- Iklan -
Kolum

Pidato dan Bung Karno

Petang itu diumumkan aku menjadi Johan Pemidato Perak 1970.

Hishamuddin Rais
7 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Bulan Mei 1970, Young Men’s Christian Association (YMCA) Perak mengadakan pertandingan pidato untuk pelajar sekolah-sekolah menengah dari seluruh negeri itu. 

YMCA ini ibu pejabatnya di Ipoh.

Aku terbaca tentang ini di papan maklumat sekolah. Aku pernah memenangi “Johan Syarahan Bulan Bahasa Kebangsaan Negeri Sembilan” tahun 1963. 

Lalu aku melamar.

Aku rasa ini peluang terbaik untuk pergi ke Ipoh. 

Aku mengisi borang penyertaan di pejabat sekolah.  

Tajuk pidato aku: “Malaysiaku”.   

Tajuk ini bukan aku yang cipta. Ini tajuk yang ditetapkan oleh YMCA.

Satelah mengisi borang aku mengetuk pintu pejabat Guru Besar Tuan Syed Bakar Barakbah. 

Ini guru besar Malay College Kuala Kangsar (MCKK) Melayu yang kedua. 

Sebelumnya semua guru besar MCKK adalah Mat Salleh. 

Guru besar MCKK Melayu pertama bernama Aziz Ismail yang kini diambil oleh Kementerian Pelajaran.

“Sir, I would like to have your permission to go to Ipoh. To participate in elocution contest organized by YMCA.” Aku menghulurkan borang.

“Are you a good speaker? ‘Pidato’ like Sukarno or like Hashim Gera?” Guru besar membaca borang kemudian memandang aku.

Aku tidak menjawab.

Aku tidak pernah mendengar Sukarno berpidato. 

Tapi semua orang Melayu, emak dan abah aku tahu bahawa Sukarno ini amat bijak berpidato.

Aku pernah mendengar bagaimana sepupu aku, Cikgu Kadir Kassim di pagi Hari Raya akan cuba mencari  stesen Radio Republik Indonesia untuk mendengar pidato ucapan Hari Raya Sukarno.

Tahun 1963, di zaman Konfrontasi ketika kempen Ganyang Malaysia, juga aku difahamkan Sukarno berapi-api pidatonya memperlekehkan Tunku Abdul Rahman yang dicapnya sebagai boneka Inggeris. 

Malaysia pula dianggap sebagai projek neo-koloni Inggeris

Manakala Hashim Gera seorang ahli Parlimen. 

Aku mendengar namanya kerana anaknya Salehuddin Hashim satu kelas dengan aku.

YB Hashim Gera ini daripada PAS mewakili kawasan Parit di Perak.  

YB ini terkenal kerana dia berucap, berpantun dan berseloka dalam loghat Perak yang pekat dalam Parlimen.
 
Ada satu pantun dari YB ini yang sering aku dengar. 

Ini pantun dalam Parlimen ketika YB Hashim Gera memperli Tunku:  

One two three,
Satu dua tige,
Orang Putih udah lari,
Negara bagi tige.

“All the best. Deliver your speech well in English or Malay?” Syed Bakar bertanya.

“In Malay.” Aku menjawab pendek.

“Do well.” Syed Bakar berkata.

Aku mendapat kebenaran guru besar.
 
Program ini diadakan pada hari Sabtu pagi. 

Ertinya aku tidak perlu berdiri di tepi katil untuk “inspection” atau pemeriksaan hari Sabtu. 

Awal pagi aku akan memakai seluar panjang hitam dan baju putih untuk ke Ipoh.

Seluar hitam ini hanya dibenarkan untuk digunakan jika di luar kawasan asrama. 

Untuk budak koleq kalau berpeluang dapat memakai seluar hitam ini dianggap istimewa.

Pakaian warna-warni di MCKK hanya boleh dipakai ketika sampai ke asrama pulang dari bercuti atau hendak ke stesen kereta api untuk pulang bercuti. 

Hari hari lain kami memakai pakaian seragam sekolah atau berseluar baju Melayu.

Bersukan kami wajib memakai seluar pendek hitam dan baju T putih. 

Tentang pakaian ini peraturan amat ketat di MCKK. Pengawas sentiasa memerhati.

Pagi Sabtu setelah minum pagi aku menapak ke stesen bas yang terletak dalam pekan Kuala Kangsar.  

Aku mengambil bas Reliance berwarna hijau. 

Tambang 1.25 ringgit dari Kuala Kangsar ke Ipoh. Perjalanan memakan masa satu jam lebih.

Agak susah juga aku mencari bangunan YMCA. Dua kali aku bertanya hingga akhirnya aku sampai.

Dewan hampir penuh. Dewan boleh memuatkan 100 orang, tidak sebesar Dewan Hargreaves yang semuanya Melayu. 

Hari itu dalam dewan YMCA ada Melayu, Cina dan India. Majoritinya adalah murid sekolah.

Ada murid Anderson School, Sekolah Tunku Abdul Rahman (Star) dan Anglo Chinese School (ACS).

Semua sekolah ini mempunyai tingkatan enam.

Pidato ini ada bahagian dewasa lelaki dan perempuan.  

Bahagian sekolah rendah dan sekolah menengah.   

Aku rasa program ini dibuat untuk menjalin kembali hubungan kaum yang rosak akibat Tragedi 13 Mei, setahun sebelumnya.  

Kerana itu tajuk pidato kami ialah: Malaysiaku.

Aku merasakan seperti aku kembali bersyarah di Sekolah Menengah Undang Jelebu (SMUJ).

Ini kerana yang hadir bukan semuanya Melayu. Hadirin majmuk.

Giliran aku sampai. Pemidato diberi tujuh minit untuk berucap. 

Minit ke lima ada loceng berbunyi. Ada dua minit sebelum loceng akhir dibunyikan.

Aku tidak ada masalah dalam berpidato. Ini bukan kali pertama aku bertanding.  

Gentar ada gemuruh pun ada kerana aku datang seorang diri.

Tanpa kawan datang sebagai penyokong seperti pemidato dari Star atau Anderson.

Petang itu diumumkan aku menjadi Johan Pemidato Perak 1970.

Aku tersenyum puas. Pulang modal  dua hari aku menghafal ucapan. Berbaloi aku datang ke Ipoh.

Aku menerima hadiah dalam bentuk voucher bernilai 12 ringgit untuk membeli buku di kedai buku di Ipoh.

Dari YMCA aku menapak ke pekan Ipoh. Aku ingin merayau dalam pekan Ipoh. Ingin meneroka dan mencuci mata. Tapi aku sendirian. Lalu aku ke stesen bas dan pulang ke Kuala Kangsar.

Balik ke asrama aku beri tahu berita gembira ini kepada Ghani dan Jalil. Mereka tahu aku ke Ipoh untuk berpidato.

Seminggu kemudian semasa perhimpunan hari Isnin, seperti biasa guru besar memberi nasihat, memberitahu apa yang sedang dirancang dan apa yang sudah berlaku.

Tiba-tiba nama aku disebut sebagai Pemenang Pemidato Perak Terbuka 1970. Aku merasa bangga. Aku kini sudah menjadi budak koleq. Menaikkan nama MCKK.

Aku tidak tahu bagaimana Syed Bakar tahu keputusan pidato. Aku rasa pihak YMCA pasti berhubung dengan pejabat MCKK.

Hari berjalan minggu berganti. 

Pagi Isnin 22 Jun, 1970 selepas selesai perhimpunan mingguan di Dewan Hargreaves , ketika aku hendak menapak masuk ke dalam kelas tiba-tiba berita sampai.

“Herman, Sukarno mati.” Ghani memberitahu. Dari mana punca berita aku tidak tahu.

Lalu aku teringat akan Bung Karno seorang nasionalis Indonesia. Lalu aku teringat akan gagasan Melayu-Raya. Gagasan Maphilindo: Malaya, Filipina dan Indonesia.

Aku pelajar sejarah maka aku tahu akan perjuangan Bung Karno menuntut kemerdekaan dari Belanda.  

Cikgu Zaleha Sidek pernah bersurah tentang perjuangan “bambu runcing”, senjata para nasionalis Indonesia melawan Belanda.

Aku juga pernah terbaca tentang bagaimana Bung Karno berjanji dengan Ishak Haji Muhammad, dengan Ahmad Boestamam, dengan Dr Burhanuddin Helmy. 

Mereka seia sekata, bersetia kawan akan mengumumkan kemerdekaan bersama Indonesia dan Tanah Melayu.

Aku sebagai pelajar sejarah secara jujur menganggap Bung Karno sosok agung pejuang nasionalis anti penjajah yang pernah dipenjarakan oleh Belanda.

Aku juga pernah difahamkan Bung Karno adalah pemidato yang hebat. 

Aku tidak pernah mendengar pidatonya tapi aku rasa bangga jika aku berupaya berpidato seperti Bung Karno.

Justeru sebagai penghormatan aku ingin berkabung. 

Aku merancang akan berkabung selama tiga  hari, Selasa, Rabu dan tamat pada Khamis, 25 Jun.

Pagi Selasa aku mengikat reben hitam di lengan baju putih. Hari itu hanya aku seorang yang berkabung.

Esoknya hari Rabu aku ternampak Tawail Mat Som dari tingkatan lima ikut sama berkabung. 

Ertinya dua budak koleq telah berkabung mengingati kematian Sukarno.

Kelas  berjalan seperti biasa. Kawan-kawan sedarjah melihat aku berkabung. 

Mereka tidak memberi apa-apa komen. 

Setelah setahun menjadi budak koleq mereka memahami akan perangai aku.
 
Guru sastera, guru sejarah dan guru ekonomi nampak reben hitam aku.  Mereka tidak memberi apa-apa komen.

Khamis 25 Jun, 1970  sesudah rehat aku ada  kelas ilmu alam.  

Kami beralih ke bilik khas untuk kuliah ilmu alam.  

Kelas ini terletak di tingkat satu di blok berhadapan hadapan pejabat guru besar. 

Hendak ke bilik ilmu alam ini wajib melintas di hadapan Dewan Hargreaves.

Guru ilmu alam ialah Rozali Nordin. Murid tua MCKK.  

Setelah lulus Universiti Malaya kembali ke MCKK untuk menjadi guru. 

Dia berkahwin dengan Robeahtun Ahmad juga lulusan Universiti Malaya.

Untuk budak koleq Rozali ini dipanggil Mat Chen. Kerana masa sekolah dulu hidungnya berhingus. 

Chen itu cendol tanda hingus hidung.

Mat Chen ini pemain ragbi yang baik. 

Robeahtun, isterinya juga mengajar di MCKK. Guru sastera aku.

Kami menapak hendak masuk ke kuliah ilmu alam. Mat Chen memerhatikan kami melintas Dewan Hargreaves dari balkoni.

Di pintu kelas Mat Chen menahan aku. Aku tidak dibenarkan masuk ke bilik darjah.

“What is this?” Dia memegang reben hitam aku.

“For Sukarno.” Aku menjawab.

“He is a communist. Take it off.” Mat Chen memberi arahan.

Aku dengan hati yang marah membuka reben hitam itu.

“Now you go to head master and report to him what I did. Go now.” 

Mat Chen memberi arahan agar aku membuat laporan diri kepada Syed Bakar.

Aku turun tangga. Mat Chen memerhatikan aku dari balkoni menuju ke bilik guru besar. 

Kuliah ilmu alam terganggu sebentar.

Aku menapak turun. 

Dengan pantas aku berfikir: “aku akan mainkan si Mat Chen ini”.  

Dia ingat dia bijak melarang aku berkabung. Mat Chen ini belum kenal Hishamuddin Rais.

Di hadapan pintu guru besar aku menoleh ke balkoni. Mat Chen sedang memerhatikan aku masuk ke bilik guru besar.

Aku mengetuk pintu bilik guru besar dan masuk.

“Good afternoon Sir. May I have your permission to go to Ipoh? I need to exchange my voucher with a book I won during the elocution contest.”

“Good. When?” Guru besar bertanya.

“This Saturday Sir.” Aku menjawab ringkas.

Bila aku keluar dari bilik guru besar Mat Chen tidak ada di balkoni. Kuliah ilmu alam sudah bermula.

Aku masuk ke dalam kelas. 

Semua senyap dan mata menjeling memandang aku mencari tempat duduk.

Kawan sedarjah  melihat dan sedar apa yang terjadi antara aku dengan Rozali Nordin atau lebih dikenali sebagai Mat Chen.

Mat Chen yang anti Sukarno kerana dianggap komunis. 

Aku pula berkabung atas kemangkatan Sukarno. Suasana kelas ilmu alam hari itu agak tegang.

Ketika aku dihantar ke bilik guru besar semua kawan sedarjah tergamam. 

Mungkin kawan-kawan menjangka aku kena rotan. Atau aku dikenakan “detention class”.

Bila kuliah ilmu alam selesai dan Mat Chen beredar aku ketawa terbahak-bahak.

“Me, me going to Ipoh.”

“Apa jadi dengan HM?” Ghani bertanya.

“Aku bukan bodoh nak ikut cakap Mat Chen. Aku minta kebenaran gi Ipoh. Mat Chen ingat aku bodoh. Dia silap besar patutnya dia beri nota pada HM.”

“Herman, kau ni gila la. Berani kau.” Ayat Ghani kepada aku.

“Semua ini untuk Bung Karno.” Aku menjawab dalam ketawa.

Hari Sabtu aku berseluar hitam berkemeja putih bergaya ke Ipoh sekali lagi. 

Terima Kasih Mat Chen. Terima kasih Bung Karno. 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.