- Iklan -
Rencana

Trend pemimpin tertinggi BN bertanding di pedalaman dan PH di bandar

Dasar kerajaan terkesan dengan kawasan yang diwakili pemimpin politik sekali gus memberi impak besar kepada masa depan negara.

Zulkifli Salleh
2 minit bacaan
Kongsi
Seorang lelaki melintas pembahagi jalan dipenuhi pacakan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sempena kempen pilihan raya.
Seorang lelaki melintas pembahagi jalan dipenuhi pacakan bendera Pakatan Harapan dan Barisan Nasional sempena kempen pilihan raya.

Mengapa menjelang setiap pilihan raya umum, pemimpin Barisan Nasional (BN) rata-rata akan bertanding di kerusi luar bandar atau separa luar bandar manakala pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (PH), di bandar?

Persepsi ini begitu menebal sehingga apabila Khairy Jamaluddin diletakkan di kerusi Sungai Buloh, sebuah kerusi bandar, pada pilihan raya umum akan datang, ada yang berpendapat bahawa menteri kesihatan itu dihantar ke sana untuk dikorbankan karier politiknya.

Trend ini sudah berlarutan sejak sekian lama lagi dan ini bukan perkara baru. Di dalam PRU kali ini, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan mempertahankan kerusi Bagan Datuk, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob di Bera, Presiden MCA Wee Ka Siong di Ayer Hitam dan Presiden MIC S Vigneswaran di Sungai Siput.

Ini semua adalah kerusi bukan bandar.

Sementara itu, Anwar Ibrahim bertanding di Tambun, yang terletak bersebelahan bandar Ipoh, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke (Seremban) dan Presiden Amanah Mohamad Sabu (Kota Raja, berdekatan dengan Shah Alam dan Klang).

Sebab itu, saya kagum dengan keberanian Khairy yang berpindah dari kerusi luar bandar Rembau di mana dia menjadi ahli Parlimen selama dua penggal, ke Sungai Buloh, yang terletak di pinggiran Kuala Lumpur.

Tetapi apakah pentingnya di kawasan mana pemimpin atasan politik bertanding? Ia penting kerana ia membawa kesan langsung ke atas dasar kerajaan dan kecenderungan politik yang boleh memberi impak besar kepada masa depan negara kita.

Jika sebahagian besar pemimpin tertinggi sesebuah blok politik hanya mewakili kerusi di luar bandar, mereka tentu akan cenderung mengutamakan pengundi di sana dan akan sedikit sebanyak mengabaikan sentimen masyarakat bandar.

Sebagai contoh, mereka mungkin memberi lebih fokus kepada pembangunan infrastruktur luar bandar tetapi mengambil ringan atas isu-isu seperti kebebasan kehakiman yang lebih diutamakan oleh  pengundi bandar.

Begitu juga, pimpinan tertinggi dari gabungan politik yang banyak bergantung kepada pengundi bandar mungkin tidak dapat menghayati sentimen penduduk di pedalaman, yang lebih mengutamakan isu kelangsungan hidup, bukan isu kebebasan media atau geopolitik.

Ini semua adalah "real" politik dan berkait rapat dengan kelangsungan politik. Ini tidak dapat dinafikan.

Tetapi apabila dua buah blok politik berlawanan bergantung kepada sokongan berasaskan demografi geografi yang amat berbeza, maka negara akan menjadi lebih berpecah dan terpolarisasi.

Ini menjadi lebih teruk memandangkan kebanyakan pengundi luar bandar dari kaum Melayu, manakala di bandar, rata-ratanya bukan Melayu.

Sudah sampai masanya pemimpin politik atasan keluar dari zon selesa mereka. Sebagai permulaan, BN boleh mula meletakkan lebih ramai pemimpin peringkat pertengahan di kerusi bandar manakala PH melakukan perkara yang sama di luar bandar di masa hadapan.

Mereka boleh bermula seawal tahun depan apabila beberapa pilihan raya negeri akan berlangsung.

Saya berharap satu hari nanti, saya akan melihat presiden Umno menang di kerusi seperti Bukit Bintang dan Cheras manakala setiausaha agung DAP menang di kawasan seperti Gerik atau Pengkalan Chepa.

Kita memerlukan lebih ramai pemimpin seperti Khairy yang mempunyai keberanian untuk mengambil risiko politik. Tetapi pengundi juga harus memainkan peranan mereka dengan menyokong pemimpin yang berani melawan arus politik perdana demi masa depan negara.

Inilah cara kita kecapi pembangunan yang lebih holistik dan meredakan suhu politik yang telah lama mengheret negara ini.

Zulkifli Salleh adalah pembaca MalaysiaNow.

* Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis yang tidak semestinya mencerminkan pandangan MalaysiaNow
 

- Iklan -

Paling Popular

Tiada artikel ditemui.