiran, pemikiran ini kurang menjejaskan. 

Apabila menjadi meluas dan dominan, ia mengganggu usaha masyarakat untuk mengatasi masalah.

Perkara ini dapat dilihat semasa pandemik baru-baru ini. 

Golongan anti-vaksin menjadi vokal dalam media sosial terutama di kumpulan WhatApp kejiranan dan kariah. 

Tentulah ia boleh mengganggu usaha untuk berdepan dengan Covid-19.

Ahli-ahli politik akan mengikut rentak masyarakat. 

Dalam sistem demokrasi, kalau orang ramai menolak penyelesaian sains, maka ahli-ahli politik juga akan mengikut kehendak mereka, demi undi dan kuasa.

Pendidikan sains bermula di tadika lagi dan berterusan ke sekolah rendah dan menengah. 

Mereka yang bukan aliran sains tetap terdedah kepada mata pelajaran Sains Am.

Namun pengaruh pseudo-sains amat kuat. Jadi apa yang dipelajari di sekolah seperti kaedah saintifik akan diketepikan. 

Apabila masyarakat meninggalkan sains, keputusan-keputusan yang mereka buat akan akhirnya menyebabkan negara mengundur ke belakang dalam skala kemajuan global. 

Umpamanya dalam soal menghadapi pemanasan global dan perubahan iklim. 

Pertahanan negara tetap bergantung kepada kapal perang berteknologi canggih dan tentunya tidak boleh mengharapkan semangat keris atau ilmu kebal.