- Iklan -
Kolum

Ahli politik perlukan ‘kesedaran kemerdekaan’ untuk pertahankan negara

Keadaan penjajahan sekarang adalah berbentuk ekonomi dengan cara 'termakan budi'.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Oleh kerana negara ini sudah 65 tahun merdeka, maka rakyat hanya menganggap tarikh 31 Ogos sebagai peringatan sejarah yang disambut dengan kemeriahan pelbagai acara meggembirakan. 

Namun "kesedaran kemerdekaan" atau independence consciousness yang pada tahun 1950-an mendorong sebahagian rakyat negara ini menuntut kemerdekaan sentiasa diperlukan bagi mempertahankan kedaulatan Malaysia.

Kedaulatan hanya wujud apabila negara mencapai kemerdekaan. 

Maknanya sebelum 31 Ogos 1957, negara ini tiada kedaulatan. 

Pada 1 September 1957, barulah Persekutuan Tanah Melayu mempunyai kedaulatan. 

Walaupun proses memiliki kedaulatan itu tidaklah berlaku serta-merta atau diperolehi dalam masa satu hari. 

Ia memakan masa bertahun-tahun tetapi akhirnya kedaulatan diperoleh dengan sepenuhnya. 

Namun pengisytiharan itu merupakan pernyataan niat bagi pihak penjajah British dan kerajaan Malaya untuk menyempurnakan proses pemindahan kedaulatan. 

Dengan kedaulatan, Malaya mempunyai hak sebagai sebuah negara yang merdeka dan bebas untuk menentukan hala tuju dan nasibnya tanpa pengaruh atau gangguan pihak lain dari luar. 

Sebab itu, kedaulatan perlu pengiktirafan dunia, sama ada jiran-jirannya, kuasa-kuasa besar dan juga Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Maka apabila melihat kepentingan pengiktirafan kepada kedaulatan negara, pasti dapat disedari bahawa soal ini wajar dipeduli oleh rakyat. 

Buat masa ini, tentunya Malaysia diiktiraf sebagai negara berdaulat. 

Tetapi di peringkat wilayah, ada dua isu yang menjadi pertikaian. 

Pertama, tuntutan Filipina terhadap Sabah. 

Kedua, ialah tuntutan bertindan ke atas sebahagian kawasan Laut China Selatan dengan ancaman utamanya ialah China menduduki bahagian yang disifatkan sebagai miliknya. 

Ketika Tanah Melayu diisytiharkan merdeka pada tahun 1957; isu-isu ini tidak timbul. 

Malaysia belum diwujudkan dan konsep Zon Eksklusif Ekonomi di laut belum dikemukakan. 

Pada tahun 1957, negara yang tidak mengiktiraf kedaulatan Malaya adalah Republik Rakyat China. 

Itupun kerana Malaya memilih untuk mengadakan hubungan dengan Republik China di Taiwan.

Tambahan pula Parti Komunis China menyokong dan memberi bantuan kepada Parti Komunis Malaya untuk menentang kerajaan di Tanah Melayu. 

Bagi mereka, Malaya tidak benar-benar merdeka. 

Dalam ideologi mereka ada konsep neo-imperialisme dan neo-kolonialsme. 

Maknanya walaupun Tanah Melayu diisytiharkan merdeka tetapi ia masih banyak bergantung pada Britain, khususnya dalam dasar luar, pertahanan dan ekonomi. 

Inilah apa yang dikatakan sebagai penjajahan bentuk baru atau neo-kolonialisme. 

Britain dilihat tidak melepaskan tanah-tanah jajahannya secara penuh. 

Malaya masih ada ikatan dengan Britain sebagai anggota Komanwel. 

Bagi mereka Britain mengubah empayarnya kepada suatu sistem baru yang dinamakan Komanwel. 

Walaupun negara-negara anggotanya merdeka dan berdaulat tetapi dalam banyak perkara ia berkaitan dengan Britain, khususnya mengenai ekonomi. 

Umpamanya syarikat-syarikat besar British masih mempunyai ladang-ladang di Malaya, dan daripadanya, ia turut menyumbang kepada Britain.

Kini ia tidak lagi menjadi isu.

Republik Rakyat China mengiktiraf Malaysia. 

PKM sudah pun dibubarkan. 

Pertahanan negara tidak berada di bawah Britain atau Komanwel. 

Dasar luar negara juga bebas ditentukan oleh kerajaan yang bertanggungjawab kepada Parlimen. 

Ladang-ladang kelapa sawit juga dimiliki oleh syarikat-syarikat Malaysia. 

Kuasa besar yang mengutarakan konsep neo-imperialisme iaitu Soviet Union juga sudah berada dalam lipatan sejarah.

Jadi apabila kedaulatan negara sudah tidak menjadi isu ketika negara menyambut Hari Kebangsaan ke-65 ini, maka semakin sayup-sayup konsep "kesedaran kemerdekaan". 

Hinggakan apabila disebut hari merdeka, acapkali ia dikaitkan dengan kebebasan pada jiwa individu. 

Maksudnya konsep "jiwa merdeka" adalah sikap atau nilai seseorang supaya bebas dan tidak terpengaruh kepada nilai-nilai asing. 

Namun istilah merdeka dari sudut politik adalah kebebasan sesebuah tanah jajahan mencapai kemerdekaan. 

Dalam bahasa Inggeris, merdeka diterjemahkan sebagai independence. 

Namun konsep merdeka dan independence adalah berlainan. 

Kalau diterjemahkan betul-betul perkataan independence, ia bermaksud "tidak bergantung" atau boleh juga disebut sebagai berdikari.  

Maknanya setelah 31 Ogos 1957, Malaya sudah tidak bergantung pada Britain dan ia berdikari. 

Tetapi dalam bahasa Melayu, merdeka bukan maksud tidak bergantung tetapi ia juga membawa makna bebas. 

Maksudnya Malaya bebas daripada penjajahan.

Jika tidak ada "kesedaran kemerdekaan" dalam kalangan rakyat Malaya, maka tidak ada tuntutan untuk itu, maka Britain mungkin terus kekal menjajah negara ini seperti mana ia terus memegang wilayah-wilayah lain di seluruh dunia. 

Di Malaya ketika sebelum Perang Dunia Kedua, bukan saja golongan pejuang kemerdekaan amat sedikit tetapi mereka juga menjadi sasaran intipan dan tekanan daripada pihak berkuasa kolonial. 

Mereka yang memperjuangkan kemerdekaan dianggap sebagai penentang Empayar British yang perlu dilumpuhkan.

Dalam masyarakat Melayu, "kesedaran kemerdekaan" dikesan dalam kalangan sebuah pertubuhan bernama Kesatuan Melayu Muda (KMM). 

Mereka yang merupakan golongan terpelajar dari Kolej Latihan Sultan Idris di Tanjung Malim dan Kokej Pertanian di Serdang mendapat "kesedaran kemerdekaan" daripada bahan bacaan buku-buku Indonesia dan Inggeris.

Tetapi masyarakat umum khususnya orang Melayu pada tahun 1930 dan 1940 tidak mempunyai "kesedaran kemerdekaan".

Mereka berasa aman dan selesa di bawah pentadbiran British. 

Sebab itu setelah Jepun menyerah kalah, orang Melayu umumnya menyambut baik kembalinya pentadbir British ke Malaya. 

Malah apabila Malayan Union dibantah, "kesedaran kemerdekaan" belum meluas. 

Orang Melayu boleh menerima Persekutuan Tanah Melayu tanpa perlu kemerdekaan. 

Sedikit demi sedikit menjelang pilihan raya tahun 1955, barulah orang Melayu mempunyai "kesedaran kemerdekaan" yang menyeluruh. 

Inilah akhirnya membawa kepada perisytiharan kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

"Kesedaran kemerdekaan" terus menyala kerana proses untuk berdikari daripada British berlaku secara perlahan dan tidak radikal.  

Ketika mana proses itu lambat berjalan, kerajaan pula sibuk memberi perhatian terhadap pergolakan politik serantau dan persaingan kuasa besar dunia, yang akhirnya melahirkan Malaysia. 

Maka "kesedaran kemerdekaan" memberi tamparan hebat kepada Perikatan dalam pilihan raya umum 1969. 

Orang Melayu tidak berpuas hati dengan kerajaan Perikatan dalam usaha menjadikan negara ini  merdeka. 

Ekoran daripada itu, penyusunan semula politik negara berlaku dengan penggubalan Dasar Ekonomi Baru.

Maka proses untuk merdeka terus berjalan di bawah Hussein Onn dan Dr Mahathir Mohamad. 

Dasar Pandang ke Timur dan bagaimana syarikat-syarikat ladang British diambil alih melalui pembelian saham secara mengejut. 

Ini merupakan tindakan radikal untuk memerdekakan negara.

Tetapi kini kedaulatan negara sudah terpelihara maka "kesedaran kemerdekaan" kelihatannya tidak perlu. 

Rakyat boleh hidup mengikut kehendak mereka walaupun kerajaan perlu memperkenalkan dasar-dasar bagi kesenangan rakyat. 

Kerja menjaga kedaulatan negara biarlah diserahkan kepada kerajaan, iaitu perkhidmatan awam dan ahli politik berjawatan. 

Tingkah laku mereka turut diperhatikan dan diawasi oleh ahli-ahli politik pembangkang. 

Lebih-lebih lagi kalau benar wujud “daulah terpendam" atau deep state yang mampu memelihara kepentingan negara. 

Jadi merekalah yang memerlukan "kesedaran kemerdekaan", dan bukannya orang awam.

Bagi kakitangan awam pula mereka mempunyai peraturan, disiplin dan latihan yang menyemai "kesedaran kemerdekaan." 

Kerja harian mereka berkhidmat untuk orang awam adalah juga menjaga kepentingan negara. 

Mereka memerlukan "kesedaran kemerdekaan" untuk memastikan apa yang mereka lakukan adalah berkhidmat untuk sebuah negara merdeka, dan tidak untuk kuasa asing.

Namun begitu, pihak yang memegang kuasa ialah ahli politik khususnya sesiapa sahaja yang berjawatan kerana dipilih rakyat melalui pilihan raya. 

Tidak kira dari parti mana, ahli politik perlu mempunyai "kesedaran kemerdekaan”.

Siapakah yang patut memastikan mereka ini mempunyai "kesedaran kemerdekaan"? 

Tentulah ahli-ahli partinya sendiri dan orang ramai. 

Untuk itu pula, secara umum rakyat yang memilih ahli-ahli politik juga perlu memiliki "kesedaran kemerdekaan".

Tentulah terasa pelik. Apa perlunya "kesedaran kemerdekaan" dalam zaman negara sudah merdeka dan berdaulat. 

Tambahan pula tidak ada mana-mana kuasa dunia yang mahu menjajah dan membina empayar.

Sememangnya sekarang bukanlah zaman empayar dan tidak ada penjajahan cara abad ke-19 dan abad ke-20. 

Keadaan penjajahan sekarang adalah berbentuk ekonomi dengan cara "termakan budi”. 

Apa yang berlaku di Ukraine, Sri Lanka dan Afrika boleh merumuskan bahawa kuasa-kuasa dunia hendak menguasai negara-negara kecil melalui kaedah "menabur budi" dalam bentuk kewangan atau projek infrastruktur. 

Jika ahli-ahli politik mempunyai "kesedaran kemerdekaan" yang lemah, mereka boleh terjebak dan terus juga mengheret negara. 

Dari pihak Barat pula, cara mereka adalah berbentuk saluran dana kepada pertubuhan bukan kerajaan atas nama perjuangan hak asasi dan demokrasi.

Tetapi lebih parah lagi jika ahli-ahli politik terutama yang muda dan naif terjebak dengan bantuan kewangan secara langsung daripada pihak asing. 

Tentulah apabila ada budi ditabur maka ia akan mendatangkan kesusahan di kemudian hari.

Maka dalam hal ini, ahli-ahli politik dari awal lagi perlu memiliki "kesedaran kemerdekaan" supaya mereka boleh menolak sebarang usaha pihak asing, timur dan barat, termasuk dari negara-negara Arab. 

Ini kerana supaya perkhidmatan mereka untuk rakyat adalah juga akan menjamin kemerdekaan dan kedaulatan negara. 

Sementara itu orang awam juga wajar memiliki "kesedaran kemerdekaan" untuk menjadikan tarikh 31 Ogos bermakna dengan memastikan ahli-ahli politik yang mereka pilih dalam pilihan raya nanti tidak mengikut rentak kehendak pihak asing.