- Iklan -
Kolum

Pertembungan Barat dengan pencabar-pencabarnya

Dwi Standard berhubung hak asasi manusia oleh Barat adalah perkara biasa sejak Perang Dingin lagi.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pada Persidangan Agung Bangsa-bangsa Bersatu Rabu lalu, Presiden Iran Ebrahim Raisi menyelar kuasa-kuasa Barat yang mengamalkan dwi standard dalam soal hak asasi manusia. 

Barat sentiasa menimbulkan isu-isu pelanggaran hak asasi manusia pada negara-negara yang dimusuhinya sementara membiarkannya apabila berlaku pada sekutu-sekutunya.

Beliau menyebut tentang kes layanan buruk Kanada terhadap penduduk orang aslinya, serta  pengeboman Amerika Syarikat (AS) yang membunuh orang awam di Iraq dan Yaman dan juga hak asasi rakyat Palestin.

Persidangan itu bermula minggu lalu dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menarik perhatian terhadap perubahan iklim sambil merujuk kepada banjir di Pakistan. 

Tetapi perhatian dunia tertumpu kepada perang Ukraine dan keadaan dunia yang terbahagi antara Barat dan sekutu-sekutunya dengan pencabarnya iaitu Rusia, China dan Iran.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Presiden China, Xi Jinping hanya menghantar menteri luar mereka. 

Maka presiden Iran boleh dianggap sebagai satu-satunya pencabar Barat yang hadir di persidangan itu untuk menyatakan pendirian. 

Adalah sesuatu nasib yang kurang baik bagi Iran bahawa pada hari sama Ebrahim menyampaikan ucapannya itu, seorang wanita didapati mati dalam tahanan pihak berkuasa di Tehran. 

Wanita itu ditahan oleh pengawal agama kerana dia tidak berhijab secara sempurna. 

Ekoran itu, tunjuk perasaan berlaku di banyak tempat di Iran di mana kelihatan sekumpulan wanita membakar tudung mereka.

Tentulah peristiwa ini disukai oleh Barat. 

Media mereka menyiarkan laporan ini secara besar-besaran untuk menunjukkan Iran melanggar hak asasi manusia khususnya berkaitan wanita. 

Bagi mereka, memaksa memakai hijab adalah pelanggaran hak asasi manusia. 

Dwi Standard berhubung hak asasi manusia oleh Barat adalah perkara biasa sejak Perang Dingin lagi. 

Barat mengecam layanan China terhadap kaum Uighur yang merupakan pelanggaran hak asasi manusia.

 Maka tentulah timbul persoalan sama ada kecaman itu adalah kerana hendak membela Uighur atau memburukkan China. 

Lebih-lebih lagi buat masa ini, AS sedang mengekang China daripada menjadi kuasa dunia dan mencabarnya.

Sejak Perang Dunia lagi, Barat menampilkan diri mereka sebagai "free world" (dunia bebas) dengan AS sebagai ketuanya.

Mereka mengkritik Soviet Union, China dan negara-negara komunis yang disifatkan sebagai tidak demokratik, terkongkong dan melanggar hak asasi manusia. 

Tetapi Barat tidak mengkritik sekutu-sekutu mereka yang tidak demokratik dan melanggar hak asasi manusia seperti Korea Selatan, Vietnam Selatan, Taiwan, Indonesia, Filipina dan Iran semasa zaman Shah Reza Pahlavi.

Penubuhan PBB pada penghujung Perang Dunia Kedua yang diusahakan oleh negara-negara pemenang diketuai AS menyebut tentang hak asasi manusia dan hak kemerdekaan yang meliputi nilai-nilai demokrasi.

Tetapi perkara itu sukar dilaksanakan kerana tafsirannya adalah pelbagai dan bertentangan antara satu sama lain. 

Ia terpulang pada setiap negara untuk menafsir dan melaksanakannya, yang akhirnya hanya menjadi bahan bagi kepentingan kerajaan atau rejim negara masing-masing.

Bagi AS dan Barat, tafsiran demokrasi dan hak asasi manusia adalah jelas, iaitu menurut budaya dan tradisi Barat. 

Maka dalam pertembungan antara Barat dengan pencabar-pencabarnya, isu hak asasi manusia akan sentiasa diketengahkan untuk meraih sokongan antarabangsa dan memberi tekanan pada mereka.

Maka tidak hairanlah buat masa ini, isu Uighur di China, kebebasan bersuara di Rusia dan kebebasan wanita di Iran akan sentiasa menjadi isu dalam media Barat. 

Adalah suatu yang menarik, Barat berasakan perlu menghujah kepada orang ramai di seluruh dunia untuk menyokong pendirian mereka. 

Penduduk dunia dirasakan mempunyai pengaruh atau undi untuk memberi tekanan kepada kerajaan masing-masing supaya memihak pada pendirian Barat.

Jika Rusia, China dan Iran tidak mahu AS mengeksploit isu-isu hak asasi manusia, maka adalah sewajarnya mereka mengelak diri daripada membuka ruang atau peluang kepada perkara itu.

Maknanya Rusia berilah kebebasan bersuara kepada rakyatnya. 

China pula, janganlah menekan orang Uighur. 

Iran pula perlu berhati-hati dalam layanannya terhadap wanita.

Pada pandangan Barat, dunia harus bersifat unipolar dengan AS sebagai ketua. 

Bukan sangat untuk menghendaki nilai-nilai Barat dilaksanakan di seluruh dunia tetapi lebih kepada mahukan ketundukan terhadap kuasa mereka. 

Iaitu mendokong hegemoni Barat.

Maknanya mereka mahu Rusia yang jinak pada Barat seperti semasa pemerintahan Boris Yeltsin. 

Beliau tidak menghalang Nato diperluaskan ke Eropah Timur hingga ke sempadan Ukraine, yang kini menjadi cabaran pada Rusia. 

Barat juga mahukan China yang jinak seperti Jepun dan Iran pada zaman Shah.

Raisi dalam ucapannya mengingatkan kembali Revolusi Iran dan perjuangan membebaskan negaranya daripada penindasan AS. 

Pada zaman Shah, AS tidak menimbulkan isu hak asasi manusia yang luas berlaku pada zaman Shah.

Beliau juga mengingatkan UNGA betapa 40 tahun lalu, presiden Iran yang pertama berucap di persidangan itu, Ali Rajaie menunjukkan kesan-kesan penderaan di penjara yang dilakukan oleh rejim Shah dengan mendapat dokongan AS.

Raisi yang berusia 19 tahun ketika Revolusi Iran berlaku merupakan satu generasi dengan saya. 

Ketika itu saya berusia 20 tahun dan teruja dengan Revolusi Iran, seperti mana ramai orang Islam di seluruh dunia, terutamanya anak-anak muda.

Beliau belajar agama di Qom dan menjadi sebahagian daripada anak-anak muda radikal Iran yang menjayakan revolusi itu, serta memegang jawatan kehakiman dalam Republik Islam.

Pada tahun 1982, ketika saya mula menjadi wartawan, Raisi sudah menyandang jawatan pendakwa. 

Sebagai peminat Revolusi Iran, saya berusaha untuk memperoleh maklumat mengenai revolusi yang ketika itu sukar diperoleh.

Namun begitu, pada tahun 1988 ketika saya menerbitkan majalah yang memberi sokongan pada Iran, keluar laporan yang mana berlaku siri hukuman bunuh besar-besaran terhadap tahanan-tahanan politik di seluruh Iran yang kebanyakannya merupakan anggota atau penyokong Fedayeen, Mujahideen dan Tudeh. 

Fedayeen dan Mujahideen adalah kumpulan Islam kiri sementara Tudeh ialah Parti Komunis Iran.

Kumpulan-kumpulan ini turut berjuang menentang Shah dan menyumbang kepada kejayaan revolusi. 

Namun mereka adalah golongan minoriti yang dipinggirkan dalam suasana majoriti mahu mewujudkan republik yang eksklusif, dan bukannya inklusif.

Peristiwa ini boleh dikatakan sebagai "revolusi yang memakan anak-anaknya" (the revolution is devouring her children). 

Timbalan Ayatollah Khomeini iaitu Ayatollah Montazeri membantah kejadian ini hingga membawa kepada peletakan jawatannya. 

Pembunuhan ramai tahanan politik itu tidak selaras dengan semangat revolusi dan ia mencacatkan republik.

Pada masa itu, Raisi adalah pendakwa Teheran dan banyak laporan yang mengatakan beliau adalah salah seorang daripada empat anggota jawatankuasa pendakwa yang menghukum bunuh itu. 

Tidak ada laporan rasmi dari kerajaan dan Ebrahim tidak pernah komen mengenainya.

Peristiwa itu diberitakan terdapat dalam memoir Montazeri dan laporan Amnesty International, badan dunia yang bertugas menghimpun maklumat mengenai tahanan politik seluruh dunia.

Pada tahun 2021, Ebrahim yang merupakan calon garis keras dari aliran konservatif dipilih menjadi presiden. 

Saya pula sudah bersara dan semangat Revolusi Iran tinggal menjadi kenangan.

Raisi disebut-sebut akan menggantikan Ayatollah Khamenei yang kini berusia 83 tahun sebagai pemimpin agung Iran. 

Maknanya pada masa akan datang kemungkinan besar dunia akan menyaksikan Iran yang lebih lantang dan cergas dalam menentang AS. 

Dengan Rusia dan China yang turut cergas dan lantang, dunia akan menyaksikan pertembungan mereka dengan AS menjadi bertambah meluas. 

Lebih-lebih lagi apabila rakyat AS dan Eropah semakin cenderong ke arah kanan, iaitu mempertegaskan hegemoni Barat terhadap dunia yang akan mendorong pemimpin mereka untuk lebih berkeras.