- Iklan -
Kolum

Uniknya budaya pilihan raya Malaysia

Tahun ini menjadi lebih meriah kerana terdapat ramai calon bertanding dengan kawasan-kawasan menyaksikan pertembungan banyak penjuru, sekurang-kurangnya tiga penjuru.

Pak Zin
5 minute read
Kongsi
columnist picture

Pak Zin

Zin Mahmud mempunyai pengalaman lebih tiga dekad sebagai seorang wartawan kanan. Beliau merupakan bekas editor Mingguan Malaysia, ketua editor Utusan Karya, editor kumpulan Harakah, editor Harian Watan, dan penerbit majalah Dunia Islam. Buku beliau – Ideologi, Sebuah Memoir – menceritakan pelbagai dilema yang dihadapinya dalam era penuh peristiwa dan pertembungan ideologi.

Penamaan calon sudah dilaksanakan dan sekarang Malaysia memasuki fasa kempen yang sampai ke kemuncaknya dengan pengundian dua minggu lagi. 

Selepas itu, kerajaan baru ditubuhkan dengan lantikan para menteri.

Sepanjang minggu lalu, kepenatan para aktivis parti politik adalah berkaitan dengan senarai calon. 

Ada yang gembira. Ada yang kecewa. Ada yang merajuk. 

Bukan saja para aktivis, ahli dan penyokong parti tetapi orang ramai juga teruja dengan gelagat ahli-ahli politik. 

Dengan adanya media sosial, kesedaran politik dirasakan bertambah merentas garis generasi. 

Ada segolongan anak muda membangunkan laman sesawang untuk memberi maklumat mengenai calon-calon dari pelbagai parti yang akan bertanding. 

Namun begitu, kehidupan seharian berjalan seperti biasa. 

Suasana negara tenang seolah-olah pilihan raya bukan suatu perkara besar.

Menjelang Khamis lalu, suasana teruja bagi penentuan senarai calon-calon mulai Isnin lalu sudah reda. 

Lebuh raya di seluruh Semenanjung kelihatan sibuk yang di antara penggunanya dipercayai adalah para bakal calon dan aktivis parti merentas negara untuk menguruskan hal-hal berkaitan penamaan calon yang diadakan pada hari Sabtu. 

Jumaat adalah cuti hujung minggu bagi Johor, Kelantan dan Terengganu. Maka segala urusan perlu dilakukan pada hari Khamis.

Acara penamaan calon pilihan raya di negara ini adalah suatu peristiwa yang meriah. 

Calon dan wakil calon berpakaian baju Melayu, seperti menyambut hari raya. 

Mereka diiringi oleh para penyokong seperti pengantin. 

Dengan bendera dan laungan suara penyokong yang adakalanya beserta paluan gendang. 

Tahun ini menjadi lebih meriah kerana terdapat ramai calon bertanding dengan kawasan-kawasan menyaksikan pertembungan banyak penjuru, sekurang-kurangnya tiga penjuru.

Suasana meriah penamaan calon ini tidak berlaku di semua negara demokratik. 

Di Britain, tempat mana asal sistem pilihan raya Malaysia, kemeriahan penamaan calon ini tidak berlaku.

Pernah satu masa lalu, ada cadangan supaya acara penamaan calon dilakukan secara ringkas seperti orang pergi menguruskan pendaftaran saja. 

Pada masa itu, ada cadangan. 

Juga dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan pihak-pihak berkuasa tempatan mencadangkan supaya pilihan raya tidaklah perlu menyaksikan penampalan poster dan pemasangan bendera. 

Mereka mahu pilihan raya yang diadakan hendaklah seperti apa yang berlaku di negara-negara maju seperti Britain, Amerika Syarikat, Australia, Jepun dan negara-negara Eropah lainnya. 

Tidakkah dengan adanya internet, maklumat kini lebih mudah disampaikan kepada para pengundi? 

Tidakkah lebih menjimatkan kos jika tiada perlu poster dan bendera?

Para aktivis politik umumnya tidak dapat menerima cadangan itu. 

Dalam satu wawancara di televisyen dengan peneraju SPR pada tahun 2000-an, saya juga mempersoalkan cadangan itu. 

Saya berpendapat bahawa kemeriahan ini adalah perlu untuk mengajak rakyat bukan saja keluar mengundi tetapi juga menggalakkan mereka mengambil tahu dan menarik minat terhadap politik semasa.

Satu lagi perkara yang juga penting ialah soal budaya berpolitik. 

Lain negara, lain budaya politiknya. 

Perwatakan rakyat sesuatu negara juga tentulah berbeza dan cara melaksanakan proses pilihan raya biarlah menurut acuan nasional masing-masing.

Maka proses pilihan raya di negara ini mula berkembang sejak sebelum merdeka lagi iaitu pada tahun 1955. 

Dari situlah bermulanya tradisi kemeriahan pilihan raya negara, daripada majlis penamaan calon, berkempen, pengundian dan pengumuman keputusan.

Malaya adalah antara negara baru pasca Perang Dunia Kedua paling awal yang diperkenalkan demokrasi dari segi pilihan raya oleh pentadbir kolonial British. 

Sebelum ini, pihak British tidak pernah terfikir untuk memperkenalkan demokrasi di tanah-tanah jajahannya. 

Pihak British hanya menganggap tanah jajahan sebagai sebuah lombong atau ladang bagi menghasilkan kekayaan untuk mereka.

Tetapi pilihan raya umum tahun 1955 diadakan ketika Malaya sedang berada dalam darurat, iaitu negara dalam keadaan perang. 

Darurat bermula pada tahun 1948 dengan Parti Komunis Malaya (PKM) mengangkat senjata atas nama memperjuangkan kemerdekaan. 

Maka cara mengalahkan PKM ialah dengan memberikan kemerdekaan kepada Malaya. 

Tetapi untuk itu, penyerahan kuasa adalah kepada kerajaan pilihan rakyat. 

Maka bagi mewujudkan kerajaan pilihan rakyat, pilihan raya umum perlu diadakan.

Untuk mengajak rakyat kekuar mengundi pada tahun 1955 bukan suatu perkara yang mudah. 

Pihak komunis masih nenjadi ancaman keselamatan. 

Komunikasi melalui radio masih terhad. Begitu juga hubungan pengangkutan darat. 

Bagaimanakah rakyat hendak mengenali calon dan parti politik yang bertanding? 

Maka caranya ialah dengan poster dan bendera. 

Tetapi parti politik dan calon juga tidak nempunyai dana.  

MCA yang disokong ahlu-ahli perniagaan mempunyai sumber kewangan. Melalui MCA, mereka salurkan dana kepada Umno.

Maka perhimpunan awam (public rally) diadakan oleh parti yang bertanding bukan saja untuk menyampaikan maklumat dan hujah tetapi juga menimbulkan kemeriahan. 

Dengan itu, ia dapat menarik minat orang ramai untuk mengundi. 

Tetapi kemeriahan ini pula bergantung pada calon-calon yang bertanding. 

Jika calon menang tanpa bertanding, maka tiadalah kemeriahan. 

Jika calon-calon sama-sama hebat, barulah ada keseronokan. 

Tetapi dari segi sejarahnya, pilihan raya 1955 dan 1959 menjadi asas pembentukan budaya unik pilihan raya negara.

Bagaimanapun, budaya pilihan raya negara diubah selepas Peristiwa 13 Mei 1969 bagi mengelak rusuhan. 

Perhimpunan politik diharamkan dengan digantikan ceramah kecil-kecilan. 

Perhimpunan depan Bangunan Sultan Abdul Samad untuk melihat keputusan pilihan raya ditiadakan.

Perarakan kemenangan dilarang. 

Tetapi perbezaan dalam PRU tahun 1974 ialah penggunaan besar-besaran poster, kain rentang dan bendera oleh Barisan Nasional (BN). 

Kempen didominasi oleh BN yang menggunakan akhbar-akhbar dengan pengedaran manifesto dicetak cantik. 

Walaupun radio dan televisyen menyiarkan kempen berbentuk kenegaraan dan bukan kepartian, tetapi kesemuanya membawa mesej BN. 

Tidak ada keadilan untuk pembangkang.

Kemeriahan itu adalah sebelah pihak. 

Parti utama pembangkang iaitu PAS dan Gerakan sudah menyertai BN. 

Apabila diadakan penamaan calon, BN menang 47 kerusi tanpa bertanding. 

BN terlalu dominan sehinggakan tidak ada kemeriahan dalam kempen. 

Dari utara hingga ke selatan, poster, kain rentang dan bendera hanyalah berwarna biru milik BN.

Maka dalam menghadapi PRU kali ini, keadaan sudah berubah. 

Poster dan bendera yang berkibar berwarna-warna. 

Ada merah, biru tua dan biru gelap. 

BN sudah tidak lagi dominan sejak Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).  

Ada dua gabungan lain, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang mencabarnya. 

Bukan saja semua kawasan ada pertandingan tapi parti-parti kecil lain seperti Pejuang, Parti Sosialis Malaysia, Parti Rakyat Malaysia dan calon-calon bebas turut bertanding. 

Adanya media sosial menambah lagi kemeriahan. Ia memperkayakan lagi budaya pilihan raya negara.

Semasa PRU14 dahulu, ia dirasakan sebagai pilihan raya paling meriah dalam sejarah. 

Tetapi kali inu, ia pula dianggap oleh Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebagai "ibu segala pilihan raya" (mother of elections) untuk menggambarkan keadaan sengitnya pertandingan di samping peri pentingnya BN menang. 

Bagi penentang-penentangnya, PN dan PH, mereka pula berasa betapa pentingnya BN dikalahkan.

Namun begitu, pilihan raya bukan segalanya bagi negara. 

Kedudukan negara adalah dalam keadaan yang tidak menentu. 

Bukan saja terhadap negara ini sebenarnya, tetapi seluruh dunia. 

Rakyat akan menyaksikan kerajaan baru nanti, tidak kiralah siapa yang menang, akan menghadapinya.

Kesan daripada pandemik Covid-19 terhadap negara belum benar-benar dapat diatasi. 

Sementara ekonomi negara dan dunia pada masa depan akan memburuk dengan diramalkan berlaku kemelesetan hingga tahun 2024. 

Persaingan antara Barat dengan Rusia-China juga akan memburuk dengan memberi kesan terhadap ekonomi global termasuk Malaysia. 

Hakikatnya ialah negara dan rakyat memerlukan kerajaan yang cekap bagi menghadapi cabaran-cabaran ini.