- Iklan -
Kolum

13 Mei dan Kuala Lumpur

Aku sudah melanggar arahan Guru Besar Aziz Ismail yang melarang masuk ke dalam kota Kuala Lumpur.

Hishamuddin Rais
8 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Pada 16 Mei, 1969 Majlis Gerakan Negara (Mageran) ditubuhkan. Parlimen digantung. 

Aku mengikuti berita ini dari Utusan Malaysia yang aku baca setiap petang di Pavilion.

Sebenarnya aku tidak faham pun apa yang sudah dan sedang berlaku di Malaysia. 

Aku hanya tahu ada pergaduhan Cina dan India dengan Melayu. Ada yang terkorban. Siapa dan bagaimana terkorban aku tidak pasti.

Sesudah 13 Mei ada seribu satu macam cerita. 

Kami yang duduk di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) agak terkurung, dapat juga mendengar desas-desus khabar angin dari luar. 

Bayangkan untuk orang yang duduk di Liman Kati, di Sayung, di Lenggong atau di Bukit Chandan pasti melambak kisah kurang benar boleh didengari.

Aku tidak faham apa makna Parlimen digantung. Apa implikasi Parlimen digantung. 

Aku yang belum cukup umur untuk mengundi hanya membuka mata dan telinga untuk melihat dan mendengar.

Dari Utusan aku terbaca nama-nama politikus yang mengepalai Mageran.  

Dikepalai oleh perdana menteri pada ketika itu, Abdul Razak Hussein bersama Dr Ismail Abdul Rahman, Tan Siew Sin dan Sambanthan.   

Ini nama menteri yang aku kenali, nama yang sentiasa dilapor oleh Utusan.

Ada juga nama baru seperti Lt Jen Ibrahim Ismail, Ghazali Shafie dan Lt Kol Ghazali Che Mat.

Pada hemat aku politikus dan askar dalam Mageran ini sedang  memerintah Malaysia.

Dari perpustakaan aku bertemu majalah baru, Far Eastern Economic Review (FEER). 

Ini majalah politik dan ekonomi yang diterbitkan dari Hong Kong.  

FEER ini ditulis dalam kertas amat nipis, ini kerana ianya diterbangkan setiap minggu dari Hong Kong.

Majalah ini membuka mata aku untuk membaca hal ehwal semasa tentang Asia Tenggara. 

Majalah Times, Newsweek dan Life aku baca juga. Ini majalah dari Amerika Syarikat (AS). 

Berita Asia dari dua majalah ini tertumpu kepada Perang Vietnam selain berita dari seluruh dunia.

Manakala majalah Life memaparkan berita bergambar. Ada tulisan dengan laporan berita yang diiringi dengan gambar menarik. Life ini menjadi majalah jurugambar.

Satu lagi majalah Inggeris yang aku baca dari AS ialah Plain Truth. 

Ini majalah Kristian yang boleh dilanggan dengan percuma. Plain Truth ini menarik untuk membaca satu jalur pandangan yang belum pernah aku baca.

Hakikatnya dari segi pembacaan MCKK kini membuka minda aku.  

Membaca majalah ini agak penting kerana ianya menjurus untuk memahami isu semasa. 

Dalam kelab debat, isu semasa ini menjadi agenda kami setiap hari Selasa.  

Juga membantu mata pelajaran “General Paper” atau Kertas Am. 

Mata pelajaran wajib untuk Higher School Certificate (HSC).

Pernah dalam kelas Kertas Am kami membincangkan Perang Vietnam. Kelas ini dipimpin oleh Guru Besar Aziz Ismail.  

Aku ketika itu mengajukan pandangan bahawa Perang Vietnam ini baik kerana ianya memangkin teknologi baru.

Contoh yang aku beri ialah hospital bergerak. 

Hospital segera dalam hutan atau dalam sawah padi sama bergerak dalam medan perang. 

Aku berhujah bagaimana nyawa tentera dapat diselamatkan apabila pembedahan dijalankan serta-merta.

Hujah aku ini berdasarkan berita yang aku baca dari Newsweek.

Minggu berikutnya kelas Kertas Am dipimpin oleh guru besar sekali lagi. 

Kali ini agenda yang kami bincangkan ialah Gerakan Hippie yang manifestasinya berambut panjang dan berseluar jeans lusuh tanpa kasut dan hanya berselipar.

Perbincangan Kertas Am akhirnya sampai ke babak marijuana dan siapa yang “cool” dan siapa yang “square”.

Aziz Ismail mengajukan kita boleh dilihat cool dengan tidak perlu mengikut majoriti untuk menjadi cool. 

Tak perlu menghisap marijuana.

Ketika kelas itu berjalan guru besar hanya menggunakan perkataan marijuana. 

Ini menjadikan aku kurang faham. 

Apakah marijuana hanya ada di Eropah.

Sesudah kelas selesai Jalil menerangkan  pada aku bahawa marijuana ini adalah ganja. 

Marijuana adalah ganja dalam sebutan orang Mexico.

Hari berjalan hari berganti akhirnya cuti penggal sampai. 

Aku nak pulang ke Jelebu untuk berjumpa kawan-kawan lama dan nak berlabun berbagai cerita.

Pada Isnin akhir penggal itu Guru Besar Aziz Ismail memberi ucapan dalam Dewan Hargreaves.

“Mereka yang balik ke Selatan jangan singgah ke Kuala Lumpur. Teruskan kereta api ke Gemas  dan Johor Bahru. 

“Do not stop in Kuala Lumpur. Do not enter Kuala Lumpur for security reason.”

Untuk bercuti kami pulang ke kampung naik kereta api.  

Keretapi Tanah Melayu (KTM) menyediakan koc khusus. 

Paling belakang koc MCKK, diikuti koc Star dan paling akhir koc SDAR.  

Di dinding koc ada tertulis nama-nama sekolah ini.

Kereta api dari Butterworth akan sampai ke Kuala Kangsar jam 12.00 malam. 

Kami sampai ke Kuala Lumpur stesen akhir jam 7.00 pagi. 

Kereta api Kuala Lumpur ke Singapura bergerak ke Selatan jam 9.30 pagi.
 
Untuk pelajar Pantai Timur mereka terus ke Gemas bertukar kereta api ke Utara untuk ke Kota Bharu.

Hari Sabtu sebelum balik kampung aku pergi merayau dalam pekan Kuala. 

Makan mee rebus Kedai Pak Kassim. Tak sabar menunggu malam untuk naik kereta api.

Lepas makan aku mengheret beg menuju ke Stesen Kuala Kangsar.  

Pulang bercuti kami dibenarkan memakai seluar baju dan biasa, tidak lagi uniform sekolah.

Wow! Bangga rasanya dapat menyarungkan seluar jeans baru warna hitam yang dihadiahkan oleh Ghani kepada aku.

Di Stesen Kuala Kangsar ramai pelajar Melaka, Johor, Negeri Sembilan, Pahang, Terengganu dan Kelantan. 

Aku sebagai pendatang baru tingkatan enam wajib membeli tiket. 

Pelajar dari tingkatan lima ke bawah ada waran tiket percuma. 

Mereka ada “group leader” yang ditugaskan membawa senarai nama pelajar.

Semua tersusun. Semua teratur. Semua sudah menjadi tradisi budak koleq.

Aku merayau di stesen tiba-tiba aku teringat akan marijuana.  

Tanpa disuruh tanpa ditanya aku memberanikan hati dan bertanya pada mamak tuan empunya kedai kopi dalam stesen.

“Ganja ada?” Aku bertanya secara seloroh tanpa menunggu jawapan.

Aku terperanjat besar bila Mamak itu menjawab: “Ada.” 

Dia ke meja membuka laci dan mengeluarkan satu kartus ganja.

Kartus ini terminologi untuk ganja. 

Ini bahasa anak muda untuk ukuran ganja. 

Ganja ini diikat dalam kertas minyak kuning yang biasanya diguna sebagai pembalut buku. Kartus ganja ini sebesar saiz bateri AA.

“Seringgit satu.” Mamak berkata.

Aku tidak percaya apa yang terjadi. Aku mengeluarkan duit dan terus menyimpan satu kartus ganja.  

Tahun 1969 aku bukan perokok. Dan di Stesen Kereta Api Kuala Kangsar adalah kali pertama aku membeli ganja.

Ghani yang akan pulang ke Batu Pahat ada bersama di Stesen.

“Aku beli ganja dari Mamak Keling tu.” Orang pertama aku beri tahu.

“Apa? Ada ke?” Ghani membalas dengan persoalan.

Kereta api sampai. Kami naik dan masuk koc. 

Dalam kereta api aku ada askar Melayu dengan pakaian hijau. 

Mereka juga ada membawa senjata.  

Apakah mereka menjaga penumpang atau dalam perjalanan ke kem mereka.

Pada hemat aku pasti askar baju hijau ini sedang menjaga koc kami. 

Kerana  mereka memakai pakaian seragam lengkap dan membawa senjata di tempat orang ramai.

Maka aku teringat kata-kata Guru Besar Aziz Ismail: "Keadaan terkawal tapi berhati-hati."

Dengan adanya askar ini aku merasa selamat.

Perjalanan agak lama. Tapi tidak membosankan. Berjalan ke hulu ke hilir bersembang melihat malam. 

Di Ipoh pelajar dari Star sampai. Kereta api ini tidak laju. 

Kereta api serombong asap. Ianya berhenti di setiap stesen.  

Subuh kereta api sampai ke Tanjung Malim. Pelajar dari SDAR masuk.

Akhirnya sampai ke Stesen Besar Kuala Lumpur.

Selain dari Ghani ada Rashid yang juga pulang ke Batu Pahat. Baharuddin ke Tangkak. Hatta Shahrom dari aliran Sains ke Johor Bahru.

Kami semua budak koleq pendatang baru berkumpul di Kuala Lumpur menunggu kereta api dari Kuala Lumpur ke Singapura jam 9.30 pagi.

“Ghani, mari tengok KL.” aku mengajak Ghani.

“Eeeh, mana boleh, bahaya. HM kata jangan masuk KL, tak selamat.”

Bila Ghani menolak aku ajak Hatta. Dia pun turut menolak.

Hati aku ingin melihat Kuala Lumpur pasca 13 Mei.  

Aku nak tahu, aku ingin melihat sendiri Kuala Lumpur dengan mata kepala aku sendiri. 

Aku hendak membandingkan desas-desus yang aku dengar dengan kenyataan sebenar. 

Aku juga hendak merujuk kembali apa yang aku baca di Utusan.

Aku dengan yang lain berpisah. Aku meninggalkan beg aku di tempat simpan barang. 

Aku menapak keluar stesen tanpa satu arah tujuan yang khusus.

Aku bukan warga kota Kuala Lumpur tapi ada pengalaman kerana beberapa kali singgah di Kuala Lumpur. Kali akhir ketika aku dan Lee Keong “hitch hike” ke Pulau Pinang.

Aku tahu di tepi sungai tidak jauh dari Stesen Kereta Api Kuala Lumpur ada stesen bas.  

Aku menapak arah ke sana.

Jangkaan aku tepat. Aku nampak bas Seri Jaya warna biru tua. Aku memerhati ke kepala bas mencari ke arah mana yang nak aku tuju.

Aku ternampak di kepala bas, Kampung Pandan. Aku meloncat naik.

“Nak ke mana?” Penjual tiket bertanya.

“Stesen akhir.” Aku menjawab.

Sebenarnya aku tidak tahu ke mana yang nak dituju.

Bas berjalan melintasi Stesen Bas Foh Hup Pudu. Wilayah ini aku tahu. Kemudian mengelencong masuk ke kawasan perkampungan yang tidak mewah.

Mata aku mencari-cari dan memerhati.  

Sebenarnya aku tidak ada rujukan tentang wilayah ini. 

Mata aku untuk kali pertamanya merakam apa yang aku ternampak.

Tiba-tiba bas lalu di hadapan sederet kedai.

Hah! Aku ternampak ditengah deretan kedai ini asalnya sebuah kedai terbakar hangus.  

Dalam fikiran aku ini pastilah kedai Cina yang dibakar oleh orang-orang Melayu.

Bas berjalan lagi. Kami masuk kawasan kampung Melayu. 

Pada hemat aku ini pastilah Kampung Pandan.  

Ada rumah-rumah papan berbentuk sama. Ada juga kumpulan rumah setinggan. 

Justeru yang membakar kedai Cina itu pastilah warga Kampung Pandan.

Mata aku terpandang pada tembok batu. 

Ada cakaran di dinding: “Ahmad Chicago”. 

Siapa si Ahmad ini dan kenapa Chicago tidak aku tahu.

Bas berhenti di stesen akhir.

“Bang, nak pulang naik bas kat mana?” Aku bertanya pada penjual tiket.

“Bas lalu sebelah ini juga, tapi ikut jalan lain masuk Batu Road. Kau ni nak ke mana?” Tukang tiket jadi hairan melihat aku naik balik tidak tahu ke mana tujuan.
 
“Jalan-jalan. Saja je bang, nak nengok KL.” Aku menerangkan.

Aku menyeberang jalan dan menunggu bas untuk pulang.  

Tidak lama aku menunggu. Bas ini membawa aku masuk kembali ke dalam pusat kota tapi melalui jalan lain.

Dua kali lagi aku nampak cakaran di dinding kedai: “Ahmad Chicago”.

Bas masuk ke Batu Road. Aku ternampak satu lagi bangunan  terbakar. 

Dari dalam bas aku perhatikan ini pastilah yang dikatakan berlaku pergaduhan Melayu-Cina. Kedai yang terbakar itu kedai Cina.

Akhirnya aku sampai kembali ke stesen bas tepi sungai. 

Wilayah ini aku kenal. 

Aku menapak dan terus kembali ke Stesen Besar Kereta Api Kuala Lumpur. Di stesen aku nampak askar dengan senjata masih ada di sana sini.

Sudah tengah hari. Pasti Ghani, Hatta, Baharuddin dan Rashid kini dalam perjalanan ke Gemas.

Aku mengambil beg di bilik simpan barang dan terus menapak ke Jalan Pudu. 

Aku wajib mengambil bas Foh Hup untuk ke Seremban.

Satu jam perjalanan aku akan sampai di Seremban.  

Dari Seremban aku naik Bas Lim ke Kuala Klawang. 

Dari Kuala Klawang aku cari kereta “prebet sapu” untuk ke Chenor.

Dalam bas For Hup aku melintasi Penjara Pudu.  

Dalam bas aku terfikir aku sudah melanggar arahan Guru Besar Aziz Ismail yang melarang masuk ke dalam kota Kuala Lumpur.

Tapi ini seperti sajak Chairil Anwar: “Aku ini binatang jalang dari kumpulan terbuang”.

Aku tepuk badan aku kerana berani melihat apa yang berlaku di Kuala Lumpur walaupun ini adalah bulan Jun 1969.

Rangka bangunan rumah kedai yang terbakar sentiasa segar dalam ingatan.

Aku tak sabar nak sampai ke Kampung Chenor. Nak jumpa kawan-kawan kerana aku ada satu kartus ganja.

Epilog:

Tahun 2022 setiap kali aku pergi ke Pasar Chow Kit aku akan melintasi kedai yang terbakar itu. 

Ianya terletak di hadapan Stesen Monorel depan Hospital Kuala Lumpur hampir dengan Kampung Baru.

Setiap kali aku ke Kampung Pandan aku akan terlihat kembali rangka kedai yang terbakar itu.

Dulu hanya ada beberapa pintu. Tahun 2022 ianya menjadi pekan besar.