- Iklan -
Kolum

Aku Melayu dan 13 Mei

Jika aku berani menolak pengaruh budaya Arab maka aku juga wajib berani menjadi Melayu plural yang terbuka.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada minggu pertama pasca 13 Mei,1969 pelbagai macam khabar angin yang aku dengar daripada kawan sekelas. 

Entah daripada mana sumber aku pun tidak tahu. Walhal kami tiada radio, TV dan akhbar.

Bab Cina–Melayu dan Melayu-Cina ini menjadi perbualan hangat.

Saban petang aku menjenguk ke Pavilion untuk membaca akhbar. Akhbar tak sampai.

Aku ingat lagi tajuk Utusan Malaysia: “Suasana Aman Tapi Tegang”. 

Ini aku baca hampir empat hari sesudah 13 Mei. Akhbar sampai kembali ke Pavilion. Aku mula mendapat maklumat.

Utusan Malaysia memberi ingatan agar jangan mendengar khabar angin. 

Malah satu contoh khabar angin ialah berita Ketua Pengarang Utusan Melan Abdullah mati dibunuh oleh orang Cina.  Walhal mengikut Utusan Malaysia, Melan Abdullah sihat walafiat.

Malay College Kuala Kangsar (MCKK) untuk Melayu ertinya: 500 pelajar MCKK semuanya menganggap diri mereka Melayu.  

Bila 13 Mei sampai aku merasakan semuanya berubah. Aku bukan pelajar original dari MCKK. 

Aku datang dari sekolah yang bercampur, ada Melayu, Cina dan India. 

Ada jantan ada betina. Pasca 13 Mei baru aku terasa kami semua pelajar lelaki Melayu dalam satu bumbung.

Warga yang bukan Melayu hanyalah guru-guru kami.

Aku mula sedar aku berpindah dari wilayah majmuk ke wilayah mono. 

Tapi fikrah aku masih majmuk. Aku dibesarkan dan disekolahkan dalam masyrakat majmuk.  

Aku dibesarkan dalam budaya Melayu plural. Mustahil aku akan melupakan kawan-kawan Cina atau India aku dari Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ).

Malah sebelum ke MCKK ketika aku menunggu keputusan  peperiksaan SC/MCE aku mengembara dengan Lee Keong, budak Cina yang “berhitch hiking” dengan aku.

Dua sosok akhir yang menghantar aku di stesen Bas Lim di Kuala Klawang ketika aku hendak mengambil teksi ke MCKK ialah Verapan dan Lee Keong, budak India dan budak Cina.

Aku merasa diri aku Melayu. Tapi bukan Melayu seperti kenalan baru aku dari Kelantan atau Terengganu. 

Mereka juga sama seperti aku, baru menjadi “budak koleq” tetapi aku merasakan Melayu mereka agak berlainan.

Dari pengamatan aku merasakan Melayu kawan-kawan dari Pantai Timur ini tidak terbuka.  

Pasca 13 Mei ini memaparkan semuanya dengan lebih jelas.

Nasib baik kawan rapat aku Ghani Osman memiliki sikap Melayu terbuka. 

Kawan-kawan aku yang lain seperti Fauzi, Razak dan Jalil dari  Selangor aku lihat lebih terbuka. 

Mereka tidak mengambil sikap anti-Cina yang semberono.

Banjaran Titiwangsa menjadi garis pemisah antara Melayu plural dengan Melayu mono.

Tanpa mengetahui penuh apa terjadi di Kuala Lumpur kami budak koleq dipaksa oleh suasana dan keadaan untuk mengambil pendirian.  

Aku mengambil pendirian: “kerana mereka Melayu maka tidak semesti mereka betul dan baik”.

Pendirian aku ini adalah pengumpulan pengalaman hidup aku. 

Pengalaman aku mengajar aku bahawa wujud  Melayu jahat ada Melayu baik. Ada Cina jahat ada Cina baik.

Lalu aku teringat kembali pengalaman hitch hiking bersama Lee Keong. 

Aku menumpang Kakak India dengan kereta Fiatnya yang membawa aku ke Kampar. 

Lalu aku teringat Abang Cina yang membawa aku naik jeepnya di kawasan lombong di Perak.

Lalu aku teringat aku bermalam, makan minum di rumah Mister Tay di Taiping. Ini rumah keluarga Cina.

Pak Tunggal aku, adik angkat Rais Manaf adalah budak Cina. 

Pak Tunggal aku ditangkap oleh Jepun. 

Pak Tunggal akhirnya diberitakan mati ketika membuat landasan kereta api di Utara Siam.

Malah di rumah mak long, kakak kepada Rais Manaf, setahun sekali Nana – keling hitam dari India akan sampai. 

Nana peniaga kain baju dari Madras akan tidur dan makan minum satu dua minggu di rumah mak long. 

Nana akan tidur di serambi.

Keling Nana dengan bungkusan kain baju di junjung di atas kepala. 

Si Nana akan menapak berjaja kain baju di wilayah Jelebu. 

Justeru Nana selesa menumpang di rumah mak long aku bukan di rumah tumpangan di Kuala Klawang.

Maka aku serasi dan sesuai berkenalan dengan orang bukan Melayu. 

Budaya ini bukan satu yang baru untuk aku. Pak Ngah Aminuddin seorang YB ada anak angkat satu keluarga Cina.

Keluarga Cina ini untuk sementara waktu sebelum membuat rumah sendiri duduk di rumah pak ngah aku di Kampung Petasih Dalam.

Sebenarnya aku sudah merasa stabil menjadi budak koleq duduk di Dorm 20. Aku sudah melupakan niat untuk pulang ke sekolah KGV di Seremban.

Pasca 13 Mei, dengan kestabilan yang aku rasai menjadikan aku mula berani bersuara. 

Aku kembali menjadi diri aku walaupun dalam kelompok yang baru aku temui.

Suara aku suara yang tidak mengambil pendirian Melayu mono. Aku Melayu plural.  

Keyakinan diri aku semakin kukuh. Jika aku berani menolak pengaruh budaya Arab maka aku juga wajib berani menjadi Melayu plural yang terbuka.

Awalnya aku hanya menyuarakan pandangan Melayu aku ini dengan Ghani atau Fauzi atau Jalil. Mereka ini mendengar dan memahami apa yang aku cuba terangkan.

“Ghani, bukan semua Cina jahat. Melayu pun ramai jahat.” Aku berhujah dengan Ghani.

Tiba-tiba aku tidak tahu bagaimana aku dianggap anti-Melayu. Aku dianggap memiliki pandangan yang tidak dikongsi majoriti.

Aku ingat lagi petang itu. Aku dipanggil datang masuk ke Dorm 18.  

Di sini beberapa orang budak koleq “ori” sedang menunggu. Ada ramai yang berkumpul. 

Tapi dua watak protagonis yang tidak akan aku lupakan ialah Halili dan Muhamad Mat Nor.

“Kau ni Melayu ke tidak?” Halili membuka surah.

“Melayu.” Aku menjawab.

“Kau bukan Cina ke?” Halili mengempak.

Soalan yang mustahil aku jawab.

“Kau tahu apa dah jadi sekarang? Melayu di Selangor dah hilang kuasa. Kau masih suka Cina?” Muhamad Mat Nor bersuara.

Aku tidak tahu apa yang berlaku di Selangor. Dari Utusan aku membaca bahawa di Selangor ada kawasan berkurung. Ini langkah darurat pasca 13 Mei.

Aku tidak arif apa maksud Melayu hilang kuasa di Selangor. Aku tahu menteri besar Selangor ialah Harun Idris, dia Melayu.

“Cina nak ambik Selangor. Kita orang Selangor.” Halili menerangkan asal usul dirinya.

“Kau tak sedar ke kita ini Melayu? Nanti Cina berkuasa, mati Melayu. Kamu ini Melayu ke Cina?” Muhamad Mat Nor menekan aku lagi.

Aku merasa diri aku diperkecilkan. Nilai aku cuba dirombak, cuba di bajak. 

Keyakinan diri aku cuba dimusnahkan. Aku kini diorientasi sekali lagi. Kemelayuan aku dipersoalkan.

Tiga empat orang lagi datang berkumpul di sekeliling aku. Aku berdiri tercegat dalam kalangan budak koleq yang ori bukan seperti aku, pendatang baru.

“Kau tahu apa peranan kau nanti? Kau jadi DO nanti, kau jadi pegawai nanti. Kau ada kuasa apa kau nak buat? Kau ini dari MCKK. Kita ini special. ‘creme de la creme’,” Mohamad Mat Nor bersuara.

Sekali lagi aku mendengar ayat creme de creme. 

Dulu dari Hamzah Zain senior aku. Kali ini dari Mohamad Mat Nor rakan sekelas dari aliran sains.

Tiba-tiba muncul Mat Nor. Kami panggil dia Mat Nor Star. Dia masuk dari Sekolah Tuaku Abdul Rahman (Star) di Ipoh. Sama seperti aku pendatang baru.

“Selangor almost fall into Chinese. Hanya satu kerusi, habis Melayu.” Mat Nor Star mencelah.

Aku merasa tertekan. Suara Mat Nor Star yang kuat menjemput lebih ramai mengelilingi aku yang tegak berdiri keseorangan.

“Nanti kau jadi pegawai, DO nak beri sapa kerja? Melayu ke Cina?” Halili bertanya.

“Beri yang ada kelulusan.” Aku menjawab.

“Kenapa tak beri Melayu?” Halili meneruskan hujah.

“Sapa yang boleh, dia dapat.” Aku jawab.

“Ok. Ada budak Melayu ada budak Cina, kelulusan sama. Sapa kau beri biasiswa itu?” Muhamad Mat Nor memberi aku “parable” untuk diselesaikan.

“Tengok latar belakang keluarga.” Aku jawab.

“Woit, kelulusan sama, umur sama, pendapatan keluarga pun sama. Satu Cina, satu Melayu mana yang kau pilih?” Muhamad Mat Nor menaikkan suara yang semakin marah.

Aku sedar aku tahu apa maksud mereka memberi aku teka-teki ini untuk dirungkai. 

Mereka mahu aku menjawab: “Aku pilih Melayu”.

Petang itu jika aku berikan jawapan yang mereka mahu dengar aku akan hilang harga diri. 

Jika aku berikan jawapan, “aku pilih Melayu” bermakna aku bukan lagi diri aku. 

Aku bukan lagi memiliki kebebasan untuk berfikir. Aku jadi pengikut. Kalau aku jadi pengikut maka aku akan terus terpenjara.

Di sini individualisme aku kuat. Jati diri dan keyakinan diri aku kuat. 

Aku tidak memberikan kepada Halili, Muhamad Mat Nor atau Mat Nor Star apa yang mereka mahu dengar.

Aku hanya menunggu apakah aku akan di terajang? Apakah aku akan dipukul? Apakah aku akan disakiti? Aku tegak berdiri mata aku memandang muka mereka.

Sosok-sosok yang mengelilingi aku sudah hilang akal. Aku enggan bermain teater yang mereka pentaskan.

“Blah la dari sini. Cakap budak koleq. Tapi jadi Melayu tak sedar diri.” Muhamad Mat Nor memberi arahan.

Aku mengundur turun pulang ke Dorm 20.

Apa yang berlaku di Dorm 18 tidak aku ceritakan kepada sesiapa pun. 

Tidak pada Jalil. Tidak pada Ghani. Aku telan pengalaman itu untuk memperkukuhkan keyakinan diri aku.

Bulan April masuk. Tiba-tiba aku terdengar bahawa ada beberapa orang  pelajar tingkatan enam mula belajar bersilat.

Aku dengar desas-desus mereka dapat belajar bersilat daripada tok guru silat Orang Kuala.

Berita ini terbocor daripada Wan Magata yang bercerita dalam Dorm 20. 

Tak berapa lama kemudian aku dengar kisah satu gelanggang dibuat untuk latihan silat di belakang Dorm 20.

Maka dari sini muncul kisah kuasa ilmu tok guru boleh mandi minyak panas. Tok guru ditikam tidak mati. Tok guru silat yang kebal.  

Dongeng seperti ini sudah biasa aku dengar.  

Cerita ilmu ghaib, pawang bomoh dan silat bukan sesuatu yang baru untuk aku.  

Termasuk juga cerita selempang merah dan parang terbang.

Cuma di MCKK ada tambahan dengan kewujudan kiyai. Watak kiyai dalam ilmu silat ini tidak pernah aku dengar di Jelebu.

Kawan-kawan aku yang belajar silat dalam gelap ini, mengikut apa yang aku terdengar daripada perbualan mereka, adalah persediaan untuk berlawan dengan Cina.

13 Mei melahirkan kesedaran budak koleq yang kini bersedia bersilat dengan parang terbang.

Sebenarnya aku kurang yakin dengan cerita-cerita ini. 

Malah dari zaman sekolah lagi aku ingin melihat bukti parang terbang atau tok guru yang kebal dari tetakan parang. 

Semua ini aku dengar, seperti aku mendengar kewujudan hantu. Tapi aku tidak pernah melihat hantu.

Tiba-tiba sampai berita baru. Berita tentang  Surat Dr Mahathir Mohamad.  

Aku tidak tahu pun siapa Mahathir ini. Kawan-kawan dalam Dorm 20 semua berborak tentang surat  Mahathir.

Dari tok guru mandi minyak panas kini beralih ke surat. 

Aku menunggu bila agaknya aku dapat membaca surat Mahathir ini.