- Iklan -
Kolum

Kesedaran nasional menyambut Bulan Kebangsaan

Dalam keadaan begini, adalah wajar bagi rakyat Malaysia meningkatkan kesedaran nasional masing-masing.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Bulan Kebangsaan yang pada mulanya dinamakan sebagai Bulan Kemerdekaan dicipta pada tahun 2010 untuk merangkumi dua sambutan iaitu Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. 

Rangkuman ini bertujuan merapatkan hubungan perasaan nasional penduduk Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah.

Istilah Bulan Kemerdekaan didapati tidak sesuai kerana wilayah yang menyambut hari ulang tahun kemerdekaan pada bulan itu ialah Semenanjung Malaysia dan Sabah. 

Sarawak menyambut hari kemerdekaannya pada 22 Julai. 

Mengapakah Hari Malaysia tidak dijadikan Hari Kebangsaan? Mengapakah peringatan ulang tahun kemerdekaan Tanah Melayu dijadikan hari kebangsaan untuk seluruh Malaysia?

Sambutan Hari Kebangsaan sesebuah negara tidak semestinya diletakkan pada peringatan ulang tahun pembentukannya. 

Sebagai contoh, Amerika Syarikat menyambut hari kebangsaannya pada 22 Julai yang dinamakannya sebagai Hari Kemerdekaan. 

Sedangkan ia merupakan peringatan ulang tahun kemerdekaan hanya 13 daripada 50 negeri mereka. 

Namun begitu, 13 negeri asal itulah yang mula-mula membentuk Amerika Syarikat dengan Perlembagaan, bendera dan jata negara. 

Apabila negeri-negeri lain yang satu-persatu menyertai persekutuan itu, Perlembagaan dipinda untuk menampung mereka dengan bintang pada bendera ditambah. 

Tetapi jalur “Star Spangled Banner”, nama bendera Amerika itu kekal 13.

Begitu juga dengan Malaysia. 

Asalnya ia adalah Persekutuan Tanah Melayu yang ditubuhkan oleh 11 buah negeri di Semenanjung Tanah Melayu. 

Dalam bahasa Inggeris Persekutuan Tanah Melayu ialah Federation of Malaya dan Semenanjung Tanah Melayu ialah Malay Peninsula.

 Dari segi geografi, Malay Peninsula sampai di Segenting Kra, maka termasuklah Thailand Selatan. 

Tetapi apabila disebut Semenanjung Malaysia, ia hanya merujuk 11 negeri itu.

Persekutuan Tanah Melayu mempunyai Perlembagaan, bendera, jata negara, lagu kebangsaan dan hari kebangsaan. 

Jadi apabila Malaysia ditubuhkan, ada dua jalan untuk dipilih.

Pertama, Persekutuan Tanah Melayu dikekalkan dan bergabung dengan Negara Singapura (State of Singapore), Negara Sarawak dan Negara Sabah dalam Persekutuan Malaysia. 

Ia mempunyai bendera yang menggambarkan empat wilayah dan bukannya 14 negeri. 

Mungkin berbentuk empat jalur dengan ada empat bintang. 

Jata negara pula berbeza daripada apa yang Tanah Melayu ada. Lagu kebangsaan pun lain daripada Negaraku. 

Mungkin lagu Malaysia Raya. 

Maka hari kebangsaan pun ditetapkan pada 16 September dan bukannya 31 Ogos. 

Inilah seperti yang dikatakan sebagai mengikut semangat Perjanjian Malaysia.

Kedua, iaitu jalan yang telah dipilih iaitu menjadikan Persekutuan Malaysia sebagai peluasan Persekutuan Tanah Melayu yang merangkumi Singapura, Sarawak dan Sabah sebagai negeri. 

Dengan itu, Persekutuan Tanah Melayu tidak lagi wujud. 

Bendera Malaysia adalah penambahan bintang dan jalur. 

Jata negara Tanah Melayu ditambah dengan simbol tiga negeri untuk menjadi Malaysia. 

Lagu kebangsaan Tanah Melayu menjadi lagu rasmi Malaysia. 

Hari kebangsaan Tanah Melayu menjadi hari kebangsaan Malaysia. 

Lagipun kalau ikut perancangan, penubuhan Malaysia hendak dibuat pada 31 Ogos 1963 tetapi ia terpaksa ditangguhkan kerana bantahan Indonesia dan Filipina. 

Namun begitu, Singapura dan Sabah mengisytiharkan kemerdekaannya pada 31 Ogos.

Dari awal lagi, terdapat fahaman yang menolak penubuhan Malaysia.  

Dari luar, Indonesia membantah kerana dianggapnya sebagai projek Amerika-British untuk mengepungnya. Filipina pula menuntut Sabah.

Sementara dalam negara, parti-parti pembangkang iaitu Front Sosialis dan PAS menolak penubuhan Malaysia. 

Front Sosialis terdiri daripada Parti Buruh, Parti Rakyat dan Parti Konvensyen. 

Parti Komunis Malaya (PKM) yang masih beroperasi di Selatan Thailand turut menolak penubuhan Malaysia. 

Mereka hanya mahukan penyatuan Malaya dan Singapura.

Rakyat Tanah Melayu menyokong penubuhan Malaysia. 

Mereka memberi kemenangan besar kepada Perikatan dalam pilihan raya umum tahun 1964. 

Di Sarawak dan Sabah, referendum membuktikan kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) bahawa mereka mahukan Malaysia. 

Penentang Malaysia di Sarawak pada mulanya terdiri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP). 

Sementara Parti Komunis Kalimantan Utara (PKKU) dan Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) yang menentang penubuhan  Malaysia masuk hutan untuk mengangkat senjata.

Di Singapura, rakyatnya memberi kemenangan kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam pilihan raya umum pada 21 September 1963. 

PAP merupakan arkitek bersama Perikatan dalam penubuhan Malaysia. 

Barisan Sosialis yang kalah hanya mahu penyatuan Malaya-Singapura.

Walaupun majoriti penduduk Tanah Melayu mendokong penubuhan Malaysia tetapi mereka sukar untuk mempunyai kesedaran nasional (national consciousness) yang meliputi Sarawak dan Sabah. 

Perspektif mereka ialah Malaysia adalah Malaya dengan melupakan dua negeri itu. 

Kerajaan menamakan Sarawak dan Sabah sebagai Malaysia Timur. 

Malaysia Barat ialah Semenanjung Malaysia dan Singapura. 

Tetapi pada tahun 1965, Singapura dikeluarkan daripada Malaysia. 

Nampaknya pemimpin Semenanjung Malaysia dan Singapura tidak memiliki kesedaran nasional yang cukup tinggi untuk mempertahankan kehadiran Singapura di dalam Malaysia. 

Maka kemudiannya tidak ada lagi Malaysia Barat atau Malaysia Timur. 

Apa yang ada ialah Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.

Untuk merapatkan lagi wilayah-wilayah ini, maka disebut bukan sahaja perpaduan 
kaum, yang selalunya merujuk pada hubungan Melayu, Cina dan India di Semenanjung Malaysia tetapi juga integrasi nasional antara Semenanjung Malaysia dengan Sarawak dan Sabah. 

Keadaan sosio-politik Sarawak dan Sabah adalah berbeza daripada Semenanjung Malaysia. 

Tetapi ramai orang Semenanjung Malaysia terlepas pandang hal ini. 

Mereka melihat kedua wilayah itu serupa dengan Semenanjung Malaysia dan memberi layanan yang kurang tepat, berprasangka dan stereotip. 

Kesedaran nasional memerlukan pengetahuan nasional.

Sementara itu, timbul juga rasa tidak puas hati dalam kalangan pihak-pihak di Sarawak dan Sabah. 

Kemuncaknya ialah kemenangan parti pembangkang di Sabah iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS) pada tahun 1985. 

 Walaupun parti ini kemudian menyertai Barisan Nasional, tetapi pendiriannya adalah mereka mahu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dipatuhi.

Di Sarawak, selain menuntut supaya MA63 dipatuhi, kesedaran wilayah (regional consciousness) menjadi lebih ketara. 

Mereka mengadakan sambutan Hari Sarawak sebagai hari ulang tahun kemerdekaan. 

Kalangan di Sarawak dan Sabah mahukan Hari Malaysia diraikan sebagai Hari Kebangsaan. 

Maka pada tahun 2010 kerajaan menjadikan Hari Malaysia sebagai cuti umum untuk disambut di seluruh negara. 

Namun begitu 31 Ogos tetap merupakan Hari Kebangsaan dan juga Hari Kemerdekaan. 

Serentak itu diisytiharkan Bulan Kebangsaan atau Bulan Kemerdekaan untuk merangkumi 31 Ogos dan 16 September.

Walaupun majoriti besar tetap mempertahankan integriti nasional, tetapi suara-suara pemisahan memberi tekanan kepada parti-parti politik. 

Maka kerajaan negeri Sarawak mengisytiharkan bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua negeri. 

Ia juga membawa kepada pengisytiharan bahawa Sarawak dan Sabah disebut sebagai wilayah dan bukannya negeri. 

Selain itu, ia juga membawa kepada jawatan ketua menteri Sarawak dinamakan sebagai premier.

Dalam keadaan begini, adalah wajar bagi rakyat Malaysia meningkatkan kesedaran nasional masing-masing. 

Kesedaran itu bermaksud bahawa negara Malaysia milik bersama seluruh rakyatnya merangkumi seluruh tanah dan air dalam sempadan yang meliputi Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah tidak kira di mana mereka dilahirkan dan tinggal. 

Bulan Kebangsaan inilah untuk diingatkan dan diperbaharui setiap tahun supaya dapat memperbaiki tanah tumpah darah bersama.