Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa pihak berkuasa agar mencari jalan penyelesaian segera bagi menangani masalah pembaziran makanan yang semakin meningkat yang telah melanda negara selama bertahun-tahun.
Pembaziran makanan memberikan kesan secara langsung bukan sahaja kepada orang tempatan, tetapi juga secara global di mana ratusan juta orang kini tidak mempunyai makanan untuk dimakan setiap hari.
Program Makanan Sedunia (WFP) baru-baru ini memberi amaran bahawa seramai 828 juta orang tidur dalam keadaan lapar setiap malam manakala bilangan mereka yang menghadapi masalah kekurangan makanan akut telah meningkat daripada 135 juta kepada 345 juta sejak 2019.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), sejumlah 50 juta orang di 45 negara sedang menghadapi masalah kebuluran di mana beberapa negara membangun di dunia, kebanyakannya di Afrika dan Asia, sedang menuju ke arah kelaparan dan kebuluran besar-besaran.
Di Malaysia, dilaporkan bahawa kira-kira 10% daripada sampah yang kita buang setiap hari adalah makanan yang masih boleh dimakan. Rakyat Malaysia membuang 4,046 tan makanan yang boleh dimakan setiap hari.
Jumlah ini boleh memberi makan kepada tiga juta orang dengan tiga kali makan sehari. Dan ia cukup untuk memenuhi satu setengah kolam renang bersaiz Olimpik.
Menurut pengendali tapak pelupusan sampah SWCorp Malaysia, "Rakyat di Malaysia menjana 17,007 tan sisa makanan sehari pada 2021. Kebanyakannya (76%) tidak boleh dimakan seperti tulang dan kulit buah, manakala baki 24% lagi masih boleh dimakan seperti sisa daging dan sayur-sayuran.”
Adalah tidak wajar untuk begitu banyak makanan dibuang ketika kebuluran meluas dan bekalan makanan yang tidak terjamin semakin meningkat.
Dan ia adalah amalan yang amat memalukan pada masa di mana negara dibelenggu oleh kos sara hidup yang tinggi, dengan kenaikan harga makanan yang memaksa sesetengah pelajar universiti untuk makan hanya sekali sehari, berpuasa dengan kerap dan bertahan dengan sebuku roti selama dua hari.
Walaupun dalam masa yang sukar, orang ramai secara amnya membuang makanan yang boleh dimakan, yang sama sekali tidak boleh diterima.
Pembaziran makanan juga memerlukan kos pelupusan yang tinggi. Kos untuk melupuskan makanan yang dibazirkan oleh setiap isi rumah di Malaysia mencecah kira-kira RM210 sebulan, atau RM2,600 setahun.
Sehubungan itu, CAP menggesa satu langkah segera dan tindakan tegas diambil bagi menyekat amalan yang tidak sihat ini.
Oleh itu, pihak berkuasa hendaklah:
1. Menjalankan kempen pendidikan sifar sisa makanan yang berterusan di seluruh negara untuk mendidik orang ramai dan penjual makanan mengenai pembaziran makanan dan implikasinya. Perkara ini juga perlu dilaksanakan di semua sekolah bagi menyemai kesedaran kepada golongan muda.
2. Memperkenalkan peraturan untuk menghukum restoran dan kedai makan yang membazir makanan.
3. Wujudkan garis panduan kawalan bahagian untuk makanan yang dihidangkan dalam acara rasmi awam dan majlis persendirian.
Perkara yang boleh dilakukan oleh orang ramai:
1. Jangan membeli lebih banyak makanan daripada apa yang anda perlukan, dengan membiarkan buah-buahan dan sayur-sayuran rosak di rumah, atau mengambil bahagian yang lebih besar daripada apa yang anda boleh makan.
2. Pastikan segala lebihan dan sisa makanan adalah untuk kegunaan lain yang baik. Bekukan lebihan makanan sebagai bahan dalam hidangan lain. Jadikan sisa makanan sebagai kompos, ini memberikan nutrien kembali kepada tanah dan dapat mengurangkan jejak karbon anda.
3. Jangan buang buah-buahan dan sayur-sayuran berbentuk ganjil atau lebam, cari cara lain untuk gunakannya dalam jus dan pencuci mulut.
4. Menderma atau berkongsi makanan yang berlebihan.
5. Simpan makanan dengan bijak untuk mengelakkan kerosakan.
6. Ambil bahagian yang lebih kecil di rumah dan kongsi hidangan yang lebih besar ketika makan di luar.
Mohideen Abdul Kader adalah presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow