- Iklan -
Kolum

Merancang ke universiti

Aktiviti pelajar Universiti Malaya aku ikuti sebelum aku sendiri masuk universiti.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku bukan pelajar yang cekap dalam ilmu kira-kira. 

Aku selalu merasa hairan jika cikgu ilmu hisab berkata “let the number be X”.  

Aku pening kepala. Aku tak faham kenapa angka itu menjadi X.

Setahu aku X ini adalah ganti nama untuk gadis yang terlibat dalam kes rogol di mahkamah. 

Nama Miss X ini kerap aku baca dalam Utusan Melayu.

Gadis sunti ini diberi nama Miss X dan tidak diketahui sama ada Cina atau Melayu. 

Bab kes rogol ini aku faham. Miss X digunakan untuk melindungi nama gadis ini daripada diketahui umum.

“Let’s the number be X” dalam kelas ilmu hisab aku tidak faham.

Justeru sesudah lulus tingkatan tiga melalui peperiksaan Lower Certificate of Education (LCE) aku masuk ke tingkatan empat dan mengambil aliran sastera.

Ketika menyambung dalam tingkatan enam di Malay College Kuala Kangsar (MCKK) aku tetap mengambil aliran sastera. 

Aku cuba lari daripada belajar ilmu kira-kira.

Tetapi bila aku mengambil mata pelajaran ekonomi, aku terserempak lagi dengan urusan kira-kira.  

Aku berjumpa dengan X sekali lagi. 

Hasilnya di MCKK aku masih bebal dalam mata pelajaran ekonomi.

MCKK ketika aku di sana adalah wilayah “creme de la creme” untuk pelajar Melayu. 

Pelajar yang menjadi “budak koleq” dipilih dan terpilih.

Dalam tingkatan enam sebelum peperiksaan Higher School Certificate (HSC) berjalan kami sudah ada sasaran. 

Sebelum masuk ke universiti kami sudah memasang niat. Semua pelajar tingkatan enam di MCKK bercita-cita untuk menyambung belajar ke luar negara.

Ketika itu ada Commonwealth Scholarship untuk menyambung belajar ke United Kingdom, Australia, New Zealand dan Canada. 

Menyambung pelajaran dalam semua ilmu, sains, sastera dan undang-undang.
 
Mereka yang mendapat Biasiswa Commonwealth ini adalah pelajar MCCK yang terbaik dan terpilih. 

Creme de la creme di atas cream de la creme produk MCKK.

Tahun 1970 aku dalam tingkatan enam atas aku sudah mula membaca Mahasiswa Negara. 

Ini akhbar dwi-mingguan daripada Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM).

Mohd Arif daripada kelas aku ada hubungan dengan Mahasiswa Negara. 

Maka dua minggu sekali beberapa naskah Mahasiswa Negara akan dijual oleh Arif.

Membaca Mahasiswa Negara menaikkan semangat untuk ke universiti.

Daripada akhbar ini aku mula mengikuti perkembangan kampus UM. 

Aku tahu wujudnya Kelab Sosialis. 

Ada Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) dan Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Di MCKK juga, ada akhbar dan majalah kami sendiri. 

Majalah MCKK atau “school magzine” diterbitkan setahun sekali. 

Majalah ini merakam apa yang berlaku pada tahun itu.

Kami ada akhbar Kris Kangsar, akhbar dalaman yang dikeluarkan secara berkala.

Daripada pelajar aliran sastera ada Majalah Semaian. 

Ini majalah sastera MCKK yang terbit setahun sekali. 

Ada cerpen, sajak, gurindam, pantun seloka dan ada tulisan berkenaan sastera yang bersangkutan dengan mata pelajaran sastera.

Pada tahun 1970 aku diberi kepercayaan untuk menjadi ketua pengarang Majalah Semaian MCKK.

Antara sidang pengarang yang membantu aku ialah Rashid Harun, Kamat Norbit dan Kamarudin Jaffar sebagai penasihat.
 
Aku ingat lagi usaha dijalankan untuk mencari dana. 

Kami menjual iklan dan meminta derma. 

Sebagai ketua pengarang aku beberapa kali ke Taiping untuk urusan pencetakan.

Semua beres. Sebelum akhir tahun, sebelum masuk peperiksaan HSC, Majalah Semaian diterbitkan.

Aku merasa bangga. Aku merasa aku sudah menjadi budak koleq. 

Aku teringat lagi bagaimana satu  ketika dulu aku ingin meninggalkan MCKK dan berpindah ke KGV di Seremban. 

Kini semua tinggal ingatan.

Six Form Union MCKK juga amat aktif. 

Malah ada jaringan dengan kesatuan Six Form Union untuk seluruh Perak.  

King Edward dari Taiping, Anderson, Anglo Chinese School, St Micheal dan Star dari Ipoh.

Tahun 1970, MCKK menjadi tuan rumah untuk pertemuan pelajar Six Form Union. 

Sebagai tuan rumah kami susun program. 

Di sebelah pagi ada perbincangan dan debat. Di sebelah petang ada acara sukan.

Para tamu datang dengan bas sekolah masing-masing.

Dewan Hargreaves didatangi oleh pelajar perempuan Melayu, Cina dan India dari Ipoh dan Taiping. 

Bayangkan ada pelajar perempuan di MCKK. Ini satu perkara yang “rare”, perempuan di lihat dalam padang bola MCKK dan duduk dalam Dewan Hargreaves.

Masuk penggal kedua Six Form Union menjalankan program Union Night. 

Kami mendapat tahu bahawa seorang pemimpin pelajar dari Universiti Malaya akan datang ke Dewan Hargreaves. 

Sosok ini bernama Anwar Ibrahim yang juga “old boy” budak koleq.

Malam Khamis, malam union itu aku ingat lagi Anwar, pemimpin Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM) naik pentas dan berucap. 

Aku ingat lagi ucapan pemimpin pelajar ini ialah tentang negara-negara Islam yang miskin yang wajib dibangunkan.

Sebenarnya aku sudah ada membaca berita Anwar ini daripada Utusan Melayu. 

Pada tahun 1969 sesudah 13 Mei PBMUM dan PMIUM mengambil garis politik mendesak Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman meletakkan jawatan dan berundur.

Garis politik Anwar ini selari dengan garis politik Dr Mahathir Mohamad yang juga menentang kepimpinan Tunku.

Beberapa bulan selepas tragedi 13 Mei Tunku menulis buku berjudul “Sebelum dan Sesudah 13 Mei.  

Dari apa yang aku baca, buku ini dibakar di Sudut Pidato UM. Sosok yang memimpin pembakaran buku ini antaranya ialah Anwar.

Dari Mahasiswa Negara juga aku ada terbaca bagaimana Anwar berkempen untuk menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam Universiti Malaya.

Anwar dan kumpulannya menconteng cat pada semua papan tanda dalam Universiti Malaya. 

Ini kempen PBMUM yang dipimpin oleh Anwar.

Aktiviti pelajar Universiti Malaya aku ikuti sebelum aku sendiri masuk universiti.

Sebelum mengambil peperiksaan HSC lagi, borang  untuk melamar Biasiswa Commonwealth sudah aku isi.  

Malah semua pelajar tingkatan enam atas aliran sastera dan sains melamar.

Aku melamar untuk belajar ilmu undang-undang di United Kingdom. 

Sebenarnya banyak ilmu “liberal arts” yang lain tetapi aku sendiri tidak tahu. 

Yang aku tahu hanya “law degree”.

Kami dipanggil ke Ipoh untuk ditemubual oleh Jawatankuasa Biasiswa Commonwealth. 

Kami membawa surat “sulit” laporan daripada guru yang menyatakan sama ada kami ini berpotensi untuk lulus atau tidak.

Bulan November 1970, bulan puasa sampai. 

Dalam bulan November ini juga peperiksaan HSC yang dikendalikan dari United Kingdom berjalan.

Pelajar lain dari kelas bawah semua pulang bercuti panjang. Kami dalam tingkatan enam atas berhadapan dengan HSC.

Guru Besar Tuan Syed Bakar Barakhbah memberi arahan jika sesiapa pelajar yang tidak mahu berpuasa kerana ada ujian HSC pada hari itu, dibenarkan tidak berpuasa.

Aku dilantik untuk menguruskan roti dan sardin untuk mereka yang tidak berpuasa. 

Berbuka puasa dan makan malam kami masih diurus dalam Dewan Makan. Hanya pelajar sedikit.

Ketika peperiksaan belum bermula lagi aku mendengar ada beberapa pelajar mendapat Biasiswa Commonwealth. 

Semua ini berasaskan “laporan sulit- forecast result” daripada guru kami.

Nama aku tidak naik untuk mendapat Biasiswa Commonwealth.  

Dalam kelas aku hanya tiga pelajar mendapat biasiswa. Kamarudin Jaffar dan Ahmad Ibrahim ke United Kingdom. Shamsudin Husin ke New Zealand.  

Bila keputusan rasmi sampai mereka akan terbang ke luar negara.

Kami yang lain wajib menunggu keputusan untuk melamar universiti tempatan. 

Aku memasang niat untuk ke Universiti Malaya.

Tahun 1970 hanya ada tiga buah universiti, Universiti Pulau Pinang, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Malaya. 

Paling berprestij ialah Universiti Malaya.

Selesai HSC kami semua mengucapkan selamat tinggal kepada MCKK.  

Aku merasa sedih. Tempat jatuh lagi di kenang, inikan pula tempat kena rotan.

Malam akhir kami di Dorm Kapal Haji kami bergambar untuk kenangan dan berjanji lagi akan berjumpa kecuali yang akan pergi ke luar negara.

Malam akhir di MCKK, kami ambil kereta api malam ke Kuala Lumpur. 

Hatta, Ghani, Rashid, Baharuddin, Kamat pulang ke Johor. 

Jalil turun di Kuala Kubu Baru.   

Anuar atau dikenali sebagai Wabbit pulang ke Kuantan. 

Brahim atau dikenali sebagai Yok pulang ke Terengganu. 

Sulaiman atau Uncle Porno berhenti di Kula Lumpur.

Pelajar dari Kelantan seperti Mahmud Awang Kecil dan Kamarudin Jaffar lebih hebat mereka naik kereta api ke utara melintas Padang Besar masuk ke Siam, ambil kereta api Siam turun di Golok.

Pagi itu kereta api sampai di stesen Kuala Lumpur. Kami tidak merayau di Kuala Lumpur. 

Kami meneruskan perjalanan ke selatan.

Aku ingat lagi, aku turun dan menangis di stesen kereta api Seremban. 

Aku sedih meninggalkan Hatta, Ghani dan Rashid yang meneruskan perjalanan ke Johor.

Kamal Adham atau dikenali sebagai Ogo datang memeluk bahu aku. Dia cuba meredakan tangisan aku.

“It’s okay Herman, we will meet again.” 

Ogo membantu aku mengangkat beg. Ogo dari aliran sains berasal dari Kuala Pilah.

Kami menapak ke Stesen Bas Seremban. 

Ogo mencari teksi ke Kuala Pilah. Aku mencari teksi pulang ke Jelebu.

Tempat jatuh lagi dikenang. Ini kan pula Kuala Kangsar, tempat aku pertama kali bertemu laksa dan popia.

Perigi batu, lampu pelita dan Kampung Chenor menunggu aku.  

Hari Raya akan sampai seminggu kemudian pada 30 November, 1970.