- Iklan -
Kolum

Generasi muda tentukan keputusan PRU15 jika keluar mengundi

Paling ketara dalam PRU15 kali ini ialah peranan generasi baru yang tidak memiliki hubungan emosi dengan institusi dan sistem sedia ada.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Satu generasi boleh dikira dalam pelbagai bentuk. 

Tetapi dari segi pilihan raya umum, generasi dikira dalam bentuk lima tahun. 

Ini kerana ia diadakan tidak melebihi lima tahun sekali.

Maka dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, generasi baru iaitu yang mula layak menjadi pengundi dari tahun 2018 hingga 2022 akan menunaikan tanggungjawab kewarganegaraan mereka. 

Sementara sedikit demi sedikit generasi yang menjadi pengundi pada PRU terdahulu sudah tidak ada lagi. 

Maka sedikit sebanyak perubahan akan berlaku dalam PRU15. 

Maknanya daripada pengundi sampailah kepada calon-calon yang bertanding, PRU15 ini adalah bebeza daripada tahun 2018.

Lebih-lebih lagi PRu15 kali ini boleh dianggap paling istimewa daripada 14 pilihan raya yang lalu sejak negara ini mencapai kemerdekaan. 

Sememangnya terdapat banyak aspek yang membezakan PRU15 kali ini, daripada bilangan pengundi yang bertambah hinggalah kepada keadaan Barisan Nasional (BN) dipimpin oleh presiden yang sedang dalam perbicaraan mahkamah.

Tetapi satu aspek yang paling ketara bagi PRU15 ini ialah peranan komunikasi yang sudah berubah. 

Satu contoh ialah penggunaan platform TikTok dalam masyarakat khususnya dalam kalangan generasi baru untuk menyampai dan menerima maklumat.

TikTok tidak wujud lagi pada PRU14. Kehadiran Tik Tok kali ini menambahkan lagi saluran komunikasi dalam dunia media sosial yang terdiri daripada Twitter; Facebook, Instagram dan kumpulan-kumpulan WhatsApp.

Untuk mempunyai rasa apresiasi terhadap keadaan ini, cuba bandingkan PRU15 dengan PRU pertama negara pada tahun 1959. 

Ketika itu, saluran komunikasi hanyalah melalui radio dan akhbar. 

Itupun tidak semua rakyat memiliki radio. 

Akhbar pula tidak sampai di semua tempat. Maklumat hanya satu hala, daripada mereka yang menguasai radio dan akhbar kepada rakyat. 

Reaksi atau maklum balas rakyat tidak dapat disampaikan kepada pihak berkuasa.

Namun begitu, untuk pilihan raya, kerajaan Perikatan bersikap adil. 

Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman bercuti untuk berkempen. 

Timbalannya, Abdul Razak Hussein menjadi pemangku untuk menerajui kerajaan “caretaker”.

Radio Malaya yang baru berpindah ke Kuala Lumpur pada Januari 1959 tidak berkempen untuk Umno. 

Ia bertindak sebagai saluran kerajaan. 

Semasa kempen, apa yang dilakukan ialah mengajak rakyat turun nengundi.

Dalam kalangan orang Melayu, akhbar utama iaitu Utusan Melayu yang bertulisan jawi dan Berita Harian tidak berkempen untuk Umno. 

Utusan Melayu pimpinan Said Zahari dan Berita Harian pimpinan A Samad Ismail memberi ruang kepada semua parti. 

Umno belum menguasai editorial Utusan Melayu. 

Berita Harian pula diterbitkan oleh The Straits Times yang dimiliki oleh ahli perniagaan British. 

Jadi berkempen yang berkesan hanyalah ceramah, perang poster dan pertemuan langsung dengan pengundi.

Pada masa itu parti yang memegang kuasa ialah Perikatan yang terdiri daripada Umno, MCA dan MIC. 

Mereka menang besar dalam PRU itu. 

Pesaing utama mereka yang muncul ialah PAS yang menenangi negeri iaitu Kelantan dan Terengganu. 

Berbanding dengan PRU14 pada tahun 2018, BN mempunyai banyak parti di seluruh negara walaupun Umno tetap dominan. 

Dalam berkempen tidak nampak perbezaan antara perdana menteri dengan peranannya sebagai pengerusi BN dan presiden Umno.

Radio Televisyen Malaysia (RTM) jelas memihak kepada BN kerana mereka dianggap sebagai pihak kerajaan. 

TV3 dimiliki Umno. Begitu juga akhbar utama bahasa Melayu, Utusan Malaysia dan Berita Harian. 

Kesemuanya berkempen untuk BN. 

Tetapi pada tahun itu, media sosial, YouTube membolehkan semua parti menyalurkan maklumat kepada pengundi. 

Ceramah bukan sahaja masih merupakan kaedah bagi menyampaikan maklumat tetapi juga tersebar berkali-kali ganda melalui internet. 

Bukan itu sahaja, tidak seperti dahulu, kali ini rakyat boleh memberi maklum balas.

Tapi dengan pelbagai usaha komunikasi dalam menghadapi bermacam isu, Umno dan BN buat pertama kali kalah PRU. 

Generasi berubah, bukan sahaja pengundi tetapi juga calon dan lebih penting lagi ialah para pemimpinnya. 

Najib Razak tidak seperti Tunku atau Razak. Generasi berlainan.

Perbezaan dan perubahan generasi ini tentunya dapat disaksikan oleh Dr Mahathir Mohamad yang dapat mengalami kesemua PRU, dari pertama hingga ke-14, malah PRU tahun 1955.

Kini, BN sudah kembali seperti Perikatan kerana ia dianggotai oleh Umno MCA dan MIC sahaja.

Tetapi landskap sudah begitu jauh berbeza bukan saja antara tahun 2022 dengan 1959, malah dengan 2018 juga.

Pandemik yang berlaku dari tahun 2020 meningkatkan penggunaan telefon pintar dan urusan dalam talian. 

Ini bermakna orang ramai termasuk warga emas meningkatkan kebiasaan mereka memperoleh maklumat daripada dalam talian.

Akhbar cetak sudah kurang berpengaruh. 

Penggunaan kempen melalui akhbar sudah berkurangan. 

Akhbar utama Umno iaitu Utusan Malaysia yang berperanan besar sejak tahun PRU tahun 1969 sudah menghentikan operasinya pada tahun 2019. 

Penggantinya bukan milik parti.

BN sendiri tidak menguasai kerajaan sepenuhnya. 

Presidennya bukan sahaja tidak menjadi perdana menteri tetapi mempunyai imej yang terjejas kerana sedang dalam perbicaraan mahkamah atas banyak tuduhan.

Ketika PRU pertama, negara sedang darurat dan semasa PRU14 pula, Malaysia dibayangi oleh skandal 1MDB. 

Tetapi pada PRU15 ini, negara sedang menghadapi musim banjir monsun. 

Pada waktu sama, rakyat sedang menghadapi inflasi.

Dunia juga berbeza. Pada tahun 1959, ia merupakan kemuncak Perang Dingin yang turut mengheret Malaya ke dalam percaturan geopolitik Amerika Syarikat-Soviet Union. 

Ketika tahun 2018, hubungan Moscow-Washington adalah baik. 

Tetapi kini berlaku ketegangan Washington-Moscow dengan dunia di ambang Perang Dingin Kedua. Ia diramal akan berlaku pada tahun depan.

Paling ketara dalam PRU15 kali ini ialah peranan generasi baru yang tidak memiliki hubungan emosi dengan institusi dan sistem sedia ada. 

Dalam negara, bilangan mereka paling banyak berbanding generasi baru dalam PRU dahulu. 

Lebih-lebih lagi apabila mereka yang berusia 18 kini sudah boleh mengundi.

Desakan sebahagian daripada mereka supaya generasi terdahulu mengundurkan diri tidak berlaku dalam PRU-PRU sebelum ini. 

Ia hanya mencerminkan fenomena kemunculan pemimpin muda di seluruh dunia. 

Maka semua parti menyesuaikan diri untuk memberi ruang kepada ahli politik muda.

Tetapi ironinya, PRU15 ini akan menyaksikan kehadiran Mahathir yang berusia 97 tahun untuk bertanding sebagai calon paling tua dalam sejarah PRU negara, kalaupun tidak seluruh dunia.

Generasi baru dalam PRU ini akan mencorakkan masa depan negara, iaitu sekurang-kurangnya bagi lima tahun akan datang. 

Sama ada ia mendatangkan kebaikan atau tidak, hanya masa akan menentukan.

Harapan yang tinggi diberikan kepada generasi baru untuk melakukan perubahan. 

Ini kerana keadaan mereka  adalah segar dan bersih daripada segi politik. 

Tetapi jika sebahagian besar mereka tidak turun mengundi, maka tidak adalah pengaruh daripada generasi ini.

Atau kalau mereka mengundi tanpa membuat penilaian atau mengambil tahu hal perkembangan semasa, maka pilihan yang dibuat hanyalah seperti bermain judi. 

Nasib baik bagi negara jika mereka membuat pilihan yang baik. Begitulah juga sebaliknya.

Setiap warga negara mempunyai fikiran, cita rasa tersendiri. 

Apabila menghadapi tindakan sesuatu kumpulan, nilai seseorang individu tenggelam dalam arus sejarah yang hanya menyaksikan penggantian generasi hingga semua riwayat manusia berakhir.