- Iklan -
Kolum

Tian Chua dan reformasi

Tian dan Siva menerima cadangan aku tanpa banyak 'songel'.

Hishamuddin Rais
6 minute read
Kongsi
columnist picture

Hishamuddin Rais

Semi autobiografi dari Hishamuddin Rais. Antara kisah benar dan kisah lucu. Meniti di garis cerita rekaan dan cerita benar. Labun dari sana dan dari sini. Perjalanan, pertemuan dan perpisahan. Yang tinggal hanya pahatan ingatan yang berkekalan.

Aku mula kenal Tian Chua pada tahun 1997.

Ini dalam bulan Jun ketika jerebu mengganas di Malaysia.

Aku diperkenalkan oleh Sivarasa Rasiah, kawan lama aku.

Sivarasa setelah lulus daripada Oxford University menyambung belajar untuk menjadi peguam di London.

Justeru kami duduk serumah ketika di London.

Petang itu aku bertemu Tian di pejabat Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Petaling Jaya, Selangor.

Ketika itu Tian, anak muda Cina yang agak tinggi dan kurus ini bekerja dengan Suaram.

Aku yang baru pulang selepas 20 tahun berkelana tidak kenal ramai orang.

Aku senang hati dapat berkenalan dengan kawan baru dan aktivis seperti Tian.

Petang itu kami merancang untuk keluar berdemonstrasi dalam usaha untuk meningkatkan kesedaran orang rmai tentang bahaya jerebu.

Aku secara spontan dengan penuh "humor" menamakan kumpulan kami yang menentang jerebu sebagai "Kubur" atau Kumpulan Udara Bersih Untuk Rakyat.

Tian dan Siva menerima cadangan aku tanpa banyak "songel". Tian amat mudah untuk turun ke jalan raya. Tidak banyak soal jawab.

Seminggu kemudian kami keluar berdemo di Dataran Merdeka.

Tidak ramai hanya lapan orang.

Nama Kubur cadangan aku disailang oleh Dr Sanusi Osman dari Parti Rakyat Malaysia (PRM) yang tidak faham konsep propaganda dan konsep "cool" dan apa dia "counter culture".

Hari berjalan. Tahun berganti. Pada 2 September 1998, Anwar Ibrahim dipecat daripada United Malays National Organisation (Umno).

Anwar bergaduh dengan Dr Mahathir Mohamad. Aku tak ambil pot. Ketika itu aku sibuk dengan filem "Dari Jemapoh ke Manchestee".

Pejabat aku di Jalan Kemuja, Bangsar Utama.

Ini tidak jauh dari rumah Anwar di Bukit Damansara. Aku difahamkan setiap malam, ramai penyokong Anwar berkumpul.  

Sudut pidato dan "open mic" dibuka di perkarangan rumah Anwar.

Aku tak ambil pot. Aku tidak pernah menunjukkan muka di Bukit Damansara.

Tiap malam aku difahamkan ramai penyokong Anwar daripada pelbagai latar belakang datang berhimpun memberi tanda setia kawan.

Pada 20 September 1998, ada demo besar dari Masjid Negara ke Dataran Merdeka. Aku turut hadir.  

Pada malamnya Anwar ditangkap dan esok dibawa ke mahkamah untuk didakwa meliwat dan salah guna kuasa.

Hari pertama Anwar ke mahkamah aku turun ke Jalan Tun Perak untuk melihat demo penyokong beliau.

Demo pada hemat aku adalah cara politik yang terbaik dalam usaha untuk membuat perubahan politik yang radikal.

Justeru aku tidak pernah mendaftar untuk mengundi.

Aku tidak yakin tentang ketelusan sistem pengundian di Malaysia.

Anwar setelah ditahan didakwa dan tidak dapat diikat jamin. Ertinya duduk reman dalam lokap.

Satu malam aku didatangi oleh Hassan Karim, kawan lama aku di Universiti Malaya.

Hassan ini anggota Kelab Sosialis, pelajar Fakulti Pertanian yang lebih muda daripada aku.

Malam itu Hassan datang bersama Tian.  

Ini kali kedua aku berjumpa Tian. Kami bertemu di warung di Jalan Kemuja.

"Come and join Reformasi." Tian mempelawa aku untuk menyokong Gerakan Reformasi Anwar.

Tian menggunakan Hassan untuk meyakinkan aku.

Penerangan Hassan dan ajakan Tian aku hanya dengar.

Tidak ada jawapan menerima atau menolak. Aku masih tidak ambil pot tentang Anwar.

Tapi-tiap hari Sabtu dengan kamera SLR Nikon tergantung di leher, aku merakam sejarah Reformasi.

Aku turun ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Aku ingin melihat demo penyokong Anwar.

Rujuk kembali kepada tulisan aku dalam portal Malaysiakini pada 2 September 2015:

"Pada tahun 1998 – lebih tepat lagi pada petang Sabtu 24 Oktober 1998 – lebih kurang jam 5 petang saya telah ditangkap di sebelah bangunan Kompleks Pertama, Jalan Tunku Abdul Rahman.

Saya dibawa ke rumah pasung Dang Wangi untuk ditahan. Kamera SLR Nikon AE saya telah dirampas sehingga hari ini tidak dipulangkan.

Esoknya – pagi Ahad 25 Oktober 1998 – saya telah dibawa ke Pulapol di Jalan Semarak. Di sana saya dikumpulkan dengan puluhan lagi penunjuk perasaan yang kelihatan telah dibelasah.

Ramai yang kelihatan cedera, bengkak-bengkak dan kelihatan berdarah dan luka yang telah kering. Dalam sejarah, ini digelar Malam Reformasi Kampung Baru.

Pada Ahad 25 Oktober 1998, induk berita di muka depan Mingguan Malaysia, ada kenyataan rasmi Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang mengumumkan kepada seluruh dunia bahawa dalang demonstrasi yang menyokong Anwar Ibrahim telah berjaya ditangkap." ( MalaysiaKini 2 September 2015 )

Aku ditangkap pada petang Sabtu itu merubah semuanya.

Aku tidak perlu Hassan atau Tian. Mahathir menuduh aku dalang walhal petang itu aku datang hanya untuk merakam sejarah.

Malam Sabtu hujung minggu itu aku ada program bersama TV3.

Aku dilantik menjadi juri filem dan drama TV.  

Anggota juri ada pertemuan hujung minggu di Bagan Lalang, Selangor.

Sebelum ke Bagan Lalang aku mahu melihat demo di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Petang Sabtu itu aku ditangkap. Ini mengubah perjalanan hidup aku.

Aku ada terbaca Tian bersama Ustaz Fadzil Noor dari PAS menubuhkan Gerak dan Gagasan. Ini  kerjasama kumpulan NGO dengan parti politik untuk menyokong Anwar dan menjatuhkan Mahathir.

Sesudah aku ditangkap, kerap juga aku  bertemu Tian yang kini bekerja dengan Labour Resource Centre (LRC).

Pejabat LRC di Jalan Kurau, Bangsar tidak jauh dari Jalan Kemuja, Bangsar, tempat aku bersarang,

Pada 4 April 1999, Parti Keadilan Nasional (PKN) ditubuhkan.

Ini 10 hari sebelum peristiwa Black 14. Tian adalah salah seorang daripada pengasas PKN.

Jawatan Tian dalam PKN ialah naib presiden.

Hari Anwar jatuh hukum pada 14 April 1999, aku bersedia untuk bersama ke jalan raya.

Aku yang dituduh oleh Mahathir sebagai dalang kini sebaris dengan Tian untuk menyokong Gerakan Reformasi.  

Hari yang kenali sebagai Black 14 adalah hari Anwar dijatuhkan hukuman penjara.

Hari ini juga hari di mana para penyokong Anwar bertempur dengan FRU di sekitar pusat bandar tidak jauh dari bangunan mahkamah.

Tembakan gas pemedih mata, pancutan air kimia berwarna kuning adalah jawapan daripada polis.

Pertempuran berlaku. Tangkapan berlaku. Aku gembira sekali kerana semua imej ini akan menjadi berita dunia.

Anwar pada ketika itu adalah "calon dan budak kesayangan Amerika".

Mahathir dilihat sebagai anti-Amerika. Justeru Anwar mendapat liputan media antarabangsa yang meluas.

CNBC, CNN, Al-Jazeera, BBC dan banyak lagi hadir di Kuala Lumpur untuk merakam  babak-babak Anwar di jatuhkan hukum penjara.

Pada hari Black 14 ini, Tian melakukan satu tindakan yang amat berani. Tian duduk di tengah jalan untuk menghalang trak FRU dari bergerak untuk menyembur pancut air kimia.

Imej Tian ini sama seperti imej anak muda di China yang menghalang kereta kebal daripada bergerak di Dataran Tiananmen pada 5 Jun 1989 di Beijing.

Beberapa orang anggota polis yang dibantu dengan anggota FRU mengangkat badan Tian untuk dimasukan ke dalam kereta polis.

Imej Tian ini menjadi imej klasik Gerakan Reformasi.

Imej Tian ini sama seperti imej Tunku Abdul Rahman mengacung genggaman tangan ke udara pada 31 Ogos 1957.

Dua-dua imej ini adalah rakaman sejarah tanah air kita.

Setelah Anwar masuk ke dalam penjara para penyokong dan para reformis meneruskan perjuangan.

Setiap petang Sabtu pasti ada tunjuk perasan di Jalan Tunku Abdul Rahman.

Tidak ada organisasi yang menyusun demo.

Penunjuk perasan terpanggil kerana yakin Anwar mangsa fitnah.

Tidak ada yang percaya bahawa Anwar meliwat Azizan pemandunya yang muka tidak jambu.

Tidak ada yang percaya Anwar meliwat Sukma , walaupun dia dilihat "cute" dan jambu.

Tidak ada siapa yang percaya Anwar meliwat Munawar Anees.

Si Pakistani ini bukan sahaja bersosok gempal malahan badannya berbulu.

Demo besar sesudah Anwar ditangkap ialah Demo Arsenik.

Berhimpun di Masjid Negara pada Sabtu 19 September 1999.

Lepas Demo Arsenik aku di jemput oleh  Tian ke pejabat LRC.

Di sini aku bertemu dengan Pak Abu atau nama sebenarnya Saari Sungip, Malek Husin, Pak Din, Nasir dan Tan.  

Mereka ini ada terlibat dalam menggerakkan demo pada setiap petang Sabtu.

Ketika ini kami semua berjalan sendirian.

Bergerak secara rahsia. Ada Laman Reformasi ada Laman Mahazalim yang menjadi pemandu.

Aku tidak tahu siapa yang menguruskan laman-laman sesawang pro-Anwar ini.

Semua bergerak "di bawah tanah".

Ini kerana tangkapan selalu berlaku.

Pada hemat aku sosok seperti Tian, Pak Din dan Malek terlibat menyusun Demo Arsenik.  

Aku yakin Tian yang menyusun kerana ketika ini dia sudah menjadi orang kuat PKN.

Aku hadir di Demo Arsenik kerana yakin Anwar yang dalam penjara sudah termakan racun arsenik.

Dalam Demo Arsenik in ramai reformis ditangkap. Tian dan aku juga turut ditangkap. Kami masuk lokap, di jamin dan dibicarakan.

Aku dan Tian semakin rapat.

Bulan puasa sampai bulan November.

Demo hari Sabtu tidak berlaku lagi. Dengan sendiri protes jalanan reformasi menjadi lembik.

Tidak ada lagi demo hari Sabtu. Demo spontan tidak mungkin berlaku. Justeru demo perlu dirancang.

Kami merancang di Pejabat Tian. Secara tidak rasmi yang memimpin kami pada ketika itu ialah Tian, Pak Abu dan Malik.

Aku memberi pandangan ketika kami merancang.

Kali ini kami ingin merancang Perhimpunan 100,000 Rakyat di Jalan Kebun.

Ini kawasan tanah kampung pemimpin Pemuda PKN yang bernama SD Johari.

Kami merancang untuk berhimpun pada Ahad 5 November 2000.

Aku ingat lagi Tian mencadangkan Pak Abu sebagai jurucakap. Aku membuat pengisian.

Zunar melakar genggaman tangan penumbuk sebagai layar latar di tempat berucap.

Ketika merancang Perhimpunan 100,000 Rakyat ini, peguam Latheefa Koya muncul sama untuk membantu.

Apakah Tian dan Pak Abu dan para Reformis berjaya dengan 100,000 rakyat turun? Tunggu sambungan.