- Iklan -
Rencana

Menyangkal dakwaan presiden Umno terhadap Dr Mahathir

Barangkali Ahmad Zahid Hamidi lupa bahawa Umno yang menyebabkan negara kacau bilau selepas bekerjasama dengan pengkhianat PH.

Mahdzir Ibrahim
2 minit bacaan
Kongsi
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama
Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi. Gambar: Bernama

Dalam satu kenyataan di laman Facebook pada 26 September 2022, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi telah menyatakan bahawa selepas Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri pada 2018, negara menjadi kacau bilau.

Kenyataan beliau ini adalah suatu dakwaan yang silap.

Kekacauan politik di zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya berlaku kerana mainan politik intrik puak-puak pengkhianat di dalam PH.

Malah, kekacauan politik ini juga melibatkan Zahid sendiri.

Adakah beliau lupa bahawa Umno telah bekerjasama dengan pengkhianat ini untuk menubuhkan kerajaan pintu belakang?

Bukankah beliau turut sama hadir di Sheraton malam itu, adakah dia sudah lupa?

Justeru, dakwaan presiden Umno ini ibarat meludah ke langit terkena ke muka sendiri.

Kekacauan politik ini tidak akan terjadi tanpa dukungan beliau dan koncu-konconya, masakan bertepuk sebelah tangan akan berbunyi jika tidak disambut oleh tangan sebelah lagi.

Zahid juga mendakwa pentadbiran Dr Mahathir menyebabkan ekonomi negara meleset dengan membandingkan keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebelum dan selepas Mei 2018.

Beliau juga mendakwa ekonomi Malaysia menjadi regresif dibawah pemerintahan Dr Mahathir. 

Dakwaan presiden Umno ini juga tersasar jauh, hanya orang-orang bodoh sahaja akan mengiyakan dakwaan Zahid ini.

Apabila PH mengambil alih kerajaan pasca PRU14, perbendaharaan negara sebenarnya telah koyak dek kerakusan tangan-tangan pemimpin Umno yang tidak tahu mengurus sumber negara sejak 2015 lagi.

Ini adalah fakta, dan fakta ini dibuktikan dengan penjelasan oleh menteri Umno sendiri.

Mungkin Zahid terlupa bahawa pemimpin Umno iaitu Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz telah menyatakan dengan jelas bahawa kerajaan dibelenggu hutang legasi tidak produktif berjumlah RM1 trilion dan perlu menyelesaikan hutang 1MDB ini. 

Menurut menteri Umno ini juga, hutang dan liabiliti kerajaan meningkat kepada 89.2% daripada KDNK. Ini laporan oleh menteri Umno sendiri, bukan laporan tepi jalan. 

Untuk rekod, sewaktu PH mengambil alih pemerintahan kerajaan, beban hutang skandal 1MDB ini "beyond repair", namun dengan kebijaksanaan Tun, maka kerajaan sedikit demi sedikit dapat mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk. 

Kesan kerosakan skandal 1MDB ini bukan sahaja menjejaskan rancagan pembangunan dan kewangan negara, malah memberi beban besar kepada seluruh rakyat untuk tempoh yang panjang.

Adakah Zahid tidak membaca laporan menterinya sendiri?

Ingin kita jelaskan lagi, semasa Tun menjadi PM kali kedua, indeks persepsi rasuah negara telah dapat dipulihkan selama dua tahun berturut-turut iaitu 2018 dan 2019.

Namun rekod ini tidak kekal lama selepas Umno dan pengkhianat PH telah bekerjasama menubuhkan kerajaan pintu belakang. Kini indek persepsi rasuah kembali ke takuk lama. Bukti yang terbaru, skandal kapal LCS yang dilaporkan melibatkan wang rakyat sebanyak RM6 billion.

Zahid perlu sedar, ketika Tun menjadi perdana menteri selama 22 bulan, beliau pada umur 94 tahun telah bekerja selama 16 jam sehari semata-mata untuk memulihkan negara dengan mencuci daki dan tahi yang ditinggalkan oleh kerajaan Umno BN.

Zahid sepatutnya bermuhasabah diri dan berubah menjadi pemimpin yang sejati dan kembali menghormati "rule of law".

Tetapi malangnya, beliau memilih untuk menyalahkan Dr Mahathir. Serangan beliau ini sama dengan serangan "cikgu"nya yang mendakwa reformasi gagal dilaksana kerana Tun. 

Boleh jadi, serangan Zahid ini adalah kerana beliau semakin gusar melihat kebangkitan Gerakan Tanah Air yang akan mencabar Umno dalam PRU 15 kelak.

Mahdzir Ibrahim adalah timbalan ketua penerangan Gerakan Tanah Air.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow

Ikuti kami di WhatsApp & Telegram

Dapatkan pandangan eksklusif berita terkini Malaysia.

Langgan berita kami

Anda akan menerima berita terkini dan analisis harian.

Kongsi
- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.