- Iklan -
Kolum

Pelajaran politik daripada penggal 2018-2022

Pemilihan parti tidak diadakan secara konsisten supaya penggantian kepimpinan dapat dilakukan dengan baik dengan melahirkan tenaga-tenaga muda bagi menyegarkan parti.

Pak Zin
4 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang dinanti-nantikan sejak tahun 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang akhirnya ditetapkan pada 19 November ini. 

Apakah pelajaran politik yang boleh diraih daripada segala peristiwa yang berlaku sejak rakyat mengundi pada Mac 2018?

Tentulah banyak pelajaran tetapi salah satunya ialah mengenai kelemahan sistem parti politik di negara ini.

Apabila mengundi, pada asasnya rakyat memilih seseorang individu calon untuk menjadi wakilnya di Dewan Rakyat.

Wakil rakyat itu mewakili semua penduduk dalam kawasan pilihan raya.

Tetapi kebanyakan pengundi tidak mengenali semua calon yang bertanding di kawasannya. 

Waktu berkempen hanyalah dua minggu dan adalah mustahil bagi pengundi dapat mengenali semua calon untuk dibuat pilihan adil. 

Calon akan bertemu para pengundi tetapi kesannya tentu terhad. 

Akhirnya pengetahuan mereka bergantung pada media yang dilihatnya. 

Ia juga terpulang pada imej calon dalam media selama ini. 

Itupun ia ditentukan oleh minat pengundi terhadap politik, maknanya hanya sebahagian kecil daripada mereka. 

Dalam hidup saya, hanya sekali terserempak dengan calon pilihan raya yang sedang berkempen di tengah-tengah orang ramai.

Seperti kebanyakan orang saya pun tidak pernah berurusan dengan wakil rakyat apatah lagi meminta bantuan mereka.

Akhirnya, parti politik menjadi panduan bagi pengundi untuk membuat pilihan. 

Pentingnya parti politik

Tambahan pula, pada kertas undi, lambang dikemukakan untuk pengenalan. 

Maka lebih mudah mengecam lambang parti daripada nama calon. 

Maka kempen untuk menyokong sesebuah parti sentiasa berjalan sepanjang masa dengan ditingkatkan ketika dirasakan Parlimen mungkin hampir akan dibubarkan. 

Maka bagi PRU15 ini, persediaan parti politik untuknya boleh dikatakan bermula sejak tahun 2020 selepas kerajaan sedia ada tumbang. 

Akibat pandemik Covid-19, ia tertangguh-tangguh hinggalah kini.

Parti politik merupakan institusi penting dalam sistem demokrasi negara ini. 

Segala pergolakan politik yang berlaku sepanjang penggal 2018-2022 adalah antara lain disebabkan oleh kelemahan dan kerapuhan parti. 

Maka tentunya keadaan parti politik ditentukan oleh gelagat pemimpin, aktivis, ahli dan penyokong-penyokongnya.

Dalam menghadapi pengundian yang akan berlangsung tidak sampai sebulan lagi, tentu parti politik tidak ada masa untuk melakukan sesuatu yang terbaik khususnya dalam pemilihan calon. 

Mereka akan merasa terdesak serta kesuntukan masa dan segalanya perlu dibuat tergesa-gesa tanpa dapat difikirkan secara teliti. 

Maka berlakulah calon bidan terjun yang akan menempah kegagalan.

Tetapi tidakkah parti politik mempunyai banyak masa untuk bersedia iaitu sejak tahun 2020 lagi? 

Kelemahan parti politik

Ataupun secara idealnya, semua parti politik wajar sentiasa bersiap siaga menghadapi pilihan raya yang mungkin boleh datang dalam pelbagai bentuk, pilihan raya kecil, pilihan raya negeri, dan bukan saja PRU.

Dari pemerhatian, ternyata parti-parti politik Malaysia secara umum tidak diurus dengan baik dan efisien. 

Pemilihan parti tidak diadakan secara konsisten supaya penggantian kepimpinan dapat dilakukan dengan baik dengan melahirkan tenaga-tenaga muda bagi menyegarkan parti. 

Akibatnya parti terperangkap dengan pemimpin lama yang bermasalah dan akhirnya bukan saja menyusahkan parti tetapi juga negara.

Terdapat persaingan jawatan dan kuasa antara pemimpin secara tidak sihat mengakibatkan parti lemah dan akhirnya berpecah-belah dan berlaku lompat parti. 

Ia menunjukkan kegagalan para pemimpin parti untuk menguruskan perbezaan pendapat serta ketiadaan nilai-nilai baik dan sifat beretika.

Parti politik memerlukan aktivis, ahli dan penyokong. 

Tetapi jika tiada usaha terancang dan konsisten untuk menambah keahlian dan melatih aktivis, maka akhirnya pasti parti politik itu tidak ada jentera bagi menghadapi PRU. 

Mereka mungkin mampu meletak calon hebat tetapi kalau tiada jentera, parti berkenaan berdepan dengan kekalahan. 

Perkara yang sama penting ialah dana PRU. 

Perbincangan mengenai soal pendanaan politik ini masih tidak selesai.

Sememangnya pada asasnya, dana untuk parti politik mestilah datang dari sumbangan orang ramai, iaitu dari orang yang menyokong fahaman dan perjuangan parti. 

Ataupun seseorang yang menyokong calon tertentu akan memberi sumbangan wang bagi membolehkan kemenangannya. 

Di sinilah timbul masalah. 

Adakah pendanaan dari syarikat atau orang-perseorangan yang berkepentingan boleh dianggap sebagai korupsi? 

Isu ini juga jadi perdebatan dalam sistem demokrasi Barat di Amerika Syarikat dan Eropah. 

Ternyata perkara ini tidak dapat dihalang kerana parti politik amat bergantung pada pendanaan ini. 

Sedangkan merekalah yang menggubal undang-undang di Parlimen. 

Apa yang boleh dilakukan hanyalah menetapkan had pendanaan dan memastikan ketelusan. 

Tanpa penguatkuasaan peraturan pendanaan, parti yang korup akan bermaharajalela.

Dari rakyat untuk rakyat

Asas demokrasi menetapkan bahawa ia adalah sistem oleh rakyat dan untuk rakyat. 

Maka parti politik yang merupakan institusi untuk ini mesti dikendalikan oleh rakyat, dan untuk rakyat. 

Siapakah rakyat dalam konteks parti politik? 

Mereka adalah akar umbi dan bukannya pemimpin atau calon wakil rakyat. 

Akar umbi atau “grass root” ialah ahli-ahli di peringkat cawangan. 

Mereka inilah rakyat sebenar dalam konteks parti politik. 

Akar umbi merasakan denyut nadi rakyat di kampung-kampung, pekan-pekan kecil dan kejiranan-kejiranan bandar. 

Parti yang tidak mempunyai banyak cawangan, maka sedikitlah akar umbinya.

Akar umbi pun ada pelbagai jenis. 

Ada yang akarnya mendalam, maknanya mereka sudah lama tinggal di kawasan tertentu dan juga lama menjadi ahli parti. 

Mereka ini adalah dari kalangan golongan berusia. 

Ada pula yang akarnya tidak mendalam. Mungkin ia belum lama tinggal di kawasan berkenaan atau baru menjadi ahli.

Tetapi kebanyakan rakyat tidak mahu menjadi akar umbi parti. 

Mereka tidak berminat untuk menjadi ahli kerana ia mengambil masa dan tenaga yang banyak. 

Kebanyakan orang yang menjadi akar umbi ini mengharapkan mereka dihargai oleh parti sebagai ganjaran aktiviti mereka. 

Walaupun mereka tetap menganut fahaman parti dan menyokong pemimpinnya. 

Adalah masalah pada mana-mana parti untuk mengharapkan akar umbi sentiasa bekerja dan berkorban tanpa ganjaran. 

Walaupun parti berasaskan agama boleh menghimpun akar umbi yang besar, tetapi ia tidak akan bertahan lama apabila mereka melihat para pemimpinnya memperoleh ganjaran sedangkan mereka terus diminta berkorban.

Jadi hampir empat tahun selepas 2018, parti-parti di negara ini termasuk parti-parti baru tidak cergas membina akar umbi. 

Mereka hanya mengharapkan akar umbi tumbuh sendiri. 

Pemimpin-pemimpin lebih tertumpu pada percaturan dalam politik kesepakatan antara parti. 

Untuk menghadapi pengundi-pengundi baru khususnya yang berusia 18 tahun, parti politik mengharapkan media sosial untuk menyebar pengaruh, dan bukannya membina akar umbi.

Tanpa akar umbi, sokongan yang diterima oleh parti politik sukar untuk berkekalan. 

Maknanya; mereka sukar memiliki penyokong tegar yang seringkali dijaga oleh akar umbi. 

Penyokong tegar inilah yang memberikan undi tetap kepada sesebuah parti di kawasan tertentu tidak kira siapa calon yang bertanding.

Maka dalam pilihan raya ini, parti politik yang kurang mempunyai akar umbi perlu bertemu rakyat secara langsung sepanjang tempoh kempen di samping penggunaan media pelbagai platform.