- Iklan -
Kolum

Mesej tersirat Dr Mahathir di sebalik kenyataan duka terhadap Queen Elizabeth

Dalam hal lantikan perdana menteri British ini, tidak pernah berlaku krisis Perlembagaan.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Queen Elizabeth II berada di takhta mulai 1952.  Ini bermakna ketika Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, dan penubuhan Malaysia pada tahun 1963, Queen Elizabeth II merupakan ratu British yang melepaskan Tanah Melayu, Sarawak dan Sabah ke alam merdeka dan berdaulat. 

Ketika baginda menaiki takhta pada tahun 1952, Queen Elizabeth adalah ratu berdaulat ke atas Empayar British yang luas merangkumi tanah-tanah jajahan yang berada di lima benua. 

Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Borneo Utara adalah sebahagian daripada empayar ini yang mana Kuala Lumpur menyambut pertabalan baginda dengan bendera Union Jack berkibar serta pintu gerbang yang tertera padanya "God Save the Queen".

Queen Elizabeth II lahir pada tahun 1926, iaitu setahun selepas lahirnya Dr Mahathir Mohamad. 

Kedah adalah sebuah Negeri Melayu Tidak Bersekutu dalam British Malaya. 

Empayar British sedang berada di kemuncaknya setelah memenangi Perang Dunia Pertama mengalahkan Jerman yang berakhir pada tahun 1918.

Bagi pemerintah British, Malaya, Sarawak dan Sabah ini akan dimilikinya selama-lama sebagai sumber pendapatan dan kekayaan United Kingdom. 

Sebuah tugu peringatan yang dipanggil Cenotaph didirikan berhampiran stesen keretapi Kuala Lumpur bagi memperingati tentera-tentera empayar yang terkorban dalam Perang Dunia Pertama. 

Pada masa itu Perang Dunia Pertama dipanggil Perang Besar atau Great War. 

Kini Cenotaph itu berada di kawasan Tugu Negara. 

Setiap tahun upacara peringatan untuk mereka dilakukan di semua tugu peringatan di seluruh empayar. 

Upacara itu kini masih dilakukan di Tugu Negara. 

Kerajaan kolonial British juga memberikan satu kawasan yang luas di Ayer Hitam, Selangor kepada pegawai veteran perang untuk dijadikan estet getah. 

Selain daripada menghargai sumbangan mereka kepada perang, ia juga adalah untuk meningkatkan pendapatan Empayar British.

Kawasan ini dinamakan Prang Besar sempena perang itu. 

Semasa pentadbiran Mahathir, kawasan inilah yang dijadikan Putrajaya  

Pada tahun 1952 ketika Queen Elizabeth II naik takhta, Mahathir sedang menuntut di Kolej Perubatan Edward VII, Universiti Malaya Singapura. 

Maka 29 tahun kemudian, Mahathir dilantik sebagai perdana menteri.

Mesej utama dalam kenyataan Mahathir yang dikeluarkan pada 13 September lalu terkandung di perenggan sebelas yang berbunyi:

"Baginda adalah satu contoh raja berperlembagaan yang baik. Kemangkatannya bukan saja merupakan suatu kehilangan bagi orang British tetapi juga kepada orang yang mempercayai dengan kedaulatan undang-undang (rule of law)."

Dua konsep yang ditekankan di sini ialah raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang. 

Sebagai perdana menteri yang mentadbir negara selama 22 tahun dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dan 22 bulan dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) tentulah beliau mempunyai pengalaman luas dalam menjunjung raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang. 

Semasa beliau menerajui kerajaan BN terdapat beberapa peristiwa yang mengaitkan beliau dengan usaha menjunjung konsep raja berperlembagaan ini. 

Sementara semasa pentadbiran kerajaan PH pula, Mahathir bukan saja sering menyebut mengenai kedaulatan undang-undang tetapi berusaha melaksanakannya.

Konsep-konsep raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang ini adalah ciptaan British yang turut digunakan oleh banyak negara-negara yang nerupakan bekas tanah jajahan Empayar British. 

Ia didapati sesuai digunakan dalam pentadbiran demokrasi moden bagi mewujudkan negara yang tersusun dan berkesan.

Namun begitu, kejayaan konsep raja berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang bergantung juga mereka yang terlibat, daripada raja yang diperlembagaankan hinggalah kepada rakyat yang melaksanakannya. 

Rakyat di sini termasuklah ahli politik, perkhidmatan awam dan rakyat secara keseluruhannya.  

Maknanya, keperluan bagi kerjasama raja dan rakyat dalam menjayakannya.

Sehubungan ini seperti mana ditulis Mahathir, Queen Elizabeth merupakan contoh baik, yang bermakna baginda melaksanakannya selama 77 tahun tanpa kontroversi. 

Peranan utama seorang raja berperlembagaan dalam melantik perdana menteri yang dipilih oleh Parlimen tidak pernah menjadi isu. 

Mahathir sendiri menyebut bahawa dua hari sebelum mangkat, baginda sempat melantik Liz Truss menjadi perdana menteri.

Sepanjang pemerintahannya, baginda membuat lantikan 14 perdana menteri British, iaitu Anthony Eden pada tahun 1955 hinggalah Liz Truss. 

Dalam hal lantikan perdana menteri British ini, tidak pernah berlaku krisis Perlembagaan.

Walaupun sistem raja berperlembagaan ini turut digunakan di banyak negara termasuk di negara bekas tanah jajahan British, ia tidak semestinya dapat dilaksanakan tanpa masalah. 

Jika ada raja, ahli politik atau tentera yang tidak menjunjung proses demokrasi, tentulah  ia juga boleh menimbulkan perbalahan.

Begitu juga dalam hal kedaulatan undang-undang. 

Keberkesanannya amat bergantung kepada anggota sesebuah negara. 

Jika raja dan rakyat sesebuah negara percaya kepadanya dan melaksanakannya, maka ia akan berkesan. 

Tetapi jika tidak, ia hanya tertulis dalam Perlembagaan dan dokumen-dokumen undang-undang tanpa didaulatkan dan dilaksanakan.

Satu lagi mesej penting Mahathir dalam kenyataan itu, tetapi terkandung dalam bentuk kenangan lucu ialah berkaitan juga dengan hubungan antarabangsa.

Di suatu sidang Komanwel di Zimbabwe, Mahathir secara berseloroh berkata bahawa perkataan Inggeris tidak semestinya membawa maksud sebenar. 

Umpamanya, Speaker Parlimen dari perkataan "speak" yang bermaksud cakap atau ucap tidak pula tugasnya bercakap. 

Sultan-sultan Melayu pada zaman kolonial dipanggil "rulers" atau pemerintah. 

Tetapi sebenarnya mereka tidak memerintah. 

Pihak yang memerintah ialah "advisers" British yang maksud perkataannya ialah penasihat. 

Akhir sekali Commonwealth yang bermaksud "harta bersama" tetapi hakikatnya harta itu tidaklah dikongsi bersama. 

Ia ditumpukkan di Britain. Kata-kata Mahathir ini menyebabkan Queen Elizabeth ketawa.

Menurut Mahathir, ucapan beliau itu disiarkan semula oleh BBC semasa perayaan jubli emas pemerintahan Queen Elizabeth sepuluh tahun lalu.

Walaupun ia merupakan suatu kenangan lucu bagi Mahathir tetapi ada suatu pengajaran daripada kenyataannya berhubung sejarah negara.

British menjajah banyak bahagian dunia dan tidak semuanya melalui peperangan. 

Untuk menjajah kawasan luas dengan penduduk ramai serta berkedudukan jauh, adalah sukar bagi melakukannya melalui peperangan semata-mata. 

Kekuatan tentera British walaupun paling unggul pada zamannya tetap mempunyai kemampuan yang terhad.

Maka British menggunakan rundingan dan diplomasi. 

Untuk itu, ia menggunakan konsep-konsep yang diciptakan dengan menggunakan perkataan-perkataan Inggeris yang membawa pelbagai maksud. 

Sistem-sistem pentadbiran British diperkenalkan di seluruh empayarnya dan ia diterima untuk digunakan walaupun tanah-tanah jajahannya sudah merdeka.

Selepas Empayar British sudah terlerai kerana kebanyakan tanah-tanah jajahannya mencapai kemerdekaan, mereka memperkenalkan konsep Komanwel. 

Maka Komanwel menggantikan empayar tetapi ia dianggotai oleh negara-negara merdeka.

Sebagai negara bekas tanah jajahan British, anggota Komanwel menggunakan sistem yang diperkenalkannya dan ia memudahkan hubungan pelbagai sektor di dalamnya.

Hubungan antara negara-negara Komanwel kelihatan istimewa apabila ketua perwakilan diplomatik antara negara-negara Komanwel tidak dipanggul duta, sebaliknya disebut sebagai Pesuruhjaya Tinggi. 

Seolah-olah negara-negara Komanwel berada di sebuah "superstate" yang diketuai oleh raja British.

Mengenai Commonwealth yang tidak "common" itu, ia seolah-olah lontaran sinis Mahathir kepada ketidakseimbangan kekayaan antara bekas penjajah dengan bekas tanah jajahan.

Melalui persidangan-persidangan Komanwel, Mahathir bertemu Queen Elizabeth. 

Baginda mengunjungi Malaysia dua kali iaitu semasa Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Konanwel (CHOGM) yang diadakan di Langkawi. 

Kedua, ialah semasa Sukan Komanwel yang diadakan di Bukit Jalil.

Bagi Mahathir, aktif dalam Komanwel dan mempunyai hubungan baik dengan Britain adalah sesuatu perkara yang wajar dilakukan. 

Tetapi semasa dalam pentadbirannya, beliau menunjukkan bahawa Malaysia tidak wajar menganggap Britain sebagai negara istimewa.