- Iklan -
Editorial

Yang bersorak dalam kalangan kita

Najib Razak memang layak menjalani hukumannya, namun rakyat Malaysia harus membiarkan peranan sistem perundangan menjalankan tugas keadilannya.

Abdar Rahman Koya
2 minit bacaan
Kongsi

Dalam tempoh 48 jam yang lalu, sebahagian besar penduduk Malaysia dilanda delusi dan kenaifan yang boleh dilihat melalui tepuk sorakan mereka. 

Suasana ini serupa dengan situasi yang berlaku ketika kerajaan Barisan Nasional (BN) tumbang pada 2018.

Ketika itu, ramai meraikannya sebagai kemenangan peribadi, seolah-olah apa yang berlaku adalah revolusi agung yang bakal mengubah setiap aspek kehidupan kita.

Namun beberapa bulan selepas itu, barulah ramai ahli politik dan pengikut mereka yang sebelum itu mendabik dada sedar akan realiti politik dan pentadbiran negara. 

Ini kerana, tiada satu pun pembaharuan atau reformasi bermakna berjaya dilaksanakan.

Kali ini, kita melihat ramai bertepuk bersorak atas nasib malang yang melanda Najib Razak - di mana beliau kini harus menanggung akibat perbuatannya sendiri sambil memikirkan masa depannya di dalam penjara, tanpa kebebasan dan keluarga.

Antara yang bertepuk sorak dengan apa yang terjadi ini adalah ahli-ahli politik yang hanya setahun lalu, secara senyap-senyap mendekati Najib dan rakan kluster mahkamahnya dengan harapan mereka dapat membantu menjatuhkan kerajaan ketika negara bergelut dengan pandemik.

Namun, apabila semakin jelas Najib tiada peluang untuk melepaskan diri daripada pertuduhannya, beliau terus disisihkan seakan pesakit kusta.

Terdapat juga segelintir ahli politik narsistik di samping mereka yang menggelar diri mereka sebagai aktivis, yang tanpa segan silu mengangkat diri kononnya berperanan dalam pendedahan skandal 1MDB, tanpa sedikit pun mengakui usaha besar yang dilakukan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Malah tepuk sorak selepas Najib dipenjarakan semakin menjadi-jadi apabila ada pula yang melancarkan petisyen dalam talian menggesa supaya Yang di-Pertuan Agong tidak memberikan pengampunan kepada Najib.

Hakikatnya, petisyen ini seakan-akan merendahkan kebijaksanaan Agong, dengan dakwaan rakyat Malaysia terpaksa hidup "menahan malu" akibat skandal 1MDB, dan dengan mengekalkan Najib dalam penjara, orang ramai boleh "mengangkat semula kepala dan bangga sebagai rakyat Malaysia”.

Apakah skandal itu cukup bagi melenyapkan rasa bangga kita kepada negara? 

Negara lain berdepan skandal dan penindasan yang lebih teruk namun ia tidak pula menjadi alasan untuk rakyat mereka malu sehingga menundukkan kepala.

Dan bahkan kita tidak perlu berhujah tentang hak Perlembagaan Agong untuk melaksanakan tugas mengikut budi bicaranya. 

Adalah satu kejahilan untuk mengharapkan baginda melaksanakan peranannya berdasarkan angka digital petisyen dalam talian.

Marilah kita berpijak di bumi yang nyata. 

Pemenjaraan Najib bukan pengakhiran untuk memerangi rasuah, sama seperti memenjarakan seseorang kerana meliwat tidak akan dapat menghapuskan perilaku homoseksual dari dunia ini.

Lebih baik jika rakyat Malaysia menghentikan tepuk sorak dan biar undang-undang berjalan seperti mana-mana sistem keadilan bertamadun.

Dan adalah terlebih baik jika ahli politik, yang survival mereka bergantung kepada tanggapan mereka itu putih suci, menutup mulut dan biarkan sistem keadilan berjalan.

Abdar Rahman Koya merupakan ketua pegawai eksekutif dan pengarang MalaysiaNow.