- Iklan -
Kolum

'Merompak' undi golongan tidak celik politik

Jika pengundi mengundi atas maklumat palsu, ia bukannya satu jenayah.

Timmy Say
2 minute read
Kongsi
columnist picture

Timmy Say

Timmy Say menulis untuk pelbagai laman portal di Malaysia untuk berkongsi perspektif dan pengalamannya melibatkan isu semasa. Setelah 15 tahun menceburi bidang IC Design, kini bertukar karier ke bidang agrikultur dan akuakultur.

Di alam media sosial dan internet, terlalu banyak maklumat yang disebarkan.

Sebagai seorang pengundi, info politik masuk bertubi-tubi melalui WhatsApp, Facebook, Twitter, Telegram, Instagram dan sebagainya.

Gambar dan video yang disunting pelbagai cara atas nama “troll” dengan tujuan memburukkan pihak yang tidak disukai disebar sewenang-wenangnya.

Bagi yang mengikuti perkembangan politik secara dekat, mereka mudah menentukan sama ada maklumat diterima itu adalah berita benar ataupun palsu.

Bagaimana pula dengan rakyat yang tidak mengikuti perkembangan politik?

Di sinilah bahayanya sistem demokrasi. 

Semua ahli politik tahu apa yang penting ialah siapa dipangkah pengundi pada kertas undi semasa hari pengundian.

Asalkan diri sendiri yang dipangkah, segalanya adalah halal. 

Jika pengundi mengundi atas maklumat palsu, ia bukannya satu jenayah. 

"Merompak" undi seseorang yang tidak celik politik untuk mengundi diri adalah satu kehebatan perang strategi dan taktikal dalam politik. 

Ini boleh dianggap sebagai satu seni pemasaran.

Pemasaran politik ini laris di Malaysia apabila ramai di antara rakyatnya terutamanya netizen yang hanya tahu membaca tajuk berita dan caption gambar lalu terus mempercayai sesuatu maklumat. 

Apatah lagi kalau maklumat palsu ini disebar dengan sengaja secara berulang-ulang demi matlamat politik?

Contohnya, berapa ramai netizen yang mempercayai fitnah bahawa Presiden PAS Abdul Hadi Awang baru-baru ini berkahwin sekali lagi kerana mempercayai sekeping gambar perkahwinan anak beliau disunting oleh pihak berniat jahat?

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), rakyat akan mengundi berdasarkan kepercayaan kepada maklumat yang sampai padanya. 

Sama ada maklumat itu fitnah atau benar sudah tidak penting. 

Intelek, emosi dan kecelikan seseorang menjadi penentu. 

Memandangkan PRU15 sudah dekat, pelbagai maklumat akan disebar demi satu keputusan untuk memangkah siapa di kertas undi. 

Mereka yang berpolitik tanpa etika akan cuba segalanya.

Mereka juga bersedia menghadapi segalanya dari musuh mereka. 

Soal negara, kestabilan, perpaduan dan integriti tiada nilai pada waktu-waktu ini. 

Sebab semua berfikiran ada lima tahun untuk membinanya semula setelah menang.

Sedarlah rakyat Malaysia, sama ada kalian mempedulikan perkembangan politik ataupun tidak, politik akan mempunyai kesan kepada hidup kalian jika majoriti tersilap mengundi.