- Iklan -
Kolum

Di sebalik kemeriahan sambutan Hari Kebangsaan

Maka perkembangan di mahkamah itu memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Walaupun Hari Kebangsaan sudah beberapa hari berlangsung tetapi bahang kemeriahan sambutan itu masih dapat dirasakan apabila melihat pelbagai hantaran yang dibuat dalam media sosial.

Sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dirasakan luar biasa. 

Mula-mula saya ingat ia merupakan perasaan peribadi saya tetapi apabila membaca hantaran dan komen orang ramai, maka ternyata ia turut dirasakan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia.

Lebih-lebih lagi apabila menyaksikan bukan saja bilangan mereka yang hadir pada acara sambutan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos lalu tetapi suasana kegembiraan orang ramai, maka sungguhlah sambutan kali ini adalah luar biasa. 

Sebagai seorang warga yang setiap tahun mengikuti perayaan Hari Kebangsaan melalui media massa, saya juga boleh mengatakan bahawa sambutan kali ini adalah luar biasa  walaupun ia bukanlah mempunyai acara yang hebat dan istimewa.

Pernah pada sambutan tahun-tahun lalu, acara lebih hebat diadakan daripada segi perarakan di Putrajaya tetapi kemeriahan orang ramai yang hadir tidaklah seperti apa yang berlaku kali ini.

Maka ada suatu hantaran menyatakan bahawa sambutan akan datang wajar diadakan di tempat yang lebih luas berbanding Dataran Merdeka. 

Ini kerana dikatakan kelihatan wanita, kanak-kanak dan warga emas yang terhimpit dalam kesesakan.

Tetapi Dataran Merdeka adalah tempat bersejarah dan ia mempunyai akses melalui LRT. 

Sedangkan kalau ia diadakan di Putrajaya yang mempunyai tempat lebih luas, tetapi buat masa ini ia tidak mempunyai akses LRT.

Lagipun untuk tahun-tahun akan datang, belum tentu sambutan orang begitu besar seperti pada tahun ini.

Ada sesuatu yang istimewa berlaku tahun ini.

Acara perarakan dan program diadakan pada 31 Ogos lalu adalah suatu yang biasa bagi Malaysia, tiada apa yang istimewa, tetapi apa yang menjadikannya luar biasa adalah semangat orang ramai untuk datang seawal pukul 5 pagi. 

Mereka mencurah-curah datang melalui LRT untuk ke Jalan Raja dan Jalan Raja Laut.

Kebanyakan yang hadir adalah golongan muda dan adalah dipercayai kehadiran mereka dalam sambutan itu adalah buat kali pertama. 

Walaupun tentunya yang datang itu kebanyakannya dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Negeri Sembilan, tetapi dari negeri-negeri yang lebih jauh dipercayai turut hadir.

Sebab yang diberikan tentang kemeriahan ini adalah suasana pasca-Covid-19. 

Maknanya Hari Kebangsaan tidak dapat disambut selama dua tahun kerana pandemik. 

Jadi apabila ia diadakan pada tahun ini, orang ramai dirasakan terdorong untuk meraikannya dengan keluar untuk menikmati suasana kebebasan pasca-Covid-19.

Fenomena suasana pasca-Covid-19 turut berlaku sebelum ini. 

Ia bermula dengan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang mendapat sambutan luar biasa. 

Begitu juga dengan ekspo pertanian Maha yang juga mendapat sambutan. 

Tetapi acara-acara lain seperti konsert dan tayangan filem seperti Mat Kilau dan Air Force juga disambut secara luar biasa. 

Maknanya rakyat Malaysia menjadi lebih aktif selepas Covid-19 ini. Mereka juga pergi bercuti, panjat gunung, masuk hutan dan pelbagai aktiviti luar rumah.

Tetapi suasana luar biasa terhadap Hari Kebangsaan adalah lebih besar daripada kebiasaannya kerana perasaan untuk aktif pasca pandemik. 

Apa yang menyebabkan sambutan Hari Kebangsaan kali ini berbeza adalah kerana masyarakat dan suasana negara juga sudah berubah berbanding dua tahun dahulu.

Dalam dua tahun, ada dua lapisan anak muda yang tamat pengajian mereka untuk menyertai pasaran pekerjaan. 

Sementara dua lapisan lepasan sekolah pula turut memasuki alam dewasa. 

Pandemik pula memaksa penggunaan internet yang tinggi dan ia menjadi lebih mantap pada masa ini. 

Selama dua tahun ini, aktiviti media sosial menjadi lebih cergas yang dipercayai turut meningkatkan kesedaran dan minat orang ramai terhadap politik. 

Tentunya mereka tidak terlepas daripada perdebatan politik yang disebarkan oleh pengulas-pengulasnya, yang juga kian bertambah dan lebih cergas menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Maknanya ada peserta baru bagi perbincangan politik dalam masyarakat.

Namun begitu terdapat juga tanda-tanda kelelahan atau kejemuan terhadap politik. 

Tetapi itu mungkin berlaku dalam kalangan orang yang lebih lama mengikuti perkembangan politik dan berasa kecewa harapannya tidak tercapai. 

Tetapi bagi mereka yang baru mengetahui atau meminati politik, maka ia adalah suatu perkara baru yang menarik.

Kelelahan politik juga lebih bertumpu kepada pertikaian antara dan intra parti. 

Maknanya bagi golongan ini, mereka melihat politik lebih kepada sudut kenegaraan dan kebajikan rakyat dan bukannya mengangkat seseorang tokoh atau menyokong sesebuah parti. 

Maka dengan sikap inilah, mereka turun ke Dataran Merdeka untuk menyambut Hari Kebangsaan. 

Walaupun sememangnya kebanyakan orang ramai datang untuk bergembira bersama keluarga untuk menyaksikan perarakan dan acara. 

Mereka bukanlah terdorong sangat dengan gagasan Keluarga Malaysia anjuran kerajaan tetapi adalah lebih kepada berjalan-jalan bersama keluarga masing-masing.

Namun begitu, mereka mengambil sikap positif terhadap kerajaan. 

Lebih-lebih lagi kakitangan awam sudah diumumkan kenaikan gaji. 

Sebahagian besar yang hadir pada sambutan Hari Kebangsaan itu pula adalah orang Melayu dengan kebanyakannya merupakan kakitangan awam. 

Sementara sebahagian besar peserta perarakan adalah juga kakitangan awam yang terdiri daripada orang Melayu. 

Umumnya mereka semua mengharapkan negara ini bersih daripada korupsi. Ini kerana korupsi nerugikan keseluruhan rakyat.

Seminggu sebelum 31 Ogos, bekas pedana menteri, Najib Razak memulakan hukuman penjaranya. 

Perasaan bercampur-baur menyelubungi rakyat Malaysia, mengikut aliran politik kepartian masing-masing. 

Tetapi pada keseluruhan, terdapat perasaan lega dan menaruh harapan bahawa negara ini mampu menangani korupsi.

Hukuman itu menjadi perbualan berhari-hari selepas itu dengan pada Ahadnya, Umno mengadakan perhimpunan taklimat khas mengenainya dengan pada sebelah malamnya terdapat mesyuarat tertinggi parti yang boleh menentukan kedudukan perdana menteri. 

Daripada ucapan yang disampaikan semasa perhimpunan itu, terdapat desakan untuk menjejaskan institusi kehakiman.

Namun ternyata keesokan harinya, tiada perubahan yang berlaku.  

Ini bermakna kedudukan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob kekal sementara proses mahkamah tidak akan terjejas. 

Bila sampai masanya, PRU15 akan diadakan.

Sokongan rakyat terhadap usaha membanteras korupsi menaikkan semangat patriotisme yang menyelubungi keseluruhan minggu lalu. 

Maka perkembangan di mahkamah itu memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan. 

Negara boleh dibina semula untuk bersih daripada korupsi. 

Menjadi sebuah negara yang bersih bukanlah sesuatu yang mustahil. 

Apabila hampir semua orang dapat menahan diri daripada melakukan korupsi, bukan semata-mata takut kepada hukuman, maka negara akan menjadi bersih dan memberi keuntungan kepada rakyat. 

Selepas 31 Ogos, satu lagi peristiwa daripada mahkamah berlaku apabila isteri Najib, Rosmah Mansor turut dijatuhkan hukuman penjara kerana korupsi.

Maknanya proses pembersihan sedang berlaku di negara ini. 

Semua perkembangan ini akan menjadi pengajaran kepada rakyat Malaysia supaya dalam apa jua kedudukan wajar mengelak diri daripada korupsi. 

Perkembangan ini akan terus menjadi perbualan rakyat Malaysia berhari-hari lamanya. 

Terdapat beberapa lagi kes berprofil tinggi yang akan diketahui keputusannya pada bulan ini. 

Maka kesan daripada ini akan sampai pada 16 September, iaitu Hari Malaysia. 

Sekali lagi kemeriahan akan berlaku dengan rakyat berharap bahawa negara ini dapat bangkit untuk menjadi lebih baik dengan meninggalkan keburukan-keburukan lalu.