- Iklan -
Kolum

Mengapa Gorbachev merupakan tokoh besar abad ke-20

Tetapi kalau tidak kerana Gorbachev, Putin tidak dapat menjadi presiden Rusia.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Dua minggu lalu diadakan upacara pengembumian presiden terakhir Soviet Union, Mikhail Gorbachev. 

Beliau tidak diberikan acara pengembumian negara oleh Rusia. 

Malah Presiden Rusia, Vladimir Putin tidak pun hadir. 

Ini kerana, menurutnya, beliau mempunyai acara lain. 

Bilangan orang ramai yang hadir adalah sekadar ratusan.

Tetapi Gorbacbev merupakan tokoh besar abad ke-20 yang secara langsung dan tidak langsung mengubah keadaan dunia untuk menjadi lebih aman dan bersatu. 

Beliau menamatkan Perang Dingin, antara blok Barat pimpinan Washington dengan blok Timur pimpinan Moscow.

Malaysia yang mengambil sikap berkecuali tetapi lebih mesra pada Barat dalam Perang Dingin turut menerima kesan daripada kejatuhan Soviet Union itu.

Ekoran itu, gerakan komunisme sudah tidak mengancam negara dan Malaysia bersedia untuk berdamai dengan Parti Komunis Malaya (PKM), yang sekaligus menutup lembaran sejarah kaitan negara ini dengan Perang Dingin.

Dari awal lagi, negara ini dicorakkan oleh Perang Dingin. 

Dari dalam ia diancam oleh PKM yang mendapat dokongan China. 

Dari luar Malaya berada di tengah-tengah persaingan Amerika Syarikat (AS)-Soviet Union di Vietnam dan Indonesia, yang semasa pimpinan Presiden Sukarno, adalah bersahabat dengan blok Timur.

Maka perisytiharan kemerdekaan Malaya pada tahun 1957 turut dicorakkan oleh Perang Dingin. 

Begitu juga dengan penubuhan Malaysia yang pada awalnya didorong untuk menyelamatkan Singapura daripada jatuh ke tangan komunis.

Malah politik dalam negara juga dicorakkan oleh Perang Dingin. 

Parti-parti kiri iaitu Parti Rakyat dan Parti Buruh yang merupakan pembangkang utama negara dilumpuhkan dengan penangkapan pemimpin-pemimpinnya di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). 

Pada akhir 70-an Perang Dingin juga menerjah politik Umno. 

Isu komunis dalam Umno dijadikan senjata untuk menjatuhkan lawan dalam persaingan politik antara kumpulan dalam parti. 

Beberapa wartawan ditahan ISA atas tuduhan melakukan konspirasi komunis ke atas negara.

Saya membesar pada tahun 1970-an ketika Perang Dingin berada di puncaknya dan tidak ada sesiapa yang boleh menjangkakan kesudahannya. 

Soviet Union dipimpin oleh Leonid Brezhnev yang keras terhadap rakyatnya. 

Perang Vietnam sedang berlangsung dengan pembabitan besar tentera AS. 

Nampak gayanya Vietnam Utara dan Vietnam Selatan akan berkekalan seperti mana dengan Korea Utara dengan Korea Selatan.

Kedua-dua kuasa besar juga berlumba untuk menguasai angkasa. 

AS mendaratkan angkasawannya di bulan pada tahun 1969. 

Sementara Soviet Union berjaya menempatkan kenderaan-kenderaannya di situ dalam rangka untuk membina stesen bulan.

Walaupun Malaysia menyebelahi Vietnam Selatan dan AS dalam perang Vietnam tetapi sejak zaman Tunku Abdul Rahman lagi, negara ini mempunyai hubungan baik dengan Soviet Union dan negara-negara blok Timur yang lain. 

Saya pernah mengunjungi pameran dagangan Soviet Union, Bulgaria dan Korea Utara yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 1960-an dan 1970-an.

Kerajaan juga membenarkan penubuhan Pusat Kebudayaan Soviet Union di Kuala Lumpur yang terletak di Jalan Tun Razak seperti mana ia membenarkan AS mewujudkan Pusat Kebudayaan Lincoln di Jalan Ampang. 

Saya sering mengunjungi kedua-dua pusat itu, yang masing-masing mempunyai perpustakaan.

Pusat Kebudayaan Soviet Union mengadakan kelas bahasa Rusia. 

Mereka juga mengedarkan Perlembagaan Soviet Union dan buku ucapan Brezhnev sempena Revolusi Rusia ke-60 (1917-1977).

Di Pusat Kebudayaan Lincoln, saya hadir acara sambutan ulang tahun Revolusi AS ke-200 (1776-1976). Untuk itu, mereka juga mengedarkan naskhah perlembagaan negara itu secara percuma.

Di perpustakaan Pusat Kebudayaan Lincoln, saya membaca sebuah majalah bernama Problems of Communism (Masalah-masalah Komunisme). 

Ia mengandungi tulisan-tulisan pakar mengenai negara dan gerakan komunis di seluruh dunia khususnya Soviet Union. 

Rumusannya ialah AS sedang mendahului Soviet Union dalam Perang Dingin ini. 

Namun begitu, tiada pakar yang menjangkakan Soviet Union boleh runtuh dengan cepat. 

Hanya Ayatollah Khomeini semasa Revolusi Islam pada tahun 1979 menyatakan bahawa Soviet Union "sudah berada dalam muzium."

Pada tahun 1985, Gorbachev menjadi presiden Soviet Union dan berazam untuk memperbaiki, bukannya meruntuhkan sistem negaranya.

Beliau memperkenalkan dua dasar penting iaitu Glastnost iaitu keterbukaan dan Perestroika iaitu penyusunan semula ekonomi. 

Gorbachev adalah seorang komunis yang menerima bukan saja didikan dari sistem Soviet Union tetapi juga Parti Komunis.

Beliau mahu menyelamatkan Soviet Union melalui Glastnost dan Perestroika. 

Dasar-dasar ini adalah suatu yang radikal dalam pemikiran komunisme dengan mengharapkan bahawa rakyat negara itu memperoleh manfaat daripadanya. 

Maka dalam hal inipun, Gorbachev merupakan tokoh besar yang lebih manusiawi daripada pemimpin-pemimpin komunis dunia yang lain seperti Lenin, Stalin; Trotsky, Mao Zedong, Kim Il-Sung, Fidel Castro, Broz Tito dan Ho Chi Minh. 

Tokoh komunis yang mungkin lebih hebat daripada Gorbachev hanyalah Deng Xiaoping.

Beliau membebaskan negara-negara Eropah Timur daripada cengkaman Moscow. 

Gorbachev membenarkan Jerman Timur bersatu dengan Jerman Barat. 

Tindakan ini pun engakibatkan jutaan rakyat Eropah Timur berpeluang mengecapi kebebasan dan kesenangan hidup.

 Tindakan ini juga menamatkan blok Timur dan Pakatan Warsaw, iaitu pesaing kepada Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato). 

Langkah ini bererti Gorbachev menamatkan Perang Dingin yang menyelamatkan jutaan nyawa manusia di seluruh dunia. Beliau juga mengundurkan tentera Soviet Union dari Afghanistan.

Soviet Union mula retak dan pecah apabila Ukraine menyatakan ia mahu keluar daripada kesatuan itu. 

Bagi Gorbachev, republik-republik dalam Soviet Union boleh bebas tetapi masih duduk dalam kerangka Soviet Union yang terbuka dan disusun semula. 

Soviet Union benar-bebar runtuh apabila Rusia di bawah pimpinan Boris Yeltsin keluar daripada kesatuan itu. 

Tiba-tiba Gorbachev mendapati dirinya tidak mempunyai negara. 

Kesemuanya berlaku dengan cepat di luar kawakan beliau. 

Transisi itu tidak dilakukan dengan lancar mengakibatkan jentera kerajaan lumpuh dan rakyat sengsara. 

Harta kerajaan jatuh pada tangan golongan kaya yang membelinya dengan harga murah. Kini 70% rakyat Rusia dilaporkan menyalahkan Gorbachev.

Ketika Soviet runtuh, Putin berada di Jerman Timur.  

Beliau asalnya seorang komunis dan bekerja dengan agensi perisik Soviet Union, KGB turut menyalahkan Gorbachev. 

Tetapi kalau tidak kerana Gorbachev, Putin tidak dapat menjadi presiden Rusia.

Begitu juga dengan negara-negara Eropah Timur dan bekas Soviet Union, mereka tidak akan merdeka tanpa Gorbachev. 

Putin kini adalah seorang nasionalis Rusia yang melancarkan perang ke atas Ukraine untuk menguasai kawasan yang bertutur dalam bahasa Rusia. 

Beliau juga mahu mengembalikan Rusia sebagai kuasa dunia, seperti mana pada zaman Czar dan Soviet Union.

Dunia Barat tentunya menyokong Gorbachev kerana ia menamatkan Perang Dingin walaupun tidak sengaja. 

Tetapi mereka tidak dapat hadir ke upacara pengkebumian Gorbachev sebab Rusia sedang berperang dengan Ukraine. 

Negara-negara Eropah Timur dan Ukraine sedang ditelan untuk menjadi sebahagian daripada blok Barat baru. 

Maka Rusia akan cenderong untuk menubuhkan blok Timur baru bersama China.

Selepas kejatuhan Soviet Union, Malaysia mengadakan hubungan diplomatik dengan negara-negara bekas Soviet Union. 

Kini Pusat Kebudayaan Soviet Union di Kuala Lumpur menjadi Pusat Sains dan Kebudayaan Rusia. 

Ramai juga pelajar Malaysia yang dihantar ke Rusia untuk belajar perubatan. 

Legasi Gorbachev berpanjangan dan meliputi seluruh dunia.

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.