- Iklan -
Rencana

Persoalan tentang calon BN di Kuala Nerus

Apakah pertimbangan yang dibuat ketika Barisan Nasional memilih bekas ahli Parlimen PAS sebagai calon?

Aizat Fikri
5 minit bacaan
Kongsi
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.
Ahli Parlimen Kuala Nerus Mohd Khairuddin Aman Razali.

Bagaimana ditanam, begitulah dituai. Bagaimana acuan, begitulah kuihnya. 

Peribahasa yang mewakili genius akal orang Melayu ini menggambarkan betapa tindak tanduk induk bakal diwarisi oleh sang anak dan generasi seterusnya. Sekiranya peribahasa ini dipadankan dengan cara kerja pucuk pimpinan Barisan Nasional pra Pilihan Raya Umum ke-15, saya melihat awan mendung berat menyelubungi masa depan politik negara.

Tema manifesto “Kestabilan dan Kemakmuran” yang dicanangkan kedengaran begitu gah dan hebat, namun adakah ia realistik apabila pucuk pimpinan parti sendiri tidak telus dalam menjamin kestabilan dan kemakmuran parti.

Logiknya, bagaimana jentera hendak dikerahkan untuk bekerja apabila calon yang diletakkan tidak mendapat restu akar umbi? Ia tidak mustahil, namun output yang diperoleh tentunya tidak 100% efisien berbanding dengan sinergi yang terjana apabila calon yang dipilih mendapat sokongan penuh anggota bahagian.

Memetik kenyataan presiden parti, beliau menggariskan tiga prinsip utama yang  dijadikan panduan dalam pemilihan calon, iaitu kesetiaan, perkhidmatan dan muafakat.

Mereka juga antara kalangan yang mempunyai kelayakan akademik dalam pelbagai disiplin ilmu dan kepakaran, membabitkan gandingan muka baru dan yang lebih senior serta berpengalaman.

Teka-teki siapa yang akan mewakili Barisan Nasional dalam PRU15 terjawab sudah. Banyak kejutan yang berlaku; ada yang mengundang reaksi positif, tidak kurang juga yang bernada negatif.

Secara harafiah dan jika dibaca bulat-bulat tanpa kanta pembesar, kita boleh menyimpulkan para calon tersebut menepati tiga kriteria utama presiden parti. Namun, apabila dibelek, ditenung, direnung dan diperhalusi senarai nama berkenaan, banyak tanda soal mula mercup di cepu kepala.

Sejujurnya, saya tidak begitu terkesan dengan pengguguran warlord yang telah lama berkhidmat untuk parti seperti Shahidan Kassim dan Annuar Musa, namun saya mempersoalkan mengapa dan atas dasar apa panglima-panglima yang cemerlang seperti Zahidi Zainul Abdidin, Halimah Sadique, Ahmad Nazlan dan ramai lagi yang saya yakin boleh menyumbang kepada kestabilan dan kemakmuran parti dan parlimen yang diwakili oleh mereka digugurkan?

Zahidi begitu lantang dalam membela Telekom Malaysia yang seolah-olah dianaktirikan oleh KKMM. Beliau juga antara yang pertama mengkritik monopoli Digital Nasional Berhad dalam projek rangkaian 5G.

Jika benar mereka ini digugurkan bagi memberi laluan mudah kepada pemimpin muda, mengapa Khairy Jamaluddin tidak dihantar ke kawasan-kawasan mudah menang ini? Bukankan lebih selamat jika Khairy dihantar ke Jasin atau Padang Besar berbanding Sungai Buloh? Saya pasti orang-orang Gerik juga lebih menerima KJ berbanding Asyraf Wajdi Dusuki.

Tanda tanya paling besar yang tidak boleh saya elak tentunya menyangkut paut kawasan saya sendiri, iaitu Kuala Nerus.

Walaupun angin bertiup kencang sebelum ini tentang susuk yang bakal mewakili Kuala Nerus, namun saya mengunci mulut dan mengikat tangan sebelum pengumuman rasmi daripada presiden kerana mahu memberi beliau the benefit of the doubt.

Malangnya, jangkaan saya tepat. Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, presiden menjual kawasan saya kepada seorang ahli seumur hidup PAS yang telah dipecat, kerana mengingkari arahan presiden dan partinya. 

Berbalik kepada tiga kriteria utama yang digagaskan oleh presiden parti dalam pemilihan calon Barisan Nasional kali ini, dari sudut apakah beliau diangkat sebagai calon? Apakah pertimbangan yang dibuat oleh majlis pemilihan calon?

Jika majlis tersebut benar-benar wujud. Masakan tiada seorang pun dalam barisan kepimpinan Umno bahagian atau professional muda didalam parti yang layak untuk dipilih, sebaliknya ditolak mentah-mentah demi memberi laluan kepada ahli seumur hidup PAS ini?  

Buah kepayang ditelan pahit dibuang sayang, begitulah kami di Kuala Nerus terikat dengan keputusan tidak masuk akal parti, hati ibarat ditoreh-toreh pisau tajam.

Bagaimana hendak kami yakinkan para pengundi untuk menyokong calon kami, anak-anak muda yang di usia lewat 20-an kini  adalah mangsa kezaliman pemerintahan PAS dulu, masih segar dalam ingatan mereka yang dihalau dari tempat pembelajaran mereka.

Bagaimana hendak kami yakinkan orang-orang lama, yang telah dikafirkan oleh orang-orang PAS sehingga terjadinya sembahyang dua imam di sesebuah masjid. Hari ini kita mengangkat seorang calon yang datangnya dari kalangan mereka, sungguh tidak sensitif.

Andai kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Di mana ketelusan janji yang ditaburkan oleh presiden parti? Calon sewajarnya dalam kalangan WALI – winnable (boleh menang), acceptable (diterima) dan likeable (disenangi).

Bukannya mereka yang setia kepada individu tertentu, bukannya juga mereka yang berkhidmat untuk kepentingan individu tertentu, dan tentu bukannya mereka yang mempunyai impian untuk bersekongkol dengan lawan yang terbukti tidak menguntungkan, malah terang-terangan ditolak oleh rakyat.

Penamaan calon PRU15 ini mewakili integriti, hala tuju dan gagasan Barisan Nasional kerana mereka ini apabila menang bakal mewakili suara rakyat. Persoalannya, mampukah mereka menang dan mendapat mandat daripada rakyat? Rakyat sudah cukup huru hara melihat sepak terajang politik Malaysia sejak lima tahun kebelakangan yang penuh drama.

Mereka sangat dahagakan kestabilan dan ianya hanya mampu dicapai jika negara ditadbir oleh kerajaan yang kuat. Untuk merintis usaha itu, ia tentunya dicetuskan oleh calon-calon yang diturunkan mewakili parlimen masing-masing.

Pucuk pimpinan tampaknya begitu optimis untuk menuai kejayaan besar dalam pilihan raya yang bakal menjelang ini. Saya kagum oleh keyakinan yang ditunjukkan ini. Saya juga ingin optimis dan yakin, dan sebagai seorang ahli Umno, kesetiaan saya terhadap parti tidak perlu disangkal, namun keoptimisan dan keyakinan mestilah berasas.

Dengan kemelut dalaman parti yang masih meredam persis api dalam sekam, saya gusar keputusan yang termaktub nanti tidak semuluk jangkaan sekarang. Analoginya begini, jika kita hendak turun ke medan perang, kita mesti bersiap siaga dengan strategi pertempuran yang mapan, senjata yang lengkap dan armada soldadu yang kebal rohani serta jasmaninya.

Begitulah juga halnya dengan penamaan calon dan persiapan menjelang PRU15 – serba serbinya mestilah tip top. Janganlah nanti apabila realiti tidak seindah mimpi, pucuk pimpinan menuding jari menyalahkan orang itu dan orang ini, memberikan alasan itu dan ini. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak keputusan buruk padahnya. 

Bohong jika saya mengatakan saya tidak kecewa dengan keputusan presiden parti dalam pemilihan calon Barisan Nasional terutama sekali yang melibatkan Kuala Nerus.

Saya yakin ramai yang berasa terkhianati, tertipu dan dizalimi. Kami pejuang yang melafazkan taat setia dan ikrar kepada parti. Kami sedia untuk berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua situasi. Kami seperti mana rakyat ingin melihat kestabilan dan kemakmuran ibarat sirih yang pulang ke ganggang.

Namun, apa yang mampu kami buat jika tangan dan kaki kami diikat, mulut kami dibisukan dan kudrat kami dibius? Meskipun berat, namun perjuangan mesti diteruskan kerana pejuang sejati tidak akan mengaku kalah.

Semangat kepahlawanan dan nasionalis yang berkobar di dalam hati adalah obor yang takkan mampu dipadam oleh mana-mana individu atau pihak. Dan dengan nyalaan obor itulah, saya dan mereka yang berasa dikhianat, tertipu dan dizalimi ini akan terus melangkah menongkah masa depan politik tanah air yang suram.  

Aizat Fikri adalah bekas timbalan presiden Umno London.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow