Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Hakim Mohamed Zaini Mazlan telah menetapkan 1 September 2022 untuk menyampaikan penghakiman terhadap Rosmah Mansor dalam kes yang membabitkan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion di Sarawak.
Pada 29 Ogos 2022, penulis blog Raja Petra Kamarudin berkongsi dokumen di laman sesawangnya mendakwa bahawa keputusan penghakiman yang mendapati isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu bersalah telah pun ditulis.
Pihak pembelaan kemudian memohon untuk melucutkan hakim Zaini daripada membicarakan kes Rosmah, atas alasan bahawa bukan hakim Zaini yang menyiapkan keputusan penghakiman kes itu, sebaliknya pihak lain, bagi dirinya.
Hakim Zaini berkata draf penghakiman tersebut adalah pendapat daripada bahagian penyelidikan. Ia tidak disediakan untuknya atau diminta olehnya.
Beliau tidak pernah membaca pendapat berkenaan dan menegaskan bahawa beliau melakukan penyelidikannya sendiri dan menulis semua penghakimannya dan tidak akan menggunakan dokumen yang dikatakan bocor dalam penghakimannya.
Ulasan: Daripada respons hakim Zaini jelas, bagi beliau, adalah memalukan jika diketahui umum bahawa penghakimannya disediakan atau digubal oleh pegawai penyelidik, jika itu yang sebenarnya berlaku pun.
Persoalan: Pendapat bahagian penyelidikan itu disediakan untuk siapa? Perlukah ia disediakan jika hanya untuk pendapat pegawai itu sendiri dan tidak diminta oleh hakim? Ambil perhatian, dalam kolum terbawah di permulaan dokumen yang disiarkan oleh Raja Petra itu terdapat catatan “Prepared for YA Tuan Mohamed Zaini Bin Mazlan”. Mengapa ia disediakan dalam bentuk penghakiman?
Timbalan pendakwa raya, Poh Yih Tinn, dalam afidavit balasnya kepada peguam Rosmah menegaskan bahawa penghakiman itu sebenarnya adalah penulisan cadangan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Ulasan: Beliau menyokong apa yang dikakan oleh hakim Zaini iaitu ia disediakan oleh Unit Penyelidikan dan menambah bahawa ia adalah penulisan cadangan.
Persoalan: Penulisan cadangan Unit Penyelidikan kepada siapa?)
Pendakwa raya Gopal Sri Ram berkata "penghakiman bocor" yang dirujuk oleh Rosmah (pemohon) bukanlah penghakiman bertulis.
"Jelas daripada dokumen itu sendiri bahawa ia adalah penyelidikan dan penulisan pendapat yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur,” katanya.
Ulasan: Tidak siapa pun berkata ia penghakiman bertulis kerana ia tidak ditandatangani hakim, malah tidak lengkap. Ia adalah draf.
Persoalan: Jadi, ia disediakan untuk siapa?
Kita tidak tahu apa lagi keterangan yang dirakamkan oleh polis, terutama sekali daripada Unit Penyelidikan. Setakat yang dilaporkan ini saya lebih percaya bahawa dokumen itu adalah draf penghakiman kes tersebut yang disediakan oleh Unit Penyelidikan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sama ada atas arahan hakim Zaini atau sebagai amalan biasa yang akan diberikan kepada hakim itu sebagai cadangan unit itu untuk dijadikan penghakiman beliau.
Persoalan: Jika ia demikian, salahkah ia?
Jawapan: Setakat ini tidak ada jawapan ya atau tidak kerana, sepanjang yang saya tahu, belum ada arahan atau peraturan dibuat mengenainya.
Saya berani mengatakan bahawa pandangan paling awal, entah hingga ke hari ini, mengenai isu ini yang datangnya daripada badan kehakiman terkandung dalam ucapan saya sebagai ketua hakim negara di Persidangan Hakim-Hakim dalam tahun 2008, 14 tahun dahulu. Inilah yang saya katakan:
“Penghakiman adalah sesuatu yang patut dibanggakan oleh setiap hakim. Ia adalah sesuatu yang sangat personal. Ia mencerminkan pengetahuan kita, kejujuran intelek kita, kuasa analisis kita, keupayaan kita untuk memahami isu-isu, keupayaan kita untuk berfikir secara lurus atau sebaliknya, keupayaan kita untuk menyatakan sesuatu dengan jelas atau sama ada kita sendiri keliru, penguasaan bahasa kita, gaya kita menulis, malah keseluruhan watak kita. Saya tidak faham jika hakim tidak merasa bangga untuk menghasilkan masterpiece karya sasteranya sendiri.
"Saya difahamkan bahawa di Amerika Syarikat, kerani hakim menggubal penghakiman hakim. Saya tidak tahu bagaimana sistem itu berfungsi dan saya tidak memberikan sebarang penilaian mengenainya. Tetapi, dalam konteks kita sekarang, saya tidak fikir ia adalah satu amalan yang patut kita pakai. Selain dari itu, daripada pengalaman, apabila kita sendiri menulis penghakiman, kita akan lebih teliti dalam meneliti bukti, undang-undang dan hujah. Kita akan nampak perkara yang tidak terlintas di fikiran kita sebelumnya. Jika pegawai penyelidik kita yang menyediakan draf itu, bagaimana dia membuat pemerhatian terhadap demeanor saksi?
"Apabila penghakiman ditulis untuk kita, terdapat temptation bagi kita untuk hanya meletakkan tandatangan kita untuk mengurangkan statistik penghakiman tidak bertulis. Malah ia mungkin menggalakkan rasuah di pihak pegawai yang membuat penghakiman.
"Mengapa memerlukan orang yang berpengalaman untuk dilantik sebagai hakim dan membayarnya dengan gaji yang tinggi jika kerja yang paling penting akan dilakukan oleh pegawai rendah yang boleh dibayar lebih rendah? Apabila pegawai penyelidik menyediakan penghakiman, kualiti kerja yang akan keluar adalah kualiti pegawai rendah, melainkan dia lebih baik daripada hakim, jika demikian dialah yag sepatutnya menjadi hakim.
"Walau apa pun, fikirkan persepsi orang ramai, apatah lagi pihak yang kalah yang mungkin kehilangan nyawa, kebebasan atau harta benda! Saya fikir adalah satu kecuaian bagi seorang hakim untuk meminta seseorang, termasuk pegawai penyelidiknya, untuk menggubal penghakimannya, dan adalah salah laku untuk meminta seseorang, termasuk pegawai penyelidiknya, menulisnya untuknya. Hakim yang menulis penghakiman untuk hakim lain, hakim yang penghakimannya ditulis oleh hakim lain dan hakim yang membiarkan dirinya dipengaruhi oleh orang lain dalam mencapai keputusannya, kesemuanya melakukan salah laku.”
Pada masa itu jawatan-jawatan pegawai penyelidik baru diadakan dan hanya hakim-hakim kanan yang baru diberikan pegawai penyelidik.
Apakah yang menyebabkan saya mengeluarkan pendapat saya itu? Dua sebab, pertama, saya membaca buku The Brethren oleh Ted Sorensen (penulis ucapan Presiden Kennedy). Beliau menceritakan bagaimana kerani mahkamah (clerk of courts) di Mahkamah Agung Amerika Syarikat yang terdiri daripada graduan-graduan baru yang cemerlang daripada universiti-universiti terkenal diambil menjadi kerani mahkamah.
Tugas mereka termasuk menggubal penghakiman. Apabila hakim-hakim mendengar sesuatu kes, kerani-kerani itu akan menggubal penghakiman untuk hakimnya. Selepas itu mereka bertukar-tukar pendapat mengenai penghakiman tersebut, masing-masing cuba melobi kerani hakim lain untuk bersetuju dengan drafnya.
Sebab kedua ialah, semasa saya menjadi ketua hakim negara, saya terbaca biodata seorang penolong kanan pendaftar (sekarang Hakim Mahkamah Persekutuan) yang dengan megahnya (saya tidak salahkan beliau) menyenaraikan sebanyak 21 kes di mana beliau menggubal penghakiman untuk hakimnya. (Saya harap beliau tidak mengikuti teladan itu sekarang).
Selepas saya bersara, saya dijemput membentang kertas kerja di satu seminar di National University of Singapore. Saya berjumpa dengan seorang profesor yang berasal dari Amerika Syarikat.
Entah bagaimana, dalam perbualan kami timbul isu kerani mahkamah. Saya bertanya apa pendapat beliau mengenainya. Beliau tidak bersetuju dengan amalan itu. Saya terkejut dan bertanya mengapa?
Beliau menceritakan, selepas graduasi, beliau terpilih menjadi kerani mahkamah kepada seorang hakim Mahkamah Rayuan. Pada hari pertama beliau bekerja, beliau diberi satu fail dan hakim berkenaan memintanya menyediakan penghakiman untuk beliau.
Beberapa hari kemudian beliau menunjukkan draf tersebut kepadanya. Hakim itu membacanya, tanpa meminda walau satu perkataan pun terus menerimanya dan menggunakannya sebagai penghakiman beliau. Beliau hilang kepercayaan terhadap hakim itu.
Dalam tahun 1970-an, saya berpeluang melawat kamar Lord Diplock di House of Lords, London. Secara berseloroh saya bertanya beliau mengapa House of Lords tidak hanya mengeluarkan satu penghakiman bagi satu kes supaya sesuatu point undang-undang yang diputuskan itu merupakan keputusan mahkamah itu dan bukan hanya pendapat seseorang hakim dan lebih senang bagi pelajar, peguam dan hakim mahkamah lebih rendah memahaminya?
Beliau menjawab secara berseloroh juga, “The trouble is each of us thinks he can write better than the others.” (Masalahnya kami masing-masing fikir kami boleh menulis lebih baik daripada yang lainnya.”)
Perhatikan hakim House of Lords tidak puas hati untuk membiarkan hakim House of Lords lain menulis penghakiman bagi pihaknya, apatah lagi oleh pegawai penyelidik?
Apabila hakim-hakim menulis penghakiman mereka sendiri, penghakiman-penghakiman itu mempunyai wataknya yang tersendiri. Oleh sebab itu apabila kita membaca penghakiman Lord Denning, Lord Diplock dan lain-lain, tanpa melihat nama mereka, kita tahu siapa penulisnya.
Kita juga tahu bahawa kita sedang membaca penghakiman Tun Suffian, TS Eusoffe Abdoolcader atau Raja Azlan Shah tanpa membaca nama mereka.
Sebagai rekod peribadi, setiap huruf, setiap noktah dan setiap koma dalam 567 penghakiman saya dari Mahkamah Tinggi hingga ke Mahkamah Persekutuan, termasuk satu penghakiman Mahkamah Khas dan satu penghakiman Mahkamah Rayuan Syariah Pulau Pinang, kesemuanya saya tulis dengan tangan saya sendiri dan ditaip oleh setiausaha saya. Ada ayat yang saya masih ingat hingga ke hari ini.
Sebenarnya, ia bukan sekadar mengenai gaya bahasa, tetapi pendekatan, hujah dan pandangan mereka mengenai sesuatu isu undang-undang itu mungkin berbeza walaupun, di akhirnya mereka bersetuju dengan keputusan kes itu. Cara Lord Denning hendak mengembangkan sesuatu prinsip undang-undang itu mungkin berbeza daripada Lord Diplock dan lain-lain.
Individualiti itu hilang apabila ia digubal oleh satu pasukan pegawai penyelidik. Ia bukan lagi an "analytical judgment," tetapi "cut and paste judgment".
Seorang pembaca tidak lagi boleh berkata “Saya suka membaca penghakiman Hakim XYZ. Ia mudah difahami” kerana semuanya serupa.
Cukuplah setakat ini saya berikan hujah-hujah mengapa pegawai penyelidik tidak sepatutnya menggubal penghakiman hakim-hakim. Mari kita lihat pula peranan yang sesuai mereka lakukan. Saya fikir mereka lebih sesuai digunakan seperti nama jawatan mereka: penyelidik. Dalam sesuatu kes, fakta bukanlah tugas mahkamah untuk menyelidik.
Isu undang-undang, ya. Misalnya timbul isu undang-undang, kedua-dua belah pihak memberi pendapat yang berlainan.
Perlulah mahkamah menyelidik kedudukan yang sebenar dengan mendapatkan dan menyemak akta berkenaan dan/atau penghakiman-penghakiman duluan dan menganalisisnya dan membuat keputusan sendiri sama ada ia sama seperti yang dikatakan oleh salah satu pihak itu atau berlainan.
Di sini pegawai penyelidik bolehlah membantu untuk mendapatkan akta-akta dan penghakiman-penghakiman berkenaan selain daripada yang dikemukakan oleh peguam-peguam kedua pihak, jika ada, menganalisisnya dan menulis pandangan (opinion) untuk membantu hakim menulis penghakimannya berkenaan isu itu.
Itu hanya satu misalan. Bagaimana seseorang hakim itu menggunakan pegawai penyelidik bergantung kepada keperluan dan sikap hakim itu dan kemampun pegawai itu.
Biar apa pun saya tidak fikir mereka patut digunakan untuk menggubal penghakiman atas alasan-alasan yang saya telah berikan di bahagian awal tadi.
Bagaimana pegawai penyelidik digunakan di mahkamah-mahkamah kita sekarang, sebenarnya saya tidak tahu.
Saya tidak mahu bertanya hakim-hakim, pegawai-pegawai penyelidik dan pegawai-pegawai mahkamah lain kerana saya tidak mahu memalukan mereka.
Namun, makin lama, penghakiman Mahkamah Persekutuan (yang lain saya tidak tahu kerana saya tidak membacanya) semakin hilang individualiti hakim yang menulisya.
Kita tidak dapat meneka lagi itu karya siapa tanpa melihat nama yang tertulis. Setelah melihatnya pun kita masih was-was. Kesemuanya nampak dan bunyi serupa, seolah-olah ada template yang diikuti.
Saya fikir adalah lebih baik bidang tugas pegawai penyelidik dikeluarkan supaya diketahui umum.
Jika difikirkan mereka boleh diberi tugas menggubal penghakiman, biarlah ia disebut dengan jelas, bersama-sama penjelasan dan syaratnya supaya tidak akan ada tuduhan penghakiman seseorang hakim ditulis oleh orang lain dan tidak perlu pula dibuat penafian seperti dalam kes ini yang sukar dipercayai dan mengurangkan credibility dan integrity hakim berkenaan dan Badan Kehakiman.
Eloklah kedudukan sebenar dijelaskan.
Nota: Dalam rencana ini, saya menggunakan perkataan “menggubal” berbanding “merangka” bagi perkataan “drafting” kerana apa yang dilakukan oleh pegawai-pegawai penyelidik itu bukanlah sekadar menyediakan rangka penghakiman yang mengandungi point-point untuk hakim berkenaan menulis penghakimannya. Pegawai-pegawai itu menulis draf penghakiman hakim itu. Hakim itu mungkin memindanya di sana dan di sini, mungkin tidak dan menurun tanda tangannya, menjadikannya penghakiman bertulis hakim itu
Abdul Hamid Mohamad adalah bekas ketua hakim negara.
* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow